Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


MENANTI NAFIRI JIHAD-OLEH BOMOHDIN
(NOTA WEBMASTER MR YANG MELEGAKAN)

MUKADDIMAH

Kali terakhir saya menyumbang seloka pada 080800 yang lalu sebagai luahan rasa terhadap keputusan mahkamah mengenai kes Palsu/Fitnah liwat DSAI. Selepas itu saya bagaikan tergamam, panik berbaur perasaan yang meluap-luap yang inginkan PEMBEBASAN DSAI secara "lebih cepat lebih bagus" iaitu kalau boleh, 15 saat atau 15 minit atau 15 jam atau 15 hari atau 15 minggu atau 15 BULAN (seperti yang dinyatakan sdr.Mohd.Ezam sebagai ingatan kepada PM supaya UNDUR). Bahkan terus terang saya merasa 15 Bulan yang dicadangkan oleh sdr. Mohd. Ezam itu terasa satu masa yang terlalu LAMA. Begitulah GERAMnya hati ini, lalu merancang beberapa cadangan yang akhirnya dipersembahkan oleh HC dan BOMOHDIN yang bagi saya perlu ditimbang dan difikirkan semasak-masaknya untuk (cuba) dilaksanakan. Saya percaya HC dan BOMOHDIN bersetuju jika cadangan mereka dianalisa secara mendalam diperbincangkan secara menyeluruh agar ianya berhasil cemerlang. Hasil cemerlang yang saya rasa dipersetujui oleh semua pihak ialah antara lain apa yang telah disarankan oleh webmaster MR.

NOTA WEBMASTER MR YANG MELEGAKAN
(sila rujuk : )

Setelah membaca nota webmaster MR saya merasa LEGA. Lega kerana mengamalkan nasihat-menasihati mengenai kebenaran dan nasihat-menasihati dengan (mengamalkan sifat) kesabaran, sesuai dengan makna dari suratul 'Asr yang sering kita baca. Lega kerana memandangkan keupayaan kita bertindak agresif lebih kepada hanya merugikan "kitaorang" bahkan banyak mendatangkan keuntungan kepada "dianatang". Kalau dengan berdemo seperti yang dilakukan sekarangpun "dianatang" boleh putar-alam inikan pula kitaorang angkat senjata. Lagipun senjata apa (maaf tak terbayang) yang boleh kita angkat untuk menghadapi "dianatang" yang menguasi sepenuhnya PDrM dan juga ATM (?).

Lainlah halnya kalau PDrM dari golongan "Reformis" dan juga ATM yang dikatakan paling ramai menyokong REFORMASI bangkit menentang kezaliman. Depa tu kira patutlah, pasal depa pemegang senjata, kita apa yang kita ada? pedang yang patah-patahpun belum tahu ada (seperti yang dimiliki oleh tentera Islam dalam satu siri peperangan melawan musuh Allah). Lagipun saya teringat kata-kata hikmah dalam sebuah majallah berbahasa arab (Majallah Oktober) yang mengatakan : "Anda berupaya membunuh mereka yang bersenjata lengkap, tetapi anda tidak akan berdaya membunuh mereka yang menyembunyikan senjata di bawah lidahnya". Mafhum dari kata-kata hikmah ini bahawa melakukan sesuatu dengan kebijaksanaan akal fikiran yang dituturkan melalui lidah (rundingan) boleh menyelamatkan banyak nyawa dan harta benda akibat peperangan. Lagipun, keSABARan adalah teramat penting dan paling utama dalam menghadapi musuh. Sejarah peperangan yang berlaku dizaman Rasulullah SAW membuktikan kesabaran adalah segala-galanya. Itulah sebabnya 313 orang tentera BADR boleh mengalahkan tentera musuh yang berjumlah 1,000 orang, sekalipun dengan hanya menggunakan pedang yang patah- patah. Ini jelas disebutkan dalam banyak ayat Al-Quran dimana golongan yang sabar biarpun sedikit boleh atau diberi jaminan oleh Allah SWT mengalahkan musuh yang ramai, berganda- ganda disamping Allah SWT memberi pertolongan dengan mendatangkan "Tentera yang tidak boleh dilihat- iaitu para Malaikat".

Persoalannya, setakat mana tahap kesabaran kita berbanding tahap kemarahan dan kegeraman kita ?Kalau webmaster memperingatkan bahawa istilah JIHAD itu begitu luas maknanya, kita juga harus melihat erti atau makna istilah "SABAR" itu juga mempunyai makna yang cukup luas. Tidak bertindak agresif disaat-saat DSAI dijatuhi hukuman penjara 15 tahun adalah salah satu dari 1001 sabar yang dituntut, dalam ertikata bahawa bersabar dari bertindak terburu-buru juga termasuk dalam makna berJIHAD. Bila kita membayangkan bahawa kita juga boleh buat sepertimana rakyat Indonesia buat ketika menumbangkan Soeharto, kalau kita tak buat sedemikian tetapi mencari jalan yang terlebih baik dari itu baru kita bertindak, itu namanya kita bersabar, dan sudah tentu martabat/makam kesabaran kita pada ketika itu lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT dari kesabaran kita bertindak sekarang yang hanya bakal mengundang padah, kerugian dan tidak mustahil penyesalan yang tiada kesudahan.

Walau bagaimanapun, dalam kita bersabar sudah tentu kita tidak akan duduk diam tanpa memikirkan jalan yang terbaik bakal dilaksanakan. Selalunya bila kita berjaya bersabar (buat seketika) fikiran kita akan lebih terbuka dan ilham untuk merangka strategi lebih banyak, ini kerana kita bertindak, berfikir dan merancang "bersama Allah SWT", sebaliknya kalau kita bertindak dalam keadaan kesabaran kita masih nipis/ringan sudah tentu tindakan kita masih terbawa-bawa dengan perasaan geram dan marah. Ingatlah mafhum sabda Rasulullah SAW "Orang yang berani itu ialah orang yang berjaya mengalahkan kemarahannya". Kemarahan itu adalah dari api syaitan, kalau kita bertindak ketika marah kita hanya menghiburkan syaitan.

Sebenarnya P***M** /UMNO/BN semakin risau dan menggelabah, bila disaat-saat "BEGINIPUN" kita masih mampu bersabar. "Dianatang" semakin bertambah binggung memikirkan, apakah lagi yang bakal kita lakukan, "kenapa mereka hanya setakat BERDEMO sahaja? Bila lagi mereka ini cuba bertindak lebih agresif ? Apa muslihat mereka ini?"Kerana kesabaran kita ini "dianatang" semakin payah nak tidur, asyik merancang cuba nak timbulkan isu-isu yang boleh menyebabkan kita hilang kesabaran. Bila kita masih mampu bersabar, "dianatang" semakin tidak dapat menahan marah. Kita tengoklah nanti, "dianatang" akan cuba juga mencetuskan isu-isu hangat, mencabar, mengugut, bahkan memaksa supaya kita marah dan hilang sabar. Isu pengguguran atau pengharaman menggunakan nama "ISLAM" pada parti PAS umpamanya, "dianatang" dah lama membincangkan tapi masih belum melaksanakan, tujuannya tidak lain dan tidak bukan ialah memancing kemarahan kita. Bagi "dianatang" isu ini adalah satu isu yang paling "TOP" dan berkesan untuk menaikkan kemarahan kita, "dianatang" masih menangguhkannya kerana mahu melihat kemarahan kita "BERGANDA-GANDA" baru tercapai niat "dianatang" yang ingin melihat kita 'ANGKAT SENJATA"!!!. Sedangkan ketika itu mereka sudah sediakan "SENJATA HIKMAT" "dianatang" iaitu untuk menghapuskan sama sekali PAS dan menghancurkan ikatan BA, lalu tersenyumlah "dianatang" kerana merasa begitu selesa akan dapat memenangi Pilihan Raya 2004. Itulah sebenarnya PERANGKAP "dianatang" yang bukan sahaja tamak, haloba, rakus membalun harta rakyat, bahkan tamak melihat kita kehilangan sabar, haloba nak lihat kita marah dan mengamok seterusnya angkat senjata, tamak nak terus berkuasa, tamak untuk terus menzalimi rakyat jelata.

SAMBIL BERSABAR KITA BERTINDAK DENGAN WASPADA

Berdiam diri tidak melakukan apa-apa itu bukan sabar namanya, tetapi dayus dan bacul. Sambil kita bersabar kita wajib bertindak mengikut kemampuan masing-masing, namun begitu segala tindakan kita wajib waspada. Demi mengelak dari terjebak dengan tindakan yang merugikan maka "BERMUSYAWARAH" adalah jalan yang mulia dan terbaik disamping diberkati Allah SWT.

Antara perkara yang boleh difikirkan untuk dibincangkan dan dimesyuaratkan ialah cadangan yang dikemukakan oleh artikel yang bertajuk : KEMPEN "ANUAR15" OLEH : STEFFAN KHINGE yang disiarkan dalam Laman Reformasi MAHAZALIM pada 9-8-2000 sila rujuk link berikut:

Selepas ini sudah tentu lebih banyak lagi cadangan bernas dari para netters, dalam menyumbang idea demi menegakkan KeADILan di bumi Malaysia yang tercinta ini. Ingatlah bahawa idea yang datang bersama keSABARan itu lebih besar peranannya dalam JIHAD ALAF BARU ini.

Kepada webmaster MR sekali lagi "ana" sanjung tinggi respond yang "inta" berikan kepada kedua-dua kekanda HC dan BOMOHDIN. Kepada HC dan BOMOHDIN setinggi-tinggi tahniah atas cetusan idea kekanda berdua. Ana yang berada di "Bawah Bayu" ni hanya tumpang semangkok dalam perjuangan HEBAT "antum" semua di Semenanjung. Salah silap mohon maaf, semuga kita sentiasa berada dalam keridaan, peliharaan serta taufiq dan hidayah Allah SWT amin ya Rabbal alamin!!!

LAWAN TETAP LAWAN!

RE - FOR - MA - SI!!!

ALLAHU AKBAR!!!

Salam dari Bawah Bayu!

Sekian Terima(lah)Kasih!

AZHARI(S)
13OGOS2000


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com