Petikan :
Tranung Kite eGroups
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabrakatuh!
Salam sejahtera! Berjumpa lagi!
SELOKA/PANTUN : KITA Vs. CUAI DAN EGO
Oleh : Azhari(s)
Lama rasanya tidak berjumpa,
Seloka/Pantun jangan dilupa,
Sambil berhibur janganlah alpa,
Ragam manusia tidak serupa.
Memang sudah ragam manusia,
Sikap pelupa lalai dan leka,
Cuai pula perangai kita,
Ditambah dengan EGO menggila.
Kalau lupa tidaklah mengapa,
Agamapun memaafkannya,
Lalai dan leka penyakit kita,
Kalau dibiar buruk padahnya.
Cuba kita sama fahami,
Firman Allah yang kita imani,
Surah Al-Maa'un nama diberi,
Orang yang lalai amat dibenci.
Bukan hanya setakat itu,
Neraka 'Wail' sudah menunggu,
Orang yang sembahyang juga begitu,
Tempat mereka nanti di situ.
Bagaimanakah ianya boleh terjadi,
Orang sembahyangpun boleh jadi,
Penghuni 'Wail' neraka api,
Seksanya pedih tidak terperi.
Itulah balasan cuai dan lalai,
Perkara sembahyang mestilah pandai,
Segala rukun syarat disemai,
Jadi amalan bakal dituai.
Kalau syarat tidak dijaga,
Rukun pula ingat-ingat lupa,
Sembahyang kita orang yang alpa,
Lekuk batupun tiada guna.
Oleh itu jagalah hati,
Bacaan juga mesti teliti,
Rukun 'Fe'li' apatah lagi,
Kalau cuai tiadalah erti.
Siapakah dia mereka yang cuai?
Mereka sembahyang tidaklah pandai,
Dibuat hanya memandai-mandai,
Fardu 'Ain mereka abai.
Orang sembahyang merekapun sembahyang,
Tapi sembahyang fikiran melayang,
Segala rukun tidak terbayang,
Pahala tak dapat alangkah sayang.
Tapi terlebihlah malangnya lebai,
Kalau yang pandaipun masih cuai,
Sembahyang dibuat macam berbuai,
Tentu tiada bakal dituai.
Kedua-dua memang penyakit,
Mereka sebenarnya mengidap sakit,
Di dalam hati bukan sedikit,
Penyakit hati mudah berjangkit.
Akibat cuai dalam sembahyang,
Ibadat kita di awang-awang,
Di luar sembahyangpun menerawang,
Bagaimana pula hendak berjuang?
Mereka yang cuai tidaklah tahu,
Bahawa mereka memang begitu,
Tidak sedar dengan kelaku,
Orang melihat siku-menyiku.
Bila ditegur kesilapan kita,
Akibat cuai punya cerita,
Kita tak terima sekalipun fakta,
Kritikan orang kita kata awta.
EGO kitalah yang berbicara,
Mengikut nafsu marak membara,
Konon kita dah mengembara,
Menuntut ilmu sampai menara.
Teguran orang kita tak peduli,
Apatah lagi dia tu kuli,
Kita buat telinga kuali,
Dengar begitu macam dah lali.
Kita hanya akan perhati,
Kalau teguran jemaah menteri,
Konon punyai ilmu yang tinggi,
Yang lain semua tiada bererti.
Kita pandai memilih bulu,
Teguran didengar biar berlalu,
Kalau datangnya dari siVelu,
Begitulah lagaknya kita selalu.
Yang tegur kita biarlah kawan,
Kalau boleh biar jutawan,
Kalau bukan kita akan lawan,
Walaupun terpaksa berbaling cawan.
Kenapa harus memilih kawan,
Baru diterima bagai dermawan,
Kalau musuh kita melawan,
Biar betulpun kita bolayan.
Kalau diingat pepatah arab,
Boleh dijadikan ubat mujarrab,
Mengubat ego yang kali darab,
Teguran musuhpun macam akrab.
Janganlah ditengok siapa yang berkata,
Tapi pandanglah apa katanya,
Itulah dia kata-kata pujanga,
Ubat mujarrab merawatinya.
Terdapat juga orang berkata,
Kalau nak tahu segala rahsia,
Keburukan seseorang termasuk kita,
Tanyalah musuh, dia tak dusta.
Tapi kalau kita tanya kawan,
Keburukan kita dia sembunyikan,
Demi mengelak dari berlawan,
Apa dikata semua menawan.
Kalau begitu cubalah fikir,
Komen kawan selalu bertabir,
Atau musuh yang buka bibir,
Gunalah akal cubalah tadbir.
Pendek kata janganlah lupa,
Lalai dan leka sifatnya kita,
Ego kita kerap berdusta,
Dengarlah kritikan tak kira apa.
Elaklah diri dari melenting,
Dengar kritikan keluar taring,
Kitapun teriak bersuara nyaring,
Akhirnya tak mahu jalan beriring.
Demikian juga kalau mengkritik,
Biar ikhlas serta berlapik,
Tak perlulah kita cuba bertempik,
Yang penting benar dan juga logik.
Tegur menegur memanglah dituntut,
Demi manfaat yang serba patut,
Tapi janganlah tersalah sebut,
Nanti tak guna semacam kentut.
Membaca artikel setiap hari,
Banyak kritikan telah diberi,
Kita semua harus sedari,
Jangan pentingkan diri sendiri.
KeADILan dikritik PAS ditegur,
Saya membaca turut terhibur,
Lalu mengajak saya bertutur,
Semangat perjuangan janganlah luntur.
Cubalah dengar segala tegur,
Supaya minda menjadi subur,
Yang baik cubalah disusun atur,
Tak baik tak apa biar berkubur.
Yang mengkritikpun biarlah bijaksana,
Tak perlu memaksa untuk dilaksana,
Biarkan untuk mereka di sana,
Percayalah, mereka itu semua laksmana.
Yang penting kita berjuang sama,
Ingin ditadbir dengan saksama,
Yang zalim jangan dibiar lama,
KeADILan PASsti akan menjelma.
Yang zalim dah lama memerintah,
Tidak siappun berjaya membantah,
Sedang RAJApun tak larat bertitah,
Mereka menghisap bagaikan lintah.
Yang penting kita tak putus asa,
Kita gandakan segala usaha,
Disamping tak lupa terus berdoa',
Kita serahkan pada Yang Kuasa.
Setakat ini cukuplah dulu,
Berjumpa lagi macam selalu,
Memohon maaf saya tak malu,
Berpisahlah dulu walaupun pilu.
Sekian terima(lah)kasih!
Oleh : AZHARI(S) 25JUN2000/2:33AM
|