Preamble & Sinopsis----- Rakyat tidak mahu satu lagi
hidangan siri perbicaraan berbentuk ‘cacamarba’
seperti ‘rojak mamak’ juga!!
DRAMA yang berbangkit diantara Ketua Hakim Negara Tun
Eusoff Chin dengan YB Datuk Rais Yatim, Menteri di
Jabatan Perdana Menteri dilihat orang ramai sebagai
satu episod yang menarik. Disamping itu, ia amat
meresah dan mencabar kedua-dua pihak. Umpama dua pihak
sedang main bola, ramai penonton mau melihat apa
kesudahan permainan itu.
Isu itu timbul berpunca dari wawancara Datuk Rais
dengan Australia's Radio National pada 28 Mei lalu.
Beliau ditanya mengenai gambar dalam Internet yang
menunjukkan Ketua Hakim Negara itu bersama En. V.K.
Lingam (seorang peguam ternama) bercuti di New Zealand
pada 1994. En. Lingam merupakan peguam yang
mengendalikan kes ahli perniagaan terkenal, Tan Sri
Vincent Tan. Kes itu pula didengar oleh Eusoff pada
peringkat rayuan dan masih tertangguh hingga kini.
Tun Eusoff yang tidak senang dengan kenyataan Rais itu
dan menjelaskan bahawa beliau menanggung sendiri
segala perbelanjaannya semasa percutian itu. Menurut
Eusoff, beliau tahu gambar tersebut sudah lama
disiarkan (dalam Internet). Tun Eusoff menunjukkan
beberapa resit penyata kad kredit kepada pemberita
untuk membuktikan beliau menanggung sendiri
percutiannya
Sekarang isu itu makin menghangat antara kedua-dua
belah pihak. Ia menjadi lebih hangat kerana
masing-masing sudah mulai bercakap dengan media.
Seolah-olah terbayang semacam ‘tug-of-war’ untuk
mempertahan kebenaran diri. Masing-masing sekarang
terjebak dalam satu drama ‘bersahutan cakap’ dengan
komen yang, jika tidak dibendung, kemungkin besar akan
mencemarkan maruah.
Hakikatnya, siapa yang menang atau kalah tidak
menguntungkan rakyat. Apa yang penting kepada rakyat
hanya satu, iaitu kepastian sejauh manakah isu
berbangkit disebalik “bergambar” itu benar-benar wujud
atau sebaliknya. Dengan itu kewibawaan jabatan
terbabit akan dapat dipastikan samada benar atau
tidak terdapat unsur yang tidak diingini itu wujud.
Kita dengar Tun Tun Eusoff Chin dilaporkan akan
menyaman sesiapa yang menuduh beliau. Bermakna beliau
yakin dengan kebenarannya. Walaupun penafian yang
menghangat diperkuatkan dengan hasrat beliau untuk
menyaman, tetapi itu tidak memadai untuk meredakan
tanggapan orang ramai. Isu masih dilihat tergantung
tanpa kesudahan.
Sebagai seorang peguam yang menduduki tempat
terpenting dalam perundangan dan kehakiman, majoriti
rakyat tidak akan melibatkan diri untuk berhadapan
dengan perkara yang mereka sendiri tidak fasih dan
mahir. Jika begitu, siapa dan pihak mana yang wajib
menjelaskan perkara itu bagi pihak rakyat?
Datuk Rais Yatim, sebagai seorang peguam, menduduki
jawatan Menteri yang terlibat dengan Jabatan
Kehakiman; beliau yang mewakili kerajaan adalah
bertanggungjawab kepada rakyat dalam menjelaskan
kedudukan sebenar perkara itu. Beliau adalah wajib
menyelesaikan bagi faedah semua pihak. Apatahlagi
perkara ini timbul setelah wawancara beliau diluar
negara.
Bermakna, kedua-dua pihak adalah wajib memberi rasa
puashati guna mengembalikan keyakinan rakyat yang
telah terjejas.
Mereka harus ingat bahawa DS Anwar berkesanggupan
menegakkan kebenaran beliau di mahkamah. Sebagai “anak
jantan” beliau tidak sedikit pun gentar berhadapan
seluruh jentera regim Mahathir Mohamad yang membawa
pelbagai tuduhan, hingga melakukan pelbagai pindaan.
Tak taulah sama pindaan itu mengikut ‘prosdure’atau
sebaliknya.
Pastinya, kedua-dua pihak tentu merasa
bertanggungjawab dan mahu rakyat yakin bahawa Jabatan
Kehakiman dan seluruh kakitangan yang menganggotainya
adalah bersih dari gejala yang tidak diingini seperti
itu. Begitu juga, Kerajaan yang mewakili rakyat dalam
urusan pembersihan kakitangannya, wajar meneliti
supaya rakyat terus yakin dan berpuashati.
Dalam suasana kelamkabut begini, penafian dan
sindir-menyindir antara kedua-dua pihak tidak akan
menghasilkan satu keterampilan yang diminati rakyat.
Ia akan lebih memburukkan keadaan. Mungkin ada pihak
yang akan mencari publisi murahan tanpa mengira
implikasi yang memalukan kerajaan, negara dan rakyat.
Kita sudah pun melihat Pemuda UMNO menyokong pihak
Datuk Rais Yatim. Jika begitu, kemungkinan Tun Eusoff
Chin seolah-olah sudah menerima tekanan berbau
politik. Politik dalam konteks ini ‘kuasa majikan’.
Keadilan dan kesaksamaan hanya akan tercapai tanpa
sebarang bentuk tekanan apa jua.
Tun Mohd. Eusoff Chin dan Tan Sri Lamin Mohd. Yunus
(orang nombor dua dalam institusi kehakiman) telah
mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri itu yang dikatakan cuba mendedahkan kelemahan
badan kehakiman negara kepada media asing. Lamin,
semasa mempertahankan Eusoff berkata, institusi
kehakiman adalah badan yang sensitif dan menjadi
tulang belakang kerajaan serta mencerminkan imej
negara.
Perkembangan makin menghangat dengan tajuk berita
Utusan Malaysia (9/6/2000) menulis “Eusoff, Lamin
bidas Rais -- Dikatakan tidak tahu prosedur 'memukul'
badan kehakiman di luar negara”.
Bagi rakyat yang membaca tajuk akhbar tersebut memberi
gambaran bahawa Datuk Rais (juga seorang peguam
berkelulusan Doktor Falsafah di bidang Undang-undang)
disebut sebagai “tidak tahu prosedur” sangat menyakit
dan menjatuhkan maruah. Bermakna, jika isu ini makin
diheret lebih lama; kedua-dua pihak akan dapat
berhubung dalam satu silaturahim yang damai. Ini amat
membimbangkan.
Sebagai rakyat banyak, pastinya seluruh negara
mengharapkan satu ketelusan nawaitu kedua-dua pihak
untuk menjernihkan keadaan. Rakyat bosan dengan
kenyataan akhbar. Lebih-lebih lagi kerana akhbar
memang berfungsi untuk mengutip bahan-bahan “hangat”
untuk dijadikan modal besar. Sekali lagi, jika
dibiarkan, pasi ia hanya akan memburukkan keadaan.
Persoalan terakhir, “Mengapa tidak kedua-dua pihak
bersetuju dan bersefahaman untuk membawa kes mereka ke
mahkamah?” YAB Perdana Menteri sendiri pernah
menjelaskan, tidak ada siapa mengatasi undang-undang.
Tentu Peguam Negara sedia membantu memperjelaskan
perkara ini mengikut sewajarnya. Rakyat adalah dalam
cemas dan ternanti-nanti mahu tahu apa kesudahannya.
Tetapi janganlah berlaku pula satu lagi hidangan siri
perbicaraan berbentuk ‘cacamarba’ seperti ‘rojak
mamak’ juga!!
Amin Sapiro
(Ahli UMNO atas Pagar Berduri)