Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh!
TAJUK : PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK GENERASI
BERILMU DAN BERAKHLAK KE ARAH KECEMERLANGAN DUNIA DAN
AKHIRAT (BAH.4 AKHIR)
PRAKATA :
Kini kita berada di Bahagian Akhir artikel ini, silalah pastikan kita telah membaca bahagian
yang telah lalu iaitu bahagian 1 hingga 3, kalau kita benar-benar prihatin dengan masalah yang
sedang melanda remaja khasnya anak-anak kita. Apa yang kita lihat pada hari ini, segala
yang kita pernah dengar berlaku di barat yang disebut sebagai gejala sosial telahpun melanda
negara kita, apabila kerajaan hanya mementingkan kemajuan dunia dalam bentuk fizikal dan
mental semata-mata, manakala kemajuan spiritual dibiarkan tertinggal jauh. Ini menyebabkan
negara sedang berhadapan dengan krisis moral yang tinggi.
Walaupun kerajaan sudah ada modal sedia ada untuk mempersalahkan pembangkang dalam
hal ini, tapi mereka tidak dapat nafikan bahawa anak-anak merekalah yang menjadi bukti
akibat (balasan) dari angkara durjana mereka. Namun demikian anak-anak kita kini sedang
berada dalam bahaya, kerana sejauh manapun kita berusaha mentarbiah anak-anak kita
mengikut kehendak Maha Pencipta, kita tetap berhadapan dengan bahaya akibat (balasan)
dari kelalaian kita dalam melaksanakan 'amar makruf dan nahi mungkar'. Kita mungkin telah
berjaya melaksanakannya dalam diri dan keluarga, tetapi kita terpaksa membiarkan
mesyarakat punah ranah, dalam kampung kita, daerah kita, bandar kita, negeri kita
seterusnya negara kita. Sikap membiarkan sahaja, atau hanya berpuas hati dengan taraf iman
yang paling lemah yakni "membenci di dalam hati" akan menyebabkan kapal (negara) kita
karam, dan apabila kapal kita tenggelam, kita tetap akan terlibat sebagai mangsa yang lemas
dan mungkin mati.
BAHAGIAN KEEMPAT (AKHIR)
MEMPERUNTUKKAN MASA
Kesemua apa yang telah dikatakan sebelum ini memerlukan pengorbanan yang tinggi dari
para ibu bapa. Ibu bapa mestilah pandai memperuntukkan masa yang secukupnya untuk
meladeni (melayani) karenah anak-anak.
Sekali lagi kita harus bijaksana menguruskan masa kita. Jangan pula kerana sibuk mengurus
anak-anak menyebabkan kita lalai terhadap tanggungjawab kita kepada tugas yang
diamanahkan kepada kita oleh majikan kita, apatah lagi kalau sampai melalaikan kita
terhadap tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan Rasul SAW. Dalam hal ini Allah SWT
telah memperingatkan kepada kita dengan firmannya yang bermaksud : "Wahai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta benda kamu dan anak-anak kamu dari
mengingati (melaksanakan perintah) Allah, kerana barang sesiapa berbuat demikian maka
merekalah orang yang rugi" (Surah Al-Munafiquun Ayat :9)
Dalam hal ini Pepatah Melayu juga ada mengtakan : "Bahawa masa itu adalah (umpama)
emas". Ini menunjukkan masa itu terlalu berharga. Kalau kita gagal merebutnya maka kita
akan rugi. Maka tidak heranlah kenapa Allah SWT sendiri bersumpah dengan (keutamaan)
masa, seperti firmannya yang bermaksud:
"Demi masa, sesungguhnya manusia itu nescaya (berada) dalam kerugian. Kecuali orang-
orang yang beriman dan beramal soleh (berlaku baik), dan berpesan-pesan dengan
(menlaksanakan) kebenaran, dan berpesan-pesan dengan (mengamalkan sifat) kesabaran".
(Surah Al-'Asr)
BUKTI KEJAYAAN CEMERLANG
Kejayaan cemerlang atas segala usaha kita selama ini hanya akan berjaya dibuktikan oleh
kita sendiri. Kita yang menjadi ketua rumah dapat membuktikan bahawa kita telah berjaya
mengwujudkan 'keluarga bahagia' dalam rumah tangga kita. Sementara semua penghuni
rumah itu dapat merasakan bahawa rumah yang mereka diami bagaikan syurga yang aman
damai. Semua isi rumah akan mendokong slogan "Rumahku Syurgaku". Bahkan suasana
tersebut juga dapat dihidu keharumannya oleh jiran tetangga mahupun para tamu yang datang
berkunjung, yang tidak pernah diminta (komen) dari mulut mereka apapun pujian, tetapi
bagaikan manis madu rasanya (mereka membuat komen) mengatakan bahawa suasana yang
mereka rasai di dalam rumah kita bagaikan suasana sebuah syurga. Bahkan ibu bapa begini
juga adalah orang yang memenuhi segala syarat yang perlu ada kepada ibu atau bapa
"mithali", kerana kejayaannya membentuk keluarga bahagia dan cemerlang.
Ibu bapa ini juga kalau dia seorang pekerja yang menjawat apa-apa jawatanpun, di mana
sahaja ia ditugaskan, bila-bila sahaja khidmatnya diperlukan, akan mempamirkan mutu
(kualiti) kerja yang berprestasi tinggi. Mereka ini berkhidmat dengan segala sifat-sifat yang
terpuji, melaksanakan tugas dengan yang terbaik, bukan kerana inginkan pujian, amat teliti
dalam segala tindakan dengan mengelakkan segala sifat-sifat yang keji bukan kerana takut
kepada (kejian) caci dan maki dari sesiapapun. Mereka ini terbukti memenuhi segala syarat
yang perlu ada kepada pekerja yang layak dianugerahi "Khidmat Cemerlang", bahkan
majikannya tidak akan teragak-agak untuk mencalonkannya supaya dinaikkan pangkat atau
dikurniai 'darjah-darjah' kebesaran dan lain-lain insentif.
BUKTI KECEMERLANGAN ANAK
Anak yang terdidik oleh ibu bapa cemerlang dengan kaedah-kaedah cemerlang akan
menamatkan pengajiannya dengan cemerlang, bukan sahaja cemerlang akademiknya bahkan
cemerlang peribadi dan jiwanya dengan akhlak yang mulia.
Walau apa bidang kerjaya yang diceburinya, dia tetap cemerlang. Sasaran utamanya adalah
perkhidmatan yang terbaik, matlamatnya adalah kecemerlangan diri dan majikannya, bahkan
kecemerlangan agamanya dapat dilihat dari mutu kerjanya yang sentiasa maju. Anak-anak ini
tidak akan mudah dikelabui (dirasuah) dengan wang ringgit yang mungkin akan ditumbukkan
kerusuknya. Ia sentiasa merasa diawasi oleh mata yang boleh melihat dalam keadaan terang
mahupun gelap, yang nyata mahupun yang tersembunyi, DIA (Allah SWT) yang mewakilkan
dua malaikat "Kiraman Katibin" yang tidak pernah lalai dari mencatat segala apa yang ia (juga
kita semua) lakukan. Begitulah kuat imanya terhadap setiap rukun iman (yang enam) itu
sendiri, sebagai bukti kecemerlangan dirinya.
Mereka ini menjalankan segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya
dengan penuh kometmen, iltizam dan istiqamah, tanpa mengira masa dan tidak tertakluk
kepada nilai upah atau gaji yang diterima, bahkan merasakan bahawa gaji yang diterimanya
dari majikan bukanlah satu keutamaan yang boleh merampas keutamaan sifat ikhlas yang
menjadi sifatnya yang paling utama dalam mencari keridaan Allah SWT.
KESIMPULAN
Seandainya apa yang disarankan melalui catatan ini dapat dipraktikkan sendiri oleh ibu bapa,
samada untuk pakaian sendiri atau untuk diterapkan dalam agenda mentarbiah anak-anak
dari masa kesemasa dengan penuh tanggungjawab dan bijaksana serta niat yang ikhlas, maka
usaha yang murni (artikel) ini sudah tentu dapat membantu mengwujudkan generasi berilmu
dan berakhlak ke arah kecemerlangan (hidup) di dunia dan juga di akhirat nanti.
Maka semua ini terpulanglah kepada ibu bapa itu sendiri samada mahu mencuba dengan
usaha yang bersungguh-sungguh ataupun mahu terus mencuba teori-teori yang cuba
diketengahkan oleh musuh-musuh Islam yang kadang-kala bertentangan dengan apa yang
dianjurkan oleh agama kita yang maha suci.
Perlu diingat, bahawa kita sebenarnya bukanlah gagal dalam mentarbiah anak-anak kita,
tetapi sebenarnya yang gagal adalah percubaan kita yang mungkin sebelum ini terdapat cacat-
cela di sana sini. Oleh itu kita hendaklah berani untuk terus mencuba. Jangan sekali-kali kita
gagal untuk meneruskan percubaan demi percubaan disamping terus bertawakkal dan
bermohon doa kepada Allah SWT, mudah-mudahan dengan kecekalan kita itu akan
dimakbulkan oleh Allah SWT juga akhirnya Insya Allahu Ta'ala Amin ya Rabbal 'alamin.
Wallahu a'alamu bissowab.
Selamat mencuba dan selamat berjaya.
Wassalam!
AZHARI(S)
30JUN 2000