Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

ABDULLAH BADAWI : SI BUTA YANG BARU MENDAPAT TONGKAT ?

Saudara Abdullah,

Tigabelas tahun lalu, saudara merupakan salah seorang manusia yang tersingkir dari arus perdana politik Malaysia bilamana saudara menyertai Team B pimpinan Ku Li untuk menentang Mahathir. Kekalahan Ku Li dalam Pertandingan 87 di tangan Mahathir dengan 41 undi membawa kepada pengharaman UMNO oleh Mahathir dan saudara menjadi salah seorang yang dihanyutkan arus bersama kapal Ku Li yang karam itu. Sikap diam dan berdiam diri saudara rupanya membawa tuah kepada diri saudara apabila Mahathir akhirnya menerima kembali saudara ke dalam UMNO Baru yang diciptanya selepas tragedi pengharaman tersebut.

Saudara Abdullah,

Sikap diam dan berdiam diri saudara selama ini memang membawa tuah kepada saudara dan ramai yang menghormati saudara atas sikap sedemikian. Tambahan pula, sewaktu di Universiti Malaya dulu, saudara mengambil jurusan Pengajian Islam dan sikap yang ditunjukkan oleh saudara itu memanglah sesuatu yang dituntut. Diam kadang lebih baik dari mengucapkan sesuatu yang boleh menyakitkan hati atau menyinggung perasaan orang lain. Dan kerana sikap diam saudara itulah maka tuah sentiasa menyebelahi saudara sepertimana terbukti apabila saudara dipilih oleh Mahathir sebagai TPM selepas beberapa bulan dikosongkan oleh Anwar.

Saudara Abdullah,

Sebelum ini saya tidak pernah menulis surat terbuka buat saudara. Sebelum pilihanraya lalu, saya ada menulis beberapa surat terbuka kepada Mahathir, boss saudara yang berhati kering, berjiwa serigala itu. Tetapi kali ini saya merasakan saya perlu menulis sesuatu kepada saudara ekoran tindak tanduk saudara kebelakangan ini semakin menampakkan ketidakwarasan saudara sebagai seorang manusia yang mempunyai hati dan akal. Apakah ianya bakal menjadi bunga-bunga yang akan menelurkan sikap saudara yang dipaksakan untuk menjadi klon Mahathir seperti yang pernah diungkapkannya dahulu ?

Saudara Abdullah,

Tindak tanduk saudara yang saya maksudkan ialah mengenai keputusan bodoh dan pendek akal saudara terhadap Harakah. Sebelum mengehadkan permit penerbitan Harakah daripada 8 kepada 2 kali sahaja sebulan, saudara telah mengenakan sekatan penjualan ke atas Harakah. Itu pun masih tidak mengapa. Tetapi tidak sampai 3 bulan dari keputusan pertama yang saudara buat, saudara menyusuli pula dengan keputusan berikutnya yang amat melampau, yang dirasakan terlalu singkat dan saudara pula mengambil kesempatan untuk bertindak ekoran permit Harakah yang berakhir pada 28 Februari dahulu.

Saudara Abdullah,

Saudara marah bila orang mahu menyamakan saudara dengan Habibie, tetapi tindakan tidak konsisten saudara dalam masa yang singkat itu menampakkan saudara bukanlah seperti Habibie, tetapi sama seperti Gus Dur yang kurang bijak itu juga. Kalau Gus Dur boleh menukar fikiran songsangnya beberapa kali dalam beberapa jam, apa pula bezanya dengan saudara ? Saya merasakan saudara pun tak kurang bodohnya dengan Gus Dur yang menjadi budak Amerika dan Yahudi itu. Malah pada kacamata sebahagian besar rakyat di negara ini, Habibie jauh terlebih baik daripada saudara. Habibie seorang yang berfikrian terbuka dan sedia mendengar pandangan dan kritikan rakyat serta sanggup melebarkan ruang-ruang demokrasi dan hak-hak asasi manusia serta kebebasan bersuara. Saudara apa ada ?

Saudara Abdullah,

Saya ingin bertanya, apa untungnya saudara bertindak menyekat Harakah itu? Apakah saudara mendambakan sanjungan dan pujian atau meraih sokongan ekoran “faktor Harakah” yang menyebabkan UMNO kalah teruk dalam pilihanraya lepas ? Atau adakah saudara ingin membuktikan kepada Mahathir bahawa saudara adalah seorang timbalan yang taat setianya tidak berbelah bagi dan sanggup melakukan apa sahaja demi membuktikan kesetiaan itu ? Atau juga saudara mahu mengikis tanggapan umum akan prestasi lemah dan kewibawaan yang amat tidak meyakinkan yang ada pada diri saudara ? Lantas dengan menunjukkan imej ‘garang’ terhadap akhbar pembangkang itu, saudara dapat meyakinkan rakyat bahawa kewibawaan saudara tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan boss saudara ? Sudahlah saudara, kalau dah batu sungai, digilap dengan emas berlian pun, tidakkan mungkin akan berkilat seperti intan yang cahayanya sentiasa menyilau ! Terus terang saya katakan bahawa prestasi saudara jika dibandingkan dengan Anwar, dalam apa jua segi dan keadaan, ibarat batu sungai dengan intan yang saya sebutkan tadi ! Maaflah. Ini kenyataan ! Bukan bermakna saya menjadi seorang pemuja fanatik Anwar, tetapi saudara sememangnya tiada tokoh langsung menjadi orang nombor 2 negara, apatah lagi menjadi orang nombor satu.

Saudara Abdullah,

Dari dulu, kini dan selamanya…..saya tidak pernah dan tidak mahu menganggap saudara sebagai "Mr Nice Guy”, meskipun orang lain mungkin beranggapan sebegitu. Saya punya pendirian, kalau seseorang yang lemah dan lembik seperti saudara ini mahu dipanggil ‘mr nice guy’ rasanya kurang tepat. Nice Guy sepatutnya seorang yang punya prinsip dan pendirian yang mantap dan jelas, bukannya sekadar menjadi pak turut atau lebih tepat dipanggil sebagai “mr angguk” sahaja. Kalau saudara sebegitu, memang layaklah saudara menjadi klon Mahathir kerana saudara meletakkan diri saudara sama seperti peon pejabat sahaja kepada manusia usang yang tak pernah mahu sedar diri itu. Atau mungkin juga saudara takut mengalami nasib seperti Anwar yang punya pendirian dan jatidiri yang teguh itu ?

Saudara Abdullah,

Ingin saya tegaskan bahawa tindakan saudara ke atas Harakah itu bukanlah tindakan yang bijak. Bahkan suatu hari nanti saudara akan terjerat dan terjerut dengan tindakan bebal saudara itu. Percayalah. Hari ini saudara berada di atas. Hari lain bakal menunggu saudara berada di bawah. Bukankah sejarah itu sentiasa memutarkan roda pusingannya? Jika saudara beranggapan tindakan saudara ke atas Harakah itu bakal menjadi kredit kepada kewibawaan dan keunggulan jatidiri saudara dalam menyakinkan rakyat dan ahli-ahli UMNO yang beku dan jumud itu, ternyata saudara cetek pertimbangan dan dangkal perhitungan. Apakah saudara berfikir PAS akan pudar serinya di mata rakyat tanpa Harakah ? Apakah saudara beranggapan PAS akan padam di hati rakyat tanpa adanya saluran media yang boleh disampaikan kepada rakyat ? Adakah saudara ingat rakyat sebodoh dan secetek saudara tahap ingatan dan pemikirannya?

Saudara Abdullah,

Juga ingin saya mengingatkan, kepimpinan adalah suatu amanah dan amanah itu akan dipertanggungjawabkan di depan Allah s.w.t. nanti. Apakah demi menambat hati seorang manusia tua kutuk bernama Mahathir, saudara sanggup melacurkan amanah yang dibebankan ke atas pundak saudara ? Lalu dengan kuasa yang ada pada saudara itu saudara tergamak menghiris perasaan jutaan rakyat negara ini yang tidak sebulu dengan parti saudara ? Bagaimana nanti saudara akan menjawab di depan Allah s.w.t. di Padang Mahsyar akan kezaliman yang saudara telah lakukan ke atas mereka yang kehilangan sumber pendapatan akibat tindakan bebal saudara itu ? Jangan saudara samakan tindakan tidak memperbaharui kontrak kepada 400 kakitangan UPU UMNO Terengganu oleh Kerajaan PAS itu sebagai suatu perbandingan. Keadaannya tidak sama dan serupa. Tak perlu saya huraikannya di sini. Saya ingin bertanya saudara, tidakkah saudara terfikir bahawa selama 13 tahun menjadi Menteri KDN, Mahathir sendiri pun tidak pernah ‘mengusik’ Harakah walaupun didesak berpuluh-puluh kali oleh si dungu dan si bebal dalam Perhimpunan Agung UMNO saban tahun. Hatta ketika kekalahan BN di tangan PAS di Kelantan pada tahun 1990 dahulu pun, Mahathir tidak pernah menyalahkan Harakah sebagai punca kejatuhan BN itu. Itu menunjukkan yang Mahathir lebih cerdik dan bijak dalam menguasai suasana berbanding dengan saudara yang lembab dan bengap ini.

Saudara Abdullah,

Mungkin saudara beranggapan bahasa saya agak kasar dan kurang sopan, tetapi saudara patut sedar bahawa kadang-kadang hempedu dan jadam yang pahit itu akan menjadi penawar jika kita pandai mengadunnya sesuai dengan penyakit yang kita hidapi. Racun pun kadang boleh menjadi penawar kalau kita bijak mencari kaedahnya yang sesuai. Kalau saudara tidak sanggup menerima kepedihan dicerca oleh rakyat, saudara kena banyak belajar menjadi seorang TPM yang matang dan bijaksana dalam tindak tanduk dan keputusan. Jika tindak tanduk dan keputusan atau cakap-cakap saudara serupa sahaja dengan pegawai pejabat, rasanya apa lebihya saudara jika dibandingkan dengan seorang PTD cabuk, yang saudara pernah jawat dahulu ? Untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat dan berwibawa serta dihormati kawan dan lawan, saudara perlu menjadi seorang yang bijaksana dalam serba serbi keadaan dan masa. Memang kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang menurut keinginan mereka, tetapi kita boleh mengambil jalan tengah yang tidak mengecewakan banyak orang, barulah kita akan dihormati.

Saudara Abdullah,

Saya berharap saudara tidak akan menjadi seorang lagi mangsa kelicikan permainan politik Mahathir si tua kutuk itu. Janganlah dek kerana pangkat dan kedudukan, saudara jadi buta dan gelap mata dari mengambil iktibar terhadap apa yang telah terjadi ke atas Anwar, Tun Ghafar dan Musa Hitam dahulu. Manusia Mahathir itu, kalau saudara nak tahu, ibarat seekor anjing yang tersepit ekornya. Masa tersepit itu dia akan terpekik terlolong meminta tolong, tetapi apabila dilepaskan kita akan digigitnya balik. Saudara dipungutnya dulu kerana mahu ‘menyelamatkan’ dirinya yang hampir lemas dilambung gelombang reformasi rakyat yang mendesak beliau meletak jawatan. Ghafar Baba dulupun dikutipnya semula demi untuk memulihkan imejnya yang rosak teruk akibat pengharaman UMNO dan perbalahannya dengan Musa Hitam itu. Kini, beliau sudah merasa selesa dan selamat, terutama selepas berjaya mengharungi saat-saat cemas pilihanraya baru-baru ini, maka bolehlah dianggap yang Mahathir telah lulus ujian terakhirnya itu. Percayalah saudara, saudara nanti akan diperlakukan seperti seekor anjing kurap bilamana saudara sudah tidak diperlukannya lagi. Saudara adalah sampah apabila beliau merasakan yang saudara sudah menjadi liabiliti kepada kerakusan ego gila dan sialnya itu.

Saudara Abdullah,

Maka itu, tindakan saudara menyekat Harakah itu bakal mengundang kebencian dan kutukan rakyat terhadap diri saudara. Hari ini saudara di atas, mungkin saudara belum merasa betapa perlunya sokongan dan perlindungan rakyat terhadap diri saudara. Tetapi akan tiba bila hari saudara sudah jatuh, kalau rakyat sudah membenci dan mendendami saudara, maka ke mana diri mahu dibawa ? Ketika di puncak kuasa, saudara mengundang rasa permusuhan dan kebencian di hati rakyat dengan mengambil tindakan yang menghiris perasaan mereka, maka jika saudara sudah tidak lagi berada di puncak kuasa, ke mana saudara mahu menagih simpati ? Jangan saudara ingat dan fikir yang Harakah itu cuma dibaca oleh ahli-ahli PAS sahaja. Rakyat yang bukan ahli PAS dan bukan ahli mana-mana parti pun menggemarinya. Saudara jangan pula bertindak seperti seolah-olah mahu mengajak rakyat menjadi jumud dan bengap seperti saudara juga, dengan cuma membenarkan bahan bacaan yang menyokong sebelah pihak sahaja. Bukankah Allah s.w.t. menjadikan akal kita untuk menilai sesuatu dan tidak menerima bulat-bulat sahaja seperti tunggul dan batu ? Untuk apa saudara takut dengan pengaruh Harakah jika saudara yakin kerajaan saudara berada di pihak yang benar ? Bukankah kebenaran itu akhirnya akan melenyapkan kepalsuan. Lagi pun, kerajaan saudara punyai seribu peluru penangkis dan senjata–senjata yang ampuh untuk menyerang balas Harakah, seperti UM, BH, NST, SUN, STAR, TV3 dan NTV7. Jadi, kenapa saudara harus takut dengan bayang-bayang yang dicipta sendiri ?

Saudara Abdullah,

Tigabelas tahun lampau, saudara pernah tersingkir dan ketika itu saudara teraba-raba dalam kegelapan akan masa depan politik saudara. Namun, tuah akhirnya menyebelahi saudara apabila Mahathir mengutip saudara untuk menjadi TPMnya (TPM=timbalan pak mengangguk ?? ) setelah nasib malang menimpa Anwar yang ‘terkorban’ kerana mempertahankan sebuah prinsip dan jatidirinya. Jika sewaktu tersingkir dahulu, saudara ibarat si buta yang tidak bertongkat, kemudian dipapah berjalan masuk kembali ke dalam lorong-lorong gelap UMNO, sebelum akhirnya saudara menemui sebatang tongkat yang bernama “TPM” itu. Dan dengan tongkat kuasa itulah saudara yang pernah ‘buta’ dahulu mahu membuktikan kekuasaan saudara. Apa yang saudara lakukan terhadap Harakah itu tidak lebih dari kemaruk seorang buta yang baru mendapat sebatang tongkat, lalu diredah dan dirempuh apa sahaja demi mahu membuktikan yang dirinya sudah nampak jalan di depan !

Saudara Abdullah,

Saya bimbang tindak tanduk saudara yang kurang cerdik sebegitu bakal mengundang seribu penyesalan. Dan saudara akan merasai penyesalan itu dan pedihnya sekeping hati bilamana nanti saudara sudah tersepit di suatu ketika dan keadaan yang saudara sendiri tidak dapat jangkakan datangnya. Ketika di puncak kuasa seperti sekarang, saudara tidak mungkin akan merasa keperluan itu, tetapi bilamana sudah hampir lemas di lambung fitnah, barulah saudara menyesali betapa berharganya akhbar seperti Harakah itu. Janganlah menjadi seorang pandir yang sanggup menggadaikan harga diri semata-mata mahu menjaga hati seorang manusia yang belum tentu diyakini selamanya akan menyukai atau mempercayai saudara. Sebelum lena menggamit mimpi, sebelum dengkur membelai nyenyak, saudara berfikirlah semula akan tindakan kurang bijak saudara terhadap Harakah itu. Masanya masih belum terlambat untuk memperbetulkan kesilapan saudara itu. Kelak nanti tidur saudara bakal mengundang mimpi indah, bilamana rakyat seluruhnya menghormati saudara sebagai seorang pemimpin yang matang dan bijaksana. Usahlah api kebencian yang tertanam di jiwa rakyat terhadap boss saudara itu menyelinap bagai bara di dalam sekam terhadap saudara pula. Belajarlah dari kesilapan kerana sesungguhnya kesilapan yang mahu diambil iktibar itu adalah sebaik-baik guru yang membimbing !

Cucu Datuk Bahaman



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com