Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

TRAGEDI 13 MEI BERULANG DI TANGAN KU LI ?

Tigapuluh tahun lalu, 13 Mei 1969 merupakan sejarah hitam dalam negara ini bilamana meletusnya pergaduhan kaum yang merebak menjadi pertumpahan darah. Kuala Lumpur dibanjiri darah rakyat yang terkorban. Kini, tragedi pahit tersebut sudah lama berlalu dan meninggalkannya menjadi kenangan sejarah buat generasi kini dan akan datang. Ramai menyangka bahawa tragedi hitam itu meletus akibat rasa saling tidak puas hati antara Cina dan Melayu. Namun saya yakin ianya tidak akan terjadi jika tidak ada dalang di sebaliknya, yang mencucuk kedua-dua kaum tersebut. Sebelum pilihanraya baru-baru ini saya telah menuduh dengan penuh yakin bahawa penghasut kepada meletusnya tragedi tersebut ialah si Mahafiraun yang menjadi diktator Malaysia pada hari ini.

Namun dalam tulisan kali ini saya tidak bermaksud untuk mengulas tragedi 13 Mei 1969 dahulu. Yang berlalu biarlah berlalu, kerana pengalaman lalu akan mengajar kita erti kedewasaan. Apa yang ingin saya ulas kali ini ialah mengenai ‘bencana’ besar yang mungkin akan berulang lagi pada 13 Mei depan. Bulan Mei depan akan menyaksikan Perhimpunan Agung UMNo untuk kesekian kalinya di bawah pemerintahan si maharakus mahabuas Mahathir Mohamad. Perhimpunan yang akan berlangsung dari 10 hingga 13 Mei itu bakal melihat bahawa si Mahafiraun itu akan ditentang hebat oleh Ku Li, anak raja yang kecundang di medan 13 tahun dahulu.

Kini, dengan semangat dan tekad yang bulat, didokong oleh hampir 80 pencalonan dari bahagian-bahagian di seluruh negara, KU LI mengorak langkah panglima menyusun rentak dan tari untuk berpencak di gelanggang sekali lagi menentang jagoan tua yang tidak pernah mahu turun dari singgahsananya itu. 13 tahun dulu mungkin KU Li ‘berguru tak habis’, menyebabkan beliau gagal menyusun rentak dan tari berpencak sesempurna mungkin untuk menjatuhkan Mahathir. Akibat gagal mengesan ‘buah sulit’ pencak Mahathir itulah menyebabkan Ku Li kalah dan menyebabkan beliau tersingkir dari gelanggang.

Saya percaya, pembubaran Semangat 46 bukanlah didorong oleh tindakan melulu semata-mata, malah melangkaui sempadan percaturan dan perkiraan jangkapanjang oleh KU LI. Kemasukan beliau ke dalam UMNo dirasakan sebaik-baik jalan untuk mengasah kembali gelanggang pertempuran menentang si Mamak Bendahara yang bermaharajalela di dalam negara. Betapa sakit mata memandang, sakit lagi hati yang mencengkam. Demikianlah KU LI, yang 13 tahun dahulu dikalahkan secara licik yang penuh tipu helah oleh si maharakus mahabuas Mahathir itu. Kini, selepas pilihanraya, meskipun telah menang satu-satunya kerusi Parlimen di Kelantan, tetapi kerana “tidak cukup syarat”, beliau telah diperlekehkan sebegitu rupa oleh Mahathir, dengan tidak melantiknya menjadi menteri. Mustapha Mohamad yang kalah menonggeng di Jeli itu pula yang dipilih menjadi penasihat ekonomi bertaraf menteri. Walhal, antara Ku Li dengan Mustapha ibarat jauh bulan dengan bumi yang mana KU LI ternyata lebih bijak dan berpengalaman luas dalam selok belok ekonomi negara.

Pada perhitungan Mahathir, tindakannya tidak melantik Ku Li menjadi menteri sudah tentu akan menyulitkan Ku Li untuk membina pengaruh terutama di peringkat grass root, apatah lagi anak raja yang kalah perang itu sudah kehilangan hampir keseluruhan askarnya dalam Semangat 46 dulu. Manakala ‘general yang sedang luka parah’ itu mengira bahawa musuhnya itu sudah tidak bermaya lagi untuk bangkit membuat kejutan. Tetapi, api kesombongan yang bersarang tebal dan sifat bongkak yang menggunung dalam diri mungkin membuatkan Mahathir memandang enteng kemampuan Ku Li untuk bangkit mencabarnya Mei ini. Saya percaya, si maharakus mahabuas itu sudah menghitung beberapa alternatif untuk menghadapi sebarang kemungkinan kemaraan Ku Li. Diamnya sekarang bukan diam bodoh, sebaliknya diam menghitung beberapa alternatif yang bakal digunakan untuk memerangkap Ku Li. Waspadalah !

Ku Li pula diharapkan usahlah tersilap langkah lagi untuk kali ini. Ambil kira segala kemungkinan. Walaupun saya bukanlah penyokong Ku Li dari segi parti, tetapi untuk menentang ‘musuh’ bersama, kadang dua musuh yang berlainan datangnya, sanggup untuk bersatu. Saya amat mengharapkan agar KU LI menentang diktator tersebut samada “hidup atau mati”. Kalau Ku Li kalah sekalipun kali ini, beliau tidak akan rugi apa-apa, tetapi jika beliau menang, saya percaya satu negara, satu dunia akan menjulang Ku Li sebagai panglima perang seberani Syamil Basayev ! Malah KU LI akan tercatat dalam sejarah sebagai anak raja paling unggul yang telah berjaya menumbangkan seorang mamak tongkang yang hanyut dari Teluk Benggala. Saya amat berharap agar Ku Li membuat persiapan rapi dan padu untuk memasuki gelanggang Mei ini.

Satu perkara yang perlu diambilkira oleh Ku Li ialah permainan kotor oleh si maharakus mahabuas tersebut, terutama di saat-saat akhir. Permulaan ke arah itu sudah pun bermula hari ini (14 Februari) bilamana akhbar Utusan Malaysia cuba memperlecehkan pandangan KU LI dengan headline nya di muka depan. Saya berharap Ku Li akan sentiasa mengawasi setiap gerak dan langkah musuhnya itu supaya rentak dan tari berpencak biarlah sama rata, sekalipun Ku Li tidak memiliki sebilah keris Tameng Sari untuk menembusi kekebalan batang tubuh Mamak Bendahara itu. Keunggulan Hang Tuah menundukkan Tameng Sari di zaman purba dahulu bukanlah kerana keperkasaan semata-mata. Bukankah Hang Tuah yang menyedari kekebalan Tameng Sari telah menggunakan akal pintarnya untuk merampas keris milik panglima Jawa itu ? Dan bukankah kekebalan Tameng Sari terletak di kerisnya ? Adakah mungkin Ku Li mengetahui apakah rahsia “kekebalan” si tua kutuk itu supaya dapat dicari kelemahannya untuk ditumbangkan?

Bulan Mei bagi rakyat di negara rantau ini boleh dikatakan istimewa juga. Di Malaysia, bulan Mei 1969 dikenang kerana tragedi berdarahnya. Di Indonesia, bulan Mei 1998 dikenang kerana tumbangnya Suharto. Apakah bulan Mei 2000 depan bakal menyaksikan satu lagi “tragedi agung” akan berulang ? Apakah bulan Mei depan bakal melihat pertempuran terhebat di abad ke 21 ini, antara Panglima Ku Li melawan Dato Seri Mamak Bendahara yang begitu bermaharajalela ? Saya amat berharap Ku Li akan mencipta sejarah gemilang seorang anak jantan yang tidak kenal putus asa, untuk menentang kedurjanaan 18 tahun Mahathir memerintah bumi Malaysia ini. Ku Li lah satu-satunya harapan rakyat sekarang setelah Barisan Alternatif ditipu hidup-hidup oleh manusia puaka itu dalam pilihanraya baru-baru ini. Jika tiada siapa yang berani menentang si Firaun Gila itu dalam bulan Mei nanti, saya tidak tahulah apa akan jadi dengan bangsa ini.

Saya menaruh sepenuh pengharapan agar Ku Li akan menentang si tua kutuk yang menjadi musuh rakyat itu. Dan saya menaruh sepenuh harapan agar Ku Li akan berjaya mencipta suatu ‘tragedi 13 Mei” sekali lagi di tahun 2000 ini. 13 Mei 2000 merupakan hari terakhir perhimpunan UMNo tersebut dan tarikh keramat itu diharapkan akan memberikan pukulan maut kepada si Mamak yang begitu liat nyawanya itu kerana pertandingan merebut jawatan sudahpun selesai berlangsung pada tarikh tersebut. Saya menganggapnya bakal suatu tragedi kerana sememangnya ia akan menjadi suatu tragedi kepada si Mahafiraun itu, dengan gegak gempita bagai halilintar yang membelah bumi sebaik mendengar kekalahannya di tangan KU LI nanti, Insya Allah. Namun Tragedi 13 Mei 2000 nanti bukanlah tragedi yang menumpahkan darah rakyat, tetapi tragedi yang bakal melumpuhkan kekuasaan diktator Mahathir Mohamad. Dan tragedi itu juga diharapkan akan mengakhiri segala keperitan dan kelukaan yang dialami oleh rakyat selama ini di bawah regim jahannam Mahafiraun –Daim tersebut.

Jika Tragedi 13 Mei 69 dikenang sebagai pengalaman pahit oleh rakyat, maka Tragedi 13 Mei 2000 nanti, mudah-mudahan akan dikenang sebagai tragedi dan pengalaman paling manis sekali oleh rakyat. Manis kerana hempedu yang menyelubungi kemanisan madu milik rakyat selama ini telah berjaya dihumban ke dalam tong sampah sejarah. Dan saya percaya, Mahathir nanti adalah satu-satunya Perdana Menteri yang akan dikutuk oleh tujuh lapis generasi akan datang. Semoga bulan Mei nanti berakhirlah awan hitam yang menyelubungi sinar mentari rakyat di negara ini. Semoga bulan Mei nanti bakal mengundang tragedi ngeri buat si Mahafiraun yang tidak pernah sedar diri itu !

SALAM REFORMASI BUAT KU LI !

Cucu Datuk Bahaman



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com