Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


HIDUP DAN KEHIDUPAN VS. PERJUANGAN

MUKADDIMAH:

Bila kita memperkataan tentang hidup dan kehidupan, kita akan berhadapan dengan berbagai definisi atau takrif sesuai dengan perspektif masing-masing. Hidup yang lawannya mati satu perkara yang dikaitkan dengan nyawa atau "ruh", manakala hidup lawannya "Jumud", beku, kaku dan seumpamanya pula merupakan perkara yang dikaitkan dengan pergerakan, aktif, bercambah, berkembang dan sebagainya.

Sesuatu yang masih bernyawa sekalipun "KOMA" masih dianggap hidup. Manakala sesuatu yang telah kehilangan nyawa sekalipun ia bisa bergerak akan tetap dianggap mati. Sesuatu yang telah mati tidak akan ada percambahan, perkembangan dan juga keaktifan bahkan pergerakan yang berlaku pada dirinya hanya berpunca dari sesuatu yang lain. Bila sesuatu itu mati yang akan berlaku adalah pereputan, penguncupan dan akhirnya musnah.

Makhluk yang dikaitkan dengan hidup terdiri dari manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Semua makhluk ini dengan cara masing-masing mengikut "Sunatullah" menjalani hidup serta memperjuangkan hidup masing-masing demi untuk terus hidup. Maka terbitlah istilah : "Hidup untuk makan" -atau- "makan untuk hidup" -atau- "makan untuk hidup dan kehidupan duniawi" -atau-" makan untuk hidup dan kehidupan duniawi dan ukhrawi", sebagai prinsip hidupdan kehidupan.

PRINSIP HIDUP DAN KEHIDUPAN

1. HIDUP UNTUK MAKAN

Manusia yang hidup atas prinsip "Hidup untuk makan", kalaupun tak sama dengan haiwan tetapi mempunyai sifat-sifat haiwan yang amat tinggi. Manusia seperti ini lebih mementingkan nafsu daripada akalnya. Apa yang penting baginya ialah makanan jasmani, lalu jasmaninya menjadi gemuk gedempol, manakala rohnya jarang-jarang sekali mendapat makanan yang berzat dan berdigi tinggi, menyebabkan rohnya kurus kerimping.

Kerana menurutkan hawa nafsu serakahnya, dia sanggup membelakangkan hukum halal dan haram. Bahkan di dalam kamus hidupnya hampir tiada yang haram samasekali. Golongan ini amat mementingkan kocek yang kembong dengan wang ringgit demi kerakusan temboloknya yang tak kenal erti kenyang atau puas. Tidur dan jaganya sentiasa memikirkan nikmat yang hanya sekitar 6" hingga 7" dalam, iaitu nikmat yang diperolehi dari sekitar mulut hingga kekrongkong serta nikmat yang lagi satu itu (!?). Golongan ini terus lupa terhadap perjuangan yang masih jauh, bahkan tak ambil kisah dengan situasi yang bakal ditempuhi yang ukurannya sekitar 6' hingga 7' dalam, iaitu liang kubur.

Pendek kata golongan ini ingin hidup terus, menongkat langit, dan baginya selagi hayat dikandung badan, yang dicari ialah kepuasan, sedangkan kepuasan yang diperjuangkannya siang dan malam tak pernah akan tercapai sehinggalah ajalnya sampai. Mereka ini tidak akan puas atau memada dengan apa yang telah diperolehi, sebaliknya perasaan tamak halobanya (mencapai tahap paling maksima) terus merengek menagih tambahan demi tambahan, sedangkan semakin ditambah dia merasa semakin kurang lalu memerlukan tambahan yang berlipat ganda dari sebelumnya. Mereka akan melakukan apa sahaja demi nafsu serakahnya, sekalipun terpaksa memfitnah, mengadu domba, menginaya, menzalimi, menipu, rasuah, merampok kekayaan orang lain, bahkan sanggup membunuh hatta ahli keluarganya sendiri.

Maka benarlah apa yang dikatakan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya yang bermaksud : "Dan sesungguhnya kami jadikan untuk neraka jahanam banyak di antara jin dan manusia, yang mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), yang mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah), dan yang mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat), mereka ini umpama binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi, mereka itu ialah orang-orang yang lalai" (Surah : Al-A'araaf Ayat : 179)

Maknanya golongan ini adalah terdiri dari mereka yang telah terlajak begitu jauh, lalu sesat sehingga terlalu tipis harapan mereka untuk menemui arah untuk kembali kepangkal jalan. Bahkan mereka telah mabuk dengan tiga "TA" iaitu, takhta yang mereka duduki, harta yang banyak yang mereka miliki dan juga wanita yang tersangat mereka kasihi. Ketiga-tiga "TA" ini telah menyebabkan kebanyakan manusia menjadi "BUTA", buta mata dan buta hati, serta menjadi "TULI" telinga. Akhirnya mereka menganggap diri mereka orang yang paling hebat, paling berpengaruh, paling bijak dan sebagainya yang menyebabkan mereka beraja dimata dan bersultan dihati, manakala segala teguran dan nasihat tidak mereka endahkan sama sekali. Mereka ini kalau golongan pemerintah akan diberi gelaran "Pemerintahan KUKU BESI" atau "DITAKTOR" yang zalim.

Sebenarnya golongan ini adalah sahabat syaitan "Laknatullah 'alaih". Sahabat semasa di dunia dengan mengikut telunjuk syaitan melakukan segala macam maksiat dan kemungkaran tanpa sedikitpun merasa bersalah, jauh sekali untuk menyesal dan bertaubat di atas segala apa yang mereka hanya tau buat selama ini. Manakala di akhirat mereka juga bakal bersama syaitan sebagai penghuni neraka Jahannam "wal 'eyazubillahi min zalik". Ini menjelaskan kepada kita bahawa mereka seolah-olah telah membuat perjanjian dan ikrar taat setia dengan syaitan untuk hidup dalam kesesatan lagi menyesatkan.

Catatan : Apakah kita tergolong dalam golongan ini ? Pintu taubat masih terbuka, maka segeralah bertaubat tanpa membuang masa lagi. Bagaimana dengan pemimpin kita ?Khasnya yang bertaraf "ULAMAK" bertaubatlah. Kalau pemimpin kita jelas tergolong dalam golongan ini, tiada cara lain, melainkan menjadi kewajiban kita untuk memerangi mereka, memaksa mereka turun takhta, mengulingkan mereka, lalu menggantikan mereka dengan pemerintah yang ADIL.

2. MAKAN UNTUK HIDUP

Golongan manusia yang hidup di atas prinsip "Makan Untuk Hidup" pula adalah mereka yang hanya memerlukan makanan yang cukup-cukup sahaja. Maksudnya, asal ada makan, cukuplah baginya untuk kelangsungan hidupnya. Mereka ini bolehlah dikatakan golongan yang malas berusaha untuk meningkatkan taraf hidup. Apa yang dikhuatiri berlaku ialah mereka lebih suka mendapatkan sesuap nasi dengan cara meminta-minta. Mereka ini langsung tidak mempunyai matlamat hidup.

Mereka merasa selesa dengan kemiskinan dan hidup melarat, tidak terliur langsung untuk merebut peluang demi meningkatkan taraf hidup mereka. Pada pandangan umum mereka dianggap sebagai sampah mesyarakat yang hanya menyusahkan orang lain. Dalam masa mereka tidak mahu bersusah payah, mereka sebenarnya banyak menyusahkan orang lain. Mereka ini ibarat lalang yang akan melenggok mengikut arah ke mana angin bertiup.

Golongan serupa ini wujud di dalam mesyarakat sebagai orang yang meminggirkan diri, dalam istilah bahasa Indonesia mereka dikenali sebagai "glendangan". Hidup mereka tidak memerlukan rumah khusus untuk berteduh dari hujan dan panas. Walau bagaimanapun golongan ini sering kali terlibat dengan aktiviti ragut, rampas, rampok, curi dan lebih dahsyat mereka ini sanggup membunuh demi sesuap nasi kerana keinginan untuk terus hidup. Tetapi yang agak pelik ialah, golongan ini tidak pula berminat untuk menyamun demi mendapat habuan yang lebih lumayan yang boleh menjadikan mereka senang lenang, mewah dan kaya raya seperti golongan yang pertama.

Mereka tidak terlintas untuk menduduki takhta, untuk mengumpul harta, bahkan bagi mereka wanita juga tiada apa-apanya, kesemuanya asal ada sudah mencukupi. Maknanya mereka tidak buta oleh kehebatan tiga "TA" seperti golongan pertama, tetapi mereka bagaikan tidak punya mata langsung, tidak punya hati sama sekali, juga tidak punya telinga. Kalau adapun seolah-olah terlalu kecil "size"nya.

Nampaknya mereka ini lebih malang jika dibandingkan dengan golongan pertama yang rakus. Kerana bukan sahaja rugi di dunia bahkan rugi di akhirat. Sedangkan golongan pertama masih memperjuangkan keuntungan dunia. Mereka ini tidak ada perjuangan hidup sama sekali, samada perjuangan untuk kehidupan dunia demikian juga kehidupan untuk akhirat. Di dunia mereka hidup merempat di akhirat mereka juga akan diazab dan diseksa di dalam api neraka. Ini bersesuaian dengan mafhum sebuah hadis Nabi S.A.W. "Kefakiran itu menghampiri kekufuran".

Kefakiran yang mereka selesa dengannya menyebabkan mereka terjebak kepada kekufuran, bukan sahaja kufur nikmat, bahkan boleh membawa kepada kufur aqidah, yang menyebabkan mereka akan dihumbankan ke dalam api neraka.

Golongan ini bukan sekadar peminta sedekah yang kadang-kala terdiri dari mereka yang beriman. Tetapi mereka ini lebih hina dari peminta sedekah, kerana mengabaikan keperluan jasmani dan juga rohani. Mereka juga tergolong dalam erti kata orang yang menginaya diri mereka sendiri yang dimurkai Allah kerana malas berusaha, sedangkan berusaha itu merupakan satu tuntutan yang wajib. Seperti firman Allah yang bermaksud; "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia,...." (Surah : Al : Qasas Ayat : 77).

Golongan ini jelas mengabaikan kehidupan di dunia apatah lagi untuk kehidupan di akhirat. Keperluan mereka di dunia diabaikan demikian pula bekalan untuk ke akhirat. Mereka ini adalah golongan yang paling rugi, rugi di dunia dan rugi pula di akhirat. Walaupun golongan ini mungkin sedikit pada perkiraan kasar kita, tetapi dari sehari kesehari bilangan mereka semakin ramai. Golongan ini bolehlah kita kaitkan dengan "PENAGIH DADAH" yang telah kehilangan arah tujuan hidup. Walaupun pusat "SERENTI" dibina dan dibangunkan disana- sini di negara ini, nampaknya kesan positif atau objektif yang ingin dicapai ekoran dari pembinaan pusat serenti ini, bukan sahaja boleh dianggap gagal sama sekali, bahkan penambahan bilangan penagih dari masa kesemasa sebenarnya memerlukan pendekatan baru yang lebih berkesan. Meneruskan sesuatu yang kesannya tidak boleh dibanggakan adalah sesuatu yang merugikan. Apa yang lebih mengecewakan ialah, statistik yang menunjukkan bahawa orang Melayu yang beragama Islamlah yang lebih ramai menjadi penagih dadah bahkan dikenal pasti sebagai pembawa kuman"HIV".

Konsep pencegahan memang sesuatu yang besar kesannya, akan tetapi kaedah dan cara pencegahan yang longgar disana-sini hanya membazirkan wang rakyat, bahkan dalam masa yang sama ianya seolah-olah menjadi penggalak kepada bertambahnya bilangan penagih dadah itu sendiri. Apa yang terjadi dewasa ini jelas membuktikan kegagalan pendekatan yang telah lalu. Meneruskan sahaja pendekatan yang lama membuktikan kerajaan "KURANG SERIOUS" dan tidak ikhlas dalam menangani perkara ini. Adalah dikhuatiri Wawasan 2020 hanya tinggal igawan dan mimpi ngeri atau hanya "Waswas" sahaja, bila remaja (khasnya Melayu Islam) saat ini tidak punya potensi menjadi "Insan Kamil" yang diwar-warkan dalam falsafah Pendidikan Negara, jauh sekali untuk menjadi peneraju negara.

Catatan : Dalam kita (manusia muslim yang sedar) memperlengkapkan diri dan ahli keluarga kita dengan agenda pendidikan agama yang dipercayai sebagai benteng yang paling kukuh dalam menghadapi krisis moral, anak-anak kita terus diasuh, dididik, didesak dengan gejala sosial yang sangat kritikal. Apakah tindakan kita ? apa yang kita lakukan kini, walau macamanapun kebalnya benteng yang kita bina, akan punah juga akhirnya kalau kita terus berdiam diri membiarkan perkara ini berlaku tanpa sebarang tindakan. Jelasnya golongan ini (tiada matlamat perjuangan hidup) memerlukan golongan pembela yang boleh memperjuangkan nasib mereka. Oleh kerana suara solo oleh pencinta KeADILan tidak akan pernah didengar, maka mereka mendambakan suara (sebuah parti politik) pejuang KeADILan yang mampu menyedarkan pimpinan yang "LENA" dan memandang sepi penderitaan mereka, yang bersikap dingin terhadap permasalahan mereka. Untuk lebih menjamin kelangsungan hidup mereka khasnya dan kita semua amnya, negara kita amat memerlukan pemimpin yang benar-benar ikhlas, telus dan mementingkan kebahagian rakyat, bukan sahaja di dunia ini bahkan kebahagian di akhirat nanti.

3 HIDUP UNTUK MAKAN DAN KEHIDUPAN DUNIAWI

Golongan ketiga ini bolehlah kita katakan sebagai golongan yang hampir sama dengan golongan pertama iaitu "HIDUP UNTUK MAKAN", cuma terdapat sedikit perbezaan. Kalau golongan pertama kelihatan bersifat rakus, tamak, haloba dan yang seumpamanya yang mencapai tahap maksima, golongan ketiga ini tidak sampai ketahap rakus, tamak dan haloba yang paling maksima, kerana memikirkan bahawa kehidupan ini harus diurus dengan baik supaya harta kekayaan, pangkat dan keperluan hidup harus dikongsi bersama dalam sebuah mesyarakat yang aman damai.

Ini bermakna golongan ini mempunyai prinsip perjuangan ke arah persamaan dari segi hak. Walau bagaimanapun apa yang mereka perjuangankan tidak (ikhlas dalam) mengambil kira soal KeADILan, atau dengan erti kata lain, perjuangan mereka untuk menegakkan KeADILan tidak bersifat mutlak. Dalam hal ini isu perkauman sering diketengahkan sebagai agenda perjuangan, demikian juga yang berkaitan dengan kekayaan keluarga dan sahabat handai yang disebut sebagai "Kronism dan Nepotism". Amalan ini dijadikan agenda perjuangan sebagai mengabui mata rakyat marhain bahawa mereka sedang memikirkan kebajikan mereka, dengan tujuan untuk menambat hati rakyat dan kerana keinginan untuk terus memegang tampok kekuasaan dan membolot harta kekayaan.

Golongan ini hanya akan memperolehi apa yang mereka kehendaki di dunia ini, dan di akhirat nanti tiadalah lagi bahagian untuk mereka. Ibaratnya, segala bahagian mereka telah mereka bazirkan semasa di dunia menyebabkan mereka akan muflis di akhirat nanti, disamping azab neraka yang sangat pedih sedang menanti mereka (kalau mereka gagal bertaubat). Ini dijelaskan dalam firman Allah S.W.T. di dalam Surah Asy-Syuura : Ayat : 20 yang bermaksud : "Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya, dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata- mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagianpun di akhirat kelak"

Demikianlah nasib golongan ini, sebagai balasan terhadap perbuatan mereka semasa di dunia. Kononnya mereka telah menipu rakyat, tetapi sebenarnya mereka telah menipu diri mereka sendiri. Golongan seperti ini amat ramai terdapat di dalam barisan kepimpinan negara. Kewujudan mereka sebagai peneraju negara wajiblah disanggah, diperingatkan dan akhirnya dinyahkan dari singgahsana pemerintahan negara, demi kesejahteraan rakyat jelata. Maka dalam hal ini sebuah parti politik yang memperjuangkan KeADILan (yang hakiki) perlu wujud untuk disertai oleh rakyat dalam menentang kezaliman mereka.

Catatan : Sejauh manakah kini dakwaan kita bahawa kita sedang memperjuangkan KeADILan ? Apakah KeADILan yang kita perjuangkan adalah keadilan yang hakiki ? atau hanya bertaraf "Baik Sedikit" dari apa yang diamalkan oleh kerajaan sekarang? Kalau hanya setakat hendakkan sedikit kebaikan, kita hanya menunggu untuk dikritik oleh mereka yang kita kritik sekarang ini. Kita sepatutnya menetapkan iltizam dan kometmen kita untuk hanya menegakkan KeADILan yang hakiki yang disahkan adil oleh yang Maha Adil melalui agama yang diiktiraf oleh Allah SWT sahaja yang Maha segala-galanya. Tiada siapa dikalangan manusia dapat menyangkal perkara ini kecuali hanya ingin mencabar Maha Pencipta disamping kononnya membuat pendekatan yang lebih baik darinya, sedangkan mereka sendiri mengakui pendekatan yang mereka buat hanya "Palsu" belaka.

4. HIDUP UNTUK MAKAN DEMI KEHIDUPAN DUNIA DAN AKHIRAT

Prinsip hidup seperti ini adalah amalan manusia yang bersifat "SEDERHANA" yang disebut juga sebagai "WASATHIAH", bersederhana dalam mencari keperluan hidup di dunia yang dijadikan "Jambatan" untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi. Manusia yang mengamalkan prinsip ini mempunyai pegangan yang meyakinkan semua pihak. Bagi golongan ini ajaran agama yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah adalah segala-galanya dalam mengharungi hidup dan kehidupan ini. Segala perkara dari sekecil-kecilnya hingga kesebesar- besarnya akan dilaksanakan sesuai dengan tuntutan agama yang diturunkan oleh Allah ia itu agama Islam.

Dengan keyakinan yang mantap terhadap agama ini, mereka akan sentiasa meyakinkan manusia lain bahawa Islam sahaja yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Mereka memang yakin "Kesyumulan" Islam sebagai "Ad-Din" menjanjikan yang terbaik dari sebuah tandas di rumah hinggalah ke singgahsana pemerintahan di dalam sebuah negara.

Maknanya KeADILan yang hakiki hanya akan dapat dinikmati oleh seluruh makhluk(jangankan manusia) jika ajaran Islam dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam segenap erti hidup dan kehidupan. Mengamalkan sebahagian apatah lagi tidak mengamalkannya sama sekali hanya akan memalsukan KeADILan yang rata-rata manusia itu sendiri kabur mengenainya melainkan berpandukan undang-undang Allah SWT yang mencipta segala makhluk dan Maha Mengetahui apa yang perlu dan diperlukan oleh makhluk itu sendiri.

Kalau undang-undang Amerika gagal menangani mesyarakatnya, mana mungkin ia sesuai diamalkan di negara lain. Kalau undang-undang British gagal menjamin keadilan dalam negaranya bagaimana mungkin ia sesuai diamalkan di negara kita. Akan tetapi undang- undang Allah SWT yang memiliki sekelian alam ini jika diamalkan oleh mana-mana negara di dunia ini, ia akan tetap "releven" sampai bila-bila masa dan dimana-mana jua, kerana hanya Allah sahaja yang tahu akan keperluan dan apa yang diperlukan oleh makhluk ciptaannya.

Jadi apa yang kita takut kepada undang-undang Allah ? Kita tidak akan dapat buktikan undang-undang Allah itu bersifat zalim keatas semua makhluk. Kita juga akan gagal membuktikan ada undang-undang selain dari undang-undang Allah yang benar-benar adil (walaupun hanya) untuk satu-satu bangsa. Kumpulkanlah seluruh pakar undang-undang di dunia ini untuk membuktikan kezaliman undang-undang Allah, nescaya mereka akan dapati bahawa undang-undang Allah itulah yang Maha Adil. Kumpulkanlah seluruh pakar undang- undang di dunia ini untuk membuktikan keadilan undang-undang ciptaan manusia, nescaya mereka akan nampak bahawa undang-undang Allah jua yang Maha Adil.

Walau bagaimanapun, manusia itu lebih suka mengamalkan undang-undang yang mereka cipta sendiri kerana runtunan hawa nafsu, bukan kerana menegakkan "Hak" dan "Keadilan" yang kononnya mereka perjuangkan. Sesungguhnya manusia itulah yang menzalimi diri mereka sendiri apabila mereka berani menolak undang-undang Allah yang Maha Adil.

Catatan : Sejauh manakah kita pernah membuat perbandingan antara undang- undang Allah dengan undang-undang ciptaan manusia ? Sejauh mana pula kita terlibat dan melibatkan diri dalam memartabatkan undang-undang Allah yang kita akui (bahkan seluruh makhluk mengkuinya) akan kebenarannya. Atau apakah kita masih lagi bermain-main dalam agenda perjuangan menegakkan KeADILan undang- undang Allah. Ingatlah, bahawa Allah hanya akan memberi sesuatu yang kita pinta dan usahakan dengan bersungguh-sungguh. Kalau kita masih tidak bersungguh- sungguh dalam meminta dan mengusahakannya, maka kita masih tidak layak menerimanya.

AKHIRNYA....jangan salahkan siapa-siapa kalau TELUK KEMANG masih gagal kita miliki.

Sekian terima(lah) Kasih!

AZHARI(S)
06JUN2000/11:19PM


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com