Sebenarnya saya telah dapat menduga bahawa tulisan saya yang bertajuk “Kita Sebenarnya Masih Pengecut” beberapa hari lepas bakal mengundang respons tertentu dari pelbagai pihak. Ada yang bersetuju dan ada yang sebaliknya. Bagi saya, perbezaan pandangan dan fikiran adalah perkara biasa yang akan menyuburkan lagi tahap kematangan seseorang. Dalam soal kritik mengkritik ini, saya bersikap terbuka dan boleh menerima apa juga pandangan yang bersifat ilmiah.
Semenjak DSAI disingkirkan dari kerusi TPM dua tahun lalu, saya adalah antara orang yang terawal ‘berjuang’ di alam siber ini membela dan mempertahankan beliau dari perbuatan aniaya tersebut. Tujuan saya adalah untuk memberi kesedaran dan ‘membuka mata’ rakyat melalui penulisan-penulisan dan maklumat yang saya perolehi. Dilihat dari segi ‘gila’nya saya mempertahankan Anwar dalam tulisan-tulisan saya selama dua tahun ini, mungkin ramai yang beranggapan bahawa saya dahulunya adalah bekas ahli UMNo yang kecewa dengan penyingkiran Anwar. Jangankan bekas ahli UMNo, ‘bau bekas’ nya pun TIDAK terlintas samasekali untuk saya menciumnya. Dan saya juga bukanlah ahli Parti Keadilan yang terlahir semenjak Anwar tersingkir !
Hj Mohnas adalah salah seorang yang beranggapan sedemikian apabila dalam tulisannya, “Benarkah Kita Pengecut ?” semalam yang disiarkan dalam Tranung Kite dimana pada perenggan ketiga tulisan beliau itu, beliau telah membuat kesimpulan yang amat cacat terhadap pendirian politik saya. Untuk pengetahuan Hj Mohnas, saya semenjak remaja belasan tahun lagi, TIDAK PERNAH sama sekali, jangankan menjadi ahli UMNo, bersimpati sedikit pun TIDAK SAMA SEKALI terhadap parti puaka itu. Saya meminati politik tanahair seawal usia 12 tahun dan segala rentetan politik tanahair semenjak Tragedi 13 Mei 1969 masih segar dalam ingatan. Dari segi umur mungkin saya lebih muda dari Hj Mohnas, tetapi dari segi sensitiviti politik, saya bukanlah orang yang ‘baru lahir’ ke alam kesedaran.
Seperti juga dengan Hj Mohnas, saya bukanlah ‘peminat’ Anwar ketika beliau masih berada dalam UMNo, malah saya antara orang yang amat kecewa apabila Anwar mengambil keputusan untuk ‘mencuci tong taik dari dalam’ dengan memasuki UMNo pada 1982. Ketika beliau menjadi pemimpin ABIM saya masih lagi menjadi pengkagum beliau, tambahan pula dengan karisma beliau yang luarbiasa itu diharapkan dapat menjadi pemangkin yang amat kukuh kepada perjuangan Islam di negara ini. Ketika itu, saya percaya kita semua menaruh harapan yang amat tinggi terhadap Anwar untuk menjadi pemimpin ummat melalui wadah Islam. Walau bagaimanapun, keputusan beliau memasuki ‘tong taik’ UMNO itu telah membuatkan saya ‘menyampah’ dengan beliau dan semenjak itu, selama 16 tahun di dalam ‘tong taik’ UMNO, saya tidak lagi menaruh sebarang ‘minat’ untuk mengkagumi Anwar.
Malah apabila isu tohmahan seks yang dilemparkan ke atas Anwar pada 1997 lalu mula kedengaran, saya hampir-hampir mempercayainya kerana sikap berdiam diri Anwar telah mengundang seribu persoalan yang tidak terjawab. Hinggalah ke saat akhir selepas beliau dipecat pun saya masih lagi hampir mempercayainya. Cuma apabila berlakunya beberapa perkara ‘ganjil’ selepas itu barulah saya mula untuk menolaknya dan menyifatkan bahawa memang ia satu konspirasi jahat Mahathir semata-mata. Atas sikap untuk membela orang yang teraniaya inilah maka saya telah membela Anwar habis-habisan dalam tulisan-tulisan saya selama ini.
Saya akui sebagai seorang ‘academician’ dan bukan ‘politician’, saya tidak dapat bergerak aktif dalam parti, tetapi samada seseorang itu aktif atau tidak dalam aktiviti parti bukanlah suatu ukuran mutlak komitmennya terhadap perjuangan menegakkan yang haq. Apa yang dilalui oleh Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Harun Din dan Dato Hassan Ali adalah suatu contoh untuk menjelaskan keadaan ini. Dan kita juga telah lihat betapa mereka yang dahulunya begitu aktif dalam parti, menjadi orang penting dalam parti, tetapi akhirnya gugur dalam perjuangan. Lihatlah apa yang telah menimpa Nakhaie Ahmad dan Dato Asri Muda dahulu.
Saya tidak bertujuan untuk ‘bergaduh’ dengan Hj Mohnas berhubung dengan pandangan saya dalam tulisan saya tersebut walaupun ramai yang bersependapat dengan saya. Tetapi saya amat marah apabila Hj Mohnas membuat kesimpulan yang amat cacat terhadap pendirian politik saya dengan beranggapan bahawa saya adalah bekas ahli UMNo yang keluar selepas Anwar teraniaya. Bagi saya, usahkan menjadi ahli UMNo, mencium baunya pun sudah terasa mual dan jijik. Apatah lagi dengan UMNo di zaman Si Mamak Tongkang ini, yang busuknya sudah tidak dapat dibendung-bendung lagi. Insya Allah, selagi saya waras dan beriman kepada Allah, saya akan pastikan adalah HARAM untuk saya memasuki UMNo, hatta ‘condong hati’ kepadanya sekalipun ! (Melainkan UMNO sudah ‘memeluk Islam’ ).
Saya berharap agar Hj Mohnas lebih cermat sedikit apabila mahu membuat kesimpulan terhadap pendirian politik orang seperti saya. Apa yang saya nampak, Hj Mohnas merupakan ‘orang baru’ dalam penulisan siber ini, yang muncul sejak beberapa bulan lepas. Takkan apabila saya membuat sedikit teguran dan kritikan membina terhadap pucuk pimpinan maka mudah sahaja dibuat kesimpulan-kesimpulan yang liar sebegitu ? Walhal inilah pertama kali saya mengkritik pucuk pimpinan semenjak 20 tahun dahulu !! Apakah kita mahu menjadi pak angguk sama seperti ahli-ahli parti puaka UMNo itu ? Sorry, I am not a yes man !!
Cucu Datuk Bahaman
12 Ogos 2000