Serigala merupakan sejenis binatang yang buas, ganas dan kejam terhadap mangsanya. Mungkin kita beranggapan bahawa singa yang menjadi raja di rimba itu lebih ganas dan buas, tetapi sebenarnya binatang yang bernama serigala sebenarnya terlebih buas dan kejam lagi terhadap mangsanya. Apabila seekor serigala menyeringaikan gigi dan taringnya, dia pasti akan menerkam mangsanya dengan buas dan ganas. Agak sukar sama sekali untuk mengelakkan serangan seekor serigala yang berada di depan kita apabila dia telah menerkam ke arah mangsanya.
Mengapa saya membawakan kisah seekor serigala dalam tulisan saya kali ini? Ya, ini kerana untuk memberikan pembaca suatu gambaran betapa manusia yang bernama Mahathir Mohamad yang sedang berkuasa mutlak sebagai Perdana Menteri itu sebenarnya tidak jauh bezanya dengan seekor serigala yang maha buas dan kejam itu. Jika serigala hanyalah seekor binatang yang tidak berakal, tetapi manusia bernama Mahathir itu adalah manusia yang mempunyai akal fikiran tetapi hati nuraninya tidak langsung berbeza dengan seekor serigala yang dipanggil binatang itu ! Apabila saya menyifatkan Mahathir itu sebagai orang yang wajahnya adalah manusia tetapi hatinya adalah serigala pada dua tahun lepas, Ustaz Fadzil Noor dalam satu ceramahnya di Taman Melewar (kalau tak silap saya) terus “bersetuju” dengan “terminologi” yang saya gunakan itu, lalu beliau menggunakan ungkapan yang saya sebutkan itu dalam ceramahnya. Memang tepat pun !
Saya ingin menggambarkan betapa manusia bernama Mahathir itu adalah sebenar-benarnya berhati serigala berwajah manusia dalam sikapnya yang zalim dan tidak berperikemanusiaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menderita kesakitan tulang belakang sekarang ini. Sebelum itu saya ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada 108 individu dari pelbagai kelompok masyarakat yang menghantar petisyen meminta rayuan agar Mahathir membenarkan Anwar dirawat di luar negeri. Meskipun rayuan tersebut telah ditolak mentah-mentah oleh “manusia berhati serigala” itu, namun sekurang-kurangnya dapat menggambarkan betapa majoriti rakyat Malaysia masih lagi mempunyai sifat belas kasihan dan simpati dengan penderitaan orang lain tanpa mengira fahaman politik dan agama mereka. Hanya manusia berhati kering seperti serigala sahajalah yang akan melihat penderitaan orang lain itu sebagai helah, lakonan dan pura-pura semata-mata.
Sudahlah menolak mentah-mentah rayuan tersebut, tetapi menuduh Anwar sebagai pembohong dan berpura-pura sakit ataupun cuma sebagai sakit pinggang sahaja merupakan suatu ungkapan yang lahir dari seorang manusia yang hatinya hitam legam dan dipenuhi dendam kesumat yang tebal. Jika ada dihatinya sedikit ‘nur’ iman dan ingatkan balasan Allah s.w.t. di akhirat kelak, nescaya tidak akan terkeluar ucapan sedemikian dari mulut seorang yang mengaku sebagai seorang Islam. Sudahlah melakukan fitnah durjana yang tidak dapat dibuktikan secebis pun di mahkamah, kini nampaknya beliau masih belum berpuas hati dengan 15 tahun penjara yang dikenakan ke atas musuh politiknya itu. Melihat kepada besarnya kemarahan dan dendam Mahathir kepada Anwar, seolah-olah Anwar itu telah melakukan suatu dosa yang maha besar ke atas beliau. Seolah-olah Anwar itu telah membunuh seluruh ahli keluarganya tanpa belas kasihan. Seolah-olah Anwar telah melakukan dosa yang Tuhan sendiripun tak akan ampunkannya. Demikianlah seolah-olahnya dosa Anwar terhadap Mahathir sehingga tidak sedikit pun mengundang rasa simpati dari dalam dirinya. Walhal, jika adapun dosa Anwar terhadap Mahathir ialah kerana keengganannya menyelamatkan syarikat anak-anaknya yang hampir bangkrap dalam tahun 1998 dahulu dengan menggunakan duit rakyat. Itu sahaja dosanya. Sampai begitu sekali dendamnya manusia berhati serigala itu !
Meskipun begitu, tidaklah sukar untuk saya memahami kemuncak dendam dan kemarahannya ke atas Anwar itu ~ iaitu berpunca dari slogan “undur Mahathir undur” (yang mencetuskan penentangannya yang berterusan selepas itu) yang dicetuskan oleh Anwar sebelum tragedi penangkapannya 20 September 1998 dahulu. Inilah puncanya sehingga melahirkan dendam hitam itu !
Berbalik kepada isu Anwar yang sedang menderita kesakitan itu, saya melihat sikap berdolak dalik yang dimainkan oleh kerajaan Mahathir sehingga membiarkan Anwar menderita begitu lama itu sebagai suatu “percubaan terbuka” untuk memusnahkan Anwar secara ‘legal’ iaitu untuk membiarkan Anwar menanggung kesakitan sehingga akhirnya akan menyebabkan beliau lumpuh kalaupun tidak menghabiskan riwayatnya. Anwar yang lumpuh dan tidak berupaya untuk berbuat apa-apa adalah suatu keseronokan dan kredit yang cukup besar untuk kesinambungan hayat kekuasaan bagi seorang diktator yang tidak mengaku dirinya diktator itu. [Buat masa ini Anwar yang sedang bergelut dengan kesakitannya itu sudah pun tak mampu untuk melontarkan kata-kata perangsang dan penentangan terhadap diktator itu] . Saya percaya selepas kegagalan “misi arsenik’ dalam Tahun 1999 dahulu, misi kali ini tidak menampakkan dengan ketara akan ‘perancangan’ yang disengajakan itu. Dengan membuat sejuta dalih dan helah, dengan bantuan mereka-mereka yang boleh dijualbeli maruahnya, dengan pertolongan mereka-mereka yang sanggup menjadi pelacur dan dilacurkan, akan nampak lebih realistik lagi percubaan untuk memusnahkan Anwar pada kali ini. Kalau tidak masakan perkara kecil seperti itu pun begitu sukar diselesaikan.
Saya ingin bertanya ~ siapa Dr Abdul Razak Kechik sebelum ini ? Siapa Omar Mohd Dan sebelum ini ? Adakah mereka ini orang tersohor seantero alam sehingga begitu gah melontarkan kata-kata amaran dan ultimatum meminta Anwar memilih satu antara dua – bedah atau balik ke penjara ? Siapa Omar Mohd Dan yang begitu heboh memperkatakan tentang kos penjagaan Anwar yang sudah mencecah RM65,000 kerana begitu lama berada di hospital ? Kenapa tiba-tiba sahaja heboh dikatakan yang duit pembayar cukai sebanyak itu telah dihabiskan untuk menjaga seorang banduan walhal tidak pernah berlaku sebelum itu hal yang seumpama itu ? Baiklah, kalau begitu, kita ingin bertanya dengan barua-barua yang sanggup menjual maruahnya ini – siapa yang meminta Anwar jadi begitu ? Siapa yang bertanggungjawab menyebabkan Anwar terlantar sebegitu ? Siapa yang bertanggungjawab menyumbatkan Anwar ke dalam penjara begitu ? Sejak bila pula saudara begitu prihatin dengan nasib pembayar cukai hinggakan RM65,000 itu terlalu besar sangatkah ? Bagaimana dengan orang yang merompak dan menyamun duit Tabung Haji dan KWSP untuk menyelamatkan syarikat anak-anaknya yang nak bangkrap itu ? Bagaimana pula dengan orang yang membeli saham MAS dengan harga lebih RM8.00 walhal harga sebenarnya cuma RM3.40 sahaja? Ini bukan duit pembayar cukaikah ? Ini bukan duit rakyatkah ? Apa pandangan saudara tentang hal ini ? Kalau anda selesa menjadi barua, persilakanlah, tak ada orang yang nak melarang, tetapi jangan lupa yang perhitungan hari akhirat nanti bakal menanti anda dengan penuh pasti !
Seperkara yang terlintas di fikiran saya mengapa beriya-riya sangat Mahathir tidak mahu membenarkan Anwar dirawat di luar negeri ialah kemungkinan Anwar akan diziarahi oleh pemimpin-pemimpin asing ketika sedang mendapat rawatan nanti. Pemimpin-pemimpin seperti Tony Blair, Chirac, Helmut Kohl dan lain-lain sudah tentu akan menziarahi Anwar ketika beliau sedang dirawat. Apabila ini berlaku, mungkin Anwar akan dapat menjelaskan sendiri dari mulut ke mulut kepada mereka dan kesannya, pemimpin-pemimpin tersebut akan meningkatkan tekanan ke atas Mahathir. Inilah yang sebenarnya amat ditakuti oleh Mahathir. Bukankah Tony Blair sendiri pernah memberikan amaran ketika Mahathir mengunjunginya tidak lama dahulu ?
Saya tertarik dengan satu rencana yang disiarkan dalam Harakah keluaran terbaru, yang pada saya telah menyindir penuh sinis kepada Mahathir sendiri iaitu artikel bertajuk,” Di tengah-tengah jahatnya Sukarno dan Suharto, Masih Ada Timbangrasa Dan Kemanusiaan”. Saya kira rencana ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa Mahathir adalah terlebih teruk dan buruk daripada bekas dua diktator Indonesia itu. Jelas menggambarkan betapa di sebalik kezaliman dan kerasnya sikap Sukarno dan Suharto itu terhadap lawan politiknya, tetapi apabila berdepan dengan musibah kesakitan dan penderitaan yang dihidapi oleh musuh politiknya , mereka masih boleh bertolak ansur dan melahirkan simpati. Bukan sekadar itu sahaja, malah membenarkan musuh politiknya itu mendapatkan rawatan yang sewajarnya sehingga sembuh. Masih ada nilai kemanusiaan dan sifat insan dalam diri mereka.
Misalnya, diceritakan bagaimana ketika Hamka ditahan, beliau telah diberikan pelbagai kemudahan yang selayaknya untuk manusia. Bukan sahaja isteri dan keluarga boleh berjumpa dengan tahanan,malahan pihak keluarga juga dibenarkan membawa makanan dan diberikan langsung oleh isteri atau anak-anak kepada tahanan berkenaan. Sutan Syahrir, Ketua Parti Sosialis Indonesia, perdana menteri termuda Indonesia berumur 29 tahun pada awal merdeka, dia sakit dan dibenarkan berubat ke Switzerland, yang belanja perubatannya sepenuhnya ditanggung oleh kerajaan Sukarno.
Meskipun Sukarno zalim dan jahat ketika berkuasa, namun dia masih ada sedikit rasa kemanusiaan dan dia tetap menghormati bekas pemimpin-pemimpin Masyumi dan PSI meskipun tetap dipenjarakannya. Namun keluarga tahanan dapat melihat suami dan ayahnya dengan selesa, sedangkan yang sakit dihantar ke hospital malahan dibenarkan berubat ke luar negara tanpa halangan dan sekatan. Dalam kes Jeneral (B) A.H. Nasution yang tidak ditahan tetapi tidak dibenarkan keluar negara, tetapi apabila isterinya sakit dan ingin berubat ke Amerika Syarikat, beliau dibenarkan menemani isterinya berubat ke sana tanpa sekatan. Begitu juga dengan lain-lain tahanan dan musuh politik yang lain. Mereka telah diberikan layanan dan rawatan yang selayaknya untuk manusia, meskipun Sukarno dan Suharto bukanlah manusia yang baik orangnya. Tetapi di dalam hatinya masih ada lagi rasa simpati dan sifat insan terhadap sesama agama dan bangsa.
Adakah Mahathir masih layak dipanggil insan? Adakah Mahathir masih layak dipanggil manusia ? Adakah Mahathir masih layak dipanggil muslim ? Inilah persoalan yang menuntut rasa tanggungjawab untuk setiap orang yang waras dan sihat akal fikirannya memberikan jawapan. Namun sikap dan dendam yang ditunjukkannya terhadap Anwar dalam mana kesakitan dan penyakit yang dihidapi oleh Anwar begitu kritikal dapat menjelaskan kepada kita bahawa manusia bernama Mahathir itu sudah tidak memiliki walau secebis pun nilai insan dan sifat manusianya. Kalau haiwan pun masih mempunyai perasaan ihsan terhadap sesama haiwan, namun ianya tidak pada Mahathir. Baginya, dendam yang hitam terhadap Anwar tidak akan berampun. Sikap buruk sangka dan kebenciannya terhadap makhluk yang bernama Anwar Ibrahim sudah tidak dapat dilukiskan dengan kata-kata. Mimik wajahnya ketika memperkatakan tentang Anwar sudah dapat menjelaskan tahap kebenciannya itu. Apa sahaja yang bersangkut paut dengan batang tubuh Anwar tidak harus sama sekali diberikan simpati dan belas kasihan. Apa sahaja yang keluar dari mulut Anwar atau ‘body gesture’nya sekalipun akan tetap dianggap sebagai ‘bohong’ dan muslihat politik semata-mata.
Bagi saya, selagi Mahathir masih berada dalam ilusi dendam dan kebenciannya yang tebal terhadap Anwar beliau sama sekali tidak akan kembali menjadi manusia dan insan. Selagi beliau memiliki hati kering serigalanya , jangan diharap Anwar akan mendapat sebarang belas simpati untuk mengurangkan kesakitan dan deritanya itu. Selagi Mahathir masih bersalut hitam hati yang gersang dari nilai iman dan takwa serta takutkan hari akhirat, usah diharap apa-apa harapan daripadanya. Jauh sekali untuk pergi berubat keluar negara. Manusia berhati serigala yang kejam dan bengis seperti itu tidak akan meletakkan apa-apa simpati yang boleh diharapkan oleh mereka-mereka yang masih menaruh harapan akan ihsannya. Pada saya, mana mungkin untuk mengharapkan simpati dari seekor serigala terhadap mangsanya walhal kerakusan dan lahapnya mengeronyok mangsanya tidak sedikit pun membayangkan akan perasaan itu. Jika tidak, masakan Anwar mendapat 15 tahun penjara !!
Orang yang tidak mengasihani makhluk yang di bumi, tak akan dikasihani oleh makhluk yang di langit. Orang yang terputus dari rahmat Allah tidak akan memiliki hati yang bening dan simpati dengan musibah yang menimpa orang lain ! Apakah hanya maut sahaja bahasa yang sebaik-baiknya untuk melembutkan hati manusia Mahathir ini ? Atau cuma apabila malaikat maut datang dan nyawanya tinggal di halkum maka baru terpekik terlolong memanggil-manggil nama Anwar ? Kalau begitu, pergi mamposss lah dengan manusia jahannam bernama Mahathir itu !
Cucu Datuk Bahaman
2 Mei 2001