Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

DENDAM YANG BELUM SELESAI …

KISAH I

Sebelum saya meneruskan coretan politik dalam tulisan kali ini, izinkan saya menyampaikan ucapan sedih dan dukacita yang amat mendalam kepada pembantu-pembantu rumah dari kalangan rakyat Indonesia yang telah didera sebegitu kejam dan di luar batas kemanusiaan oleh segelintir manusia yang tidak punya hati dan perasaan sesama insan, yang menjadi sebahagian daripada rakyat kita. Saya cukup yakin tragedi yang menimpa ke atas beberapa pembantu rumah perempuan Indonesia sejak kebelakangan ini bukanlah terjadi begitu sahaja, tetapi berputik dari dendam dan sakit hati yang amat mendalam di kalangan individu Cina tertentu yang menjadi majikan mereka.

Titisan api dendam ini terbit akibat mahu “menuntut bela” ke atas apa yang dinamakan ‘pembersihan etnik Cina’ di Indonesia ketika saat-saat menjelang kejatuhan Suharto pada tahun 1998 dahulu. Oleh kerana kebanyakan minoriti Cina terutama kaum wanita khabarnya telah diperkosa oleh segelintir rakyat Indonesia yang kurang waras akalnya ketika rusuhan meletus menjelang kejatuhan Suharto dahulu, maka ada segelintir kaum yang sama di negara ini mahu melampiaskan kemarahan mereka terhadap pendatang-pendatang Indonesia yang datang mencari rezeki di sini. “Revenge’ ini digunakan sebaik-baiknya kerana hampir kesemua pembantu rumah yang terlibat adalah kaum wanita Indonesia dan bekerja pula di rumah majikan kaum Cina, yang merasakan bahawa sesama kaumnya dahulu telah diperlakukan sedemikian buruk oleh rakyat Indonesia yang menjadi majoriti di sana.

Maafkan saya. Saya tidak berniat untuk menelurkan sentimen perkauman dalam tulisan ini, tetapi inilah persepsi dan firasat yang saya perolehi terhadap apa yang seolah-olah mahu menjadi trend baru rakyat negara ini. Jika tidak dibendung, ianya boleh menggugat kerukunan hidup bernegara baik antara umat Islam mahupun antara Malaysia dan Indonesia. Kerbau yang membawa lumpur sebegini perlu disembelih awal-awal supaya ianya tidak akan memalitkan kekotoran najisnya ke muka dan maruah kita semua. Trend penderaan sebegini tidak harus sama sekali boleh wujud dalam apa yang dinamakan sebuah masyarakat bertamaddun dan berpendidikan. Saya amat berharap agar kerajaan Barisan Nasional segera membendung gejala songsang ini dari terus membiak menjadi penyakit yang mudah merebak. Saya tidak mahu nanti rakyat di negara lain akan memandang rakyat Malaysia sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan (apakah ini sebagai reflect kepada sifat kejam dan tidak berperikemanusiaan pemimpin tertinggi kerajaan negara ini terhadap Anwar dan pendokong reformasi, maka rakyatnya juga kini mahu menjadi kejam sama ?) Hukuman yang berat hendaklah dijatuhkan dan jika perlu, hendaklah digubal suatu akta baru, misalnya Akta Perlindungan Pembantu Rumah untuk memastikan majikan-majikan berhati serigala sebegitu tidak bertindak seperti haiwan kelaparan terhadap sesama insan.

KISAH II

Dalam mana-mana pertempuran, perlawanan atau pun peperangan, tiada suatu yang lebih memalukan atau jatuh moral bagi seseorang itu melainkan jika mengalami kekalahan di tangan musuh atau lawannya. Kekalahan ini pula akhirnya akan menelurkan bunga-bunga dendam di pihak yang menerima kekalahan. Dalam Perang Teluk 1991 dahulu, dari segi taktikal Iraq dikatakan sebagai pihak yang kalah dalam perang menentang negara bersekutu yang diketuai Amerika. Tetapi dari segi moral, Iraq boleh dianggap menang kerana meskipun Amerika dengan bantuan 28 buah negara sekutunya serta dengan segala kelengkapan perang yang canggih manggih, masih gagal menewaskan Iraq seperti dirancang (2 minggu) sebaliknya perang itu berlarutan sehingga 3 bulan lebih walaupun akhirnya Iraq ditundukkan dengan cara yang tidak wajar sama sekali.

Saya tertarik untuk melihat perbandingan Perang Iraq –Amerika ini seumpama ‘perang’ Ku Li vs Mahathir dalam tahun 1987 dahulu. Meskipun Ku Li kalah (43 undi) tetapi kemenangan Mahathir itu tidaklah boleh dianggap membanggakan. Dengan kedudukannya sebagai “kuasa besar” di kerusi Perdana Menteri dan memperalatkan pula segala jentera kerajaan dan tipu muslihat, kemenangan 43 undi itu amatlah memalukan bagi seorang PM yang jika dirinya masih mempunyai harga diri. Kelicikan mengeksploitasi segala sumber kekuasaan di pihak Mahathir membawa kepada kekalahan KU Li, sekali gus menghancurkan impian Team B untuk menguasai tampuk pemerintahan. Kekalahan inilah yang telah menunaskan bunga-bunga dendam yang tidak berkesudahan di pihak yang kalah tadi.

Langkah pertama Ku Li menubuhkan Semangat46 gagal merealisasikan hasratnya meraih kemenangan. Percaturannya menubuhkan APU dan Gagasan Rakyat dalam pilihanraya 1990 dahulu tidak membuahkan sebarang hasil berbanding dengan gagasan Reformasi yang dilancarkan oleh Anwar. Ternyata pencak silat yang penuh dengan tipu daya dan kelicikan yang dipamerkan Mahathir masih mampu membuatkan lawannya tersungkur ke tanah. Penubuhan S46 merupakan bara dendam yang begitu marak sekali menyala dan membakar dalam jiwa Team B pimpinan KU LI. Hatta ada orang kanan KU LI sendiri yang telah bersumpah berkerat rotan membakar jambatan antara mereka dengan UMNO (Baru) Mahathir.

Sudah lumrah alam dan amalan orang-orang dahuluan, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan. Hampir 10 tahun S46 bernafas sebelum akhirnya dikebumikan sendiri oleh Ku Li pada 1997. Ku Li akhirnya menyeberang berenang-renang ke dalam lautan UMNO Mahathir selepas jambatan yang dibina dahulunya telah dibakar oleh seorang anak Yatim dari Negeri Sembilan yang menjadi orang kanannya. Sayang seribu kali sayang, sebaik sampai ke pulau UMNO, pengharapan yang didambakan itu tidak seperti diharapkan. Ku Li terpaksa melantik dan menabalkan dirinya sendiri sebagai “Gurkha” sahaja kepada Mahathir. Impiannya agar Mahathir melantiknya menjadi ‘seseorang’ dalam UMNo tidak kecapaian kerana mana mungkin dua musuh boleh tidur dalam sebuah selimut ? Hancur lagi harapan Ku Li meskipun ketika Mahathir melawat Kelantan selepas kemasukannya ke dalam UMNo itu beliau telah meminta maaf dan berpelukan dengan Mahathir, tetapi si Mamak Bendahara tersebut masih tidak percaya dengan permainan pencak silat Ku Li. Membara lagi api dendam yang belum padam itu….

Menjelang pilihanraya 1999 si ‘gurkha’ Ku Li diberi jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNo Kelantan dan dilantik juga sebagai ahli MKT UMNo. Merasakan dirinya telah diberi sedikit gula-gula oleh Mahathir, KU LI menaruh harapan yang agak tinggi untuk menawan semula Kelantan dalam pemilu 99 itu. Namun sayang sejuta kali sayang, impian untuk memeluk gunung apakan daya tangan tak sampai. Ku Li gagal membuat kejutan yang diharapkan dan menjadi calon tunggal Parlimen yang menang di kerusi Gua Musang. Ketika Mustapha Mohamad sedang tergolek-golek meraung di pembaringan, Annuar Musa pula tersedu sedan menahan kepiluan, sementara Ibrahim Al-Kataki pula menderam-deram menahan kemarahan, Ku Li masih mampu tersenyum panjang. Kali ini aku pasti menjadi menteri….demikianlah impian.

Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Ku dengar guruh berdentam di langit, air tempayan telah ku curahkan. Ku Li benar-benar mengharapkan agar ‘musuh’ lamanya itu melantiknya semula sebagai menteri. Tapi harapan cuma tinggal harapan. Impian musnah terbang melayang. Ku Li dipermainkan lagi oleh si Mamak Bendahara. “Tidak cukup syarat” menjadi ocehan untuk menjustifikasikan tindakan ‘membalas dendam’ oleh Mamak Bendahara. Rasional apakah yang bermain dalam benak Mahathir jika manusia setara KU LI, yang pernah menjadi menteri paling kanan dalam kerajaan dan menang pula kerusi Parlimen, tiba-tiba diisytiharkan ‘tidak cukup syarat’ untuk dilantik menjadi menteri ?. Dan rasional apakah yang bermain dalam benak Mahathir jika manusia sebebal Ibrahim Al-Kataki (dahulunya) dilantik menerajui hal-ehwal undang-undang walhal beliau adalah si buta yang tidak bertongkat untuk melihat selok belok undang-undang ?

Nyatalah bahawa anak raja ‘gurkha’ yang kalah perang tersebut telah diperlakukan seperti bola yang menunggu masa sahaja untuk digolkan sekali lagi. Saya tidak faham jika perlakuan Mahathir terhadapnya itu masih tidak dapat difahami dengan bijaksana oleh Ku Li. Dan saya akan bertambah tidak faham jika Ku Li masih mahu terus bersabar dan bersabar daripada membuat keputusan muktamad menentang kembali Mahathir pada Mei depan. Saya masih juga tidak faham jika KU LI masih terfikir-fikir jawatan manakah yang paling relevan untuk beliau tandingi dalam bulan Mei nanti. Jika Mahathir tergamak memperlakukan KU LI sedemikian rupa walaupun telah menang pilihanraya, demi melunasi dendamnya yang belum selesai, saya juga amat berharap agar Ku Li mengambil tindakan balas yang serupa , juga demi melangsaikan hutang dendamnya yang belum selesai dalam penantian selama 13 tahun itu.

Saya percaya jika Ku Li mengambil keputusan muktamad menghunuskan kembali kerisnya untuk berpencak silat di gelanggang menentang Mamak Bendahara sekali lagi, pertempuran Mei nanti akan lebih sengit daripada tahun 1987 dahulu. Jika di tahun 1987 Ku Li cuma mendapat sokongan Team B sahaja, tetapi kali ini KU Li akan mendapat ‘kekuatan’ yang luar biasa daripada penyokong-penyokong Anwar yang masih berada dalam UMNo. Malah bukan sahaja Ku Li akan disokong oleh penyokong-penyokong Anwar hatta mereka-mereka yang selama ini bergayut di dagu si Mahafiraun itupun akan berpaling tadah demi memastikan muka manusia yang tak sedar diri itu tidak lagi dipandang oleh mereka. Ku Li perlu sedar bahawa inilah masanya untuk membalas “dendam yang belum selesai” setelah dikalahkan dengan penuh penipuan 13 tahun dahulu. Jika kena gayanya, bukan sahaja Ku Li akan menebus kembali jumlah “43 undi” mengelat dahulu, malah mampu mencapai kemenangan majoriti mutlak, dalam keadaan dimana tiada siapa pun lagi yang masih waras mahu menyokong si Mahafiraun yang keras kepala dan liat nyawanya itu. Apa pun, yang pasti bulan Mei depan bakal menyaksikan dua jagoan ‘musuh lama’ yang akan beraksi kembali di gelanggang demi melunasi ‘dendam yang belum selesai’ di pihak masing-masing. Mahathir mendendami Ku Li kerana merasa marah dan sakit hati menentangnya dahulu manakala Ku Li pula mendendami Mahathir kerana marah dan sakit hati menipu dan mempermainkannya dari dulu, kini dan ….(selamanya ??). Walau bagaimanapun, saya mengucapkan Selamat Berjuang kepada Ku Li supaya ‘dendam yang belum selesai’ itu akhirnya akan terkabul jua hendaknya. Tetapi awasslah sentiasa agar kesilapan dahulu tidak berulang kembali.

SALAM REFORMASI dari

Cucu Datuk Bahaman



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com