Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


BILA KAUM BADAWI MULA MENYERANG…..AWASLAH MAHATHIR !

Entah kenapa, tiba-tiba saya merasa ‘bersimpati’ dengan Dato’ Seri PM kita apabila melihat beliau telah dibelasah dengan teruk oleh segerombolan singa-singa tua tak bertaring dan seekor katak yang terlepas dari pertapaannya semenjak beberapa purnama yang lalu. Kalau selama ini saya begitu hebat menghentam Dato’ Seri PM kita, tulisan saya kali ini akan saya titipkan sedikit rasa belas kasihan dan simpati yang mendalam terhadap PM yang kita ‘kasihi’ itu.

Rasa belas kat PM kita tu timbul bila beliau dibelasah dengan teruk oleh Dato’ Panglima Ibrahim Al-Kataki dalam perhimpunan BBM Ahad lepas. “Perhimpunan ‘Tak Akan Melayu Hilang di Dunia’ anjuran segolongan pemimpin Umno pada Ahad lalu bukannya medan untuk mempertahankan hak orang Melayu tetapi gelanggang menghentam Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad”. Demikian kolumnis Malaysiakini, Aman Rais dipetik sebagai berkata.

Memetik tulisan Aman di Malaysiakini lagi,

“Puak pro perubahan dalam Umno telah menggunakan perhimpunan ini sebagai pentas untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan amaran mereka kepada kerajaan khususnya pucuk pimpinannya. Mereka berselindung di sebalik nama Badan Bertindak Melayu (BBM) yang kononnya menganjurkan perhimpunan untuk menunjukkan kekuatan politik Melayu dan mempertahankan hak kaum itu tetapi jelas kini majlis ini mempunyai agenda tersirat.

Kumpulan ini yang sebahagian besar pemimpinnya terdiri daripada ahli politik Umno yang telah “pencen” daripada kerajaan atau arus perdana parti dengan berani dan lantang menyalahkan Dr Mahathir sebagai punca perpecahan orang Melayu dan masalah dalaman Umno. Keberanian mereka - antaranya bekas pemimpin Parti Melayu Semangat 46 dan orang kanan Tengku Razaleigh Hamzah - amat mengejutkan kerana selama ini orang ramai beranggapan ‘yang tinggal dalam Umno sekarang hanya tunggul-tunggul kayu dan pak turut.’

Datuk Ibrahim Ali, Datuk Mazlan Harun, Datuk Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Zakaria Said dengan beraninya mengingatkan Presiden Umno supaya mendengar pendapat ahli-ahli di peringkat akar umbi. Mazlan dalam ucapannya menegaskan, Dr Mahathir memang diakui sebagai seorang pemimpin berwawasan tetapi hendaklah bersedia mendengar suara daripada bawah. Ibrahim yang menjadi Pengerusi jawatankuasa penganjur perhimpunan itu memberi amaran jika pemimpin kerajaan dan Umno berterusan melakukan kesilapan, orang Melayu tidak akan teragak-agak untuk mengajar mereka.

Bekas orang kuat Dr Mahathir ini secara terus terang menyalahkan bekas ketuanya itu sebagai punca perpecahan orang Melayu dan segala masalah yang dihadapi oleh Umno sekarang. Beliau mengalas kritikan kerasnya terhadap Presiden Umno itu dengan mengatakan Datuk Fadzil Noor, Dr Wan Azizah Ismail, Abdul Hadi Awang (Menteri Besar Terengganu) dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad turut menjadi punca perpecahan itu. Ibrahim sebenarnya melepaskan geramnya kepada Dr Mahathir tetapi pada masa yang sama cuba menunjukkan sikap ‘berkecuali,’ lembut dan adil dengan mengaitkan nama beberapa nama pemimpin parti pembangkang dalam masalah itu. “

Sengaja saya memetik tulisan Aman di atas kerana ianya amat tepat sekali dengan situasi yang wujud terkini. BBM pada Ahad lepas bukannya satu sandiwara atau lakonan drama swasta, tetapi merupakan ‘heavy drama’ yang ‘real’ kesan kebangkitan semula puak-puak di dalam Team B. Tokoh-tokoh yang terlibat dalam BBM tersebut nyata merupakan puak-puak Team B yang pernah tewas pada Tahun 1987 dahulu. Kebangkitan semula Team B ini dipercayai untuk melunaskan ‘dendam yang belum selesai’ selama hampir 14 tahun dahulu apabila Ku Li dikalahkan oleh Mahathir dengan tipu muslihatnya.

Kini, puak Team B dengan berpaksikan Dollah Badawi sebagai ‘orang dalam’ yang berada di kedudukan tertinggi, merasakan suatu peluang keemasan terbaik untuk menjatuhkan Mahathir yang kian lemah akibat asakan Barisan Alternatif dan rakyat, terutama akibat faktor penyingkiran Anwar. Ku Li yang merasa tertipu dengan permainan politik Mahathir semasa pilihanraya lepas mencuba sekali lagi untuk mengintai peluang untuk ‘menyerang’ Mahathir dengan mengirim panglima jaguh lompatnya, Ibrahim Al Kataki. Serangan Al Kataki terhadap Mahathir pada Ahad lepas dipercayai mendapat lampu isyarat daripada Dollah dengan Ku Li bertindak sebagai ketua peninjau di medan.

Dalam keadaan Mahathir yang kian lemah dan diasak kiri dan kanan oleh BA serta tekanan kemerosotan perniagaan para kroni dan anak-anaknya, Ku Li dan para panglimanya dipercayai sedang menyusun strategi untuk menumpaskan Mahathir. Dengan restu Dollah Badawi sebagai ‘orang kuat’ yang berada ‘di atas’, Team B dibangunkan semula secara ‘bawah tanah’ iaitu bergerak di atas platform Badan Bertindak Melayu. Ini samalah seperti orang-orang Arqam yang setelah diharamkan pergerakannya, tetapi masih setia dengan amalan-amalan ketika Arqam masih aktif dahulu sekalipun mereka kini sudah menukar jubah dan serban.

Dengan kedudukannya sebagai TPM dan Timbalan Presiden UMNo, Dollah Badawi menghantar isyarat kepada Ku Li dan Ibrahim Al Kataki supaya menghantar mesej yang kuat kepada Mahathir bahawa beliau (Mahathir) kini ‘berseorangan’ dalam mempertahankan kuasanya setelah di luar UMNo sana, BA setiap hari menggempurnya dengan isu Anwar Ibrahim, sementara di dalamnya, ahli-ahli UMNo sudah mula menyuarakan tentangan terbuka terhadap beliau. Percaturan politik Dollah kali ini ialah untuk memastikan bahawa Mahathir tidak lagi memiliki peluang dan ruang untuk menendangnya sepertimana terhadap 3 timbalannya sebelum itu.

Dalam tulisan saya yang boleh dirujuk di https://members.tripod.com/mindarakyat2/2000sept/i2000-2023.htm pada 9 September tahun lepas, di bawah tajuk “Sampai Bila Mahathir Mampu Bertahan?”, saya telah membayangkan tentang ancaman besar yang bakal dihadapi oleh Mahathir bukan sahaja datangnya daripada BA, tetapi daripada Dollah Badawi sendiri. Ini kerana Dollah akan mengambil kesempatan atas ketidakpopularan Mahathir semenjak kes Anwar dan faktor usia beliau yang semakin nyanyuk. Bagi Dollah, adalah sesuatu yang sukar dan mengecewakan untuk menunggu Mahathir berhenti dari kerusi PMnya. Dalam tulisan itu juga saya telah menyebut betapa Dollah Badawi terpaksa mengamalkan politik ‘lembu kenyang’ untuk menghadapi tindak tanduk Mahathir. Politik lembu kenyang adalah merupakan strategi terbaik untuk Dollah mengatur dan menyusun langkah bagi menjatuhkan Mahathir secara diam-diam.

Dengan penubuhan Badan Bertindak Melayu yang dipelopori oleh Al Kataki, ianya merupakan platform ‘ujian’ untuk Dollah melihat ‘riak dan reaksi’ strateginya itu dan Mahathir sendiri. Dengan berpura-pura kununnya berasa kesal dengan tindakan BBM kerana menjadikan perhimpunan itu gelanggang untuk melepaskan geram dan rasa tidak puas hati terhadap Umno sendiri, Dollah berpura-pura mahu tunjukkan yang beliau tidak terlibat baik secara langsung mahupun tak langsung dengan program Ibrahim Katak/Ku Li itu. Ini samalah seperti kata pepatah ‘lempar batu sembunyi tangan’. Jika nak dibuat bandingan, ianya hampir samalah seperti ketika Zahid Hamidi menghentam Mahathir dalam perhimpunan agung UMNo 1997 dahulu bilamana beliau membangkitkan isu-isu kronisme dan nepotisme walhal umum mengetahui beliau ketika itu adalah ‘orang Anwar’.

Perhimpunan ‘Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia’ yang dibuat oleh Al Kataki pada Ahad lepas itu juga merupakan isyarat jelas kepada Mahathir bahawa Team B yang disangkakannya telah berkubur 14 tahun dahulu, kini telah bangkit kembali (dengan diketuai oleh Dollah Badawi sendiri secara diam) untuk mengatur serangan yang lebih hebat, di ketika mana kedudukan Mahathir sudah kian lemah. Serangan ‘kaum Badawi’ yang diketuai oleh panglima-panglima terbilang Dollah seperti Al Kataki dan beberapa orang lagi secara terbuka dalam perhimpunan tersebut juga menunjukkan yang Al-Badawi sudah berani untuk ‘mencuba’ menjatuhkan Mahathir secara berterang-terangan. Saya percaya perhimpunan ‘Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia’ itu hanyalah permulaan sessi ‘memanaskan engin’ sahaja supaya serangan selanjutnya nanti lebih mendebarkan.

Dalam keadaan Mahathir yang boleh dikatakan semakin kurang bermaya dan bertenaga sekarang, sebarang serangan yang dilancarkan oleh ‘kaum Badawi’ itu sudah pasti akan disambut dan mendapat sambutan dan sokongan kuat daripada ahli-ahli UMNO yang sudah muak dan jelak dengan pemerintahan 20 tahun Si Nyanyuk itu. Saya percaya keberanian yang ditunjukkan oleh ‘kaum Badawi’ dalam perhimpuan BBM tersebut berkait rapat dengan kegoyahan kedudukan Mahathir di singahsananya sekarang. Kebangkitan semula secara terbuka Team B dipercayai atas restu Dollah Badawi sebagai persiapan rapi untuk menyingkirkan Mahathir sebelum 2004.

Melainkan Mahathir membebas dan memulihkan semula kedudukan Anwar, saya percaya Mahathir kini sudah tidak mempunyai sebarang peluru ‘Patriot’ untuk menghadapi serangan ‘Scud’ “kaum Badawi” tersebut. Amat malang bagi Mahathir kerana SETPOLnya kini, Dato’ Dusuki Ahmad tidak sepintar dan selicik Aziz Shamsuddin dalam menghidu dan mengatur langkah bagi menghadapi kemaraan musuh-musuh bossnya itu. Dalam keadaannya sekarang, Mahathir nampaknya semakin kurang ‘menyengat’ sehinggakan rancangan asalnya mahu membuat rombakan kabinet secara besar-besaran baru-baru ini pun terpaksa dibatalkan kerana takut menghadapi risiko tertentu. Mahathir harus sedar bahawa seburuk-buruk Anwar (pada pandangannya) pun, tidak pernah atau tidak terbukti pernah menentangnya atau pun menyertai suatu kem untuk menentangnya, tetapi ‘sedungu-dungu’ Dollah Badawi, ternyata beliau pernah menentangnya ataupun pernah menyertai kem Ku Li untuk menentang dan menjatuhkan Mahathir dalam tahun 1987 dahulu. Dan kini Dollah secara diam-diam sedang mengatur strategi dengan Ku Li dan Al Kataki untuk menghenyak Mahathir hingga ke dinding.

Dengan kedudukannya yang semakin tidak popular baik di dalam UMNo mahupun di kalangan rakyat, Mahathir kelihatan semakin terpencil. Tidak mustahil bahawa ‘orang-orang Badawi’ sendiri yang bergerak halus untuk menanam jarum di kalangan sesama ahli UMNo dan rakyat untuk mewujudkan sentimen kebencian dan pemencilan terhadap Mahathir. Sebarang langkah dan tindakan yang akan atau cuba dibuat oleh Mahathir kelihatan tidak menjadi dan seperti suatu sandiwara dan ditertawakan. Pengalihan isu tertentu dengan mewujudkan isu-isu sensasi menjadi semakin tidak meyakinkan. Sementara ‘orang-orang Badawi’ bijak mengatur langkah dengan membocorkan segala maklumat sulit kepada pembangkang dan juga laman-laman reformasi untuk mendedahkan segala keburukan Mahathir.

Dalam keadaan dirinya yang semakin terpencil dan tidak popular itu, Mahathir sudah tidak mempunyai banyak pilihan untuk survival politiknya. Saya percaya perkiraan beliau sekarang bukan sahaja untuk membendung kemaraan Barisan Alternatif tetapi serangan ‘mengejut’ kaum Badawi yang mungkin akan memberikan pukulan maut dengan tidak disangkakan. Perhimpunan BBM Ahad lepas hanyalah sessi ‘memanaskan engine’ untuk menguji samada ‘pick-up’nya tinggi ataupun tidak oleh puak-puak Badawi tersebut. Sekiranya Mahathir masih mengharapkan sisa-sisa kekuasaan dan pemerintahannya dapat berakhir tanpa menjatuhkan maruahnya sepertimana Suharto, beliau harus memikirkan dengan mendalam betapa “laksamana” Anwar Ibrahim yang telah dijatuhkan hukuman 15 tahun penjara itu perlu dibawa balik ke istananya untuk menghadapi serangan ‘lanun-lanun’ kaum Badawi. Tidak ada yang mustahil dalam kamus politik. Jika ‘laksamana’ Anwar Ibrahim disintuk-limaukan kembali oleh Mahathir dan dimandi berlangir serta diberi sepersalinan pakaian hulubalang, saya percaya kemaraan dan serangan kaum Badawi sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan “Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia” pada Ahad lepas tidak berulang dua kali.

Harus disedari bahawa selama Anwar berada di dalam UMNO dan kerajaan, selama 14 tahun Team B berkubur tanpa nesan. Kehebatan ‘laksamana’ Anwar Ibrahim itu dalam mempertahankan Tuanku Mahathir selama beliau berada di dalam UMNO sepatutnya membuka mata Mahathir bahawa tanpa Anwar beliau tidak akan dapat ke mana pun ! Sama-samalah kita tunggu dan lihat siapa akan menyembelih siapa dalam ‘heavy drama’ kali ini. Yang pasti, kebencian ramai terhadap Mahathir membuatkannya semakin terpencil dan dipencilkan secara diam-diam dan terang-terangan. Hanya cengkaman kuasanya sahajalah yang membuatkan beliau kelihatan masih gagah . Kesian Mahathir !!

Cucu Datuk Bahaman
9 Februari 2001


        
Ke atas  Balik Menu Utama    Tarikh Artikal : 9 Februari 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com