Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Sahlah UMNO kehilangan taring untuk menggiggit lagi !!

PENGURANGAN edaran HARAKAH adalah petanda paling jelas bahawa Kerajaan UMNO/BN telah terlalu terdesak dan terhimpit. Menyekat pembaca yang terdiri dari ahli-ahli PAS (selari dengan peraturan) bukanlah hak Kerajaan UMNO/BN. HARAKAH memuatkan ulasan logik dan efektif yang mengasuh mendidik anggota dan penyokong parti.

Tetapi adalah sesuatu yang benar bahawa hanya dalam HARAKAH saja terdapat ulasan yang mampu membuka minda dan membawa hujah yang rasional, berbanding dengan akhbar perdana sogokan UMNO/BN.

Sekatan itu amat anih. Pertama, kerana HARAKAH tidak memberi kesan untuk mempengaruhi pengundi dalam pilihanraya lagi. Kerana, pilihanra ke-10 sudah berlalu, dan yang ke-11 diagakkan kira-kira 5 tahun lagi.

Tetapi, ramai yang beranggapan bahawa ia adalah ditujukan kepada puak UMNO yang akan membuat pemilihan MKT UMNO pada bulan Mei 2000 ini. Ditakuti puak UMNO sendiri akan terpengaruh dengan hujah dalam HARAKAH itu.

Jika itu benar, maka ini jelas menunjukkan satu hakikat bahawa pucuk pimpinan UMNO telah begitu melemah kebelakangan ini hingga mengkhuatiri pempimpin peringkat bawahan parti itu telah dicurigai oleh pemimpin atasan mulai membenci kelompok pemimpin yang menerajui UMNO yang menerajui Kerajaan.

Mungkin HARAKAH dicurigai akan mempengaruhi minda pemimpin UMNO peringkat bawahan yang makin begitu rapuh taat setia mereka terhadap UMNO yang semakin goncang dan kacau-bilau.

Sekali lagi, jika itu benar, maka sahlah UMNO ditadbir oleh orang-orang yang sudah hilang keyakinan diri, ketandusan wibawa dan kehilangan hujah untuk menegakkan ‘benang basah’ pemimpin tertentu. Hematnya ini adalah satu insiden yang paling memalukan sekali bagi sebuah parti yang terbesar (kununnya) di negara ini.

Kita ingin bertanya lagi, mengapa Kerajaan UMNO/BN melakukan penyekatan sehodoh itu terhadap kebebasan akhbar di negara yang menuju era penyebaran maklumat secara meluas? Apakah mereka merasa tersangat tersepit hasil dari sebuah edaran seperti HARAKAH yang terbit hanya seminggu dua kali?

Adakah pemimpin UMNO atasan menganggap bahawa HARAKAH boleh mempengaruhi minda penyokong UMNO? Jika mereka beranggapan begitu, mereka adalah tersilap besar. Apa yang sedang berlaku ialah, pemimpin UMNO/BN sendri yang menerajui Kerajaan sekarang telah begitu terpesong dari matlamat pentadbir negara yang amanah. Hingga, pemimpin UMNO bawahan sudah muak dan jelak dengan propaganda mereka yang tawar-hambar – bercakap ‘tidak serupa bikin’..!!

Rakyat melihat keburukan karenah pemimpin UMNO yang mempengaruhi mahkamah, polis dan jabatan Peguam Negara hingga Dr. Mahathir telah beberapa kali berjaya mengelak dari mematuhi undang-undang dan sapina yang menuntut beliau bersikap anak jantan menjadi saksi perbicaraan DS Anwar sepenting itu.

Keseluruhan rakyat termasuk penyokong UMNO melihat karenah pemimpin UMNO itu. Itu bukan fitnah tetapi adalah kenyataan yang telah menarik perhatian dunia luas.

Rakyat juga tahu dan faham sangat, kes RASUAH dan Penyelewengan secara terbuka yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN dalam kerajaan. Hampir semua kes-kes jenayah RASUAH yang melibatkan menteri UMNO/BN telah disapu kebawah tikar. Dr. Mahathir adalah antara salah seorang yang turut terperangkap. Tetapi beliau bersikap membatu!!

Beberapa siri kekejaman dan kezaliman terdampar bagai tulisan ditembok luas membentang. Apakah ini mahu ditutup oleh Kerajaan UMNO/BN?

Apakah ini dapat diselindungi dari mata rakyat? Apakah mereka berfikir rakyat dan pemimpin UMNO yang lain tidak mengetahuinya dari sumber-sumber lain selain dari HARAKAH?

Secara logik, sewajarnya Kerajaan UMNO/BN mengusulkan HARAKAH ditambah edaran kepada setiap hari. Dengan itu, pembaca akan menjadi jemu. Mungkin ramai yang tidak sempat membaca keluar setiap hari kerana mengejar edaran esoknya. Dengan itu, keberkesanan maklumat yang dipaparkan akan terbantut.

Sebaliknya, dengan edaran sekali dua minggu, bermakna ramai yang akan memberi tumpuan kepada setiap patah perkataan dalam rencana pilihan yang termuat dalam HARAKAH. Kesannya, perdebatan sesama mereka akan lebih mendalam dan terperinci hingga mampu membentuk pemikiran mereka

Tetapi, keputusan Kerajaan UMNO kerap menyusahkan diri mereka sendiri. Ini terbokti lagi dengan keputusan “tidak mempertandingkan” kedua-dua jawatan MKT itu. Hari ini, UMNO makin terperesuk didalam delima hingga beberapa vetren UMNO sendiri sudah bangkit mengkritik keputusan itu. Ini amat bahaya kepada UMNO.

Mungkin UMNO sedang bergerak kearah kehancuran secara beransur-ansur. Tetapi, ramai yang hairan (termasuk pemimpin UMNO sendiri), apakah dengan menyekat edaran HARAKAH UMNO akan selamat dari sebarang elemen penentangan dari dalam batang tubuh UMNO sendiri?

UMNO makin nampak ditadbir dan diterajui oleh pelaku-pelaku yang baru ‘tanggal pusat’ dan ‘tumbuh gigi’. Mungkin, bulan Mei ini, UMNO akan memilih sejumlah pemimpin yang sudah matang, bersifat gentlemen dan punya keyakinan diri.

Bagi komponen Barisan Alternatif, perjuangan menegak kebenaran adalah perjuangan yang berterusan. Mungkin puak UMNO sudah kehilangan taring untuk menggigit. Hingga, mereka tidak mungkin menggigit sesama sendiri lagi.

Haji Musa,
Alor Setar - KEDAH



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com