Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


SAMPAI BILA MAHATHIR MAMPU BERTAHAN ?

Sebelum peristiwa pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 September 1998 lalu, kedudukan Mahathir sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri agak selesa dan teguh. Selepas melepasi cabaran ancaman Team B dalam pertandingan 1987, tiada cabaran yang agak kritikal yang dihadapi Mahathir baik di dalam parti mahupun sebagai ketua kerajaan hinggalah berlakunya peristiwa pemecatan DSAI pada September 1998. Beliau berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai Presiden UMNo tanpa perlu risaukan pertandingan untuk menentangnya, apatah lagi dengan pengenalan undi bonus untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, tidak memungkinkan orang lain boleh mengalahkannya dengan mudah pada ketika itu. Manakala bagi pertandingan tahun ini, laluan ditutup rapat dari dicabar oleh sesiapa.

Selepas meluahkan ucapan sinisnya ke atas DSAI dalam isu Brutus yang mahu menikam Caesar dalam Perhimpuan Agung UMNo 1995 (kalau tak salah ingatan saya), tiada lagi kekhuatiran buat seketika akan orang yang mahu mencabarnya, meskipun pada hakikatnya ramai yang beriya-iya mahu menjatuhkannya dari kerusi keramat yang telah didudukinya hampir 3 dekad itu.

Namun selepas tindakan bebal si Mamak Tongkang tersebut memecat Anwar, segala-galanya telah berubah dalam sekelip mata. Kedudukannya yang begitu selesa selama ini di kerusi Presiden dan PM itu tiba-tiba menjadi panas dan berpuaka. Jika dulu penentangan terhadap beliau hanyalah daripada pembangkang di luar parti, tetapi sejak itu Mahathir bukan sahaja ditentang oleh pembangkang, malah dari dalam parti dan rakyat majoriti sendiri. Dalam sekelip mata beliau menjadi musuh rakyat dan ahli-ahli parti sendiri. Bukan sedikit orang dalam parti yang mahu menjatuhkannya tetapi disebabkan masih memegang kuasa, niat kebanyakan ahli parti yang lain terpaksa disabarkan dahulu.

Keputusan pilihanraya lepas, dengan hampir penolakan total oleh orang-orang Melayu merupakan kesan paling signifikan yang paling mahal terpaksa dibayar oleh Mahathir akibat kebodohannya memecat Anwar. Namun, dengan segala tipudaya dan kelicikannya memanipulasi kuasa yang ada, beliau masih lagi dapat berkuasa, meskipun jika pilihanraya itu dilakukan dengan jujur dan bersih seperti di Indonesia selepas kejatuhan Suharto, parti Barisan Alternatif sudah pasti memenangi majoriti dan dapat membentuk kerajaan selepas pilihanraya 1999 itu. Malah saya mendengar berita bahawa pada malam keputusan tersebut, Mahathir dan Dollah Badawi sudah bersiap sedia untuk cabut lari keluar negeri andaikata perancangan kotor mereka untuk memenangi pilihanraya tersebut gagal.

Mahathir sedar yang beliau telah tersilap jangkaan dalam keputusannya memecat Anwar. Kesan “singkat ingatan” yang menjadi pegangan dan kepercayaannya selama ini terhadap orang-orang Melayu tidak menjadi apabila meskipun setelah dua tahun lebih isu Anwar berlaku, ianya masih belum padam, malah semakin marak menyala membakar keangkuhan seorang diktator dan membuatkannya tidak dapat nyenyak semenjak dua tahun lalu. Dan meskipun beliau berjaya memperalatkan segala instrumen kerajaan (polis, peguam negara dan hakim) untuk menghapuskan Anwar daripada menjadi ancaman kepadanya, namun Mahathir ternyata silap lagi kerana meskipun seorang Anwar yang dipenjara, tetapi di luar penjara sana jutaan ‘Anwar’ lagi yang hanya menunggu masa sahaja untuk menjatuhkannya, jauh lebih hebat dan berbahaya daripada seorang Anwar yang kini sedang merengkok dalam penjara Sg Buloh.

Adakah dengan mengira bahawa memenjarakan Anwar akan selesailah segala ‘cerita’, lantas beliau merasa sudah boleh tidur lena di mahligainya itu? Adakah dengan memencilkan Anwar dari rakyat maka Mahathir mengira bahawa akhirnya Anwar akan dilupakan semudah itu? Nyatalah bahawa Mahathir seorang pemikir yang bebal dalam menghitung riak lawannya. Mahathir lupa bahawa ‘ruh’ Anwar sebenarnya tidak boleh dipadamkan daripada jiwa rakyat, bukan sahaja kerana beliau bekas Timbalan Perdana Menteri, hatta ketika menjadi pemimpin ABIM dahulu pun, ‘ruh’ Anwar menjalar dimana-mana hingga ke dunia luar. Inilah nikmat yang diperolehi oleh Anwar tetapi tidak pernah dinikmati oleh Mahathir semenjak dahulu.

Mahathir hanya popular dalam tempoh dekad kedua beliau menjadi PM sahaja. Itupun kerana keceluparan mulutnya yang lancang dalam menghentam Barat sehingga mendapat gelaran ‘keras kepala’ semasa persidangan APEC beberapa tahun dahulu. Ketika zaman pemerintahan Tunku dahulu, Mahathir sedikit popular sebagai seorang yang bernafsu besar dan gelojoh untuk menjatuhkan Tunku. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa antara sebab tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969 adalah kerana angkara hasutan Mahathir, sebagai kemuncak konspirasinya untuk menjatuhkan kerajaan Tunku. Ketika itu beliau bukan main galaknya menghasut golongan pelajar supaya menentang Tunku dengan menulis pelbagai surat layang dan mengapi-apikan kaum Melayu dan Cina. (Sebenarnya yang mencetuskan budaya surat layang ini adalah Mahathir sendiri, sebab itulah budaya ini begitu subur ketika zaman pemerintahannya).

Inilah wajah sebenar Mahathir dimana ketika mahu menjatuhkan Tunku, beliau sanggup mencetuskan tragedi yang meragut banyak nyawa dengan kelicikannya menghasut. Peristiwa perarakan mayat seorang Tionghua ahli Parti Buruh yang mati ditembak polis di Jalan Kepong pada 13 Mei 69 telah dijadikan batu loncatan untuk membakar api perkauman antara orang Melayu dan Cina dimana penyertaan para pelajar Universiti Malaya pada hari itu sebagai natijah hasutan Mahathir kepada mereka. Bukan sedikit surat hasutan yang ditaburkan kepada kedua-dua kaum itu serta golongan pelajar supaya mereka bergaduh. Saya berharap akan ada antara mereka yang pernah menjadi pelajar UM ketika rusuhan tersebut dan menerima surat-surat hasutan itu tampil membuat pendedahan.

Apabila dibandingkan dengan tindak tanduk yang berlaku di depan mata kita hari ini, apa yang tercetus lebih 30 tahun dahulu itu tidaklah menghairankan. Sandiwara Sauk yang berlaku baru-baru ini hanyalah mengulangi apa yang pernah dilakukan oleh seorang manusia bernama Mahathir sejak 30 tahun yang lalu. Isu hak-hak keistimewaan orang Melayu yang cuba disandiwarakan oleh pelakon tambahan David Chua itu juga sebahagian daripada konspirasi untuk mencetuskan keresahan kaum dan memungkinkan tragedi yang sama dengan 13 Mei dulu berulang kembali. Jika 13 Mei 69 adalah percubaan untuk menjatuhkan Tunku, tetapi sandiwara-sandiwara semasa yang terkini adalah suatu teori pengukuhan kuasa yang cuba diimplementasikan demi memastikan hayat kediktatorannya berterusan untuk beberapa tahun lagi hatta sehingga beliau mati sekalipun.

Apalah yang dipedulikan oleh Mamak Tongkang itu tentang nilai dan harga nyawa rakyat jika demi untuk mendapatkan kuasa yang dihajatinya itu akan tercapai. Peristiwa Memali pada 1985 dahulu sebahagian daripada siri-siri pengukuhan kuasa melalui pembunuhan nyawa rakyat (dan menjadikan Musa Hitam sebagai kambing hitam). Dan masih banyak lagi sebenarnya perancangan-perancangan licik yang dibuat oleh Mahathir untuk memastikan kuasanya tidak digugat oleh sesiapa pun. Kalau setakat memukul dan membelasah rakyat yang menyertai perhimpunan aman itu tidaklah memberikan sebarang kudis pun kepadanya kerana jika membunuh itu suatu keperluan untuk terus mengekalkan kuasa, maka ianya mesti dilakukan juga.

Persoalannya, sampai bila Mahathir mampu bertahan dengan cengkaman kuasa yang ada padanya sekarang ? Selepas memecat tiga timbalannya sebelum ini beliau nampaknya terus berkuasa sekalipun menghadapi penentangan rakyat yang luarbiasa selepas pemecatan timbalannya yang ketiga itu. Dan kini, selepas memenjarakan Anwar selama 15 tahun, beliau berfikir akan berada dalam kedudukan agak lumayan daripada ancaman musuh ketatnya itu. Tetapi satu perkara yang beliau harus belajar ialah, orang-orang Melayu kini sudah tidak lagi menerima beliau sebagai pemimpin yang perlu diberikan sokongan dan ketaatan. Hobi berbohongnya selama ini sudah memakan diri bilamana majoriti rakyat tidak lagi mempercayainya. Insiden Sauk boleh menjelaskan senario ini dimana kerajaannya terpaksa berhempas pulas menangkis serangan rakyat yang menolak 100 % kejadian itu sebagai sesuatu yang benar. Inilah sebahagian daripada nasib malang dan ‘tulah’ yang terpaksa dipikul oleh Mahathir kerana kebodohannya sendiri.

Untuk menghadapi pilihanraya 2004 nanti, Mahathir terpaksa memikirkan sejuta tipudaya yang lain berbanding pilihanraya 1999 lalu. Ini kerana beliau akan menghadapi masalah besar ekoran apa yang keluar dari mulutnya itu sudah tidak dipercayai langsung oleh rakyat. Pendek kata, walaupun setengah perkataan yang diucapkan oleh Mahathir, rakyat akan menganggap perkataan yang setengah itu adalah bohong semata-mata. Mahathir bukan sahaja berhadapan dengan krisis keyakinan kepimpinannya, malah krisis keyakinan keperibadiannya, juga turut dipertikai dan diperlekehkan rakyat. Tapi bagi seorang muka tembok yang bebal dan keras kepala seperti beliau, apalah sangat dipedulikan dengan itu semua asalkan masih dapat memegang tampuk kekuasaan.

Pilihanraya 2004 nanti juga akan menyaksikan tahap penurunan paling ketara dalam kelemahan Mahathir memerintah negara. Era kegemilangan dan angan-angan besarnya akan berlalu pada masa itu. Selain faktor umur yang semakin nyanyuk, beliau juga akan menghadapi cengkaman kuasa yang semakin longgar ke atas orang-orang tertentu dalam kabinetnya. Timbalannya sekarang, si Dollah Bedawi yang suatu ketika dahulu pernah menyertai Team B pimpinan Ku Li sudah pasti akan mengasah ‘parang tajamnya’ untuk menebas leher Mahathir secara diam-diam (Brutus kedua ?) ketika mana melihat Mahathir semakin lemah. Pada masa sekarang, si Dollah Bedawi pura-pura bodoh menunjukkan taat setianya seperti Hang Tuah kepada Sultan Melaka, tetapi dalam diam-diaam sedang rancak mengukuhkan kedudukannya dengan meletakkan orang-orang tertentu di kedudukan strategik yang bakal mengancam Mahathir.

Kecuali Mahathir mengambil pendekatan seperti yang pernah dilakukan kepada tiga timbalannya sebelum ini, percaturan si senyap Dollah Bedawi ketika mana kedudukan Mahathir sudah lemah dan dilemahkan oleh faktor Anwar, sudah pasti akan menggugat Mahathir dari tampuk kuasanya itu. Si Dollah ini dengan muka seposennya itu mungkin lebih licik dalam mengatur konspirasi untuk menamatkan terus usia pemerintahan diktator paling lama memerintah Malaysia itu. Buat masa sekarang mungkin Dollah bersikap tunggu dan lihat, tetapi menjelang 2004 nanti kedudukan dan pengaruh Mahathir sudah pasti semakin kendur dan reput. Menghitung yang tiga timbalan Mahathir sebelum ini ternyata kempunan untuk merasa kerusi PM, Dollah dipercayai tidak akan membiarkan perkara malang yang sama terjadi ke atas dirinya. Hanya masa dan ketikanya sahaja yang bakal membuktikan kelicikan Dollah bermain silap mata dengan si Mamak Tongkang itu. Di peringkat awal ini Dollah berpura-pura menunjukkan ‘garang’ dengan pembangkang, seperti membunuh Harakah, Detik, Ekslusif, Wasilah dan sebagainya. Ini semata-mata untuk menanamkan kepercayaan sang dikatator kepada dirinya.

Tentu anda semua masih ingat apabila Team B tewas kepada Team A dalam Pertandingan 1987 dahulu dan pembentukan UMNo Baru oleh Mahathir sebagai tindakan menyingkirkan musuh-musuhnya secara besar-besaran dimana Dollah Bedawi mengambil jalan tengah dengan berdiam diri. Sikap ‘lembu kenyang’ yang ditunjukkan oleh Dollah Bedawi itu membawa tuah kepadanya apabila diterima ssemula oleh Mahathir ke dalam kabinet. Politik ‘lembu kenyang’ yang diamalkan oleh Dollah Bedawi ini jugalah yang membawanya ke tampuk kuasa sebagai TPM sekarang ini.

Dalam menghadapi hari-hari akhir seorang diktator seperti Mahathir ini, Dollah nampaknya terpaksa bersikap lembu kenyang juga. Baginya, pura-pura bersabar adalah lebih baik daripada kelihatan gelojoh yang membawa padah. Menjelang 2004 nanti, kedudukan Dollah Bedawi dipercayai semakin kukuh dengan perletakan orang-orangnya di serata tempat yang strategik, bukan sahaja di dalam parti malah di dalam kerajaan sekalipun. Ketika itu cengkaman Mahathir semakin tumpul, sementelah lagi ahli-ahli parti sudah muak yang tidak dapat ditahan-tahan lagi melihat muka beliau. Dengan asakan pembangkang di bawah BA yang semakin kuat, kedudukan Mahathir menjelang pilihanraya 2004 nanti ibarat telur di hujung tanduk sahaja.

Berdasarkan faktor-faktor ini, Dollah Bedawi dipercayai akan bertindak pantas mencantas leher Mahathir dalam perhimpunan agung UMNo sebelum pilihanraya pada tahun tersebut. Dollah dipercayai akan menjadi Brutus Kedua yang akan menikam mati Ceasar pada ketika itu. Melainkan Mahathir bertindak memenggal kepala Dollah Bedawi dua tahun lebih awal dari sekarang, sama seperti yang dibuat kepada tiga timbalannya sebelum ini, pengaruh Dollah dipercayai tidak akan mampu disekat oleh Mahathir berdasarkan kebencian majoriti kepada Mahathir semenjak dua tahun lepas serta faktor kelemahan fizikal dan mentalnya ketika itu. Pada masa itu orang-orang Bedawi akan berkeliaran di mana-mana untuk mencari ‘rumput hijau’ yang bakal menggemukkan ‘kambing-kambing’ mereka. Yang tinggal nanti adalah kambing-kambing kurus kepunyaan Mahathir yang akan dikeronyok oleh serigala-serigala lapar kepunyaan kumpulan Badawi tersebut.

Namun bagi Dollah Bedawi, harus diingat bahawa kedudukan beliau sebagai ‘pewaris takhta’ masih belum selamat selagi Diktator Nyanyuk itu masih berkuasa. Tragedi yang menimpa Anwar mungkin akan berulang ke atasnya atas sebab yang tidak terfikir sekalipun. Bersikap lembu kenyang sekalipun belum menjamin keselamatan Dollah melainkan beliau mengambil tindakan drastik menjatuhkan Mahathir sebelum beliau sendiri dipenggal lehernya. Mulai sekarang Dollah sepatutnya bijak mengatur strategi dengan berpakat kembali dengan kumpulan Ku Li-Ibrahim al-Kataki. Sikap ‘tidak berkawan’ dengan kumpulan-kumpulan tertentu oleh Dollah semenjak menjadi TPM mungkin akan membahayakan dirinya terutama apabila Mahathir berhasrat menyingkirkannya.

Bagi Mahathir pula, saya tidak melihat ancaman besar terhadap beliau akan datang dari pembangkang semata-mata. Meskipun gabungan BA mampu memberikan tentangan sengit dalam pilihanraya kelak, tetapi berdasarkan senario 1999 dan dengan segala kuasa dan jentera kerajaan di dalam genggaman beliau, saya tidak ingin terlalu optimistik dengan kejayaan BA menguasai negara pada 2004 nanti, meskipun secara peribadi saya terlalu ingin melihat BA memerintah, tetapi memikirkan pertempuran yang amat senget sebelah dalam pilihanraya di negara ini semenjak Mahathir memerintah, saya tidak mahu bersikap over confident dalam soal ini. Jika pilihanraya 1999 berlaku di ketika isu Anwar masih hangat membara, pada pilihanraya 2004 nanti isu Anwar sudah tidak begitu signifikan lagi untuk dijadikan bahan kempen.

Tetapi ancaman paling besar yang mungkin dihadapi Mahathir akan datang dari Dollah Bedawi sendiri. Ini kerana Dollah akan mengambil kesempatan atas ketidak popularan Mahathir semenjak kes Anwar dan faktor usia beliau yang semakin nyanyuk. Bagi Dollah, adalah sesuatu yang sukar dan mengecewakan untuk menunggu Mahathir berhenti dari kerusi PMnya, sementelah Mahathir sendiri tidak pernah mahu mengotakan janjinya mahu berhenti yang sudah berpuluh kali itu. Sementara Mahathir sendiri agak sukar untuk melepaskan kerusinya itu kerana tidak pernah yakin dengan kemampuan Dollah sebagai penggantinya, apatah lagi dengan sikap dan stail kerja Dollah yang agak lembab dan lemah itu. Lagipun Mahathir percaya yang umurnya akan panjang berdasarkan faktor keturunannya yang rata-rata berusia panjang. Jadi apa salahnya untuk terus memegang kuasa seperti Deng Xiao Peng, pemimpin komunis China dulu yang berkuasa sehingga umurnya melebihi 90 tahun.

Jadi, atas dua faktor ini Dollah Bedawi dirasakan akan melemahkan kedudukan Mahathir secara beransur-ansur tetapi akan kelihatan realistik supaya sukar dihidu. Sikap acuh tak acuh Dollah dalam menangani isu-isu tertentu, misalnya serangan bertalu-talu pihak pembangkang terhadap Mahathir, seperti dalam isu Sauk dan kritikan negara asing dalam isu pemenjaraan Anwar dilihat sebagai percubaan Dollah untuk menyerapkan sentimen kebencian yang semakin menebal oleh rakyat terhadap Mahathir dan ini akan menguntungkan imej dan populariti dirinya sendiri. Pembinaan imej peribadi secara ‘senyap’ ini dan dalam masa yang sama merosakkan imej mentornya secara halus adalah sebahagian daripada sikap politik ‘lembu kenyang’ yang diamalkan oleh Dollah Bedawi. Antara lain apabila imej Mahathir semakin teruk dan buruk, samada di dalam parti, di dalam negara malah di luar negara sekalipun, maka akan lebih mudahlah untuk Dollah memencil dan menyingkirkan Mahathir apabila tiba masanya yang sesuai kelak.

Berdasarkan apa yang telah dan sedang berlaku ini, maka sejauh manakah Mahathir akan mampu bertahan untuk terus berkuasa sebagai pemimpin paling lama di Asia sekarang ? Adakah 2004 nanti Mahathir masih mampu mengekalkan kuasanya atau tampuk pemerintahan akan terlepas kepada Barisan Alternatif ? Sekiranya 2004 nanti BA masih berjaya dikalahkan melalui strategi-strategi kotor seperti dalam pilihanraya 1999 dahulu, tetapi mampukah Mahathir menghadapi ancaman orang-orang Dollah Bedawi dalam keadaan dirinya yang sudah semakin tua (80 tahun), dibenci rakyat dan mempunyai imej buruk di mata dunia itu ? Inilah antara dilema yang terpaksa dihadapi oleh Mahathir sekiranya beliau alpa dalam menghidu kemaraan pengaruh Dollah Bedawi dalam masa beberapa tahun lagi.

CUCU DATUK BAHAMAN


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com