Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


TEGURAN KEPADA PENA SUASA DAN BA OLEH KELI LEMBUT

RESPOND KEPADA : http://mindarakyat2.tripod.com/2000julai/i2000_1210.htm

Pertama sekali saya mengucapkan syabas kepada Webmaster Minda Rakyat kerana memberi jawapan/respond yang "manis" sebagai tanda ketinggian taraf keimanan seorang mukmin. Saya yang selama ini hanya mampu menyumbangkan SELOKA demi menyahut seruan JIHAD ALAF BARU dari MINDA RAKYAT, rasa terpanggil untuk mengucapkan tahniah ini.

Setelah membaca sendiri apa yang ditulis oleh sdr.Keli Lembut, terus terang saya rasa melenting (perasaan saya). Tulisan tersebut memangpun merupakan satu provokasi kepada para pembaca/peminat MINDA RAKYAT dan para penyokong BA yang beriltizam untuk menegakkan "Agama Allah" di bumi Malaysia yang tercinta ini. Bagi pendapat saya, tiada salahnya kalau kita sahut tulisan tersebut dengan respond yang keras, namun respond yang diberikan oleh Webmaster amat menakjubkan saya, "Allah yaftah 'alaik". Saya teringat dengan ketegasan Amirul Mukminin Saiyidina Umar Ibn Al-Khattab R.A. yang kita kenali sebagai keras, mantap dan bermaya, dalam kebanyakan pandangannya. Namun dalam masa yang sama Amirul Mukminin juga akan berlembut selembut-lembutnya bila memikirkan bahawa perkara itu perlu dilayan dengan kelembutan. Ini juga mengingatkan saya ada beberapa kenyataan Webmaster sebelum ini begitu keras contohnya menjawab isu menggunakan perkataan "Laknatullah", lain pula halnya kali ini. Ini yang membuatkan saya turut merasa kagum.

Dari dua perkara yang berbeza ini saya faham bahawa, kenyataan yang dibuat berdasarkan dari keikhlasan dan kejernihan hati yang dipenuhi iman yang manis, yang dipelihara oleh Allah SWT. Semuga Allah memberi hidayah dan ganjaran yang berlipat ganda kepada tuan. Komen tuan sebenarnya telah menyedarkan saya sendiri, betapa pentingnya mengetahui "Uslubud Dakwah" sekali gus menghayati Islam itu sendiri. Yang lebih penting ialah keupayaan mengawal perasaan yang sering dieksploitasikan oleh 'syaitanir rajim' untuk menjebak kita semua. Pun begitu amat sedikit dikalangan kita dapat memenangi pergelutan dengan 'syaitan laknatullah alaih' itu. Dan fahamlah saya bahawa ketika Saiyidina Umar R.A membuat keputusan yang nampak ganas dan bengis seperti katanya: "pancong" sebenarnya bukan sahaja memancung pesalah bahkan sekaligus menewaskan syaitan, demikian pula sebaliknya.

Kedua: Saya yakin sang Keli (jika nisbah kepada ikan...maaf) memang berbadan licin, tapi licin-licin belutpun boleh juga ditangkap, manakala sifatnya "Lembut" membayangkan lembut- lembutnya memiliki kekasaran yang boleh membuatkannya terlepas. Maksud saya "Keli Lembut" mungkin bertujuan untuk menguji sejauhmana reaksi dan respond dari Webmaster bila menerima penulis begini, sekaligus cuba memerangkap para pembaca tulisannya. Keli Lembut begitu berterus terang dalam sokongannya terhadap "Kerajaan" yang dianggap oleh para reformis sebagai "Zalim". Bahkan beliau juga terus terang menyokong "Astora Jabat" yang (pernah) diberi gelaran "Laknatullah" oleh Webmaster Minda Rakyat (?). Namun ini mungkin difikirkan oleh Webmaster hanya pada tulisan beliau yang ditakrifkan sebagai menguji disamping perangkap.

Ketiga: Saya bersetuju dengan respond dari Webmaster. Keli Lembut seolah-olah hanya meneliti, mambaca dan seterusnya percaya dengan berita-berita yang dihidangkan oleh media massa kerajaan. Jadi Keli Lembut adalah dipelawa untuk membaca pendapat, penilaian dan analisa oleh mereka yang bukan calang-calang orang dari mana-mana Laman Web Reformasi. Cuba bezakan, selami dengan kewarasan fikiran. Takkan Amin Sapiro meninggalkan UMNO nya, kalau dia tidak nampak dengan jelas akan sebab-sebabnya.!!

Cuma satu nasihat saya kepada Keli Lembut dalam membuat penilaian; cubalah membuat penilaian dengan "Kaca Mata" Islam yang sebenarnya. Tanggalkan dulu kaca mata UMNO, kemudian lihatlah dengan kejernihan hati dan kewarasan akal yang dipandu oleh Islam sebenar. Ketepikan dulu Islam dari kaca mata UMNO dan juga PAS, jadikan sumber asal Al-Quran dan Sunnah sebagai penyelesai masalah. Kalau boleh cari seorang guru yang mursyid yang anda yakini bukan melihat dengan kaca mata mana-mana parti. Tetapkan niat dihati hanya untuk mencari kebenaran, bukan untuk meraih kemenangan. Hanya keikhlasan dapat memimpin kita untuk mencari kebenaran, hidayah dan ganjaran yang dijanjikan Allah.

YANG ANDA PERLU TAHU

Kalau anda mengajak mana-mana pemimpin PAS untuk berdebat mengenai isu yang anda timbulkan, demi membuktikan siapa yang menang dan siapa yang kalah, percayalah, tiada seorangpun samada Ahli PAS mahupun para pemimpinnya yang akan menyahut cabaran anda, bahkan mereka tidak merasa 'aib jika anda menghukumkan mereka kalah kerana tidak menyahut cabaran demikian. Tetapi jika anda mengajak mereka bermuzakarah, berbincang untuk "MENCARI KEBENARAN" (perumpamaan) kehujung langitpun mereka sanggup datang menyahut jemputan saudara, bahkan mereka tidak akan berhanti sehingga kebenaran dapat dilihat, dalam masa yang sama mereka tidak akan merasa 'aib sedikitpun jika kebenaran jelas terbukti di pihak saudara, sekaligus mereka tidak akan merasa 'aib untuk mengiktiraf kebenaran itu lalu mengikutinya. Kalau ada dikalangan Ahli PAS mahupun para pemimpinnya yang pentingkan kemenangan dari kebenaran, jelaslah ia hanya bertopengkan PAS. Bagi mereka biarlah kemenangan gagal dicapai namun kebenaran wajib digapai, bahkan bagi mereka iltizam terhadap kebenaran itulah kemenangan yang hakiki.

PELAWAAN BERMUZAKARAH

Saya rasa anda tidak akan dikecewakan oleh Us. Mohd. Ali Muda dan lain-lain ulamak PAS jika anda ingin berdebat, bermuzakarah demi mencari "KEBENARAN". Oleh itu anda adalah dipelawa untuk berdebat dan bermuzakarah dengan mereka. Kalau kebenaran yang ingin dicari, maka kebenaranlah yang akan anda perolehi, tetapi kalau kemenangan yang ingin anda capai maka bersedialah pula untuk menerima kekalahan dengan hati yang ikhlas.

Sekian,

Wassalam!

AZHARI(S)
24JULAI2000

23hb. Julai 2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com