Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Mahathir ~ Wajahnya Manusia, Hatinya Serigala !!

Sudah agak lama juga saya tak menulis di ruang siber ini. Bukan apa, kesibukan seharian dengan urusan sendiri tidak memungkinkan untuk saya menulis dalam perjuangan ini. Hinggakan seorang kawan rapat saya beberapa kali bertanya kenapa saya tak menulis lagi. Namun dalam kesempatan cuti Maulidur Rasul ini, saya punya sedikit ruang untuk memegang keyboard. Sementelahan pula semenjak beberapa hari ini kedapatan isu hangat yang berlaku dalam negara kita. Antaranya isu Laman Reformasi yang kena ‘hack’ dengan gambar lucah, isu Eusoff Chin dan terakhir isu gempar Ali Abol Hassan si mamak kroni rasuah Mahathir.

Isu Laman Reformasi Kena Hack

Isu ini sebenarnya bermula bilamana munculnya “exmahazalim” yang kononnya telah bangkit dari ‘kuburnya’ sebelum pilihanraya kecil Teluk Kemang baru-baru ini. Kemunculan ‘exmahazalim’ dengan mendadak telah merobah keunggulan Laman Reformasi sebagai satu wadah maklumat dalam perjuangan menegakkan keadilan di negara ini. Ia bermula dengan isu “tafakkur” yang kononnya meminta dua orang pemimpin tertinggi Keadilan meletakkan jawatan. Pada mulanya saya pun rasa ‘terpengaruh’ juga dengan kemunculan ‘exmahazalim’ tersebut. Maklumlah, beliau merupakan orang pertama yang membina laman perjuangan siber sebegini. Isu tafakkur tersebut sedikit sebanyak telah ‘menggegarkan’ rakyat yang mendokong perjuangan ini.

Selepas itu, sehari sebelum pilihanraya kecil Teluk Kemang, Laman Reformasi telah di’hack’ dengan gambar super lucah oleh kononnya ‘Hacker Junior’. Di sinilah keraguan umum mula tercetus terhadap webmaster LR iaitu orang yang mengaku sebagai ‘exmahazalim’ tersebut. Saya telah meminta penjelasan secara peribadi dari Mahazalim sebenar (tulen) mengenai siapa sebenarnya ‘exmahazalim’ tersebut. Rupanya kita semua telah diperdaya oleh beliau dengan menyamar sebagai ‘exmahazalim’. Isu tafakkur tersebut rupanya kerja ‘musuh’ yang telah memperdaya WebMaster LR, iaitu Mahazalimtwo. Bersebab dari inilah maka password telah diberikan kepada ‘exmahazalim’ dan peluang ini telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk memusnahkan Laman Reformasi dengan isu tafakkur dan menghack dengan gambar lucah. Saya rasa ‘exmahazalim’ adalah hantu yang bersarang di Bukit Aman ataupun Ibupejabat UMNo sendiri.

Kalau kita perhatikan, selepas Laman Reformasi dihack dengan gambar lucah tersebut, tiada lagi orang yang menggunakan alamat email exmahazalim@yahoo.com . Saya kenal benar dengan gaya dan bentuk penulisan webmaster tulen LR tersebut, iaitu Sdr Mahazalim, yang sebenarnya masih kurang sihat untuk meneruskan perjuangan ini. Dan beliau sendiri mengakui yang beliau tidak sedar yang LR telah dihack pada 9 Jun lepas.

Sungguhpun LR telah berjaya dipulihkan semula, tetapi saya perhatikan tiada penulis-penulis yang established mahu menghantar artikel ke LR itu. Misalnya Sdr Marhain Tua, Amin Sapiro, dan lain-lain. Mungkin mereka sudah tidak yakin lagi dengan WM yang mengendalikan LR tersebut. Tambahan pula menulis di internet ini tidak kurang juga risikonya. Di sini perlunya WM LR melakukan sesuatu yang boleh meyakinkan semula rakyat bahawa mereka adalah pejuang-pejuang yang tulen dan bukan menjadi musuh dalam selimut. Inilah susahnya kita. Bila orang sudah mula ragu, amat sukar untuk memulihkan semula keyakinan itu. Dalam hal ini saya minta maaf dengan WM LR kerana bukan niat saya untuk mengatakan sesuatu yang negatif, tetapi sebagai suatu pengajaran agar kita lebih berhati-hati dengan tipu daya musuh di lain kali. Dan saya berharap, dengan penjelasan ini juga, keyakinan rakyat terhadap Laman Reformasi kembali pulih. Saya langsung tiada kepentingan dalam LR tersebut, tetapi sebagai pejuang, saya rasa mana yang perlu diperbetulkan, kita harus memperbetulkannya. Tambahan pula jasa LR kepada perjuangan kita amatlah besar sekali. Tidak patut kalau kita melupakannya begitu sahaja disebabkan insiden yang berlaku itu.

Isu Eusoff Chin vs Rais si Pembakar Jambatan

Bagi saya, isu Eusoff Chin ini tiadalah menarik sangat berbanding dengan isu Tun Salleh Abas dahulu. Ini kerana, seperti yang kita ketahui, Eusoff Chin bukanlah seorang yang bersih dan kelihatan bersih seperti mana Tun Salleh Abas. Eusoff Chin merupakan kaldai tunggangan Mahathir dan sebagai kaldai, apa sahaja najis dan beban yang dipikul di atas kepalanya sudah tentu akan mendapat pembelaan dan tidak akan diapa-apakan. Lihat sahaja, bilamana Mahathir balik dari Jepun dua hari lepas, serta merta beliau mengulas yang tidak perlu ditubuhkan sebarang suruhanjaya diraja untuk menyiasat dakwaan ke atas Eusoff Chin itu. Ini berbeza semasa Mahathir hendak menyembelih Tun Salleh Abas dulu bilamana beliau beriya-iya menghasut Sultan Johor, yang ketika itu menjadi Yang Dipertuan Agong untuk mengenakan Tun Salleh Abas melalui Tribunal Khas.

Walaupun nampak sedikit aneh kenapa Rais si Pembakar Jambatan yang tidak berprinsip itu menimbulkan semula isu tersebut, meskipun ianya ditimbulkan di Australia. Adakah Rais mahu ‘mengusik’ kaldai bossnya ataupun memang ada sesuatu agenda yang terancang untuk mengenakan semula Eusoff Chin ? Ini nampaknya agak kabur untuk kita membacanya. Tetapi jawapan Mahathir sebaik pulang dari Tokyo sedikit sebanyak telah melelapkan tidur Eusoff Chin. Adakah Eusoff Chin yang bakal bersara dalam sedikit masa lagi itu gagal dalam melaksanakan suruhan boss nya dalam kes Anwar ? Bukankah Mahathir mahu isu Anwar diselesaikan seberapa segera ? Nampaknya Mahathir telah bertemu buku dengan ruas kerana meskipun jasadnya dipenjara, Anwar tidak mati akal untuk memahami sepak terajang politik mafia Mahathir si Mamak Tongkang tersebut. Saya rasa, bersebab dari isu Anwar inilah maka Mahathir menyambungkan lidahnya ke lidah Rais si Pembakar Jambatan untuk mengungkitkan semula isu percutian Eusoff Chin tadi. Kalau tidak dengan restu Mahathir, beranikah si Rais untuk bersuara sebegitu ? Kemudian, akhbar-akhbar yang loya dan meloyakan itu menjadikannya sebagai headline pula untuk beberapa hari yang agak ‘panas’. Beranikah mereka bertindak begitu kalau tidak dengan restu sang Maharaja ? Dan rasanya juga, ‘pembelaan’ Mahathir sebaik pulang dari Tokyo dengan mengatakan tidak perlu ditubuhkan Suruhanjaya untuk menyiasat Eusoff Chin itu sekadar nak menyembunyikan niat sebenar beliau sahaja kot.

Kalaulah saya yang menjadi Ketua Hakim Negara atau Hakim Mahkamah Tinggi atau Hakim Mahkamah Rayuan macam si Lamin tu, inilah masanya untuk memulang paku buah keras kepada Mahathir. Dari hidup menjadi hamba abdi seperti sekarang, lebih baik mati dimakan tanah. Sepatutnya inilah masanya untuk para hakim membuktikan kejantanan mereka untuk ‘mengenakan’ semula Mahathir dengan menjadikan kes Anwar sebagai batu loncatan. Kenapa hakim-hakim beruk yang menjadi kaldai tunggangan itu takut sangat hendak menggunakan kuasa mereka yang termaktub seperti dalam Perlembagaan, untuk memberikan keadilan yang luhur dan benar kepada Anwar ? Setelah diperlekehkan sebegitu rupa oleh pihak eksekutif, kenapa si Lamin itu tidak mahu ‘mengajar’ kembali pihak eksekutif dengan membenarkan permohonan rayuan Anwar untuk memanggil Mahathir ke mahkamah ? Inilah susahnya apabila manusia menjadikan maruah diri lebih bangsat dari pelacur di Lorong Hj Taib dan rela pula dicucuk hidung bagai lembu yang kekenyangan. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa di mahkamah-mahkamah yang terdapat di Jalan Raja Kuala Lumpur itu sudah tiada lagi hakim-hakim yang benar-benar jantan dan punya maruah diri. Yang terakhir punya maruah dan harga diri sebagai manusia yang berprinsip ialah Hakim Syed Ahmad Idit yang ‘kununnya’ dikatakan telah menulis surat layang memperihalkan tentang amalan korup di kalangan para hakim. Selepas Tun Salleh Abas, hanya beliau sahaja yang rela kehilangan jawatan demi prinsip. Orang macam inilah sepatutnya kita sanjung sebagai wira. Eusof Chin adalah suatu lambang kebebalan, kebodohan, kebaculan, kebangsatan dan leburnya maruah para hakim-hakim yang wujud di mahkamah-mahkamah di negara ini. Apabila diri sudah menjadi boneka kepada orang lain dan prinsip diri sudah digadai untuk memuaskan nafsu orang lain, apalah erti hidup dan kehidupan kita sebagai seorang insan ? Bukankah orang-orang begini tarafnya lebih hina dan buruk dari haiwan?

Apabila Datuk Shafiee Yahaya Mengaum di Mahkamah

Tiada yang lebih menggemparkan negara ini dalam dua tiga hari ini apabila seorang hamba Allah yang bernama Shafiee bin Yahaya, yang dulunya adalah Ketua Pengarah BPR, telah mendedahkan di mahkamah betapa Mahathir, yang menjadi Ketua Kerajaan Malaysia, telah bertindak menghalangnya dari melakukan tugasnya dalam kes rasuah Ali Abol Hassan, mamak satu kapal dengan Mahathir itu.

Saya tidak dapat membayangkan betapa keji, hina, busuk dan bangsatnya manusia bernama Mahathir itu. Jika dulu, beliau dengan begitu kejam dan rakus sekali merekacipta tuduhan ke atas Anwar dengan mengatakan bahawa Anwar telah menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya untuk menghalang pihak polis dalam menjalankan siasatan ke atas surat layang yang memfitnahnya, kini si Mamak Tongkang tersebut telah terdedah kebejatannya melalui mulut Datuk Shafiee (Ya Allah, lindungilah hambaMu Shafiee Yahaya itu dari segala musibah ke atasnya). Kemana lagi Mahathir mahu menyorokkan kejahatannya selama ini? Kuasa Allah yang Maha Besar. Benda yang busuk akhirnya tercium juga baunya yang hapak itu. Kalau selama ini kita didedahkan dengan penutupan kes rasuah si Itik Gembo-gembo Rafidah Aziz, Eric Chia dan Rahim Thamby Chik si perogol budak, kini terbongkar lagi kejahatan Mahathir si Mahafiraun itu.

Setakat ini Mahathir masih mendiamkan diri dengan keterangan Datuk Shafiee di mahkamah itu. Nanti sama-samalah kita tengok setakat mana beliau mahu mempertahankan tindakan busuknya itu. Buat sehari dua ini, nampaknya Mahathir benar-benar panas punggung dibuatnya. Saya rasa inilah masa yang paling sesuai untuk kita pihak pembangkang meningkatkan tekanan demi tekanan ke atas Mahathir. Kita tahu beliau umpama sepohon pokok besar yang sukar untuk digoyangkan, tetapi kalau kita tidak putus asa menggoncangkannya, lama kelamaan pokok besar sebegitu akan mati juga. Saya harap pembangkang memperhebatkan kecaman dan tindakan secara kolektif untuk membuatkan Mahathir tidak tidur lena di mahligainya.

Memang tidak diragukan lagi bahawa segala jenayah dan kemaksiatan yang berlaku di negara ini mendapat perlindungan khas daripada Mahathir sendiri. Itu yang kita tahu dan nampak. Bagaimana pula dengan jenayah yang kita tak nampak? Kalau rasuah sudah menjadi darah daging di kalangan pemimpin –pemimpin UMNo dan BN, bagaimana pula dengan kegiatan haram yang lain? Kegiatan kongsi gelap misalnya, mendapat perlindungan polis, malah polis sendiri mendapat habuan istimewa sebagai tukaran ke atas perlindungan itu. Begitu pula dalam kegiatan pelacuran, baik yang berharga murah mahupun yang high class, maka polis juga terlibat sama melindunginya. Kesian sungguh rakyat negara ini bilamana mereka-mereka yang beruniform menyembunyikan rupa syaitannya di balik uniform itu. Sebaliknya, rakyat yang tidak berdosa, yang berkumpul aman telah disepak terajang dan dilanyak sesuka hati, atas alasan “keselamatan dalam negeri” kununnya.

Sebab itulah kalau kita perhatikan, jenayah di negara ini bukannya semakin berkurang malah semakin bertambah. Polis cuma akan bertindak kepada penjenayah ikan bilis sahaja kerana mereka tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan penjenayah bertaraf amatur sebegitu. Tetapi kalau dengan taukey-taukey besar yang mengjanjikan ganjaran besar, buatlah apa engkorang nak buat, nescaya polis tak akan berbuat apa-apa. Sebab itulah saya rasa kerja sebagi polis ini sebenarnya lebih hina dari menjadi pelacur.

Saya ingin berbalik kepada isu rasuah Ali Abol Hasan tadi. Begitu mulianya amalan rasuah menurut kacamata Mahathir bilamana, pertama; beliau memarahi dan menyekat Datuk Shafiee meneruskan tindakan ke atas Ali Abol Hasan. Kedua, selepas itu mengangkat pula si Ali sebagai Gabenor Bank Negara dimana kedua-dua jawatan yang dipegang oleh Ali itu amat signifikan sekali kepada ekonomi negara. Bukan setakat beliau (Mahathir) sahaja yang menjadi Bapak Rasuah di negara ini, malah menyokong sesiapa sahaja kaldai-kaldai belaannya untuk makan rasuah. Bagi Mahathir, memakan atau mengambil rasuah tidak salah. Yang salah ialah kalau ianya diketahui oleh orang lain maka barulah seseorang yang mengambil rasuah itu akan kelihatan sebagai pengamal rasuah. Sebab itulah beliau bersungguh-sungguh melindungi dan mahu menyembunyikan rasuah yang dilakukan oleh kaldai-kaldai peliharaannya, seperti Rafidah Aziz, Eric Chia dan Ali Abol Hassan tadi.

Yang paling menyakiti hati ialah bilamana beliau bercakap bagai wali yang baru keluar dari gua pertapaan, mahu menunjukkan ‘kesucian’ dirinya, lalu menuduh musuh politiknya sebagai pengamal rasuah. Kalau Anwar dituduh dan dipenjarakan selama 6 tahun oleh Mahathir kerana menghalang polis dari menjalankan tugasnya, bagaimana pula dengan tindakan beliau menghalang Datuk Shafiee dari menyiasat Ali Abol Hassan itu ? Memang sahlah bahawa Mahathir adalah ketua mafia yang bertopengkan ketua kerajaan di negara ini. Saya amat berharap agar dengan kes yang dibongkar oleh Datuk Shafiee itu semakin menyedar dan membuka mata rakyat terbanyak, akan siapa sebenarnya Mahathir. Kalau selama ini mungkin ramai rakyat yang percaya segala pertuduhan dan hukuman yang dikenakan ke atas Anwar, dengan pembongkaran kes Ali Abol Hassan itu, rasanya sudah tiada sebab lagilah untuk kita membutakan mata dan memekakkan telinga dari melihat kebenaran dan dari mengenal siapa dia si Mahathir yang bejat dan licik itu. Sudah jelas dan nyatalah bahawa Mahathir adalah insan yang wajahnya adalah manusia, tetapi hatinya adalah hati serigala yang kejam dan buas, yang bukan sahaja sanggup menipu dan berbohong ke seluruh dunia, malah sanggup membunuh untuk terus bermaharajalela memuaskan nafsu gilanya itu. Kita akan bertambah keliru jika dalam keadaan sebegini pun, ahli-ahli UMNo yang masih ada lagi iman di hatinya, masih boleh menyokong dan mempertahankan pemimpin sekeji dan sehina Mahathir itu. Bagaimana nanti anda mahu menjawabnya di hadapan Allah s.w.t. nanti wahai ahli-ahli UMNo ?

Cucu Datuk Bahaman
12 Rabiulawal 1421


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com