Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

BULAN MEI : ADA ORANG AKAN TERSENYUM LEBAR SAMBIL MENITIS AIRMATA

Assalamualaikum WW.

BULAN Mei tahun 2000 ini sedang dinanti oleh banyak penganalisis politik tempatan dan antarabangsa dalam hubungkait pergolakan politik negara ini. Mereka yang sudah meneliti perkembangan selepas pilihanraya ke-10 tentu mahu melihat apakah perkembangan selanjutnya kepada kepimpinan UMNO setelah parti itu jatuh sedemikian teruk berbanding dengan komponen BN yang lain.

Satu “Undercurrent”

Dr. Mahathir nampak sudah mulai gelisah (jikapun tidak gelabah) dengan ledakan dalam UMNO yang makin menghangat-bahang. Apa yang menggusarkan beliau bukan saja dari rungutan penyokong UMNO dan BN diperingkat rakyat, tetapi juga dikalangan pemimpin dan kepimpinan di peringkat bawahan UMNO dan BN sendiri. Seolah-olah, telah terbit satu gelombang bawah dasar (undercurrent) sedang bergolak hebat mempersoalkan kesesuaian beliau menerajui UMNO/BN seterusnya.

Diakhir-akhir ini, sanggahan terhadap Dr. Mahathir adalah jelas berputar dari pengistiharan “Tidak ada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan”. Kununnya keputusan itu diperakukan Majlis Tertinggi UMNO (MKT) sebulat suara. Tetapi pemimpin UMNO bukan-ahli MKT yakin bahawa keputusan itu adalah andaian meleset saja. Sebetulnya, keputusan itu adalah hasil ugut-paksa Dr. Mahathir sendiri.

Dengan itu, bantahan kepimpinan UMNO hampir menyeluruh hingga ke akar umbi parti. Itu masalah besar yang tidak wajar diremehkan semudah itu.

Mahathir Tersepit

Dr. Mahathir selaku Presiden parti dan Perdana Menteri merasa bahang paradigma rakyat (khususnya orang Melayu) yang kian tidak yakin dengan kepimpinan beliau. Bagi penyokong dan kepimpinan UMNO pula, jika stigma “diktator” dan “tidak islamik” yang diejekkan kepada Dr. Mahathir tidak dikikis-hapus; maka bahaya yang pasti menimpa UMNO/BN ialah parti itu akan terus melemah dengan kemungkinan besar akan kecundang habis-habisan terkubur ditalqinkan dalam pilihanraya ke-11 nanti.

Tekanan dari pelbagai pihak yang menginginkan beliau (Dr. Mahathir) berundor nampaknya tidak dipedulikan langsung oleh Mahathir. Dengan itu, kepimpinan UMNO sendiri diketahui umum sedang sepakat untuk “mengundorkan” Mahathir dengan cara selari dengan amalan Perelembagaan parti, iaitu dengan memaksa supaya diwujudkan Pertandingan.

Sebagai sebuah parti behaluan demokrasi, tuntutan itu pula tidak semudah itu dinafikan oleh sesiapa. Bukan saja ia satu tradisi dalam amalan demokrasi, malah dalam keadaan UMNO yang kian jauh menyimpang dari asas-asas demokratis; tuntutan pemimpin UMNO bawahan adalah sejajar dengan manifestasi rakyat. Maknanya, “Pertandingan” itu baik untuk UMNO!!

Hasilnya, mau atau tidak, MKT harus menarik balik keputusan “tidak ada pertandingan” itu jika mahu keyakinan rakyat diraih-kembalikan. Soal siapa menang atau kalah bukan ukuran lagi. Yang wajib ialah “mesti adakan pertandingan”. Dr. Mahathir wajar akur demi kesenambungan UMNO/BN dalam arus perdana masa depan politik UMNO sendiri.

Peningkatan Imej Diri

Mungkin Dr. Mahathir akan terus beretorik dengan pelbagai ragam dan tingkah, mengadakan pelbagai taktik dan cara untuk mengalih pandangan pemimpin UMNO.

Hari ini pun beliau makin giat berusaha merencanakan peningkatan imej diri dan politik beliau melalui perlantikan beberapa penyokong taksub beliau ke Kabinetnya, perlantikan ke jawatan S/U politik, memilih siapa yang wajar sebagai MB, ADUN, dll.

Tetapi yang paling menjijikkan ialah beliau cuba merancang siapa yang harus diangkat dan jatuhkan dalam pemilihan WANITA. Kununnya itu adalah berasaskan demokrasi. Sementara, Ketua PEMUDA pula tidak dipertandingkan. Ini membuatkan kepada orang hingga banyak yang bertanya sambil membaca apa sebenarnya agenda Mahathir.

Akhirnya, rencana Mahathir makin terhidu; bahawa beliau pada rohani dan jiwa bukanlah seorang yang demokratik. Dengan itu imej beliau sebagai pemimpin yang demokratik dengan sendirinya luruh-luntur di mata pemimpin UMNO. Ini menyebabkan asakan untuk menyingkirkan beliau sebagai Presiden parti makin bersemarak ke akar umbi kepimpinan UMNO. Justeru, dengan itu rakyat dan pengundi juga.

Kehebatan BA

PAS, sebagai komponen parti yang paling berjaya dalam BA, telah menunjukan keupayaan petadbiran dan penggubal Dasar yang makin cemerlang. Manifesto mereka telah menjadi pergantungan rakyat di negeri-negeri yang ditadbir (Kelantan dan Terengganu). Dan, mereka yang berwajib sebagai wakil rakyat telah menunjukkan prestadi kemampuan yang tinggi dengan memberi khidmat kepada rakyat majmuk di negeri-negeri terbabit.

Sementara itu, wakil-wakil BA di negeri (Kedah, Pahang, dll) dan khususnya di Parlimen ternyata sangat aktif memperjuangkan keperluan rakyat. Para wakil rakyat BA telah menunjukkan prestasi sebagai orang-orang perjuangan yang mewakili rakyat. Mereka bersuara lantang, penuh dengan sanggahan dan berdebat berbekalkan fakta-fakta benar dan nyata, dan berani menghadapi cabaran penuh dedikasi. Atas segala-galanya, mereka menunjukkan rasa tanggungjawab yang sangat ketara.

Berbanding dengan wakil UMNO, mereka cuma mampu menunjukkan imej “persekongkolan” dangkal yang memalukan. Contoh terkini ialah perdebatan antara YB Datuk Fadhil Mohd Noor dengan puak wakil UMNO mengenai isu kenyataan Dr. Mahathir “Kalau laksana Hudud orang Melayu tidak akan maju sebab tidak ada kaki dan tidak ada tangan, orang Cina akan maju" Itu. Yang paling menjijikkan rakyat ialah kemungkinan besar YB Datuk Fadhil akan dihadapkan ke Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Jika itu sikap wakil UMNO yang berpendidikan (eg. Dr. Jamaluddin Jarjis); apakah imej perjuangan Islamiah UMNO yang hendak ditonjolkan? Jangan sebutlah dulu isu “Fatwa” yang hendak dibesar-besarkan oleh Hamid Osman itu. Jika diteruskan juga, UMNO akan bungkas bagai sebatang kayu tumbang yang landa taufan ganas – akan terjungkit hingga ke urat tunjang!!

Mengharap Guruh di Langit

Dengan perlantikan Datuk Dusuki Ahmad sebagai S/U Politik beliau, semua orang nampak Dr. Mahathir mengaharap Dusuki sebagai dahan untuk bergantung bagi mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada ketokohan Mahathir sebagai pemimpin Melayu dan Islam. Dengan itu, diharapkan rakyat Kelantan dan Terangganu akan terpukau dengan keupayaan Dusuki.

Jika benar begitu, malang sangatlah Mahathir kerana mengharapkan “guruh dilangit”. Imej Dusuki sendiri sudah sekian dekad terbenam-merudum. Apa yang paling menyulitkan tugas Dusuki ialah: Mahathir sendiri tidak langsung mencerminkan sikap, perilaku dan pertuturan seorang yang menghayati Islam dalam pentabdirannya (dalam UMNO dan Kerajaan).

Tugas menerap semula imej Mahathir yang telah rosak seteruk itu untuk ditingkatkan sebagai pejuang Islam bukan urusan semudah itu yang layak dilakukan oleh Dusuki seorang. Malah, jika dikumpul semua ulamak pro-UMNO sekalipun, belum tentu akan setanding dengan penghayatan Islam yang telah diboktikan dan terbokti dan terus-menerus diperjuangkan oleh kepimpinan PAS selama lebih 30 tahun ini.

Contoh yang jelas: Selagi kes Fitnah keatas DS Anwar tidak diselesaikan dengan saksama dengan Mahathir sendiri tidak mengangkat tangan mengakui kesilapannya dan menarik balik fitnah beliau (dan memohon ampun-maaf kepada semua pihak, khusu kepada Anwar dan keluarga) dikhalyak umum (disaksikan oleh rakyat dan dunia); imej “Islamik” Mahathir akan TETAP merudum untuk selama-lamanya.

Perlantikan Dusuki makin membuatkan Kerajaan dan kepimpinan PAS tersenyum lebar!!

Kesimpulan

Memang bulan Mei ini bulan ‘puaka’. Bulan itu akan menentukan apakah UMNO akan mampu merobah imej parti itu untuk dihayati oleh sebahagian orang Melayu yang tersisa menyokongnya, atau sebaliknya. Jika UMNO tidak merobah diri, masakan Allah swt akan merobah UMNO!! Wallahu ‘alam!!

Haji Musa
Alor Setar, KEDAH



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com