" THINK TANK " KUMPULAN PEMIKIR

Pendahuluan.

Dalam keadaan baru mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri daripada parti BN , harus diakui dari segi berpengalaman kita msih kurang . Kemahiran menguruskan parti tidak sama dengan uruskan sebuah negeri. Masalahnya rencam dan pelbagai. Kumpulan rakyat juga berbagai jenis, ada yang menyokong dan membangkang . Bukan bermaksud YAB MB, EXCO dan wakil rakyat yang dipilih tidak boleh melakukannya, tidak layak atau sebagainya. Yang terpilih semuanya layak dan berkemampuan. Tetapi harus diingat, kerajaan yang diwarisi, banyak cacat dan masalahnya. Untuk selelsaikan masalah dan pada masa yang sama untuk mengadakan pembaharuan dan projek - projek baru, boleh dikatakan merumitkan.

Cadangan.

Sesuai dengan itu saya , dengan ini , sebagai salah seorang rakyat negeri Terengganu Darul Iman, dengan rasa rendah diri mencadangkan supaya diwujudkan satu kumpulan pemikir atau " think tank " di setiap DUN, Parlimen, Daerah dan juga di peringkat negeri.

Tujuan.

Pertama, untuk membantu Wakil Rakyat dan Ahli Parlimen mahupun pengurusan negeri melicinkan pentadbiran dan pengurusan setempat. Ini dapat dibuat melalui sesi "brainstorming " percambahan fikiran, mesyuarat, perbincangan dan perjumpaan serta "QCC " Kumpulan Meningkatkan Mutu kerja [ KMK ] secara berkala. Ini akan dapat mempercepatkan pembetulan di peringkat setempat, DUN, Parlimen dan Negeri. Ianya juga diharap dapat merancakkan lagi pertumbuhan dalam semua sektor.

Kedua, untuk mewujudkan satu pasukan yang dinamakan sebagai " External Examiner " iaitu pemeriksa luar sebagai " check and balance " bagi mengawasi semua atau kebanyakan program dan projek yang dilaksanakan di suatu DUN atau Parlimen mahupun di peringkat negeri. Dengan adanya kumpulan ke - 3 [ kumpulan pemikir " think tank " ] ini, diharapkan pentadbiran dan pengurusan kerajaan negeri di semua peringkat benar - benar telus dan bertanggungjawab dan dengan itu banyak kelemahan dapat diatasi. InsyaAllah

Ketiga, Mengeksploitasi secara maksima sumber tenaga pakar setempat untuk dimanfaatkan oleh semua penduduk setempat dan negeri.. Apa yang terjadi sebelum ini, dalam pengurusan yang lalu, input dan sumbangan tenaga pakar [ yang berkelayakan ] dibiarkan begitu saja. Mereka ini tidak dilibatkan di dalam sesuatu program atau projek setempat . Tinggallah membazir begitu saja..

Risiko.

Walaubagaimanapun, ada risiko tersendiri bilamana kumpulan bijak pandai ini dilibatkan di dalam cadangan dan program ini. Ini kerana, setiap manusia mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri, ada yang cerdik dan bodoh, ada yang cergas dan lemah, dan pelbagai lagi. Bila mana kumpulan cerdik, cergas, pandai dan inovatif ini dikumpulkan setempat dan diajukan kepada mereka ini untuk memberi pendapat dan untuk menyelesaikan sesuatu masalah, dikhuatiri ia akan mengatasi kecerdikan dan kepandaian wakil rakyat atau parlimen itu sendiri. Ini dikhuatiri akan menyebabkan berlakunya rasa rendah diri atau " interior complex " . Inilah fenomena yang terjadi kepada wakil - wakil rakyat daripada UMNO sebelum ini. Takut untuk bersemuka dengan golongan bijak pandai.

Ahli.

Semua Pegawai kerajaan kumpulan A di dalam sesuatu DUN dan Parlimen samada yang berkhidmat di peringkat kerajaan negeri atau persekutuan di sesuatu negeri tertentu , yang dikenalpasti menjadi ahli kepada BA atau condong kepada BA secara automatik layak untuk menduduki kumpulan ini. [Mereka yang dikenalpasti secara nyata menyokong UMNO/BN tidak wajar diterima sebagai ahli dalam kumpulan ini ] .Walaubagaimanapun, untuk menjadikan kumpulan ini sebagai rasmi dan berkesan, surat perlantikan dan tawaran rasmi perlulah dibuat oleh pihak berkenaan dan berkepentingan. Syor dibuat supaya Pegawai kumpulan A menganggotai kumpulan ini adalah berasaskan kepada beberapa sebab tertentu seperti pengalaman dan kemahiran serta pengetahuan di dalam sesuatu aspek seperti pentadbiran , pengurusan , komunikasi, kreativiti, keyakinan , keterampilan diri dan imej di dalam sesuatu bidang tugas seperti Doktor, Jurutera, Peguam, Arkitek, dll .

Walaubagaimanapun, ia bukan bermakna ianya terhad kepada pegawai dari kumpulan A sahaja. Sebenarnya terbuka untuk semua. Tetapi kebiasaannya mereka yang berkhidmat di dalam kumpulan A ini lebih diketahui ramai sebagai pakar di dalam sesuatu bidang dan lebih terbuka.

Kebanyakan daripada mereka ini tidak berpeluang untuk terlibat secara rasmi di dalam pengurusan dn pentadbiran kerajaan negeri. Jadi dengan mengumpulkan mereka ke dalam satu kumpulan "think tank "- ilmu yang ada, kepakaran yang tersedia, idea yang dipunyai, kemahiran dll dapat disalurkan untuk manfaat semua. Mereka ini, sebenarnya tidak ada saluran untuk mencurahkan ilmu dan kepakaran, dengan itu adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak berkenaan, terutamanya wakil rakyat DUN dan Parlimen untuk mendapatkan khidmat mereka ini secara yang lebih formal dan rasmi.

Kepakaran dan ilmu yang ada pada setiap pegawai ini adalah pelbagai, ada diantaranya adalah seorang Doktor, Jurutera, Peguam, Arkitek, Pakar Komputer, Pertanian dll. Amatlah rugi kiranya mereka ini tidak diserapkan ke dalam arus perdana dan pembangunan atau tidak ditolak ke depan bagi memajukan kawasan setempat, DUN, Parlimen, Daerah dan seterusnya Negeri Terengganu Darul Iman.

Apa yang harus dilakukan, ialah, di dalam satu kawasan DUN atau Parlimen wakil rakyat perlu mengadakan satu jawatankuasa khas dengan dianggotai oleh wakil dari setiap kampung, seperti Ketua kampung, Ketua Unit Peti Undi dll. Mereka perlu berbincang dan bermesyuarat serta mengambil tindakan menyenaraikan butiran lengkap [ nama, alamat dan nombor talipon ] setiap pegawai kumpulan A [ terutamanya ] yang bermastautin di dalam kawasan masing - masing. Ini bukanlah satu kerja yang sukar. Rasanya tidaklah elok sangat sekiranya masih lagi memberikan alasan untuk tidak melakukannya.

Senarai yang telah lengkap hendaklah dianalisa dan diperincikan. Satu mesyuarat dan perjumpaan hendaklah dipanggil segera dan dikemukakan kertas cadangan yang mengandungi tujuan dan objektif serta hala tuju pembentukan kumpulan pemikir ini berserta hal - hal yang berkaitan dengannya.

Fokus.

Semua bidang kehidupan perlu disentuh, seperti agama, ekonomi, pendidikan, sosial, teknologi, keselamatan, belia, industri , pentadbiran dll. Aktiviti. Perkara - perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah sesi mesyuarat mingguan dan bulanan, mengumpul maklumat dan masalah, mengemukan cadangan dan penyelesaian, menjalankan projek dll

Cadangan di atas wajar disegerakan penubuhannya. Pengisian kemenangan dalam pilihanraya yang ke - 10 lalu tidak perlu ditunggu - tunggu lagi. Rakyat sedang menunggu dengan penuh minat , apakah perubahan yang akan dibawa oleh pemerintahan baru ini. Apakah perbezaannya diantara pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Barisan Alternatif. Apakah manfaat yang rakyat umum boleh terima dari pemerintahan baru ini. Sekian, terima kasih

.terompah_kayu