TAJUK : PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK GENERASI
BERILMU DAN BERAKHLAK KE ARAH KECEMERLANGAN DUNIA DAN
AKHIRAT. (BAHAGIAN KEDUA)
OLEH : AZHAR(S)
BAHAGIAN : KEDUA.
KENAPA ANAK-ANAK MENJADI DEGIL?
Ada beberapa faktor yang menjadi penyebab mengapa anak-anak kita bersifat degil atau
lebih dahsyat lagi derhaka. Faktor-faktor ini adalah akibat kegagalan ibu bapa menunaikan
amanah Allah SWT dalam membentuk keperibadian anak.
Faktor Pertama : BALASAN
Sebenarnya resiko yang kita terima sekarang ini adalah balasan kepada sikap dan sifat kita
terhadap ibu bapa kita semasa kita kecil dahulu. Sudah tentu ibu bapa kita semasa kecilnya
juga bersifat seperti kita (degil/derhaka). Kesalahan ini kait mengait antara kita dan ibu bapa
kita sebagai balasan Allah SWT. Ini ditambah dengan keingkaran anak menurut kata, juga
kesalahan ibu bapa tidak melaksanakan tanggung jawab (amanah Allah SWT) mendidik anak
mengikut kehendak Allah SWT. Jadi kesalahan anak ialah kerana gagal berbuat baik kepada
ibu bapa, manakala ibu bapa pula gagal membentuk mereka menjadi anak yang mengikut
kebaikan.
Anak-anak sepatutnya berbuat baik kepada ibu bapa seperti mana ibu bapa berbuat baik
kepada mereka, mudah-mudahan anak-anak mereka (cucu-cicit ) nanti berbuat baik kepada
mereka sebagai balasan kepada perbuatan baik mereka. Kalau sebaliknya maka
sebaliknyalah pula yang bakal kita terima. Ini jelas disebutkan dalam sebuah hadis Nabi
SAW yang bermaksud : "Berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa kamu, nescaya
anak-anak kamu akan berbuat baik kepada kamu".
Berbuat baik di sini meliputi segala aspek kehidupan dan juga tuntutan agama Islam itu
sendiri. Ini bermakna tidak timbul anak derhaka akibat (balasan) dari ibu bapa yang derhaka
kepada ibu bapa mereka dahulu, seandainya masing-masing mahu berbuat baik.
Faktor Kedua : KECUAIAN/KEGAGALAN MENDIDIK
Anak kita menjadi degil atau derhaka adalah disebabkan oleh kecuaian atau kegagalan kita
sebagai ibu bapa mendidik mereka mengikut lunas-lunas yang disarankan oleh agama.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Suruhlah anak-anak kamu mendirikan
solat (sembahyang) ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika enggan)
ketika mereka berumur sepuluh tahun dan pisahkanlah tempat tidur mereka (dari ibu bapa
dan juga dari adik beradik mereka yang berlainan jenis/jentina).
Rasulullah SAW menegaskan betapa peri pentingnya ibadat solat didirikan, sehingga Baginda
menyuruh kita mengarahkan anak-anak kita melakukan solat itu semasa mereka baru
berumur tujuh tahun. Suruhan itu begitu tegas sekali apabila Baginda menyuruh kita
menggunakan rotan tatkala anak yang berumur sepuluh tahun enggan mendirikannya.
SOLAT/SEMBAHYANG?
Kenapa solat atau sembahyang pula dikaitkan dengan agenda mentarbiah generasi berilmu
dan berakhlak ke arah kecemerlangan dunia dan akhirat?
Sebagai menjawab pertanyaan ini, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud
:"Solat/sembahyang itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya ia telah
mendirikan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya ia meruntuhkan agama".
Allah SWT telah berfirman di dalam Surah Al-'Ankabuut ayat : 45 yang bermaksud :
"Bahawa sesungguhnya sembahyang itu (boleh) mencegah (orang yang mendirikannya) dari
(melakukan) perkara yang keji dan mungkar (jahat)".
Kedua-dua NAS yang tersebut sudah cukup untuk membuktikan betapa solat atau
sembahyang itu satu perkara yang amat penting dalam arus pendidikan anak-anak ke arah
melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah, pewaris kecemerlangan dunia dan akhirat.
Kerana orang yang taat melaksanakan solat itu sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT.
Terpelihara dari dosa, maksiat dan kemungkaran. Bahkan mereka sentiasa berada di bawah
pimpinan Allah SWT kepada sifat taat, taat kepada ibu bapa, guru, juga kepada Allah SWT
dan RasulNya SAW, serta sifat-sifat terpuji seperti sabar, rajin, tekun dan sebagainya.
ROTAN/PUKUL-DERA?
Menggunakan rotan dalam kaedah pendidikan Islam adalah satu cara psikologi yang paling
berkesan yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW seperti hadis yang baru kita ikuti tadi, dan
disokong oleh sebuah hadis lagi yang bermaksud :"Allah SWT memberkati rumah yang di
dalamnya ada digantung rotan".
Rotan bukan digunakan untuk mendera anak, tetapi fungsinya yang sebenar ialah untuk tujuan
pendidikan. Kalau kita memukul anak yang enggan mendirikan sembahyang sedang ia telah
berumur sepuluh tahun, apatah lagi yang telah 'Aqil Baligh mestilah dengan cara dan kaedah
yang betul yang benar-benar bertujuan untuk mendidik, bukan mendera atau menyeksa anak.
Perbuatan merotan yang didorong oleh niat yang ikhlas kerana menjalankan perintah
Rasulallah SAW itu boleh menghalau syaitan yang bersarang dalam jiwa anak-anak kita.
Tetapi merotan anak dengan sesuka hati dan tujuan mendera, hanya akan menyebabkan anak
kita menjadi konco-konco syaitan yang menanamkan sifat dendam, benci, marah dan
sebagainya.
KITA DAN ROTAN
Kalau kita di rumah tidakpun merotan anak kita yang layak dirotan, di luar rumah kita tidak
dapat pastikan bahawa anak kita tidak menerima hukuman kepada kesalahan yang
dilakukannya. Guru disiplin dan guru besar atau pengetua kini diberi lesen untuk
menggunakan rotan. Lagipun yang mana lebih baik, di rumah kita gunakan rotan dan diluar
anak kita menjadi manusia baik, atau kita tak pernah merotan anak hingga anak kita jadi
pelesit lalu ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbat ke dalam penjara kerana kesalahan
jenayah dan sebagainya.
Anak yang tidak pernah dirotan oleh ibu bapa akan menganggap diri mereka anak manja
atau anak emas. Anak yang merasa diri mereka raja di dalam rumah akan menampakkan
sikap yang degil seterusnya membawa kepada derhaka.
Namun demikian kita harus menggunakan rotan dengan cara yang berpatutan, bersesuaian
dengan tujuan sebenar untuk memberi pendidikan. Kerana kalau tersilap langkah maka lain
pula jadinya. Dalam hal ini kita jangan menjadi bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan
betul sedangkan dirinya sendiri berjalan mengiring/mereng. Ini bermakna kita kenalah
mempraktikkan pendidikan lisanul hal (amali/praktik), supaya anak-anak akan menjadikan
kita sebagai 'role model' kepada diri mereka.
CATATAN : SAMBUNGAN SETERUSNYA
BAHAGIAN KETIGA:
TINDAKAN SUSULAN
ANAK YANG SOLEH
MENGAMBIL BERAT
Sekianlah dahulu,
Terima(lah) Kasih!
AZHARI(S)
30JUN2000