Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kenyataan Dr Mahathir Di Mainichi Daily Bercanggah Dengan Hadis

Perdana Menteri Dr Mahathir telah membuat kenyataan yang bercanggah dengan Hadith Rasulullah berkaitan hukum haram ke atas minuman arak dalam kenyataan di ruang khasnya berjodol “Dr Mahathir’s World Analysis” di akhbar Jepun Mainichi Daily keluaran Selasa, 15 Februari 2000. Dr Mahathir telah berkata bahawa beliau boleh menerima makan semeja dengan mereka yang disajikan minuman arak tetapi tidak boleh menerima budaya baru di Eropah yang mempromosikan penerimaan homoseks.

Kenyataan Dr Mahathir bercanggah dengan Hadith Rasulullah SAW yang melarang umat Islam duduk semeja dengan mereka yang sedang minum arak. Perbuatan tersebut hukumnya bersubahat.

Tujuan utama kenyataan Dr Mahathir ialah untuk menonjolkan kononnya beliau bersikap ‘liberal’ tetapi tidaklah sehingga dapat menerima hubungan homoseks yang dilakukan oleh bekas Timabalannya, Anwar Ibrahim. Dimana sahaja Dr Mahathir berucap beliau berasa terdesak untuk cuba mengubahkan pandangan dunia yang sudah pun mendapati beliau bersalah dalam menganiayai dan memfitnah Anwar. Semakin hari semakin terang kepada dunia bahawa tuduhan meliwat ke atas Anwar hanyalah suatu konspirasi politik Dr Mahathir yang keji lagi jijik untuk menjatuhkan Anwar. Tepat sekali jangkaan M.G.G Pillai sejak awal-awal lagi bahawa dalam tempoh masa yang singkat sahaja kebenaran yang memihak kepada Anwar akan menyerlah, dan akhir-akhirnya si pemfitnah Dr Mahathir sendiri yang akan terpaksa membela dirinya di “mahkamah” rakyat dan di pentas dunia.

Dr Mahathir telah menyatakan di ruangan khasnya dalam akhbar Mainichi Daily bahawa semasa jamuan tengahhari baru-baru ini bersama Presiden Jacques Chirac di Paris pada 29 January minuman arak telah disajikan. Kata Dr Mahathir, “Bagi kami orang Malaysia, kami menghormati kebudayaan Peranchis dan kami tidak punyai bantahan terhadap wine dan liqour yang mereka minum semasa makan bersama kami. Untuk kami memadai hanya minum air dan jus appel…”

Saya percaya Dr Mahathir telah membuat kenyataan tersebut dengan penuh kesedaran bahawa ianya bercanggah dengan Sunnah Rasulullah SAW. Ingat tak yang beliau telah menolak hukum Al Quran yang mensyariatkan perlunya empat saksi lelaki yang berakhlak baik untuk perbicaraan seperti kes Anwar. Kenyataan Dr Mahathir dalam akhbar Jepun itu mengukuhkan anggapan selama ini bahawa beliau adalah anti Hadith. Mungkin inilah sebabnya tiada tindakan diambil selama ini ke atas gulungan anti Hadith seperti Kassim Ahmad.

Dan kenyataan Dr Mahathir yang bercanggah dengan Hadith ini telah dikeluarkan hanya beberapa hari setelah beliau, Abdullah Badawi, dan Hamid Othman menabur fitnah dengan menuduh kononnya PAS telah mengeluarkan fatwa-fatwa yang menyalahi aqidah dan telah juga menyalahgunakan masjid. Saya yakin ini semua berlaku bukan secara kebetulan tetapi adalah rancangan Allah SWT untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia yang beragama Islam bahawa PAS, seperti juga Anwar, tidak bersalah dan adalah mangsa Dr Mahathir dan UMNO yang kejam dan anti Islam.

Adakah kita semua akan biarkan sahaja Dr. Mahathir dan UMNO yang terang adalah gulungan yang kejam dan memusuhi Islam untuk terus bermaharajalela menjajah dan menindas kita semua? Adakah kita ingin jenerasi kita yang akan datang mengamalkan Islam yang telah di”modify” dan disongsangkan oleh Dr Mahathir dan UMNO?

Allahu Akbar ! Allahu Akbar ! Allahu Akbar !

Tarabulsi.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com