Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!
Buat pertama kali saya memberanikan diri untuk sama-sama menyumbang sedikit ide demi
perjuangan menegakkan Keadilan Islam dan memerangi Kezaliman Thoghut.
Tajuk : PAS Sabah menjelang Pilihan Raya 2004- Satu Strategi
Pertama sekali saya ingin memohon maaf seandainya ide yang bakal diutarakan ini hanya
merupakan cadangan dan pandangan dangkal dari seorang Hamba Allah yang masih terlalu
jahil dalam bidang penulisan apatah lagi dalam bidang agama. Mungkin juga apa yang
disampaikan ini memang telah menjadi agenda PAS Sabah, lalu cadangan dan buah fikiran
yang bakal diutarakan tidakpun memberikan apa-apa makna dari segi buah fikiran, maka tak
mengapalah kalau ianya ditongsampahkan.
Mengikut setakat apa yang saya tahu (terus terang saya memang kekurangan maklumat) PAS
Sabah telah ditubuhkan sekian lama dan bertapak gagah di Tawau seterusnya ke segenap
pelusuk negeri Di bawah Bayu yang tecinta ini. Saya juga mengaku mengenali beberapa
tokoh PAS Sabah yang memang begitu gigih berusaha demi memartabatkan ISLAM di bumi
bertuah ini, tanpa jemu dan bosan. Saya tidak sekali-kali berniat menganggap barisan PAS
Sabah kini bukan bertaraf Ulamak, akan tetapi masih terlalu ramai jumlah mereka yang
dianggap Ulamak di Sabah ini yang seharusnya sama-sama berada di barisan hadapan PAS
Sabah, tapi hanya berada jauh di belakang. Saya turut rasa bersyukur dengan kemunculan
"Rijalus Siahah" yang berjiwa kental ini, sekurang-kurangnya telah menyelamatkan seluruh
UMMAH yang akan berDOSA kerana satu tuntutan "Fardhu Kifayah" dalam menubuhkan
sebuah Parti yang memperjuangkan sebuah Negara Islam.
ULAMAK atau Ilmuan Islam Sabah - PENGLIBATAN DAN PERANAN.
Seperti apa yang saya katakan diawal-awal tadi, rasa bersyukur kerana telah terselamat dari
berdosa kerana satu tuntutan Fardhu Kifayah, bilamana ada satu golongan telah berusaha
melaksanakannya, menyebabkan sebahagian besar Ulamak atau para Ilmuan Islam Sabah
(khasnya) merasakan kurang/tidak perlu terlibat secara langsung bahkan merasakan peranan
mereka kurang diperlukan.
Saya menyifatkan Ulamak atau para Ilmuan Sabah merasa sudah cukup bagi mereka dengan
hanya menjadi "penyokong Senyap" (Silent Majority) kepada parti yang memperjuangkan
Islam. Mereka merasa berkawajipan untuk patuh dan taat kepada kerajaan yang memerintah
selagi kerajaan tidak melakukan penindasan dan kezaliman yang dianggap "MUNGKAR".
Namun jika mereka dapati kerajaan melakukan sesuatu yang mungkar, masing-masing
memilih taraf "Iman yang Paling Lemah" (merasa benci di dalam hati) atau yang ada
mempunyai sedikit kerberanian akan memilih taraf yang kedua "Mencegah dengan
Lisan/tulisan", itupun dengan dihantui oleh berbagai-bagai perasaan takutkan itu dan ini.
Bagi saya golongan Ulamak/Ilmuan Islam Sabah ini adalah seekor singa yang sedang nyenyak
tidur, dibuai oleh rasa bersyukur dengan apa yang ada, lena dengan taraf Iman yang paling
lemah. Mereka juga merasa tidak diperlukan oleh mereka yang kini bergelar pelopor dan
pejuang sebuah parti yang mengimpikan sebuah kerajaan Islam. Apabila merasa tidak
diperlukan untuk sama-sama berada di saf hadapan, mereka akhirnya tidak jelas akan
peranan yang sepatutnya mereka mainkan dalam memartabatkan Islam yang kalau dikira
adalah menjadi matlamat mereka yang paling utama sebagai "Pewaris Nabi". Maka dengan
status yang sebegini rupa mereka terus dilalaikan dan akhirnya ada yang terperangkap
dengan kemajuan, kebendaan dan kemewahan (yang dijadikan syaitan sebagai hiasan yang
menarik dan menipu mereka) duniawi, lalu menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan
apabila terpesong dari landasan dan matlamat perjuangan asal mereka. Mereka akan
mengambil sikap 'tak apa', kemudian dari bersikap tak apa ini mereka akan senang-senang
ditipu dengan berbagai 'janji syaitan' yang akhirnya tidak kurang dari kalangan mereka yang
menjadi 'penyokong KEZALIMAN'. Ini bukanlah satu perkara yang mustahil berlaku.
Ditambah pula dengan kejahilan (sebahagian besar) golongan ini mengenai IT, menyebabkan
mereka mudah ditipu oleh berbagai dakyah dan fitnah yang kini berleluasa melalui media arus
perdana.
Begitulah serba sedikit pengenalan mengenai peribadi seorang yang bergelar ulamak/ilmuan
Islam di Sabah khasnya, di Malaysia bahkan di seluruh dunia amnya. Ulamak lebih
mengutamakan sifat 'Tawadduk' tidak banyak bercakap dan mementingkan 'Zuhud' tak
begitu kisah dengan dunia, yang kemudiannya menjadikan mereka mundur dan "JUMUD",
tapi mereka lebih merasa mulia dan selamat berkeadaan begitu. Mereka susah untuk
mempercayai kalau ada golongan yang ingin menyedarkan mereka bahawa jika mereka terus
dalam keadaan demikian kita akan tersisih dan terpinggir akhirnya musnah. Mereka sudah
fasrah dengan perjuangan golongan tertentu yang dianggapnya telah melaksanakan tuntutan
Fardhu Kifayah itu, seolah-olah kalau sudah ada golongan demikian maka diri mereka tak
payah sibuk dan tak perlu melibtkan diri. Mereka berpuas hati dengan hanya menjadi
penonton sahaja atau turut bersuara sekali-sekala menyatakan sokongan yang tidak berbelah
bagi (tapi dengan segala kelemahan dari segi maklumat) tanpa perlu berhujjah.
Golongan ini sebenarnya bukanlah susah sangat untuk mengajak mereka menyertai
perjuangan Islam yang memang menjadi dasar perjuangan mereka sendiri. Mereka ini hanya
perlu disedarkan dengan sedikit usaha oleh Pejuang Parti Islam itu sendiri. Menghilangkan
segala rasa dan perasaan mereka yang menyebabkan mereka ini terasa seronok berada di
dalamnya seperti yang saya katakan tadi. Mereka hanya perlu penjelasan tentang betapa
perlunya mereka melibatkan diri, kemudian peranan yang perlu mereka mainkan. Apabila
mereka nampak tentang betapa pentingnya penglibatan mereka serta nampak pula peranan
yang harus mereka mainkan, kita akan dapat lihat mereka ini lebih berani, lebih ikhlas bahkan
lebih hebat dari yang kita sangkakan. Sebagai bukti ialah bagaimana dua buah negeri telah
berjaya ditadbir oleh mereka yang berstatuskan Ulamak.
Jadi sekarang, maka adalah menjadi kewajiban kepada mereka yang sedar dari golongan
Pejuang Islam itu sendiri menyedarkan golongan ini supaya tampil melibatkan diri dan
memainkan peranan yang sewajaarnya. Jika usaha menyedarkan mereka ini tidak dilakukan,
mereka akan terus seronok, lalai dan leka dengan keadaan yang ada sekarang. Akhirnya
mereka ini akan jatuh ketangan manusia yang durjana. Lalu kita gagal memartabatkan Islam
kerana kegagalan dari segi 'strategi' kita sendiri.
CADANGAN
Untuk melihat penglibatan golongan ulamak ini, adalah dicadangkan beberapa perkara seperti
berikut:
1. Merancang perjumpaan atau pertemuan yang tidak formal (bukan dengan nama
perjumpaan Pemuda PAS dengan Ulamak tempatan), dengan memilih apa-apa sempena
seperti Hari Raya dan sebagainya (hari-hari kebesaran Islam).
2. Mengadakan perbincangan, percambahan fikiran dan mengeratkan hubungan silatur
rahmi dengan mereka. (berbagai perkara boleh dibincangkan sesuai dengan hasrat memujuk,
menarik minat dan beramah mesera).
3. Mengadakan lawatan tidak rasmi mengunjungi mereka yang berstatus ulamak ini, samada
secara individu atau rombongan (perlu diingat, penonjolan diri sebagai Pejuang PAS harus
dielakkan untuk kali pertama, juga perlu ada dikalangan mereka yang menjadi orang
perantaraan untuk tujuan ini. Bukan apa, kalau awal-awal mereka tahu yang akan datang
adalah rombongan PAS, kerana itu dan ini (seribu alasan) mereka akan mengelak diri.
4. Memperkenalkan cara penglibatan mereka yang mereka anggap selamat dan sesuai,
serta menggariskan peranan mereka yang bersesuaian.
5. Jaminan mengenai keselamatan mereka bila mereka ini bersetuju melibatkan diri dan
mengambil peranan yang diberikan.(Perlu penjelasan dari segi akta dan undang-undang yang
menjamin keselamatan mereka. Ini adalah perlu, memandangkan golongan ini apabila sudah
jaga dari tidur yang lena, biasanya begitu ghairah dalam mendambakan bukan sahaja pahala
bahkan "Mati Syahid").
Saya merasa ini adalah sesuatu yang perlu dicuba demi memantapkan barisan Pejuang PAS
Sabah khasnya dan seluruh Malaysia amnya. Kerana (pada anggaran saya) golongan ulamak
yang seperti ini ramai jumlahnya tetapi yang melibatkan diri secara aktif tak sampai pun 10%
(di Semenanjung dan tak sampai 1% di Sabah) manakala yang lainnya masih diulit mimpi.
Walau bagaimanapun ini cuma pendapat saya yang daif ini. Terpulanglah kepada teraju PAS
sendiri memikirkan samada ianya strategik atau sebaliknya.
KALIMATULLAHI HIYAL 'ULYA WA KALIMATUL KUFRI HIYAS SUFLA
Sekian,
Wassalam!
AZHARI (S)