Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


Isu negara Islam : PAS tak akan mengundang kemurkaan Allah

Assalamualaikum,

Isu negara Islam : PAS tak akan mengundang kemurkaan Allah

Sekali lagi isu negara Islam mengoyangkan BA. Kali ini ianya bermula apabila Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah membuat kenyataan bahawa “penubuhan negara Islam adalah sesuatu yang mungkin.” Kenyataan Kak Wan itu dibantah keras oleh DAP, dan bantahan DAP itu seterusnya ditujukan kepada PAS dengan ugutan bahawa DAP akan meninggalkan BA jika PAS tidak mahu berkompromi. DAP perlu faham bahawa kalau PAS berkompromi maka PAS akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Jalan penyelesaian bukannya kompromi yang tidak dapat dipenuhi oleh PAS. Penyelesaian sebaik-baiknya adalah bagi DAP untuk menuntut jaminan dari PAS, dan bagi PAS untuk memberi jaminan bahawa negara Islam yang akan ditubuhkan nanti tidak akan menjejaskan hak-hak agama lain.

Memesong dulu kepada kenyataan Kak Wan, saya berpendapat kenyataan Kak Wan tidak sekali-sekali berniat untuk mencetuskan perbalahan antara DAP dan PAS seperti yang didakwa oleh orang-orang UMNO. Kenyataan Kak Wan itu sebenarnya mencerminkan pendirian beliau yang sudah kian lama memperjuangkan penubuhan negara Islam, iaitu sejak dari Dato Seri Anwar memimpin ABIM lagi. Malah parti Keadilan semakin kelihatan menjurus kepada penubuhan negara Islam.

Perlu diingatkan bahawa Dato Seri Anwar Ibrahim telah berganding bahu dengan Ustaz Dato Fadzil Nor dalam memperjuangkan penubuhan negara Islam semasa mereka dalam ABIM satu ketika dulu. Malah satu ketika dulu Dato Seri Anwar pernah berkempen untuk PAS. Apabila Anwar masuk UMNO untuk mengIslamkan UMNO, ramai dikalangan ahli PAS termasuk saya sendiri melihat Anwar sebagai “orang kita dalam UMNO” (iaitu orang PAS yang bertindak untuk membersihkan UMNO dari dalam). Dan jangan lupa bahawa saudara Mohamad Sabu telah membantu dalam perkahwinan Abang Anwar dengan Kak Wan yang menghadapi sedikit masalah dari bapa Kak Wan. Memangnya Dato Seri Anwar dan Datin Seri Wan Azizah sudah lama terlibat dalam memperjuangkan penubuhan negara Islam. Oleh itu tidak menghairankan apabila Datin Seri Wan Azizah membuat kenyataan bahawa penbubuhan negara Islam itu sesuatu yang mungkin.

Bagi kebanyakan ahli dan penyokong PAS, dasar menubuhkan negara Islam itu tidak boleh dikompromikan. Ramai dikalangan ahli dan penyokong parti Keadilan turut memperjuangkan penubuhan negara Islam. Malah ramai ahli dan penyokong Keadilan menganggap perjuangan tersebut adalah juga perjuangan parti Keadilan, dan bukan hanya perjuangan PAS.

Kalau kita lihat ke arah rakyat yang bukan beragama Islam pula, semakin ramai sudah hilang rasa takut dan curiga terhadap konsep negara Islam. Mereka sedar setelah mendengar penerangan dari PAS, dan juga Keadilan, bahawa kedudukkan dan hak-hak agama-agama lain akan terjamin di bawah negara Islam. Mereka sudah melihat bahawa nasib orang-orang bukan Islam terjamin di Kelantan dan Terengganu.

Sebenarnya seliseh faham antara DAP dan PAS yang berlaku sekarang ini adalah sesuatu perkembangan yang sihat. Isu negara Islam ini boleh diselesaikan ‘once and for all”. Dalam perbincangan yang perlu diadakan oleh BA nanti, DAP boleh menuntut jaminan dari PAS bahawa negara Islam yang hendak ditubuhkan itu tidak akan menjejas hak-hak agama lain sementara PAS pula boleh memberi jaminan tersebut. Suatu penyelesaian perlu dicapai dengan segera kerana setiap kali isu ini timbul ianya dieksploitasikan sepenuhnya oleh UMNO-BN.

PAS tidak akan menggugurkan perjuangannya untuk menubuhkan negara Islam kerana langkah yang sedemikian akan mempelawa kemurkaan Allah SWT. Keredhaan Allah SWT terhadap PAS, malah kekuatan PAS, terletak kepada perjuangannya untuk menegakkan syariat Islam di muka bumi Malaysia ini, dan juga di seluruh dunia. PAS sedia menuggu dengan sabar hingga datangnya saat dan ketika dimana Allah SWT akan ujudkan keadaan di mana Islam akan menang. Segala-galanya adalah dengan idzin Allah SWT jua.

Allahu Akbar!

Tarabulsi






        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 5 Julai 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com