Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


PAGAR-PAGAR Vs. KITA

Petikan :
Tranung Kite eGroups

Assalamu'laikum warahmatullahi wabarakatuh!

Semenjak saya berjaya memiliki sebuah komputer, atas desakan perasaan ingin mendapatkan berita yang 'Sahih' mengenai kes seorang Hamba Allah (DSAI) yang begitu di'aibkan oleh media massa arus perdana, lantaran tidak berpuas hati hanya menanti sumbang bakti dari mereka yang punyai komputer yang bisa "access" Internet untuk mendapatkan berita pengimbang kepada berita oleh mereka yang BENCI terhadap DSAI, saya telah melayari sendiri Laman-Laman Reformasi hampir setiap hari.

Daripada seorang yang "phobia" dengan komputer sehingga kini segala maklumat dihujung jari. Barangkali itulah pengalaman yang diperolehi hasil dari perasaan 'Sangat Ingin Tahu' (perkembangan demi perkembangan berita semasa) dan (sedikit) semangat mahu berkorban demi menegakkan keADILan dan membenci kezaliman dan menentang kemungkaran, maka kini setelah lebih setahun menjadi pembaca setia sambil menjadi penyampai tak rasmi kepada mereka yang 'menantikan amal jariah' ini, sekarang memberanikan diri melepasi rintangan PAGAR-PAGAR yang selama ini begitu kukuh dengan bermacam ranjau dan "DURI".

Saya tidak pasti apakah saya (sebelum ini) seperti penulis yang menggelar diri mereka "Ahli Umno Atas PAGAR BERDURI", atau mereka yang mengelarkan diri mereka "Orang ATAS PAGAR", atau mereka yang bergelar "Pengundi ATAS PAGAR" mahupun mereka yang berada 'DI LUAR PAGAR"sebagai penonton; yang pastinya saya telah melepasi PAGAR- PAGAR tadi dengan "Nawaitu....Lillahi Ta'ala". Alhamdulillah.

Bercerita tentang PAGAR dan segala macamnya seperti di atas tadi, cerita berikut mungkin boleh dijadikan kayu-ukur siapa kita dan ditahap manakah (agaknya) Iman kita :

Adalah diriwayatkan oleh Hadis-hadis yang masyhor (sila rujuk 'sanad dan matan' dari mereka yang arif) bahawa telah sampai kepangetahuan kita melalui guru-guru agama melalui kitab-kitab 'sirah', bahawa Nabi besar kita Muhammad S.A.W. di awal-awal kerasulanNya telah mengajak sanak-saudara dan kaum kerabat Baginda untuk menerima Islam. Antaranya, Baginda telah mengajak Saiyidina Abu Bakar R.A (Radhiaallahu Anhu)supaya menerima seruan Islam yang dibawanya, mendengar penjelasan Baginda, S. Abu Bakar R.A menjawab (lebih kurang begini) "Kalau orang yang membawa berita (Islam) itu adalah Tuan, sekarang juga saya mengikut tuan (lalu melafazkan kesaksian "Dua Kalimah Syahadah)". Manakala perkara yang sama disampaikan kepada S. Ali Bin Abu Talib K.A.W.(Karramallahu Wajhah), setelah mendengar penjelasan Nabi S.A.W. S. Ali K.W menjawab (lebih kurang) "Berilah saya sedikit masa untuk memikirkannya". Sedangkan S. Umar Al-Khattab (R.A) hanya melepasi PAGAR-PAGAR kekufuran setelah satu ketika Nabi berdoa kepada Allah (lebih kurang begini) " Ya! Allah engkau kuatkanlah Islam dengan salah seorang dari dua Umar" (samada Umar bin Al-Khattab atau *Umar bin 'Abd. Syams (*kalau tak silap-kalau silap minta pembetulan) ia itu *Abu Lahab) lalu Allah memilih Umar bin Al-Khattab.

Adalah dikatakan, kerana kesetiaan dan kesediaan S.Abu Bakar R.A. membenarkan setiap apa yang disampaikan oleh Nabi termasuk mengenai kisah "Israk dan Mikraj" Nabi, lalu gelaran As-Siddik diberikan oleh Nabi kepadanya. Manakala Nabi pernah bersabda: "Aku adalah gedung ilmu manakala Ali R.A adalah pintunya", sebagai pengakuan Nabi terhadap kepintaran S. Ali R.A yang rajin berfikir. S. Umar Al-Khattab R.A. pula digelar oleh Nabi sebagai Al-Farouq iaitu orang yang dapat membezakan diantara "Kebenaran (Islam)dan Kepalsuan(Kufur)".

PAGAR-PAGAR DAN KITA

Memandangkan kita dipagari oleh beraneka-macam pagar yang menghalang kita dari sama- sama berada dalam KEBENARAN, maka lain orang lain pula pagar yang memagarinya, kekukuhan serta ranjau dan durinya juga tidak sama. Terpulanglah kepada kita sendiri selama mana kita sanggup bertahan (jadi penonton) di luar pagar, atau kini sedang memanjat pagar, meroboh pagar, melompat pagar atau masih berdiri di atas pagar tak kira berduri ker atau ada 'kuasa elektrik' ker, yang penting kita mesti dan PASti melepasi PAGAR-PAGAR tadi kemudian masuk ke dalam PAGAR-PAGAR kebenaran ISLAM DAN IMAN.

Kalau kita terus sahaja masuk ke dalam PAGAR (Islam dan Iman) yang benar-benar memperjuangkan KEBENARAN dan menegakkan KEADILAN serta menentang KEZALIMAN, itu sudah menyerupai (walaupun tak sama) S. Abu Bakar R.A. Kalau kita memasuki PAGAR setelah mengambil masa untuk berfikir, itu menyerupai (walaupun tak sama) seperti S. Ali R.A. Manakala kalau kita masuk PAGAR setelah puas didoakan (lebih baik berdoa sendiri) itu sudah menyerupai (walaupun tak sama) seperti S. Umar R.A. (perlu diingat, bahawa sekarang ini susah nak cari dan pastikan ada orang yang doa'nya makbul macam doa Nabi.).

Kepada kawan-kawan sahabat-handai dan taulan yang mendakwa sebagai Pencinta KEADILAN, KEBENARAN DAN MEMBENCI KEZALIMAN DAN KEMUNGKARAN, Silalah PAStikan kita sedang berjuang walaupun di PAGAR MANA kita sedang berada.

sekian.

AZHARI(S)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com