Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!
CATATAN:
Dalam menyongsong arus perdana dengan fenomena kehidupan yang semakin menggerunkan
kini, saya dengan sukacitanya menghadiahkan artikel saya ini untuk dijadikan azimat dan
tangkal dalam mengharungi hidup dan kehidupan yang mencabar ini, terutama sekali untuk
menghadapi agenda kerajaan UMNO/BN yang merencanakan kemusnahan masa depan
anak-anak kita.
OLEH : AZHARI(S)
TAJUK : PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK GENERASI
BERILMU DAN BERAKHLAK KE ARAH KECEMERLANGAN DI DUNIA
DAN DI AKHIRAT.
CATATAN : OLEH KERANA ARTIKEL INI AGAK PANJANG SAYA AKAN
BAHAGIKAN KEPADA EMPAT BAHAGIAN.
BAHAGIAN PERTAMA:
MUQADDIMAH:
Memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa adalah agen utama dan yang pertama mesti
memainkan peranan melaksanakan tanggung jawab mengasuh, mendidik mengajar serta
membimbing anak-anak mereka untuk menjadi pewaris pelapis kepada generasi yang
cemerlang ilmu dan akhlaknya di dunia dan di akhirat. Sekaligus membentuk anak-anak yang
bukan sahaja boleh dijadikan cermin generasi tetapi juga sebagai pejuang kepada amar
makruf dan nahi mungkar, bahkan sebagai khalifah di muka bumi ini sekaligus sebagai ulamak
pewaris para nabi.
Kelalaian, kelemahan, kesilapan atau kesalahan ibu bapa dalam mentarbiah anak-anak
mereka adalah saham terbesar dalam menambahkan lagi jumlah generasi pincang,
bermasalah, terpesong, sampah mesyarakat, musuh negara serta perosak agama.
Maka pengetahuan ibu bapa dalam kaedah mentarbiah anak-anak perlu dipertingkatkan
sesuai dengan kemajuan dan kemodernan dunia yang serba canggih, dengan mengumpul,
mendalami serta mempraktikkan segala maklumat terkini yang sesuai untuk diterapkan dalam
agenda memantapkan syaksiah diri lalu cuba menterjemahkannya dalam agenda pendidikan
anak-anak.
Ibu bapa yang jumud dalam kekolotan akan terus menghadapi masalah kekalutan dan
kemelut dalam menghadapi ledakan arus permodernan yang akan menyebabkan mereka
dipandang remeh, bahkan dianggap sebagai penghalang kepada kebebasan anak-anak
mereka yang mergelumang dengan berbagai ledakan budaya songsang yang mereka anggap
sebagai aliran peredaran zaman yang patut diikuti dan dicontohi.
Kegagalan ibu bapa dalam memperlengkapkan diri dengan elemen-elemen yang sepatutnya
ada pada diri ibu bapa cemerlang adalah sebagai punca sebenar kegagalan membentuk
generasi yang bukan sahaja berilmu bahkan berakhlak mulia.
Pendek kata ibu bapa harus menjadi cermin, ikutan, contoh teladan yang baik kepada anak-
anak mereka dalam segenap segi. Hanya ibu bapa yang benar-benar cemerlang dunia
akhiratnya sahaja yang layak mengimpikan anak-anak yang cemerlang ilmu dan akhlaknya.
Maka sentiasalah berusaha dan berdoa untuk menjadi ibu bapa cemerlang seiring dengan
usaha membentuk generasi yang cemerlang.
PERANAN IBU BAPA
Peranan bermakna satu kewajiban melaksanakan tugas dan tanggung jawab yang dipikul
sebagai amanah yang mana hasilnya yang manis akan kita kecapi sebagai ganjaran kepada
kejayaan kita. Manakala hasilnya yang pahit akan kita kecapi dan kita telan sebagai bukti
kegagalan kita sendiri.
Peranan ibu bapa dalam membentuk generasi berilmu dan berakhlak ke arah kecemerlangan
dunia dan akhirat, tidak terbatas dalam lingkungan rumah tangga semata-mata, sedangkan di
luar rumah, kita serahkan bulat-bulat kepada peranan oeang lain, sedangkan dalam masa
yang sama kita akan marah kalau anak kita dimarahi atau ditegur kesalahannya oleh orang
lain. Tetapi peranan ibu bapa itu bukan sahaja harus dimainkan terhadap anak mereka sendiri
semasa di dalam rumah dan di luar rumah malah terhadap anak-anak jiran, rakan, hingga
kepada sesiapa sahaja, sesuai dengan firman Allah yang terdapat dalam Suratul 'Asr yang
sering kita baca, iaitu berpesan-pesan kepada (melakukan) kebenaran dan berpesan-pesan
kepada (mengamalkan) sifat kesabaran, sebagai bukti kita orang yang beriman dan beramal
soleh, golongan manusia yang beruntung. Manakala manusia yang bersikap sebaliknya adalah
golongan orang yang rugi.
Sebenarnya agenda mentarbiah anak itu bermula sejak dari proses mencari jodoh, proses
persenyawaan berlaku hinggalah kepada anak itu mampu berdikari bahkan sehingga anak
kita itu dijemput kembali kepada Allah.
Semasa nak-anak masih dalam lingkungan usia yang belum layak dihantar untuk mengikuti
pendidikan formal dikelas-kelas TADIKA, TABIKA atau TASKI, maka ketika itu ibu bapa
adalah segala-galanya buat mereka. Ibu bapa adalah guru kepada mereka dalam pendidikan
informal dalam institusi keluatga, yang mana anak-anak mendapat pendidikan dari ibu bapa
mereka secara lisanul hal (praktik) dan lisanul maqal (teori) sebagai ikutan dan contoh teladan
kepada mereka. Bahkan sekalipun mereka telah mendapat pendidikan formal dari guru
dalam institusi persekolahan, ibu bapa masih tetap berperanan sebagai pemegang saham
terbesar dalam memainkan peranan mentarbiah anak-anak mereka.
Ibu bapa bertanggung jawab meluntur anak-anak mereka sejak mereka masih rebung supaya
senang dibentuk sesuai dengan kecemerlangan yang diidam-idamkan. Kalau kita gagal
meluntur buluh dari rebungnya, maka kita akan berhadapan dengan resiko yang semakin
rumit untuk melenturnya. Dalam hal ini Pepatah Melayu ada mengingatkan kita
"MELENTUR BULUH BIAR DARI REBUNGNYA" maknanya, mendidik anak itu
biar dari masa kecilnya, kerana anak-anak yang dilahirkan itu bagaikan kain putih, maka
terpulanglah kepada ibu bapa untuk mencorak-warnakannya mengikut kemahuan mereka.
Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud : "Setiap bayi yang dilahirkan adalah
dalam keadaan fitrah (suci bersih/Islam), maka ibu bapanyalah (yang berperanan)
menjadikannya (samada) Yahudi, Nasrani atau Majusi".
Maknanya kalau anak kita (muslim) berperangai seperti orang (kafir) Yahudi atau Nasrani
atau Majusi, itu adalah bukti kegagalan kita mengislamkan perangai mereka. Jika anak-anak
kita mengagong-agongkan budaya negatif dari barat seperti "rock","punk" menagih dadah,
pergaulan bebas dan lain-lain, itu membuktikan kita gagal menerapkan ajaran suci Islam
dalam diri mereka, mungkin juga dalam diri kita sendiri.
ANAK-ANAK TERLANJUR MENJADI BULUH, BESI ATAU BATU
Jika kita terbukti gagal mendidik anak semasa rebungnya, kita sebenarnya mendedahkan diri
kita kepada resiko yang rumit untuk membentuknya. Walau bagaimanapun peranan kita
sebagai ibu bapa masih tetap wajib dilaksanakan. Untuk melentur buluh kita terpaksa
menggunakan api untuk melembutkannya, pun begitu silap langkah, buluh akan pecah atau
patah, jadi kita harus berhati-hati. Perkara ini perlu kepada kemahiran dan pengalaman serta
maklumat yang luas untuk melihat hasilnya yang memuaskan.
Kalau anak telah terlanjur menjadi besi, untuk melembutkannya, mencairkannya dan
membentuknya semula menjadi semakin rumit. Kita terpaksa menggungkan api yang
berkuasa tinggi untuk meleburkannya baru dapat membentuknya semula, sekali lagi kita perlu
mempunyai kemahiran dan pengalaman yang tinggi.
Kalau anak telah keras menjadi batu, berhati batu, kepala batu, telinga batu, kita terpaksa
melembutkannya dengan menggunakan air atau terpaksa menggunakan berbagai alat untuk
membentuknya, atau kita terpaksa menghancurkannya menjadi serbuk baru boleh
membentuknya semula. Ini sudah tentu lebih rumit, sekali lagi mahu tidak mahu kita perlu
sentiasa menambahkan kemahiran dan pengalaman.
Kemahiran dan pengalaman sahaja tidak mencukupi tanpa melengkapkan diri kita dengan
segala sifat yang terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan lain-lain. Sifat-sifat ini juga tidak akan
pernah wujud dalam diri kita seandainya kita tidak mahu menginsafi segala kesalahan,
kesilapan, keterlanjuran, pendek kata segala dosa kita. Justeru itu kita hendaklah
memperbanyakkan taubat dan istigfar memohon ampun kepada Allah SWT kerana kita telah
gagal melaksanakan tanggung jawab yang telah diamanahkan kepada kita. sambil memohon
ampun kita terus melipat-gandakan usaha mentarbiah diri dan zuriat kita disamping tidak
putus-putus berdoa.
CATATAN : SAMBUNGAN SETERUSNYA:
BAHAGIAN KEDUA:
KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL?
Faktor Pertama : BALASAN
Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK
SEMBAHYANG?
ROTAN/PUKUL-DERA?
KITA DAN ROTAN.
Sekianlah dahulu,
Terima(lah) Kasih!
AZHARI(S)
29JUN2000