Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


MELAYU BARU - UMNO (BARU) ISLAM (?)

Sebelum saya mengutarakan pandangan dan menyumbangkan sedikit ide, terlebih dahulu saya sangat berharap mendapat teguran dan bimbingan ikhlas dari para "penulis cyber" yang berpengalaman dan sebarang kesumbangan yang didapati dari sumbangan ini harap dapat dimaafkan. Kepada webmaster "Mahazalimtwo" terima kasih daun keladi "kattar khirak".

MELAYU BARU (?)

Apabila kita bercakap tentang "BARU" ini membawa makna telah terdapat benda atau perkara yang sama pada masa sebelumnya, yang sudah tentu sebati, serasi dibuat atau diamalkan oleh mesyarakat. Penghasilan sesuatu yang baru terhadap sesuatu benda atau perkara itu tidak semestinya melenyapkan penggunaan berterusan sesuatu yang telah dianggap lama kerana pengwujudan/penemuan satu kaedah baru. Sebenarnya sebelum wujudnya sesuatu yang baru tiada benda atau perkara yang dianggap atau disebut sebagai baru. Walaupun bangsa Melayu telah wujud sekian lama mengikut perkiraan masa, namun ia akan tetap dianggap baru sebelum timbul satu generasi (baru) yang mempopularkan dan mempeloporkan sesuatu yang baru, bahkan ia tidak akan menjadi lama hanya dengan menerima pembaharuan dari segenap sudut dan juga bidang. Pendek kata "Melayu" tidak akan digelar Melayu Baru hanya kerana menerima perubahan baru dari segi amalan dan tindak tanduk mereka, yang layak diberi gelaran baru ialah amalan dan tindak-tanduk mereka yang baru diperkenalkan untuk dijadikan amalan dan budaya. Namun dengan memperbaharui sepak-terajang mengikut keadaan semasa tidak sama sekali menyebabkan mereka digelar sebagai Melayu Baru.

Isu Melayu Baru yang dibawa oleh UMNO @ BN @ PM sebenarnya tidak boleh sama sekali diberi gelaran baru untuk menjadikan Melayu sebelum ini sebagai "Lama". Apatah lagi jika yang menyebabkan gelaran baru itu dikenal pasti memang telah lama wujud dan diamalkan sejak turun temurun. PM mengklasifikasikan Melayu Baru sebagai Melayu yang kuat beragama, tidak minum arak, tidak rasuah, tidak berzina dan berbagai-bagai lagi yang dimasukkan ke dalam takrif Melayu Baru itu. Sedangkan Melayu itu sendiri yang rata-rata beragama Islam telahpun mengguna pakai dalam amalan mereka seharian segala yang didakwa sebagai baru oleh PM tadi, sejak orang Melayu menerima Islam di awal kurun ke14 dahulu lagi. Maksudnya sejak orang Melayu menerima Islam sebagai anutan mereka mereka telah mengamalkan ajaran Islam dari dahulu hingga sekarang.

Macamana pula PM boleh mengklasifikasikan "Melayu Baru" dengan amalan orang Melayu yang telah dijadikan amalan sejak sekian lama? Orang yang benar-benar Melayu dan dianggap sejati kemelayuannya dengan amalan agamanya, tidak nampak sedikitpun apa yang didakwa PM sebagai baru. Hanya orang Melayu yang "Me-LAYU" yakni mereka yang kemelayuannya semakin layu dan pudar, yang identiti Melayunya semakin terhakis, yang budaya Melayunya semakin bercelaru, yang Melayunya hanya celup dan dicelup dengan pembaharuan-pembaharuan yang dibuat dan diguna-pakai dari masa kesemasa. Berlainan dengan Melayu yang kemalayuannya semangkin mantap, semakin menyerlah, semakin canggih dengan amalan beragama yang membangunkannya dari tidur, yang menggerakkannya dari kelemahan dengan suntikan kekuatan Iman dan Taqwa, yang mendorongnya untuk terus maju dalam segenap bidang, hari demi hari sesuai dengan peningkatan Iman dan Taqwa yang dimiliknya dalam mencapai kemajuan dan kecemerlangan yang hakiki. Berbanding dengan Melayu yang mengenepikan amalan beragama lalu mengagongkan budaya asing yang songsang dan menyelewengkan, memesongkannya dari norma-norma kebenaran yang unggul, lalu mereka hanya layak menerima atau mengecapi kemajuan dan kecemerlangan yang bersifat sementara dan palsu semata-mata.

Maknanya, Bangsa Melayu itu tidak perlu kepada penjagaan dari segi itu dan ini, kerana sifatnya akan sentiasa berkembang dan maju dengan pesatnya sehingga meraih erti kecemerlangan yang hakiki, apabila Bangsa Melayu itu sendiri sentiasa menjaga dan memelihara amalan hidup beragama dalam erti-kata menjaga agama dan keagamaannya dalam segenap aspek kehidupannya yang diberi gelaran "ad-Din" atau "the way of life". Akan tetapi kecemerlangan Bangsa Melayu itu tidak akan kekal atau dianggap mutlak, seandainya Bangsa Melayu itu hanya mengamalkan ajaran agamanya mengikut keinginan dan kemahuan nafsunya sahaja. Mempraktikkan amalan lain dari kehendak agama sebagai memenuhi keinginan hawa nafsu pada satu ketika dan keadaan dan melaksanakan ajaran Islam pada ketika dan keadaan yang lain yang disebut sebagai amalan "dualisme" dalam hidup dan mengakibatkan kehidupan hanya akan maju sekerat jalan dan hanya akan memperolehi kecemerlangan yang sementara dan palsu semata-mata. Inilah yang disebut-sebut sebagai "sekular", iaitu pengasingan kehendak dan ajaran agama dalam bidang-bidang tertentu, sedangkan agama (ad-din) itu dibawa oleh Rasulullah (S.A.W.) adalah "Syumul" iaitu cukup lengkap yang tidak perlu ditokok tambah apatah lagi dikurangi disana-sini. Lengkap lagi melengkapi segala aspek hidup, kehidupan dan penghidupan bukan sahaja di dunia ini bahkan untuk hidup, kehidupan dan penghidupan alam seterusnya iaitu alam "Barzakh" (kubur) dan seterusnya alam "Akhirat" yang kekal abadi.

Apabila amalan Islam itu dilaksanakan secara berpilih-pilih, ini menjadikan pengamalnya tidak kira siapa, apa bangsanya, warna kulitnya dan sebagainya, akan gagal mencapai kemajuan dan kecemerlangan yang hakiki. Apa yang bakal mereka dapat dan perolehi hanyalah kemajuan dan kecemerlangan yang bersifat sementara dan palsu belaka. Demikian juga Bangsa Melayu itu sendiri. YB. TG. Hj. Nik Abd. Aziz Bin Hj. Nik Mat ulamak yang dikatakan oleh PM sebagai orang yang tidak faham tentang makna sekular, telah mentakrifkan sekular itu dengan cukup jelas semasa ditemuramah oleh wakil akhbar The STAR. Kenyataan beliau juga menjelaskan siapakan yang mengamalkan sekular itu sebenarnya.

UMNO (BARU).

UMNO yang tertubuh sejak tahun 1946 tidak disebut sebagai lama sehinggalah ia diharamkan oleh PM atas alasan yang dikaitkan dengan kegagalan membaharui pendaftarannya satu ketika dulu. Mulai hari itu apabila nama UMNO mahu dikekalkan maka syarat yang dikenakan ialah dengan meletakkan nama "BARU" dihujungnya, menandakan UMNO asal telah diharamkan dan jatuh martabatnya menjadi LAMA. Namun oleh kerana nama UMNO sudah ditempah oleh PM dengan tambahan kalimah BARU, maka UMNO asal yang lama tidak boleh diberi nama UMNO (LAMA), kerana ia bukan sahaja telah jadi lama bahkan telah dibubarkan, dikuburkan tanpa nisan oleh PM. Ini menyebabkan puak yang ingin mengekalkan UMNO asal terpaksa memilih nama baru yang digelar Semangat 46.

Kita tak ingin nak membahaskan kenapa dan mengapa UMNO telah bertukar menjadi baru dengan lebih lanjut. Tapi apa yang ingin disentuh disini ialah UMNO(BARU) yang di daftarkan semula hanya pada nama sahaja dan hanya diawal-awal pendaftarannya sahaja. Lama kelamaan lebel "Baru" itu sudah tidak kelihatan pada tulisan dan tidak kedengaran pada sebutan. Apa yang ada sekarang yang kelihatan pada tulisan dan kedengaran pada sebutan hanya kalimah "UMNO" sahaja. Bahkan tanpa ada sebarang rasa janggal dan malu, mereka (Para pemimpin dan ahli UMNO Baru) telah menyambut Ulang Tahun Ke-50 nya satu ketika dahulu. Apa ni (?) Baru tapi sambut ulang tahun guna tarikh UMNO yang lama ?

Namun begitu UMNO (B) sememangnya telah lari dari landasan perjuangan asal UMNO yang wujud sejak tahun 1946. UMNO(B) telah menerima tokok-tambah dari segi akta, undang-undang dan perlembagaan. Bahkan perjuangannya juga menerima pembaharuan. Akan tetapi pembaharuan demi pembaharuan, tokok di sana tambah di sini, bukan pula membawa kemercu kejayaan dan kecemerlangan bahkan malangnya semakin menguncup, mengecut hingga kepada ketidak relevenannya. Bahkan peramal politik mengandaikan UMNO semakin terhakis hari demi hari, hanya menanti tarikh untuk ditalqinkan seterusnya dikuburkan. Presedentnya sendiri telah membuat pengakuan akan merosotnya kradibiliti UMNO dari masa kesemasa, dengan membuat kenyataan berupa rayuan supaya Melayu itu mesti bersatu di alaf baru ini. Sebenarnya bukan Bangsa Melayu itu yang telah berpecah, yang berpecah sebenarnya ialah Parti Melayu itu sendiri, apabila ia cuba diperbaharui (kononnya) dalam segenap segi.

Nampaknya UMNO (B) bukan sahaja bakal digelar lama, bahkan lebih teruk dari itu akan terus lenyap sama sekali sebagai balasan (Tuhan) kepada kerakusan para pemimpinnya akibat dari pelaksanaan sekularisme di dalam pemerintahan mereka yang melaksanakan tuntutan ad-din secara berpilih-pilih, hanya bertujuan untuk mengabui mata rakyat semata- mata.

ISLAM(?)

Ingin mengaitkan istilah lama atau baru kepada ISLAM (?) Ya, kita mungkin boleh kaitkan Islam itu dengan kedua-dua istilah ini, tetapi hanya berdasarkan kepada penganutnya, pengamalnya, dan pelaksananya. Kita boleh katakan penganut baru Islam, yang disebut juga sebagai "saudara baru" kemudian ditukar kepada "saudara kita" sedangkan istilah asalnya ialah "Muallaf" yang membawa makna mereka yang baru dijinakkan (hatinya) kepada Islam. Kita juga boleh katakan sifolan itu, atau golongan itu, puak itu, baru mangamalkan ajaran Islam, walaupun mungkin telah lama menganutinya atau baru sahaja memeluk agama Islam. Kita juga boleh mengatakan bahawa negeri itu baru melaksanakan Islam apabila negeri itu dapat ditawan oleh PAS.

Tapi hendak mengatakan bahawa Islam itu sebagai Islam BARU, itu bermakna seolah-olah ada Islam yang LAMA. Ia juga membawa makna Islam Lama sudah tidak releven lagi diamalkan buat masa sekarang, lalu perlu kepada pengubah-suaian di sana-sini (seperti kenyataan PM mencadangkan supaya al-Quran perlu ditafsirkan semula) lalu digelarkan ia oleh orang sebagai Islam BARU. Lalu ia juga bakal menghadapi pelupusan. Sebenarnya Islam tidaklah patut dikaitkan dengan kedua-dua istilah tadi dari segi makna ad-din itu sendiri. Kerana Islam yang dibawa oleh Junjungan Besar Nabi kita (S.A.W) sejak dari dulu hingga sekarang dan akan datang dan selama-lamanya tidak menerima apa-apa perubahan atau tokok tambah, kerana Islam itu bersifat 'SYUMUL' iaitu lengkap lagi melengkapi, sesuai untuk semua masa, tempat dan keadaan juga kepada semua manusia tidak kira apa bangsa dan warna kulit sekalipun.

Jadi, Islam itu, dari dahulu hingga lah sekarang dan seterusnya hingga hari kiamat terus releven diamalkan dan seterusnya dilaksanakan dalam segenap bidang. Bahkan Allah (S.W.T) yang mencipta segala makhluk yang turut menciptakan Islam untuk diamalkan dan dilaksanakan, mahu supaya manusia sebagai khalifah dibumi ini melaksanakan Islam itu dalam hidup, kehidupan dan penghidupan mereka bukan sahaja setakat di dunia ini bahkan hingga ke alam akhirat.

Ini bermakna mereka yang mengamalkan serta melaksanakan Islam dalam segenap aspek hidup, kehidupan dan penghidupan di dunia ini sahaja yang diiktiraf oleh Allah sebagai BENAR, LURUS, dan di Ridhai oleh Allah. Yang hanya mengamal atau melaksanakan secara berpilih-pilih sudah tentu BOHONG, BENGKOK dan dilaknat oleh Allah. Apatah lagi yang memperlekehkannya, mentertawakannya, menganggapnya mundur dan ketinggalan zaman. Sudah tentu mereka itu bagi Neraka, makanan yang paling "Awaula" (utama).

Jadi Bangsa Melayu biarpun bergelar lama atau baru, demikian juga UMNO samada baru atau lama, jika gagal menjadi pengamal dan pelaksana Islam itu sebagai ad-din maka mereka ini di sisi Allah bahkan di sisi manusia sendiri tidak mempunyai sebarang makna, apa yang dihasilkan hanyalah kepalsuan semata-mata yang akhirnya mendapat kutukan bukan sahaja oleh Allah bahkan oleh manusia itu sendiri, oleh bangsa Melayu itu sendiri, oleh Ahli UMNO itu sendiri. Lalu berbondong-bondonglah orang Melayu dan ahli UMNO itu sendiri meninggalkan UMNOnya, mencari parti lain yang boleh menjamin keselamatan dan kesejahteraan hidup mereka di dunia dan di akhirat.

Maka ramailah dikalangan mereka telah menyertai PAS dan Barisan Alternative (BA), sebagai tanda bantahan terhadap pimpinan UMNO dan BN itu sendiri. Apa yang menjadikan bilangan mereka ini semakin bertambah dari hari kehari ? Jawabannya ialah apabila UMNO tidak mahu sedar diri mengakui kelemahan dan kesilipan diri,bahkan melimparkan segala tohmahan dan fitnah kepada PAS dan BA. PM dengan UMNO dan BNnya beranggapan dengan membuat kenyataan demikian boleh menahan golongan yang ingin menjatuhkan 'talak tiga' kepada UMNO ini dari berbuat demikian, tapi malangnya hanya menambahkan lagi bilangan mereka yang berhijrah secara rela mahupun terpaksa menyeberang kepada PAS dan BA. Inilah balasan Tuhan terhadap makhluknya yang durjana. Balasan Allah tidak mesti berlaku di akhirat sahaja, bahkan di dunia ini Allah telah tunjukkan sebagai pangajaran kepada makhluk yang lain. Di akhirat ? Maka lebih-lebihlah lagi.

KESIMPULAN DAN PENUTUP

Maksud Firman Allah : "Mereka (golongan thogut) merancang, Allah juga merancang, dan perancangan Allah itu jua yang akan berjaya".

Sebagai kesimpulan, berpandukan ayat di atas; Adalah amat perlu kita sesama Bangsa Melayu ini nasihat-menasihati, ikhlas memberi nasihat dan ikhlas pula menerima nasihat. Kalau elok pakai, tak elok kena cari yang lebih elok untuk kita guna pakai. Yang elok itu tak semuanya datang dari mereka yang kita anggap kawan, kroni dan konco-konco sahaja. Adakalanya nasihat dan pandangan musuh atau mereka yang kita anggap musuh itu elok bahkan terlebih elok dari pendapat atau pandangan kita sendiri dan juga sahabat handai kita. Kita selalu kata bahawa kita orang Melayu mesti berfikiran terbuka, tapi dalam masa yang sama kita hanya paksakan yang kita hendak kepada orang Melayu. Takkan tak perasaan yang kita lakukan itu umpama kata orang sekarang ini "Cakap tak serupa bikin". Bila orang perasaan bahawa kita bersikap begitu, tak ada siapa yang sudi untuk menerima nasihat kita lagi.

Saya menyokong dan kagum dengan pendapat dan prinsip YB TG. Hj. Nik. Abd. Aziz Bin Hj. Nik Mat yang berkata (ketika menjawab soalan wakil Akhbat The STAR) : " Kalau UMNO benar-benar menjadikan agama Islam sebagai dasar perjuangan dengan meletakkan al-Quran dan Hadis sebagai perlembagaan, saya akan bubarkan PAS dan rela untuk menyertai UMNO bila-bila masa sahaja. Kerana perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam kerana tiada parti yang memperjuangkannya. Kalau ada parti yang ingin memperjuangkannya dengan tulus ikhlas, buat apa lagi ada PAS ? Semua orang kena sokong parti tersebut" Catatan : (cakap ajuk di atas adalah diubah-suai oleh penulis sendiri mengikut mafhum yang asal)

Akhir sekali, bukan sahaja ahli UMNO yang ada akan dapat dikekalkan, ahli UMNO yang kini lari meninggalkan UMNO, bahkan YB TG. Nik Aziz sendiri akan menyertai UMNO sekaligus membubarkan PAS, jika sekiranya UMNO benar-benar ingin memperjuangkan dan mendaulatkan ISLAM. Jadi sekarang, terletak kepada para Paemimpin dan Ahli UMNO itu sendiri untuk menentukan nasib MELAYU, UMNO dan ISLAM itu sendiri. Maka sepatutnya dan sewajarnyalah perhimpunan UMNO yang bakal tiba, mengambil kira perkara ini, jika UMNO benar-benar ingin melihat MELAYU terus bersatu. Jangan biarkan Melayu semakin "Me-LAYU" hanya kerana kepentingan individu tertentu. Lebih baik sahaja diKORBANkan mereka yang pentingkan diri itu demi kepentingan ramai lagi orang Melayu.

Sekian!

AZHARI(S)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com