Oleh : Azhari(s)
MUKADDIMAH:
Ibu bapa yang dianugerahkan cahaya mata adalah antara manusia yang paling bahagia dengan
rasa keberuntungan berbanding dengan sepasang suami isteri yang masih belum menikmati
kurnia Ilahi ini (golongan ini disarankan supaya bersabar dengan ketentuan Allah SWT,
sambil berusaha bertawakkal dan terus berdoa). Sudah tentu ada hikmah yang tersembunyi
disebalik ketentuan Allah SWT ini. Bersyukurlah dengan kurniaan yang kita kecapi disamping
terus menyedari bahawa ini semua adalah amanah Allah SWT yang dipertanggungjawabkan
ke atas kita sebagai manusia yang bergelar 'Khalifah' Allah di muka bumi ini, dengan tujuan
untuk memakmurkan dunia ini dengan keadilan Ilahi.
Untuk melaksanakan tugas yang berat ini sudah tentulah manusia yang bergelar sebagai ibu
bapa itu, semestinya terus mencari jalan yang mana harus dilalui untuk menuju matlamat yang
dikehendaki oleh Allah SWT yang telah mencipta mereka, anak-anak mereka bahkan segala
makhluk dan kejadian. Kejayaan cemerlang sudah tentu menagih usaha yang cemerlang
dalam segala sudut. Segala pancaroba sepatutnya dijadikan jambatan ke arah mencapai
matlamat yang murni ini.
Dalam kita melipat gandakan usaha menuju kecemerlangan diri dan keluarga bahkan untuk
manusia seluruhnya, terdapat ramai lagi manusia durjana yang usaha mereka lebih canggih lagi
jika dibandingkan dengan usaha kita dalam menghalang segala impian murni kita dari
tercapai. Semua ini tidak kira samada ianya manusia atau syaitan atau apa sahaja, harus kita
kenal pasti bahawa mereka adalah musuh kita, lalu memantapkan syakhsiah diri dengan
segala benteng yang kukuh serta senjata yang ampuh untuk menghadapi mereka itu. Mereka
inilah sebenarnya sedang mewarnai hidup dan kehidupan kita didunia ini, sehingga kita begitu
kabur mengenai erti sebenar hidup dan kehidupan.
HIDUP DAN KEHIDUPAN
Hidup dan kehidupan ini memang sesuatu yang unik untuk ditakrifkan, dijelajahi, diterokai,
justeru itu ia kadang-kala terlalu kompleks untuk difahami atau dimengerti, bahkan kadang-
kadang ia terlalu seni untuk didefinisikan apatah lagi untuk diterjemahkan berupa sesuatu yang
praktik. Ini menyebabkan rata-rata orang yang hidup dan menjalani kehidupan ini masih
tercari-cari dalam keadaan meraba-raba, namun ada juga hidupan yang merasakan diri
mereka benar-benar tahu, mengerti, faham, lalu mendatangkan berbagai takrif, definisi,
mengikut perspektif mereka sendiri lalu menjelajahi, menerokai dan melakukan semahunya
berdasarkan kaca mata mereka yang terlalu kabur untuk melihat kebenaran, apatah lagi
pertunjuk dari "Yang Hidup lagi menghidupkan, Yang Tidak mati lagi Maha Berkuasa
mematikan"(Allah SWT). Lantaran itu mereka dihukum oleh perspektif mereka sendiri,
diperangkap oleh pendapat mereka yang dikemudikan oleh keegoan nafsu dan
kemaharajalelaan akal mereka yang gagal berfungsi, kerana gagal dikendalikan oleh hati
nurani, kerana kemurnian hati mereka telah dinodai oleh kemungkaran yang berakar umbi
dalam jiwa mereka yang mengkufuri nikmat dan "Pemberi nikmat" itu sendiri.
Apapun pendapat mengenai hidup dan kehidupan ini hanyalah tekaan, bayangan dan angan-
angan kosong yang didalangi oleh nafsu "lauwamah" dan minda yang sempit yang terumbang-
ambing tanpa penyelesaian. Hanya "KALAM" yang diwartakan melalui satu warta yang
tidak diragui lagi akan kebenarannya yang datang dari Yang Menghidupkan dan
menunjukkan bagaimana kehidupan ini harus dilalui sahaja, yang layak dipercayai
kebenarannya yang unggul lagi "syumul".
Ini jelas meyakinkan kita bahawa apapun tanggapan selain dari kaca mata Al-Quran dan Al-
Hadis hanya berada diawang-awangan, jauh dari sampai kesinggahsana yang selayaknya. Ia
juga menjelaskan kepada kita bahawa hidup ini mesti berjuang dan kehidupan ini pula mesti
diperjuangkan berasaskan semangat juang yang disarankan oleh agama Islam itu sendiri.
Berjuang untuk hidup dan memperjuangkan kehidupan dengan membelakangkan anutan
agama, jelas dipesongkan oleh runtunan hawa nafsu yang buas dan akal yang liar. Itulah
sebabnya Allah SWT mengutus para Rasul AS bertujuan menjinakkan nafsu dan menambat
akal supaya berfungsi sejajar dengan keinginan yang luhur dan kesejahteraan yang hakiki.
AGAMA ISLAM TERCINTA
Islam adalah agama kita dan kita berbangga menganut agama Allah SWT ini melebihi
kebanggaan kita terhadap apa jua yang layak kita banggakan. Marilah sama-sama kita
berjuang dan memperjuangkan hidup dan kehidupan ini menurut landasan agama yang kita
bangga-banggakan.
Kenapakah agaknya kita begitu bangga dan memangpun kita layak berbangga dengan agama
yang kita anuti, kita pertahankan dan kita cintai ini ?
Sebagai menjawab pertanyaan ini, Allah SWT telah berfirman di dalam kitab suci Al-Quran
(Surah : Aali 'Imraan : Ayat : 19) yang bermaksud: "Bahawa sesungguhnya agama (yang
diridhai) di sisi Allah (SWT) ialah agama Islam"
Kalau kita senaraikan nama agama yang terdapat di dunia ini, sekian jumlahnya, agama Islam
pula termaktub sebagai yang pertama, utama dan unggul atau "The top of the tops",
sedangkan yang meletakkannya ditempat tersebut adalah Allah SWT yang MAHA segala-
galanya, sudah tentu kita layak berbangga. Mereka yang agamanya tidak mendapat
keistimewaan serupa ini (?), kerana tidak mampu berbangga dan membanggakan agama
mereka, mereka telah menuntut hak kelayakan untuk mencemburui, memfitnah, menghasut,
meracuni, memusuhi, memerangi, pendek kata ingin memusnahkan, menjahanamkan,
memporak-perandakan, memecah-belahkan, mengadu-dombkan, lalu akhirnya ingin
menguburkan penganut dan ajaran agama Islam tanpa nisan.
Inilah juga hak yang telah dituntut oleh Iblis laknatullah 'alaih apabila ia disingkir dari syurga
kerana sifat 'takabbur' dan dengkinya terhadap kelebihan yang diberikan kepada Nabi Adam
AS yang dilantik sebagi 'Khalifah' di muka bumi ini. Kerana kedengkiannya yang maksima
telah mengheret sipendengki itu merangkul sifat takabbur yang mengundang padah
'kemurkaan' Allah SWT, hingga dicop sebagai makhluk terkutuk sehingga Hari Kebangkitan
dan akhirnya akan dicampakkan ke dalam neraka 'Jahannam' serta kekal di dalamnya.
Semua mangsanya yang terdiri dari jin dan manusia juga bakal menerima nasib yang sama,
melainkan mereka yang segera insaf dan bertaubat dari segala keterlanjuran, kesalahan,
kesilapan, maksiat, kemungkaran, pendek kata dari segala bentuk jenama atau label yang
dikategorikan atau disenaraikan sebagai dosa. Dosa yang bukan sahaja yang dipromosikan
oleh syaitan dalam bentuk menghiburkan, menyeronokkan, mengasyikkan, bahkan dalam
bentuk mengkhayalkan, melalaikan, pendek kata merosakkan, memesongkan dan juga boleh
menjahanamkan.
GODAAN SYAITAN DAN SEGALA BENTUKNYA
Dosa itu dihidangkan oleh syaitan kepada mangsanya dalam bentuk menyelirakan,
mengiurkan bahkan boleh membangkitkan keinginan mencuba yang sampai ketahap paling
maksima. Kalau ia gagal memerangkap mangsanya dengan kata-kata manis madu, pujuk
rayu, janji manis, maka godaan akan dipertingkatkan sehingga kepada ugutan dan paksaan.
Beraneka bentuk dan jenis jerat, jerangkap samar, perangkap dipasang di sana sini, di
tempat-tempat menunggu bas, dikaki-kaki lima kedai, di tembok-tembok, di dalam semak-
samun, di taman-taman permainan, di tempat-tempat rekreasi, di tempat-tempat perkelahan,
di tepi-tepi pantai, di bukit-bukau, di pergunungan dan banyak lagi tempat yang dianggap
sesuai untuk dikunjungi oleh pasangan, atau kumpulan yang dianggap bersifat "privacy".
Namun ada juga perangkap yang berupa 'magnet' ada juga yang berupa gam, yang berkuasa
menarik dan memukau atau memaku seseorang yang terlibat menjadi mangsa, seperti kedai-
kedai kopi, pusat-pusat permainan video, pasar-pasar malam, di pasar-pasaraya, di pusat-
pusat membeli-belah, yang menarik mangsanya untuk 'berlepak-lepak'.
Manakala tempat-tempat seperti kedai-kedai "snooker" kedai-kedai "TOTO" atau menjual
nombor ekor, bukan sahaja tempat berlepak-lepak tetapi sebagai institusi pendidikan judi
secara terbuka. Manakala 'mini teater', pawagam,'bar', rumah-rumah urut, sarang-sarang
pelacuran, sebagai agensi yang dijadikan oleh syaitan sebagi magnet atau gam yang paling
ampuh untuk menarik mangsanya mendekati zina.
Oleh kerana untuk mengheret mangsa bukanlah satu kerja yang mudah, maka syaitan
menawarkn hiburan, keseronokan, melalui penyalahgunaan dadah, menghidu gam, minum
ubat batuk, mengambil pil khayal, arak dengan segala jenama dan jenis masing-masing serta
tahap kekuatan "kick" masing-masing sebagai "starting point" ke arah langkah-langkah
yang lebih tragis, mengerikan, mengerunkan, bila terjebak dengan kes-kes 'juvana' oleh anak-
anak remaja kita yang sepatutnya menjadi "staring" dalam "the top ten" dalam peperiksaan
yang diduduki di sekolah, bukan menjadi jagoan kepada kumpulan "Gangstar" di dalam
atau di luar sekolah.
HARI KIAMAT SEMAKIN HAMPIR
Begitulh hidup dan kehidupan ini telah diwarni dengan beraneka ragam tindak-tanduk
manusia yang mungkin juga pada pandangan Allah SWT telah bertanduk seperti yang dimiliki
oleh syaitan dan iblis yang digambarkan kepada kita oleh 'nas-nas' daripda Al-Hadis. Hidup
dan kehidupan kini bagaikan diselubungi oleh jerebu yang datang dari pencemaran oleh gejala
sosial, kes juvana, sumbang muhrim, jenayah kolar putih, pecah amanah, rasuah, dan banyak
lagi yang kesemuanya menjadi penyumbang saham terbesar kepada pencemaran awang-
awang kita, bahkan lapisan 'orzon' juga turut menipis, menandakan 'Hari Kiamat' semakin
bertambah hampir.
Hari Kiamat yang sebenarnya pasti akan tiba bila sampai masanya, tetapi sebelum ia benar-
benar berlaku, satu demi satu 'kiamat kecil' berlaku di sana sini, setiap hari, setiap saat,
mungkin di negara jiran, di negara kita sendiri, di negeri kita, di daerah kita, di kampung kita,
di rumah jiran kita, mungkin juga berlaku di dalam rumah kita sendiri, mungkin juga dalam diri
kita sendiri.
Fenomena ini sewajarnya menyedarkan kita, ibu-ibu, bapa-bapa, anak-anak, pakcik-pakcik,
makcik-makcik, bahkan semua penghuni awang-awang itu sendiri, betapa awang-awang
yang tercinta ini dikhuatiri akan tidak selamat lagi untuk didiami.
Kebimbangan, kerisauan, ketakutan, kegerunan, yang kini mula bertapak di lubuk hati kita
ini, sepatutnya disuntik dengan keyakinan, keprihatinan, semangat kerjasama, iltizam,
komitmen yang tinggi supaya dapat membangkitkan semangat juang yang kental serta tahan
uji untuk berjuang dan memperjuangkan hidup dan kehidupan ini, bukan sahaja hidup dan
kehidupan di dunia yang 'fana' ini bahkan untuk hidup dan kehidupan yang kekal abadi di
akhirat nanti.
SUNTIKAN MOTIVASI UNTUK ANAK-ANAK
Marilah kita sama-sama bangun membuktikannya dengan tindakan seperti yang dianjurkan
oleh agama yang murni, bukan hanya dengan laungan yang berapi-api dari lidah yang tidak
bertulang, mahupun dengan hati yang sebal, apatah lagi dengan hanya diam membatu, yang
hanya akan menyebabkan kita menjadi bagaikan batu yang 'jumud'.
Bangun, biar rebah kita bangun kembali, biar seribu kali, biar sejuta kali, kalau patah sayap
paroh kita tongkahkan, namun membiarkan awang-awang kita terus hancur tidak selamat
untuk didiami, terus musnah tidak sihat untuk dihuni, tidak sekali. Jangan mengaku kalah,
apatah lagi menganggap bahawa kita telah gagal. Percayalah bahawa sesungguhnya kita
belum gagal, belum kalah, hanya barang kali yang kalah atau gagal hanyalah percubaan kita
yang mungkin belum menepati sasaran kerana terdapat kepincangan di sana sini.
Biarpun percubaan kita telah rebah bangun, namun apa yang penting ialah; jangan sekali-kali
kita mendakwa yang kita telah gagal sebelum kita pernah mencuba, teruskan mencuba dan
tiada salahnya untuk kita terus mencuba, bahkan keinginan untuk terus melakukan percubaan
itulah yang harus kita miliki sebagai senjata, azimat dn tangkal untuk kita bersila di atas
menara gading, hatta untuk meraih sijil kecemerlangan di dunia mahupun untuk menerima
anugerah ijazah kegemilangan di akhirat nanti insya Allah.
Sesungguhnya tiada siapapun yang tahu melainkan DIA (Allah SWT), kalau kejayaan sedang
menanti-nanti dan menunggu-nunggu dengan sabar ketibaan kita, dipercubaan yang keseratus
(umpamanya), sedangkan kita telah berputus asa pada percubaan kita pada kali yang ke-99.
Andaikata kita tahu bahawa percubaan kita untuk kali yang keseratus akan membuahkan
hasil yang ditunggu-tunggu selama ini, sudah tentu kita tiada halangan untuk meneruskan
percubaan dengan penuh kesabaran, bahkan dihalang macamanapun kita akan terus
melakukannya.
KESIMPULAN DAN PENUTUP
Sesungguhnya Allah SWT itu Maha Adil terhadap sekelian hambaNya. Pelajarilah keadilan
Allah SWT itu melalui neraca hidup dan memori kehidupan kita sehingga kita berada diusia
ini. Sesungguhnya kita sendirilah yang menzalimi atau menginaya yakni berlaku tidak adil
terhadap diri kita sendiri.
Oleh itu kita hendaklah sentiasa memohon ampun beristigfar kepada Allah SWT kerana dosa
kita telah menzalimi dan menginaya diri kita sendiri, serta disusuli dengan daya usaha yang
maksima dengan menyuntikkan harapan yang tinggi dan keyakinan yang penuh untuk
memperbaiki nasib kita. Kita akan menerima ganjaran dari keadilan Allah SWT berdasarkan
sejauh mana usaha kita. Ini dijelaskan melalui firman Allah SWT dalam Al-Quran (Surah :
Ar-R'ad Ayat : 11) yang bermaksud :
" Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka
sendiri (berusaha) mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..."
Ini bermakna, kalau "A" usaha kita maka cemerlanglah yang kita dapat, tetapi kalau "B"
usaha kita maka terbaiklah sahaja yang kita miliki, demikianlah seterusnya kalau kita gagal
berusaha maka gagallah pula yang layak kita perolehi. Itulah keadilan Allah SWT namanya.
Sesungguhnya keadilan Allah SWT memanglah keADILan yang tidak terpermanai, dan
tiada sesiapa yang dapat menyangkalnya.
Wallahu a'alamu bissowaab.
Wassalam!
Sekian terima(lah) kasih!
AZHARI(S)
2JULAI2000