Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


ITU BUKAN TULISAN SAYA !!

Saya ingin melahirkan rasa kesal dan terkilan akan seseorang yang menulis artikel “Perhimpuan 4 Ogos: Adat Beradat” seperti yang tersiar di Minda Rakyat semalam. Ini merupakan kali kedua orang berkenaan menggunakan nickname saya, “Cucu Datuk Bahaman” untuk menulis sesuatu di laman-laman reformasi. Kali pertama saya dapat mengesan tulisan menggunakan nickname tersebut adalah pada 22 Julai lepas di FGR. Kemudian semalam ada satu lagi artikel bertajuk di atas yang menggunakan nickname saya. Mungkin disebabkan sekarang saya agak kurang menulis di laman-laman reformasi disebabkan terlalu sibuk, maka ada orang yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama saya.

Meskipun tulisannya kelihatan seolah-olah menyebelahi kita, tetapi seribu kemusykilan yang timbul ialah, seandainya beliau itu seorang reformis tulen atau pendokong kebenaran sejati, sudah tentu beliau tahu adab dan etika dalam penulisannya. Tidak dapat dinafikan bahawa ruang siber tiada sebarang batas geografi dan sesiapa pun berhak untuk menulis dan menggunakan nama apa pun, tetapi jika orang tersebut benar-benar “orang kita” beliau seharusnya faham bahawa adalah tidak wajar sama sekali untuk menggunakan nickname saya yang sudah ‘established’ di laman-laman reformasi ini semenjak pemecatan DSAI dua tahun yang lalu.

Untuk pengetahuan semua, saya merupakan antara orang atau penulis yang terawal berjuang di alam siber ini, iaitu semenjak DSAI dipecat dari jawatannya pada 2 September 1998 lalu. Tidak dinafikan bahawa ketika di awal kes Anwar masih hangat membara dahulu, saya menggunakan beberapa nickname yang lain atas sebab-sebab keselamatan, tetapi selepas isu tersebut beransur reda, saya secara konsisten menggunakan nickname "Cucu Datuk Bahaman” dalam tulisan-tulisan saya yang dihantar kepada laman-laman reformasi.

Sebagai orang terawal dan pengamat setia politik tanahair, mengadap laman-laman reformasi untuk mendapatkan berita-berita benar sudah menjadi suatu kemestian buat saya. Dan sebagai penulis siber yang terawal berjuang, saya boleh ‘mengenali’ satu persatu mereka-mereka yang awal dan yang baru muncul menulis di ruang siber ini. Nama-nama seperti Muramozi, Marhaintua dan HC adalah antara mereka yang awal dalam menceburi perjuangan siber ini, manakala nama-nama penulis siber yang berbisa sekarang ini seperti Amin Sapiro, Pena Suasa, Kemang Suasa, Panglima Sauk dan lain-lain itu merupakan pasukan pejuang ‘kedua’ dan 'ketiga'yang menyemarakkan lagi alam siber reformasi ini. Saya turut mengkagumi tulisan-tulisan mereka dan kehadiran mereka di alam perjuangan ini semakin memarakkan lagi api perjuangan kita semua. Syabas diucapkan kepada mereka dan semoga mereka mendapat ganjaran yang setimpalnya di sisi Allah s.w.t.

Semenjak berjuang di alam siber dua tahun lepas, inilah kali pertama nama saya digunakan oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab. Selama ini tiada sesiapa pun yang menulis di laman-laman reformasi yang menggunakan nama saya itu. Walaupun saya tiada hak untuk menyekat atau melarangnya, tetapi jika beliau benar-benar “orang kita”, rasanya beliau tidak akan menggunakan nama yang sudah popular digunakan oleh orang lain. Kalau begitu, siapakah orang itu ? Adakah beliau musuh dalam selimut atau gunting dalam lipatan atau SB-SB yang bergentayangan mahu merisik seseorang yang banyak membangkitkan kesedaran rakyat ? Lalu memasukkan jarum-jarum halus untuk menimbulkan kekeliruan dan keraguan di kalangan pendokong-pendokong reformasi sebenar ? Dengan menulis tulisan yang ‘membakar’ semangat seperti yang biasa ditulis oleh saya, orang berkenaan seakan-akan mahu menjadi seperti saya. Inilah persoalannya untuk kita mempertikaikan niat dan kejujuran sebenar orang tersebut. Sudah kekurangan sangatkah nama-nama pahlawan terbilang untuk digunakan sebagai nickname sendiri kalau betul beliau seorang pejuang tulen ? Kenapa harus "mencuri" nama orang lain untuk mewujudkan kekeliruan semata-mata?

Saya tidak tahu bagaimana nanti perasaan Wak Amin (Sapiro) atau Marhaintua jika ada seseorang yang tidak dikenali tiba-tiba menggunakan nickname beliau untuk menulis sesuatu yang kelihatan seakan-akan tulisan beliau, walhal beliau sendiri tidak tahu menahu mengenainya. Saya bukanlah marah sangat kepada orang berkenaan, tetapi kejujuran dan keikhlasannya amat dipertikaikan. Jika beliau seorang SB, maka tindakannya itu bolehlah difahami, tetapi jika betul beliau seorang reformis tulen, saya ingin menasihatkannya agar segera menghentikan perbuatan bodohnya itu sebelum lebih ramai orang lain keliru dan dikelirukan. Seorang pejuang tulen haruslah tahu dan sedar akan hak-hak dan batas-batas yang perlu dihormati antara satu sama lain. Ini penting agar matlamat perjuangan tidak terguris oleh hal-hal yang remeh temeh atau titik bengit. Seorang pejuang tulen harus tahu adab dan kesopanan dalam menggunakan sesuatu hak dan kebebasan yang ada. Mencabuli ‘hak’ orang lain secara semberono bukanlah sifat pejuang tulen, tetapi lebih kepada ‘gunting dalam lipatan’ semata-mata ataupun musuh yang ingin mengundang kebebalan dan enggan berfikir secara saksama.

Sekali lagi saya ingin memaklumkan kepada pendokong-pendokong reformasi sekalian bahawa tulisan yang bertajuk “Perhimpunan 4 Ogos: Adat Beradat” yang tersiar di Minda Rakyat semalam bukanlah tulisan “Cucu Datuk Bahaman” yang sebenar, tetapi ditulis oleh seseorang yang tidak diketahui akan niat dan tujuannya. Mungkin dia seorang SB atau sebaliknya, hanya dia dan Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui. Walaupn tulisannya itu seakan-akan ‘menyokong’ dan ‘membakar’ semangat kita, tetapi disebabkan kejujurannya boleh dipertikaikan kerana menggunakan nama orang lain yang sudah ‘familiar’ di ruang siber ini, maka tulisan beliau itu boleh diragukan. Mungkinkah seorang SB yang mahu memasukkan jarum beracunnya secara halus ? Saya harap penulis-penulis siber yang lain sentiasa berwaspada dengan hal ini. Jadikan ini sebagai suatu iktibar untuk kita mengenali mana kawan dan mana lawan .

Salam perjuangan,

Cucu Datuk Bahaman
(yang tulen dan original)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com