Hukuman paling zalim yang dijatuhkan oleh hakim boneka Mahathir ke atas Anwar pada 8 Ogos lalu telah dengan sendirinya mengesahkan dakwaan Anwar bahawa ia adalah suatu perancangan jahat konspirator Mahathir untuk menghancurkan, bukan sahaja karier politik Anwar malah ruh dan jasadnya sekalipun.
Reaksi yang ditunjukkan oleh rakyat dan pucuk pimpinan BA selepas hukuman itu dijatuhkan hanyalah mengulangi kekecewaan mereka terhadap keruntuhan integriti institusi kehakiman negara di tangan manusia yang bernama Mahathir Mohamad ! Sekadar meluahkan rasa kecewa kemudian mengulangi kutukan dan kecaman semata-mata tidak mampu merobah keadaan dan nasib Anwar yang nyata teraniaya. Sebelum pilihanraya dahulu, kedengaran suara-suara yang senada mengatakan bahawa nasib Anwar hanya akan berubah jika BA memenangi pilihanraya. Dan keputusan pilihanraya yang diperolehi itulah yang telah ‘merobah’ nasib Anwar kepada suatu keadaan yang maha buruk dari yang dijangkakan oleh kita semua. Sapa harus dipersalahkan ? Sampai bila kita harus melihat dan melihat nasib malang Anwar itu terus menyelubungi sanubari diri dan keluarganya ? Dan kita hanya mampu bersimpati dan terus berdoa sahaja ?
Sementara itu, kita meneruskan ‘tradisi’ kita berceramah dan berpidato ke sana ke mari untuk memberi penjelasan kepada rakyat ? Yang pasti, untuk kes Anwar Ibrahim ini, majoriti rakyat sudahpun memahaminya betapa ia adalah sebuah perancangan jahat Mahathir semata-mata. Pokoknya, sampai bila kita mahu ‘menjelaskan’ kepada rakyat perkara yang sememangnya sudah jelas itu ? Dan rakyat pula ternganga dan terlopong mulutnya semata-mata kerana keasyikan mendengar pemidato-pemidato yang super hebat ? Dan buat seketika, pendengar-pendengarnya pun meremang bulu roma dengan semangat yang berapi-api ? Selang beberapa saat apabila ceramah pun habis, maka yang ‘berapi-api’ tadi pun padam lenyap tanpa meninggalkan abu dan arangnya ? Kemudian berapi-api lagi untuk di lain ceramah dan pidato ? Adakah ini sahaja ‘nilai’ perjuangan kita selama ini….berucap berapi-api kemudian padam dan luntur ditelan waktu ?
Saya masih ingat lagi, ketika di awal pemecatan Anwar dulu, ditubuhkan GERAK dan sebagainya. Semangatnya berapi-api ketika di awal penubuhannya. Tetapi kini dimana kuburnya GERAK tadi ? Adakah ini sifat dan mentaliti sebenar kita, khasnya orang-orang Melayu, yang hanya ‘berapi-api’ untuk seketika kemudian mula “me-layu” bagai dedaun yang bakal kering dan gugur berjatuhan ? Sebenarnya dalam banyak perkara, beginilah sikap dan ‘style’ kita dan kelemahan inilah yang telah dimanipulasikan dengan sebaik-baiknya oleh Mahathir, bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukannya di puncak kuasa, malah untuk memperbodoh dan menggula-gulakan rakyat. Dan adakah sikap ini ada perkaitannya dengan istilah “ singkat ingatan” seperti yang dikatakan oleh Mahathir selama ini ?
Secara jujur kita harus mengakui bahawa kita sebenarnya masih penakut dan pengecut untuk berdepan dengan apa juga perkara yang bakal mengundang risiko. Dan secara jujur juga kita perlu akur bahawa daripada lebih 20 jjuta rakyat Malaysia ini, hanya SEORANG sahaja yang benar-benar berani dan telah membuktikan keberaniannya itu, laksana pahlawan perkasa di zaman purba dahulu. Manusia yang seorang yang saya maksudkan itu ialah ANWAR IBRAHIM ! Kenapa saya berkata demikian ? Adakah sesiapa di kalangan kita yang sanggup kehilangan pangkat dan jawatan demi mempertahankan prinsip kebenaran selain Anwar ? Adakah sesiapa di antara kita yang sanggup mempertaruhkan nyawanya semata-mata untuk mempertahankan harga dan maruah diri selain Anwar ? Adakah sesiapa di antara kita yang sanggup kehilangan dan berpisah dengan anak isteri, selain Anwar ? Adakah sesiapa di antara kita yang mampu menarik ratusan ribu manusia di suatu tempat, dengan memecahkan tembok besi akta-akta gila yang mencengkam dengan suatu tahap keberanian yang luar biasa seperti Anwar ? Maaf lah, sebenarnya samada kita bersetuju atau tidak, kita harus akur bahawa kita masih tidak mampu memiliki semangat keberanian seperti Anwar, yang sanggup kehilangan segala-galanya, hatta nyawanya sekalipun, demi mempertahankan prinsip kebenaran dan hak-hak rakyat yang dicabuli secara rakus oleh Mahathir si Mamak Tongkang !
Inilah pokok persoalan yang sebenarnya telah membantutkan gerak tuju perjuangan kita, hinggakan sampai kini, “tiada apa-apa pun yang berubah “. Dan inilah pokok persoalan yang perlu disedari dan dipecahkan oleh pucuk pimpinan BA sekiranya mahu memastikan kejayaan yang diimpikan oleh rakyat itu semakin mendekati kita. Jika benteng kecelaruan dalaman ini tidak dapat dipecahkan, saya percaya, “bukit yang ditarah takkan runtuh,namun cangkul juga yang akan patah”.
Saya tidak bermaksud untuk mendorong suatu tindakan revolusi yang bisa mengundang sengketa celaka, tetapi adakah selama ini kita telah membuat muhasabah diri yang mantap dalam merenungi kelemahan dalaman kita untuk meneruskan perjuangan ini ? Dan adakah selama ini juga pernah kita mengoreksi sejauh mana dan ke mana halatuju tindakan dan pandangan kita untuk menghadapi mehnah yang lebih mencengkam ? Adakah kita sekadar berpuashati dengan sedikit peningkatan dalam perolehan sokongan dari rakyat marhain, walhal “puaka besar” yang menjadi objek penentangan kita selama ini tidak bergoyang dan bergoyah sedikit pun ? Inilah sebenarnya perkara-perkara pokok yang perlu kita imbau kembali demi mencapai matlamat bersama.
Bercakap memang mudah. Mengkritik memang mudah. Memberi komen dan tanggapan tertentu memang mudah. Namun untuk bertindak tidaklah semudah yang disangka kerana di sana pelbagai duri dan onak yang bakal menikam. Maka sebab itu kita perlukan suatu momentum ‘suara keramat’ yang lahir dari keberanian dan “ruh Anwar Ibrahim” untuk kita merealisasikan hasrat bersama menumbangkan “puaka besar” yang telah memporak perandakan sistem dan nilai kehidupan harmoni rakyat selama ini. Namun, percayalah, selagi kita terutama pucuk pimpinan masih lagi mengimpikan tidur yang nyenyak di aatas tilam empuk atau pelukan hangat sang isteri, “puaka besar” tersebut, jangankan untuk menjatuhkannnya, meluruhkan sehelai bulu hidung pun takkan terjadi ! Amat malang jika kita cuma menjadi ‘pengkagum’ Anwar atas semangat kental dan beraninya sahaja, tetapi kita sendiri masih mendambakan hamparan permaidani merah untuk mencapai cita-cita yang dimaksudkan.
Saya sama sekali tidak mahu memperkecilkan keberanian yang dimiliki oleh Saudara Ezam dan sahabat-sahabat yang lain, tetapi adakah mencukupi hanya dengan Ezam dan kawan-kawannya sahaja ? Bagaimana dengan mereka ~ pemimpin yang boleh dijangkakan mampu menarik massa untuk melakukan seperti apa yang telah dilakukan oleh Anwar seperti yang disebutkan di atas, harus bertindak ? Samada sedar atau tidak, kkita harus insaf bahawa kita sebenarnya masih penakut dan pengecut ! Atas sebab apa ? Anda fikirlah sendiri…. Bagaimana dengan saya ? Apalah yang mampu dilakukan oleh orang kerdil seperti saya ini berbanding pemimpin yang terkenal ke sana ke mari ? Sanggup dan mampukah kita memecahkan “halangan” besar ini daripada dalam diri kita sendiri sebelum dapat kita menyaksikan kemenangan yang dekat itu ? Inilah persoalannya !
Cucu Datuk Bahaman
10 Ogos 2000