SUDAH lama saya menyimpan catatan ini. Sudah muak saya
berfikir panjang. Siang malam terbayang – betapa nasib
orang Melayu makin malang. Mengapa kita masih nak
simpan ‘jembalang’. Kini sudah mula memakan tuan!!
Sejak saya menghadiri sebuah seminar keusahawanan di
Kuala Lumpur tempoh hari. Dollah Ahmad Bedawi bukan
main berlagak ‘menghamun’ peserta (rata-rata orang
Melayu).
Kununnya orang Melayu jangan bergantung kepada subsidi
bantuan Kerajaan. Khususnya dalam bidang keusahawanan
dan perniagaan.
Geram juga hati saya mendengarnya. Apatahlagi, melihat
bangsa saya dianiaya!! Tidakkah kita sudah Merdeka?
Apa maknanya?
Tidakkah kita memilih pemimpin UMNO untuk membantu
kita mengisi Kemerdekaan? Mengapa kita mesti
diperbangangkan? Tidakkah kita rakyat watan? Mengapa
kita diperlakukan semacam pendatang haram?
Orang Melayu Menyumpah Habis
Ramai para peserta terkebil-kebil saja terbeliak mata.
Ramai yang melopong tak terkata apa. Mulut ternganga.
Maklumlah, itu memang budaya pemimpin Melayu dalam
UMNO – ditempat begitulah mereka ‘tunjuk steam’.
Kalau dibantah kena catit nama. Silap-silap kena
‘potong nama’. Hilang taraf sebagai ahli UMNO..!!
Dituduh tak “bersyukur” (alahai…!!) kepada UMNO dan
pemimpin mereka. Ganjarannya – tersekat pintu rezki
mereka.
Yang peliknya, ada puak yang bertepuk tangan. Ada yang
memuji kehebatan Dolah bagi ucapan. Mungkin seorang
berdua saja yang bosan tak pasang telinga. Maklumlah –
balik-balik rakyat yang salah. Pemimpin UMNO “suci”,
tak ada dosa apa-apa. Elehhh….. macamlah mereka sesuci
hamba Allah baru turun dari syurga…!!
Masa rehat minum kopi, kami bertanya sesama sendiri,
“Kalau Mirzan dan Kroni Mahathir tak ‘dibail-out’ dan
bagi berpuluh bilion subsidi, apa sudah jadi? Tak kan
Dollah Bedawi sebangang itu, nggak ngerti”, kata
seorang Wak dari Johor.
Menjawab Mamat dari Negeri Sembilan. Dia kontraktor
buat jembatan. Kabarnya dulu, jembatan Rais Yatim dia
lah yang tolong bakarkan. Katanya, “Taukeh babi pun
Dollah bagi subsidi. Kalau orang Melayu mintak –
disebut macam nak rak. Macamlah kepala bapak dia punya
hak…”. Marah betul dia.
Begitulah marahnya orang bila dengar pemimpin UMNO
kalau bercakap. Masing-masing memang tak sedar diri.
Salah orang nampak, salah sendiri tak kata apa..!
Teringat saya: JIKA Robin Hood dalam legenda
“revolusi-rakyat” Inggeris menentang kekejaman sistem
Raja dengan membawa falsafah marhain “Robbing the rich
for the poor”. Tetapi Dr. Mahathir Mohamad yang angkuh
mendabek dada sebagai pejuang negara ke-tiga
terang-terang telah melakukan perkara sebaliknya.
Beliau lebih cenderung ‘merompak orang miskin untuk
dikongsi-kongsi oleh orang kaya’.
Hasilnya, hari ini kita semua nampak ada bukti nyata
bahawa yang kayaraya adalah diri Mahathir sendiri,
anak-beranak, suku-sakat dan kroni-proksinya, para
menteri dan wakil rakyat UMNO dan komponen Barisan
Nasional.
Itu bukan fitnah. Malah itulah yang menyebabkan Datuk
Seri Anwar membantah. Kerana itu adalah bertentangan
dan bercanggahan dengan prinsip, matlamat dan
kepentingan Mahathir, maka Anwar disingkirkan.
Yang paling ganjil dan pelek, Anwar diaib-malukan,
diseksa, dipenjara dan seluruh keluarga beliau
disisihkan begitu rupa!! Rakyat tahu. Sebagai
manifestasi bantahan orang Melayu, maka lumpuhlah
Kerajaan UMNO/BN di Terengganu! Begitu juga di
Kelantan. Beberapa negeri lain hampir ditawan oleh
Pembangkang Melayu.
rang Melayu Terus Dipinggirkan
Jika di zaman penjajah, orang Melayu dianggap rakyat
kelas tiga selepas kaum penjajah Inggeris dan kaum
Cina. Penjajah merancang supaya orang Melayu
disisihkan ke ulu-ulu dan pendalaman di pinggir hutan
simpan. Orang Melayu diagih perkampungan khas disebut
Tanah Simpanan Melayu (TSM).
Tak apa juga. Hiduplah mereka dengan budaya dan
ekonomi secukup hidup (subsistance). Mereka tidak
meminta-minta.
Tetapi mereka terus bercita-cita untuk menebus keadaan
hidup yang terpinggir. Mereka mahu kemerdekaan dan
mencorak masa depan generasi mengikut peredaran zaman.
Mereka mengerti bahawa dunia akan serba maju dan
berlumba-lumba. Mereka mahu mencorak hidup generasi
masa depan yang mulia, berwibawa dan beragama.
Malangnya, setelah 43 tahun negara ini di merdekakan –
Mahathir adalah Perdana Menteri pertama yang tidak
nampak mempunyai sebarang rancangan untuk membangunkan
daya keusahawanan orang Melayu secara sistematis,
disengajakan dan jangka panjang.
Hampir 18 tahun Dr. Mahathir menerajui UMNO, jumlah
usahawan tahap Pertengahan dikalangan orang Melayu
berbanding kaum lain – tidak lebih bagai ‘melepaskan
batuk di tangga’ saja. Mahathir menghabiskan masa
beretorika. Menjelajah keliling dunia. Menunjukkan ego
dan kehebatannya.
Saban hari kita didendangkan dengan pelbagai janji
manis bagai madu gula nira. Tetapi cuba orang Melayu
yang berkeinginan menceburkan bidang ini mencuba daya
usaha? Rata-rata mereka akan berkata: “Kerajaan
Mahathir cuba pandai ‘menanam tebu dibibir’ saja..!!”
Pembangunan “Kepala Bapaknya”…!!
Mahathir membina pelbagai projek ‘gajah putih’.
Disuruhnya orang Melayu berbangga. Bersorak ria. Gegak
gempita. Sementara orang Melayu di desa, terbiar dan
jauh sekali dari dibela dengan sempurna dan berencana.
Dibinalah sebatang jalan bertar, dimasuk letrik dan
air pili. Dikatakan bahawasanya itulah pembangunan.
Pembangunan “kepala bapaknya”…!!
Orang kampung masih berhuma. Nelayan pantai masih
mengayuh sampan injin sangkut. Nelayan laut dalam Siam
yang teroka. Lembu di padang cuma dua-tiga ekor. Pokok
getah makin tua. Bantuan tanam semula dihentikan
serta-merta. Kemiskin mulai melanda.
Pendidikan anak-anak Melayu tanpa biasiswa. Sekarang
diubah jadi pinjaman pula. Ratusan ribu perlu dibayar.
Jika tak bayar, dikejar saman. Akan diheret ke
mahkamah.
Sepatah kata pepatah Melayu, Mahathir dan ‘lembu-lembu
pawah’ UMNO yang dibaruakannya, hanya bercakap semacam
‘pepat diluar rencong didalam’. Banyak orang harapan
rakyat yang sanggup ‘menggunting dicelah lipatan’.
Sistem “Ten %” menjadi paduan lumrah sebagai
amalan..!!
Akhirnya, belumpun pengusaha IKS mendapat ‘kontrak dan
tender’, orang politik sudah siang-siang ‘kebas’ untuk
abang ipar, kakak saudara, anak-anak dan kroni-proksi
mereka.
Kita boleh ‘check-chek’ tengok! Carilah satu orang
para Menteri dan MB-MB UMNO yang tidak ada kroni
proksi dan penyimpan ‘mohor’ mereka? Kata jenakanya –
“boleh potong telinga” kalau ada yang bersih tanpa
rasuah. Masing-masing dah jadi “mafia”.
Tanya Rafidah Aziz – amacam isu Saham menantu beliau?
Tanya Mahathir – Mirzan dengan Syarikat Kapal
Kebangsaan itu berapa billion PETRONAS dah ‘koyak’?
Itulah dia sistem “Nepotisma dan Kronism”
Apa Puncanya?
Puncanya adalah bersebab dari Dr. Mahathir sendiri
terlalu ghairah dengan dasar Penswataan. Kununnya,
itulah cara meningkatkan penyertaan rakyat dibidang
keusahawasan dan perniagaan secara berkesan. Maka
bermati-matianlah beliau merombak dan mengatur semula
beberapa uruskerja, struktur dan perlaksanaan Dasar
Ekonomi Baru (DEB).
Kununnya, dasar beliau yang baru akan menjadi asas
harapan memajukan orang Melayu dibidang ini. Tapi
dasar itu bertukar jadi “Dasar Ekonomi Baru(a) pulak!!
Akhirnya, rombakan keatas DEB yang diolah semula
begitu rupa – disuntik dengar dasar Penswastaan.
Mahathir bermegah memuji dasar yang dilaksanakan.
Hebat kununnya..!! Kerajaan untung dapat banyak cukai!
Maka wujudlah dengan sendirinya faktor “Nepotisma dan
Kronisma”. Melalui satu jalinan interaksi yang mantap
dengan kroni tertentu, Dr. Mahathir mencanangkan pula
konsep ‘Malaysia Incorporated’.
Dengan konsep yang diimpot dari Jepun itu, bermakna
antara golongan peniaga bermodal besar dengan semua
jabatan terbabit diwujudkan satu hubungan yang ikrab.
Tak cukup dengan itu, diinjek pula dengan slogan
“Smart Partnerships”..!!
Di impikanlah konsep pensyarikat Jepun dipanggil
“sogososha”. Syarikat kecil akan bertukar besar, cuma
dengan ‘lampu Aladdin’ yang direkacipta oleh Mahathir.
Tetapi yang jelas, orang Melayu bukan ‘bersogosyosha’.
Sebaliknya mereka bertambah “syusyahhhh..”. Inflasi
meningkat berkali ganda.
Rasuah Diberi Perlindungan
Nah! Di sinilah bermulanya segala rasuah dan
penyelewengan yang menggila-gila. Semuanya jadi halal
tanpa dosa. BPR pun tak boleh lagi buat kerja. Kalau
tak percaya, tanya Datuk Shafie Yahya – apa cerita Dr.
Mahathir maki-hamun beliau bila Abol Hassan ditangkap
dengan wang tunai RM100 ribu dalam laci pejabat?
Apatahlagi, bagi Pak Mat yang cuma kontraktor Kelas
‘F” dengan modal hasil cagaran se bidang tanah pesaka,
pasti akan teraba-raba, tertanya-tanya untuk mencari
maknanya konsep-konsep Mahathir yang ‘gila-gila’..!!
“Ya Allah…!! Bukan main hebat. Nak memikir untuk
dimasukkan ke dalam kepala hotak pun kepalang punya
beghat…!” Pak Mat melopong terkulat-kulat bila tengok
Ahmad Ridzwan, adik kepada Mohammad Taib dapat tender
juta-juta!! Untung berlipat-lipat.
Sampai Mohd. Taib kena tangkap oleh kastan-imigresen
Australia sebab bawa duit dalam bag bimbit setengah
koyan. Dia mengaku duit dia. Tapi dia tak cakap dari
mana asalnya. Takkan gaji MB sebulan 3 juta.
“Sajalahhh…abang dia Menteghi Besaq.. Hang apa ada?
Modai pun tadakkk..” menjawab ‘partner’ si Pak Mat.
Jadi puak mana sekarang yang mendapat memanfaat
bermewah-mewah dari dasar Pembangunan Usahawasan
Mahathir yang direstui UMNO..? Kantung siapa yang
berisi dan kocek siapa yang kosong?
(bersambung)
Amin Sapiro
(BEKAS ahli UMNO atas Pagar Berduri)