Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite UMNO
PEROMPAK
WANG
RAKYAT !


PROSES PENYINGKIRAN YANG MENDEBARKAN…

Tiada yang lebih “mencemaskan” kepada saya melainkan apabila mendapat tahu berita mengenai kekalahan beberapa orang panglima Mahathir dalam pemilihan ketua bahagian UMNO beberapa hari lepas. Kekalahan orang harapan Mahathir seperti Aziz Shamsuddin, Megat Junid, Mahadzir Khir dan beberapa lagi yang lain merupakan pukulan berbisa kepada Mahathir sendiri. Ini kerana orang-orang kuat beliau tersebut belum pernah atau jarang sekali ditewaskan oleh para pencabarnya.

Kekalahan para panglima Mahathir tersebut dipercayai akan memberikan impak besar kepada halatuju UMNo selepas ini dimana ianya merupakan isyarat awal yang begitu berani telah diambil oleh kem Badawi untuk menyingkirkan Mahathir secara terhormat mulai daripada sekarang sehingga 2004 nanti. Keberanian kem Badawi sekali ini lebih kepada mahu menunjukkan kepada Mahathir bahawa beliau (Mahathir) sudah cukup tidak popular bukan sahaja di mata rakyat malah di dalam UMNO sendiri. Percaturan Badawi kali ini dipercayai mendapat dokongan dan sokongan kuat daripada Daim Zainuddin, yang khabarnya semakin tidak ngam dengan Mahathir.

Tentu pembaca masih ingat ketika Mahathir jatuh sakit sekembalinya dari mengerjakan haji dahulu dimana semasa sedang dirawat kerana agak tenat di IJN, Daim telah mengusulkan kepada Badawi agar meminta Mahathir melepaskan jawatannya kepada beliau. Mahathir menjadi berang tetapi dapat ditenangkan kemudiannya. Bertolak dari itu Mahathir mulai mencurigai Badawi sementara krisisnya dengan Daim dipercayai semakin melebar akibat perebutan ‘harta karun’ negara selepas itu. Kemuncak kepada pergeseran Mahathir –Badawi ini dipercayai semakin meruncing ekoran tindakan Badawi memperalatkan polis untuk menggempur orangramai yang menghadiri ceramah BA di Kubang Pasu baru-baru ini. Mahathir merasa amat tercabar dengan tindakan memalukan yang telah dilakukan oleh Badawi itu. Sebaliknya Badawi mengambil kesempatan untuk mengukuhkan cabarannya terhadap Mahathir kerana polis berada di bawah jagaannya.

Tindakan Badawi itu dipercayai sebagai membalas dendam kerana sebelum itu telah dimalukan oleh Mahathir dengan beberapa insiden terhadap institusi polis. Antaranya kes pencerobohan ke atas balai polis di Kedah selepas kejadian Al-Maunah, kes kereta polis yang dilarikan perompak di Gombak dan beberapa insisden lain yang turut menggugat kredibilitinya sebagai orang nombor dua negara. Badawi merasakan beliau sedang diuji atau dipermainkan oleh Mahathir. Insiden Kg Medan bulan lepas semakin menguatkan sangkaan bahawa Badawi benar-benar sedang diuji kredibiltiinya. Motif Mahathir cuma satu – meragui kemampuan Badawi untuk menjustifikasikan tindakan yang bakal diambilnya sepertimana yang telah dilakukan ke atas timbalan-timbalanya sebelum itu. Imej Badawi nampaknya semakin tercalar dan tercabar.

Pergeseran mereka berdua nampaknya tidak habis setakat ‘uji menguji’ kemampuan semata-mata. Di Kubang Pasu, Badawi mencabar Mahathir melalui tindakan polis FRU. Di Kg Medan, Mahathir mencabar Badawi dengan pergaduhan yang nampaknya terlalu lembab untuk diselesaikan oleh polis yang terletak di bawah jagaan Badawi. Nampak menarik sekali permainan mereka kali ini. Diam Badawi betul-betul diam ubi. Mencabar dalam senyap-senyap untuk menguji ‘suhu’ kekuatannya. Tangkapan ISA ke atas Ezam dan rakan-rakannya benar-benar mencabar pula kewibawaan Badawi bilamana beliau selaku Menteri KDN telah dilangkaui oleh Mahathir melalui arahan penangkapan tersebut. Badawi telah tidak dimaklumkan oleh Norian Mai berhubung dengan arahan Mahathir itu. Dengan harapan tangkapan melalui ISA itu akan membendung kemaraan puak reformasi, Mahathir mengambil kesempatan untuk ‘mencabar’ Badawi dengan mempersetankan beliau selaku Menteri Dalam Negeri. Ia juga mahu menunjukkan kepada Badawi bahawa “aku masih boss di sini”. Tidak hairanlah apabila Norian membuat lawak jenaka mengatakan puak reformasi sedang merancang untuk mengumpulkan pelancar roket dan bom untuk menjatuhkan kerajaan Mahathir. Mungkin pembohongan ini suatu taktik untuk memalukan Badawi yang dirasakan tidak mampu untuk membendung kemaraan dan keberanian puak-puak reformasi meskipun telah dua tahun memegang jawatan sebagai Menteri KDN. Penafian Badawi yang mengatakan beliau tidak tahu menahu penangkapan di bawah ISA Ezam dan rakan-rakannya itu jelas menunjukkan bahawa arahan tersebut dibuat secara individu oleh Mahathir sendiri, dengan mengenepikan Badawi sebagai menteri yang seharusnya mengeluarkan arahan penangkapan tersebut.

Amat menarik sekali untuk kita menelusuri persengketaan dalam diam antara Mahathir dengan timbalannya kali ini. Jika pertelingkahannnya dengan Musa Hitam dahulu di ketika beliau masih gagah perkasa, begitu jugalah ketika Ghaffar tersingkir, beliau masih mempunyai Anwar yang menjadi tulang belakang kekuatannya di dalam parti, tetapi selepas Anwar disingkirkannya dengan begitu aib, kedudukan dan kekuatan Mahathir kini ibarat lori buruk, yang kelihatannya besar tetapi enginenya sudah tidak mampu untuk berjalan jauh ke depan. Mengambil kesempatan dengan kedudukan Mahathir yang kian hari kian lemah inilah maka Badawi menyusun stratetegi dengan mengukuhkan kedudukannya di pelbagai sudut.

Menyedari yang pengaruh Mahathir di dalam parti kian merosot dan sentimen mahukan beliau disingkirkan atau berundur dari jawatannya kian marak, maka Badawi dengan sokongan padu, bukan sahaja moral malah wang ringgit dari Daim telah mengatur orang-orangnya di setiap Bahagian untuk menundukkan orang-orang Mahathir. Dengan kekuatan politik wang yang dibiayai oleh Daim, manusia terkaya di Malaysia, Badawi nampaknya berjaya dengan mudah memenangkan orang-orangnya mengatasi kem Mahathir. Kekalahan ayam tambatan Mahathir, iaitu Aziz Shamsuddin merupakan tamparan memalukan kepada Mahathir kerana Aziz merupakan simbol imej kepada Mahathir kerana peranannya yang cukup besar dalam kes menyingkirkan Anwar dahulu. Bukan suatu kebetulan apabila ayam jaguh Mahathir itu kecundang di tangan pencabarnya kerana beliau sendiri dianggap mewakili batang tubuh Mahathir di Bahagiannya.

Perselisihan Mahathir- Daim telah diambil peluang sebaik-baiknya oleh Daim yang diam itu untuk mengukuhkan kem Badawi kerana merasakan Mahathir kini adalah suatu liabiliti besar kepada parti dan negara dan tidak harus sama sekali dibiarkan terus untuk memimpin parti dan negara untuk beberapa tahun lagi. Daim dipercayai memberikan sokongan bulat kepada Badawi untuk mengambil apa jua langkah yang dikira akan berpihak untuk mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan kerajaan kerana si lurus bendul itu (Badawi) amat memerlukan sokongan orang seperti Daim untuk merampas takhta daripada Mahathir. Ini kerana beliau menyedari adalah tidak mungkin untuk Mahathir menyerahkan dengan mudah takhta PM itu kepadanya dalam keadaan tiadanya jaminan yang konkrit untuk melindungi beliau dan anak-anaknya sekiranya beliau mengundur diri kelak. Inilah dilema Mahathir semenjak beliau begitu berdosa menyingkirkan Anwar lebih dua tahun lalu.

Pada 9 Februari lepas, dalam tulisan saya yang bertajuk “Bila Kaum Badawi Mula Menyerang…Awaslah Mahathir” saya telah membayangkan ancaman terhadap kedudukan Mahathir ini secara serius apabila Badan Bertindak Melayu yang diketuai oleh Al-Kataki telah menghentam beliau secara terbuka. Kumpulan ini dipercayai mewakili golongan pro perubahan yang dinaungi oleh Badawi untuk menguji sentimen kekuatan Mahathir secara lebih jauh. Melalui serangan ‘ganas’ yang dilakukan oleh Al-Kataki di dalam perhimpunan tersebut, Badawi mendapat isyarat bahawa tindakbalas Mahathir sudah kurang menyengat. Citra Mahathir yang sudah teramat hodoh dan buruk di mata penyokong Barisan Alternatif telah diguna dengan sebaik-baiknya oleh Badawi untuk terus mengganyang Mahathir dengan berselindung di sebalik wajah Al-Kataki itu.

Mungkin ramai dari kita yang tidak menyangka bahawa si dungu dan lembab seperti Badawi itu tidak akan pergi jauh dalam memancing strateginya. Tetapi berdasarkan senario yang sedang berlaku, jangkaan kita selama ini mungkin sudah kurang tepat kerana cita-cita yang menggunung untuk menjejaki takhta PM membuatkan Badawi kelihatan tidak dapat terus bersabar. Rentak dan tari terpaksa dipercepatkan dengan bantuan Daim yang diam untuk terus menghenyak Mahathir dari kiri dan kanan.

Berdasarkan senario politik semasa yang tidak lagi banyak berpihak kepadanya, perhitungan Mahathir kali ini terhadap timbalannya itu semakin agak sukar. Kesilapannya membuang Anwar yang seterusnya mengundang penentangan massa membuatkan Mahathir terpaksa berfikir sejuta kali untuk menghadapi ‘si lembik’ Badawi kali ini. Silap gaya bukan Badawi yang terperosok tetapi beliau sendiri yang akan jatuh terjelepuk. Dalam masa yang relatif singkat , Badawi dipercayai telah berjaya mengukuhkan kedudukannya di dalam parti dan kerajaan ekoran momentum kebencian terhadap apa yang dikatakan sebagai kezaliman tanpa batas Mahathir terhadap Anwar. Golongan yang masih bersimpati terhadap Anwar tetapi masih sayangkan UMNO terpaksa memilih antara dua – samada terus menyokong Mahathir dengan ikhlas ataupun memutarkan jarum sokongan bulat mereka kepada Badawi. Inilah kesempatan terbaik yang membuatkan Badawi mendapat sokongan bulat di dalam parti sekarang.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka yang masih mahu bergayut di dagu si Nyanyuk itu di dalam UMNo kini sudah boleh dikira dengan jari. Ramai ahli-ahli UMNO yang terpaksa berpura-pura menyokong kerana sudah menjadi tradisi mereka menyokong demi mendapat projek dan kedudukan. Sokongan padu yang diterima Badawi kini boleh dilihat melalui keputusan pemilihan ketua-ketua bahagian dimana kebanyakan ayam-ayam jaguh Mahathir telah kalah tak berkutik lagi. Tamparan hebat ini telah menaikkan semangat dan moral orang-orang Badawi dan mungkin sesuatu yang mengejutkan jika terjadi sesuatu yang luar biasa di dalam perhimpunan agung UMNO bulan depan ?.

Proses penyingkiran Mahathir melalui proses ‘azali’ di dalam UMNO ini nampaknya semakin mendebarkan. Selepas melalui beberapa insiden yang ‘mencemaskan’ dalam menguji pengaruh dan kekuatan masing-masing, Mahathir – Badawi nampaknya seakan-akan sudah bersiap sedia untuk memulakan babak panas yang lebih mendebarkan dalam politik negara sebelum pilihanraya 2004 nanti. Dari segi kedudukan, nampaknya Badawi berada di kedudukan lebih strategik untuk meletakkan ‘tenteranya’ mendominasi kem Mahathir. Asakan demi asakan yang ditujukan kepada Mahathir oleh barisan pembangkang telah dapat dimanipulasikan dengan cemerlang oleh Badawi untuk menjatuhkan lagi imej si Nyanyuk itu. Misalnya tangkapan ISA ke atas barisan pimpinan Parti Keadilan pada minggu lepas telah disindir dengan penuh sinis oleh Badawi terhadap Mahathir dengan kata-kata “kita tak mahu lagi ada mata lebam…cukuplah cuma satu sahaja mata lebam”. Ianya sebagai jawapan Badawi ekoran tindakan Mahathir membelakangkannya dalam arahan tangkapan ISA tersebut.

Meskipun Mahathir kelihatan semakin kurang bermaya dalam menghadapi kemaraan kaum Badawi tersebut, tetapi barang harus tak dilupakan bahawa orang tua tersebut masih cukup berbisa penangannya. Keghairahan kem Badawi untuk mengasak dan mengasak Mahathir jika silap langkah pasti akan membawa padah. Sekalipun Mahathir kelihatan ‘tenang’ dalam menghadapi strategi timbalannya kali ini, namun beliau masih lagi memiliki kunci kekuasaan mutlak untuk memusnahkan mereka yang dirasakan akan menikamnya dari belakang. Kekalahan orang-orangnya di tangan orang-orang Badawi dipercayai akan membuatkan singa tua itu terpaksa mengeluarkan kukunya sekali lagi.

Suatu kemungkinan besar yang sukar ditolak ialah apakah Badawi bakal menerima nasib yang sama seperti 3 timbalannya sebelum ini ? Jawapannya, ya ! Pergeseran demi pergeseran yang berlaku antara keduanya bakal meledakkan lahar gunung berapi yang membakar arena politik negara sekali lagi. Tetapi kali ini saya percaya Mahathir tidak akan mengambil tindakan yang kelihatan zalim seperti yang dilakukannnya ke atas Anwar dahulu. Ini untuk mengelak ledakan kedua kemarahan rakyat terhadap dirinya apatah lagi dengan keadaan beliau yang sudah terlalu lemah itu. Tindakannya ke atas timbalannya kali ini dipercayai akan dilakukan secara ‘terhormat’ iaitu melalui proses penyusunan semula kabinet, yang dipercayai akan dibuat selepas perhimpunan agung UMNO bulan depan.

Melainkan beliau (Mahathir) mati dalam masa yang terdekat ini, harapan besar Badawi melalui sokongan padu Daim, untuk menjejaki singgahsana kerusi PM nampaknya semakin malap. Beberapa kesilapan dan tindakan Badawi yang menimbulkan kemarahan Mahathir terutamanya insiden tindakan ganas FRU di Kubang Pasu itu akan dijadikan asas untuk mengenepikan Badawi secara terhormat itu. Rentak dan tari Mahathir nampaknya masih gagal di atasi oleh Badawi meskipun beliau (Badawi) telah berjaya mengumpulkan orang-orangnya dalam masa yang relatif singkat untuk membendung pengaruh Mahathir. Kejayaan Badawi menyingkirkan para panglima Mahathir beberapa hari lepas sebenarnya bakal mengundang sial buatnya. Saya tergamam untuk mengatakan siapa yang akan menyingkir siapa dalam proses penyingkiran yang amat mendebarkan pada kali ini. Untung sabut timbul…untung batu tenggelam, namun untung Badawi ke mana gerangannya ? Yang pasti, tiada siapa lagi yang boleh bekerja dengan Mahathir sebagai timbalannya melainkan beliau melantik Mirzan atau Mokhzani sebagai TPMnya yang kelima ! Jika Lee Kuan Yew boleh (melantik anaknya), mengapa tidak Mahathir ?

Cucu Datuk Bahaman
17 April 2001


        
Ke atas    Balik Menu Utama    Tarikh artikal diterbitkan : 17 April 2001

Diterbitkan oleh : Lajnah Penerangan dan Dakwah DPP Kawasan Dungun, Terengganu
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com