Assalamu'alaikum warahmatulLahi wabarakatuh!
Salam sejahtera!
SELOKA/PANTUN : ISU KRITIKAN TERHADAP YB-YB PAS
Oleh : Azhari(s) Ucapan salam ana lafazkan,
BismilLah sebagai pembuka coretan,
Diiring "Tahmid" kehadrat Tuhan,
Kemudian Salawat kepada junjungan.
Para Sahabat tidak ketinggalan,
Serta pengikut hingga akhir zaman,
Sebagai penyuluh ke seluruh alam,
Umat sejahtera bahagia dan aman.
Sempena Maulid Nabi pilihan,
Sedikit komen ana coretkan,
Berkaitan dengan isu kritikan,
Terhadap YB-YB PAS yang jadi sasaran.
Tiada salahnya TMJ luahkan,
Apa yang telah YB-YB lakukan,
Dengan YB UMNO hendak disamakan,
Apabila nampak dah keterlaluan.
Kepada YB-YB yang berkenaan,
Tentunya sedar siapa dimaksudkan,
Cubalah terima segala kritikan,
Sebagai teguran seorang kawan.
Kalau dikira takkan berlaku,
Teguran terhadap tingkah dan laku,
Sudah tentu memang dilaku,
YB tertentu jadi pelaku.
Segala teguran cuba fikirkan,
Demi mencari jalan kebenaran,
Ketepikan sentemen tak ketentuan,
Kalau benar teruslah tamatkan.
Teguran itu adalah budi,
Harus diterima terbuka hati,
Ucaplah "Syukran" pada pemberi,
Alhamdulillah kehadrat Rabbul Izzati.
Sesungguhnya benarlah apa dikata,
Perangai YB UMNO yang kita tak suka,
Kalau YB kita melakukan juga,
Sama tiada beza dua kali lima.
Memanglah sifatnya pejuang agama,
Salah sedikitpun menjolok mata,
Walaupun hanya sebesar hama,
Akan menjadikan diri hina dan dina.
Apatah lagi yang besar bukit,
Mata memandang merasa sakit,
Tentulah musuh segera mengungkit,
Ke sana sini mereka membangkit.
Keaiban itu satu penyakit,
Takut menjadi penyakit berjangkit,
Bukan hanya PAS yang tercubit,
Muslimin semuapun merasa sakit.
Tindakan TMJ haruslah dipuji,
Berani meluahkan rasa dihati,
Tandanya ikhlas sudahlah PASti,
Semua muslimin turut simpati.
Walaupun pelaku seorang dua,
Tentu tak senang yang dipertua,
Ingin dikeluarkan satu petua,
Mahu menyingkir mereka semua.
Bila difikir semasak-masaknya,
Peluang haruslah diberikannya,
Supaya pelaku segerakan taubatnya,
Allahpun suka menerimanya.
Lainlah halnya kalau berdegil,
Bila ditegur mata terjegil,
Hati geram tubuh menggigil,
Hendak bergaduh menunjuk jahil.
Tapi takkanlah sampai begitu,
Melenting pula kerana itu,
Cubalah teliti secara jitu,
Terimalah hakikat kalau setuju.
Yang betul adakanlah mesyuarat,
Cubalah gariskan berbagai syarat,
Supaya YB-YB tidak melarat,
Kalau dah terlambat nanti tak larat.
Masalah parti masalah rakyat,
Haruslah ditangani penuh hikmat,
Parti Islam kepunyaan sejagat,
Menjamin bahagia dunia dan akhirat.
Tiada salahnya mengambil manfaat,
Hak yang telah diberi rakyat,
Gunakanlah ia sebagai amanat,
Bila nak terpesong segeralah ingat.
YB-YB tu bukannya tak tahu,
Hanya tewas dek hawa nafsu,
Kewajiban kitalah ingatkan selalu,
Manusia biasa memanglah begitu.
Kami ni hanyalah penulis biasa,
Hendak menasihat tiadalah kuasa,
Tidak terlintas emas dan suasa,
Entah ditangkap esok atau lusa.
Ikhlaslah hati menyumbang bakti,
Semoga Allah akan memberkati,
Hendak mengajar jauh sekali,
Sedarlah kami siapalah diri.
Akhirnya, izinkan kami mengundur diri,
Salah dan silap harap dimaafi,
Lain kali kita jumpa lagi,
Semoga Allah terus meredhai.
Wassalam!
Sekian Terima(lah) Kasih! Oleh : AZHARI(S)
JUM16JUN2000/03:20PM
|