Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

SIHIR MAHATHIR MENJADI LAGI !

Menurut Kamus Dewan, sihir bermaksud “sejenis ilmu ghaib, guna-guna, pukau, tuju atau ilmu yang boleh menyakiti atau mempesona orang”. Ilmu sihir merupakan sejenis ilmu yang telah diamalkan sejak turun temurun oleh seluruh masyarakat manusia, tidak kira apa bangsa sekalipun. Setiap bangsa dikatakan memiliki kaedah ilmu sihir yang berbeza-beza dan tersendiri. Namun pengamalnya biasanya bersahabat dengan jin dan syaitan demi memastikan ilmu tersebut berkesan dan ampuh.

Di dalam Al Quran, Allah s.w.t. banyak mengkisahkan tentang perbuatan sihir, terutama yang melibatkan Fir’aun dan Nabi Musa a.s. Kemuncak penentangan Fir’aun (la’natullah alaih) terhadap Nabi Musa a.s. menyaksikan musuh Allah itu telah menggunakan ilmu sihir yang hebat dengan memanggil seluruh ahli-ahli sihirnya yang super hebat untuk berdepan dengan Nabi Musa a.s. Namun yang bathil itu tetap bathil. Yang palsu tetap palsu, walau ditatah dengan emas permata sekalipun. Walau disilau dengan seribu kilau sekalipun tapi ternyata kebenaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. akhirnya dapat menundukkan kesombongan Fir’aun bilamana ular-ular sihirnya habis ditelan oleh ular besar mukjizat Nabi Musa. a.s.

Itu kisah 3000 tahun lebih yang lalu. Kini ada pula muncul makhluk yang menggelarkan dirinya sendiri yang lebih hebat dan perkasa daripada Fir’aun zaman purba dahulu. “Seperti yang tuan-tuan maklum, saya adalah Maha Fir’aun”, demikianlah kata-katanya ketika memasyhurkan dirinya seperti yang dipetik oleh akhbar Berita Hairan pada 20 Julai 1999 lepas. Bangga agaknya dia. Bertuah juga bumi Malaysia Boleh ini melahirkan seorang lagi firaun yang lebih hebat dari Firaun Ramses IV di zaman Nabi Musa a.s. dahulu. Bumi Mesir purba melahirkan Ramses IV sebagai Firaun. Tetapi bumi Malaysia Boleh melahirkan Mahathir sebagai Maha Firaun ! Kalau bumi Mesir berbangga dengan warisan peninggalan Firaun yang bernama Piramid dan Sphinx, tentulah bumi Malaysia Boleh tidak mahu ketinggalan dengan kebanggaannya iaitu Menara H Petronas dan Mahligai RM200 juta itu.

Demikianlah hebatnya ‘anugerah’ Allah s.w.t. kepada dua-dua orang firaun yang hidup di berlainan zaman ini. Firaun Ramses IV dahulu menjadikan Bani Israel sebagai kuli batak dan hamba abdinya. Sejarah telah merakamkan bagaimana Bani Israel telah diperlakukan lebih buruk daripada binatang oleh Firaun tersebut sehingga akhirnya Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk memperbetulkan kezaliman Firaun yang amat melampaui batas itu. Sekalipun Nabi Musa a.s. gagal mengajak Firaun beriman kepada Allah s.w.t, namun kebanyakan pengikutnya Bani Israel yang selama ini hidup penuh penderitaan dan azab sengsara di bawah regim Firaun itu telah mengikuti Nabi Musa a.s. dan beriman kepada Allah s.w.t. Kezaliman Firaun yang tiada taranya itu akhirnya memusnahkan dirinya sendiri ke dalam Laut Merah.

Persoalannya, di antara dua firaun itu – Firaun Ramses IV dan Maha Firaun Mahathir Mohamad, siapakah yang terlebih hebat dalam menzalimi rakyat ? Siapakah yang terlebih hebat dalam menipu dan memeras wang rakyat demi kepentingan tembolok diri dan para kroni ? Dan siapa pula yang menjadi kaum ‘bani Israelnya’ kali ini ? Inilah persoalannya yang patut kita renungi bersama. Saya tidak mahu mengatakan yang seorang terlebih zalim daripada seorang yang lain. Pada saya, sejarah telah dan akan merakamkan kesan-kesan kezaliman dan kejahatan mereka untuk tatapan dan renungan generasi akan datang berdasarkan persepsi masing-masing.

Saya tidak mahu bercerita lanjut mengenai Firaun Ramses IV purba itu kerana kita semua boleh membaca kisahnya dalam mana-mana kitab, Al-Quran ataupun buku-buku kisah nabi. Saya cuma mahu mengulas mengenai Maha Firaun yang masih hidup dan sedang membelit sekeliling kita dengan pelbagai akta dan undang-undang yang dicipta untuk melindungi dirinya itu. Akta-akta yang diwujudkan oleh si Mahafiraun itu semenjak berkuasa lebih 18 tahun lalu telah berjaya menjadikan rakyat Malaysia Boleh ini hidup dalam serba ketakutan. Nak bercakap bebas, takut. Nak berkumpul, takut. Nak berpolitik, takut. Nak berkempen,takut. Nak mengkritik pemerintah, takut. Dan seribu satu macam lagi ketakutan yang amat menakutkan.

Akta Mesin Cetak diwujudkan untuk menakutkan rakyat dari menulis apa-apa kebusukan yang dijelmakan oleh shit-shit mereka. Akta Keselamatan Dalam Negeri diwujudkan untuk menakutkan rakyat dari mengganggu gugat kerusi empuk para pemerintah. Akta Hasutan diwujudkan untuk mengekang mulut rakyat dari memperkatakan sesuatu yang benar tetapi menyinggung pemerintah. Dan pelbagai lagi akta-akta canggih yang menghiasi jendela dan tingkap rumah Malaysia Boleh ini. Kalau dihalusi, rakyat Malaysia Boleh ini seolah-olah hidup dalam sangkar, kalaupun tidak sangkar beracun untuk sesetengah orang yang pernah menerima nasib malang seperti DSAI dan Lim Guan Eng itu. Saya melihat jika kaum bani Israel di zaman purba dahulu cuma dipaksa menjadi buruh paksa dan abdi Firaun sahaja untuk membina dan menyiapkan Piramid dan Sphinx, tetapi kaum bani Melayu di zaman IT di negeri Malaysia Boleh ini, walaupun tidak dikerah menjadi buruh paksa, tetapi telah dikurung dan diikat dalam “penjara ilusi” - ketakutan dan kebimbangan yang mencengkam perasaan di kiri dan kanan. Sebagai perbandingan, Firaun purba dahulu lebih bodoh dan belum kenal IT, sebab itu dia cuma tahu menyiksa dan membunuh sahaja rakyatnya, tetapi Maha Firaun moden ini lebih cerdik, dengan ‘memenjarakan’ rakyatnya dengan kekangan pelbagai akta yang canggih manggih bernama undang-undang !

Itu dalam konteks negara. Dalam konteks parti pula bagaimana ? Saya nak mengulas mengenai ‘sihir’ Mahathir yang berlaku dalam parti UMNOnya itu. Saya nak mengajak pembaca kembali ke tahun 1981 dahulu bilamana Mahathir mula-mula naik sebagai PM. Sebenarnya bukan Tun Hussein Onn berniat nak letak jawatan sangat pada ketika itu, tetapi disebabkan tekanan yang bertubi-tubi dari Mahathir, Tun Hussein akhirnya terpaksa mengalah. Memang Mahathir sudah tidak sabar-sabar nak menjadi PM. Anda nak tahu bagaimana Tun Hussein Onn ditundukkan oleh si Mamak Kutty tersebut ?

Sebenarnya Tun Hussein telah dibomohkan oleh Mahathir supaya beliau tunduk dengan kehendaknya (Mahathir). Mahathir, melalui wakilnya telah berjumpa dengan seorang bomoh Jawa yang tinggal di Linggi, Negeri Sembilan. Melalui bomoh Jawa tersebut, Mahathir telah berjaya menundukkan Tun Hussein Onn supaya bersetuju meletak jawatan. Akhirnya Tun Hussein terpaksa memberikan laluan kepada Mamak Tongkang tersebut menaiki takhta PM walaupun hakikatnya beliau (Tun Hussein ) merasa amat sedih untuk melepaskan kerusi PM tersebut kepada Mahathir. Ini ‘sihir’ pertama Mahathir ketika mula-mula berkuasa dahulu.

Apabila menjadi PM, Mahathir memilih Musa Hitam untuk menjadi regunya. Di awal pentadbiran mereka, nampak seolah-olah begitu kamcing sehingga digelar ‘Pentadbiran 2M’. Namun ‘jodoh’ Mamak gila itu dengan Musa Hitam tak berapa panjang jugak. Disebabkan perselisihan pendapat dan kerana mahu mempertahankan egonya sendiri, Musa terpaksa mengalah dengan meletak jawatan. Dikhabarkan punca yang membawa kepada perletakan jawatan Musa itu juga kerana permainan bomoh Jawa tadi juga setelah diupah oleh Mahathir.

Selepas itu Ghaffar Baba jadi TPM. Saya tidak mengaitkan Ghaffar dengan bomoh kerana beliau memang kalah di tangan Anwar dalam pemilihan sebagai Timbalan Presiden UMNO dan bukannya meletak jawatan kerana berbalah dengan Mahathir. Timbalan terakhir Mahathir yang bergaduh dengan beliau ialah Anwar. Selain seorang yang punya prinsip dan pendirian yang kuat, Anwar juga seorang yang kuat berpegang dengan agama. Kebetulan pula ketika Mahathir bergaduh dengan Anwar pada tahun 1998 lalu, bomoh Jawa dari Linggi tersebut telah pun meninggal dunia. Mungkin juga disebabkan itu, Mahathir gagal menundukkan Anwar supaya meletak jawatan kerana bomoh kepercayaannya kini sudah tiada. Sebaliknya Anwar mengambil sikap membujur lalu melintang patah. Akibatnya beliau ditendang oleh Mahathir sebagai TPM dan MenKew pada 2 September 1998 lalu. Kemudian beliau dipaksakan untuk menghadapi tuduhan-tuduhan gila yang direkacipta demi membuktikan ‘siapa boss’ sebenar antara beliau dengan Mahathir ! Apa yang dilakukan Mahathir ke atas Anwar sehingga kini tidak lain melainkan perlampiasan dendam dan kemarahan geram yang tidak terbendung kerana sikap ‘keras’ Anwar tidak mahu tunduk kepada hawa nafsunya hinggalah ke saat-saat akhir sebelum dipecat pada jam 5.30 petang 2 September 1998 dulu.

Para pembaca tidak perlu merasa hairan atau ragu-ragu dengan perkara-perkara seumpama ini. Permainan bomoh membomoh ini merupakan suatu kemestian dalam parti UMNo. Tiada UMNO tanpa bomoh dan tiada bomoh tak adalah UMNO. Main bomoh merupakan perkara rukun dalam UMNO demi memastikan hajat di hati akan tercapai. Lagi besar jawatan yang diburu, lagi terorlah bomoh yang dicari. Sehingga seorang bomoh yang terkenal pun digelar orang sebagai ‘bomoh VIP’. Kan canggih tu !

Kemudian saya mahu mengimbas juga di tahun 1982 dahulu apabila satu negara digemparkan dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Apakah ianya juga angkara ‘sihir’ Mahathir ? Yang ini saya tak dapat nak pastikan. Tapi boleh juga kita katakan kalau cakap begitu pandai sehingga memukau seseorang pun macam ahli sihir juga. Anwar yang ketika itu merupakan ‘singa Islam’ yang tersohor di Malaysia dan antarabangsa seolah-olah terkena peluru pelali Mahathir, walhal Anwar merupakan anak jantan yang paling lantang sekali menentang kemungkaran kerajaan ketika itu di bawah ABIM. Terlopong mulut PAS apabila singa yang sedang galak mengaum tersebut tetiba menguit-nguit jinak ekornya masuk ke dalam kandang UMNO. Terkena sihirkah ?

Yang pasti Mahathir telah berjaya menjinakkan singa yang bernama Anwar itu sehingga ramai yang terkejut beruk melihat kejadian yang tidak diduga itu. Saya merupakan salah seorang yang terkejut beruk dengan kemasukan Anwar ke dalam UMNo itu kerana semenjak awal lagi saya menaruh harapan yang tinggi agar seorang yang punya karisma dan idealisme seperti Anwar akan berjuang dalam PAS. Nantilah, jika ada kesempatan saya akan menulis satu artikel berasingan mengenai ‘Mahathir The Eraser !’ pulak. Saya sebenarnya terlalu sibuk, tidak seperti Marhain Tua yang boleh menulis dua tiga artikel dalam sehari. Kalau agak lama tidak muncul tulisan saya, maknanya saya tengah sibuk gila lah tu.

Selepas kemenangan tipis ke atas Ku Li dalam pertarungan yang penuh mengelat dalam tahun 1987 dulu, Mahathir kian galak untuk menundukkan orang di sekelilingnya dengan ‘sihirnya’. Habis semua kecut perut bila berdepan dengan diktator tua itu. Jangankan para menteri, raja-raja Melayu yang selama ini kaki buli dan kaki pukul pun boleh terkedu bila berdepan dengan Mamak sekor tu. Lihatlah, mana ada siapa yang berani mengangkat muka dengan beliau ? Buat terkencing dalam seluar dibuatnya kalau bersuara. Saya rasa Mahathir semakin mengasah ilmu penunduknya itu selepas mengalami saat-saat cemas dikalahkan Ku Li dulu. Kali ini beliau mahu memastikan tiada siapa lagi yang berani menentangnya.

Selepas itu, dipindanya perlembagaan UMNo supaya siapa yang nak menjadi calon Presiden kena mendapat sokongan sekian banyak bahagian. Kemudian lagi, diarahkan MT supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan. Tak ada siapa yang berani bangkang. Demokrasi dalam UMNO berkubur macam tak bernisan sahaja. Bukan itu sahaja, sekor pun pemimpin bawahan UMNo yang tak berani bersuara dan mengangkat muka untuk menyanggah walaupun hati kecil mereka memberontak macam gerila Tamil Eelam. Baik yang jadi Naib Presiden, ahli MKT dan sebagainya, mana ada yang berani buka mulut ?

Saya masih ingat masa Osman Arof kena singkir dulu. Kalau tak silap 22 orang pemimpin UMNo negeri Kedah yang berapi-api mahu membantah perlantikan Sanusi Junid jadi MB Kedah. Bila Mahathir panggil mengadap, habis terkencing dalam seluar dan kecut telog mereka. Entah apa yang disihir Mahathir, tetiba golongan yang memprotes Sanusi Junid tadi melahirkan sokongan pula. Ajaib sungguh. Macam main silap mata aje.

Begitu juga semasa mesyuarat MKT di malam pemecatan Anwar dahulu. Dalam mesyuarat tu, yang lantang bersuara menghentam Anwar ialah Ibrahim Katak, Rafidah ‘Itik Gembo-Gembo’ dan Isa Pendek. Bila Affifuddin bersuara melahirkan simpati kepada Anwar, si Katak cepat-cepat memintas. Dalam mesyuarat itu dikatanya keputusan sebulat suara MKT untuk memecat Anwar, padahal keputusan Mamak Tongkang tu sekor sahaja. Yang lain hadir sekadar jadi pak angguk walaupun dhamir (hati kecil) mereka amat kesian dengan Anwar dan amat marah dengan tindakan melampau diktator gila itu. Tapi siapa yang berani buka mulut ? Buka mulut nak menjilat dan mengampu adalah. Macam si Katak tu. Bukan main lagi menyinga dia menyerang Anwar. Kena ‘sihir’ lagikah ahli-ahli MKT di malam tersebut ?

Saya hairan sungguh kenapa tiada siapa pun yang berani berkata ‘No’ dengan Mahathir, kecuali Anwar sebelum dipecat dahulu. Yang lain jangan haraplah. Hatta Ku Li pun sehingga sekarang tak berani berterus terang menyuarakan hasratnya bertanding menentang Mamak nyanyuk itu. Takut terkena sihirkah ? Dan sehingga kini Mamak nyanyuk itu dah berjaya mendapat lebih dari 50 bahagian pencalonan untuk mempertahankan kerusinya. “Nasihat” MKT dianggap suara keramat sang wali sehingga semuanya perlu tunduk dan patuh tanpa bersoal jawab. Hanya bahagian Tanah Merah sahaja yang nampaknya tak berapa termakan sihir Mahathir itu. Yang lain barangkali habis terkedu dan terkelu lidah menahan ketakutan kalau-kalau ilmu tuju-tuju Mahathir akan terkena batang tubuh mereka.

Nampaknya untuk kesekian kalinya, ‘sihir’ Mahathir menjadi lagi kali ini. Habis semua bahagian kecuali Tanah Merah sudah terkena ilmu sihirnya sehingga mereka semua tunduk semahu-mahunya dengan kehendak si nyanyuk itu walaupun dalam hati meronta-ronta tidak rela dan meluatnya melihat muka orang tua gila yang liat nyawanya itu. Nampaknya perhimpunan agung bulan Mei depan ni terpaksa berdepan lagi dengan telatah dan keletah si nyanyuk tersebut.

Selepas ketiadaan Anwar, saya lihat perhimpunan agung UMNO tidak lebih dari perhimpunan menjilat dan mengampu semata-mata. Sang Presiden dijulang dan ditatang bagai dewa yang baru terjun dari kayangan bersama-sama dengan tongkat saktinya. Sang Presiden bukan lagi sebagai lambang institusi demokrasi tetapi menjadi lambang ‘demo-kasi’ (loghat Kelantan yang bererti awak beri). Manakan tidak. Kalau tidak dipuja dan dipuji, jangan haraplah nak dapat pangkat atau projek tertentu. Kalau jadi kroni lebah tentu dapat madunya, tetapi kalau menjadi kroni Mahathir habis duit rakyat disapunya.

Sementara sang presiden yang sudah diangkat ke martabat wali-wali dewa kayangan itu terus dibuai mimpi indah. Bila diangkat dan dijulang dengan sejuta pujian, mulalah perasan yang dirinya masih popular, lalu dipasanglah angan-angan yang menjadi gula-gula….”Saya dah tua, 5 tahun lagi umur dah dekat 80 tahun dan mata pun dah tak berapa nampak. Inilah penggal terakhir saya”. Walhal itu sekadar umpan untuk menagih simpati sahaja. Mana tahu si tolol dan si dungu dalam UMNo akan terfikir, ahh biarlah, bagilah chan kat Dato Seri Presiden kita menabur jasa sedikit masa sahaja lagi. Dia pun dah tak lama. Apa salahnya kita bagi peluang terakhir kat dia. Inilah andaian si bebal dan si tolol dalam UMNO, menyebabkan si tua kutuk itu semakin hanyut dalam lamunannya untuk terus berkuasa hingga ke lubang kubur.

Percayalah. Selagi ahli-ahli UMNO tidak berani mematahkan ‘sihir’ Mahathir ke atas mereka, selama itulah mereka akan menjadi pondan Siam yang cuma berani berkata “aauuwww” sahaja terhadap apa jua tindak tanduk dan salahlaku pimpinan atasan dalam parti dan kerajaan. Sebenarnya Mahathir bukanlah hebat dan kuat sangat, tetapi malangnya dalam UMNo sendiri tiada siapa pun yang berani menjadi anak jantan. Sang Dewa tersebut merasakan beliau mempunyai kuasa sakti kerana tiada siapa pun yang sanggup mematahkan kesaktiannya itu dengan sedikit keberanian. Apakah sehebat-hebat Ku Li di suatu masa dahulu pun kini sudah serik untuk beradu lagi ? Wahai ahli-ahli UMNO, sampai bila kalian mahu diperbodoh-bodohkan oleh ‘sang dewa’ dek semata-mata takutkan kuasa saktinya yang jahat itu? Sihir apa agaknya yang dipakai oleh si tua kutuk itu untuk menundukkan semua orang supaya menurut kehendaknya ? Renungkanlah !

Salam AidilAdha dari,

CUCU DATUK BAHAMAN



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com