Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Dr. AQ : Pilihan Raya dan Kesahan Sosiologikal 7

Menyambung pandangan dari siri VI

Secara sosiologi memang banyak bahagian masyarakat yang boleh kita lihat. Selain daripada kaum dengan pendidikan dan budaya mereka ialah tempat masyarakat yang membentuk pola kelakuan politik dalam setiap negeri. Hal ini banyak segi yang kita kena lihat, terutama masalah tempatan, nasional dan antara bangsa yant berhubungan kait satu sama lain. Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri yang perlu dikaji tentang nilai dan norma pendidikan dan kesedaran politik secara berasingan.

Sokongan Johor kepada Barisan Nasional telah menimbulkan beberapa andaian. Antara lain, Johor telah disebut sebagai "pintu selamat datang" yang mudah bagi keluar-masuk orang asing terutama Singapura ke semenanjung Malaysia. Johor juga merupakan tanah subur bagi pemodal China Singapura. Perangkaan pelaburan mereka mungkin boleh memberi fahaman yang baik tentang ked;udukan politik ekonomi Johor dan jirannya. Berbagai kemudahan telah diperoleh dari rancangan pembangunan. Ribuan rumah, kilang dan tanah kedua dan ketiga bagi orang Singapura di Johor, dijadikan satu daripada beberapa isu dan "keluhan" oleh setengah orang Melayu yang "bersemangat UMNO lama". Ke mana pergi Melayu di bandar dan di pinggir bandar Johor Bharu Kluang dan Batu Pahat ?

Orang China Malaysia, khususnya berbagai golongan peniaga dalam MCA, Gerakan termasuk DAP, mempunyai kepentingan ekonomi dagang yang lumayan terutama di Johor Bahru, Batu Pahat dan Kluang. Mereka telah telah memberikan sokongan besar kepada calon UMNO. Begitu juga peladang dan peniaga di Negeri Sembilan dan Melaka. Bagi orang Melayu, penghayatan kebendaan meningkat begitu rupa yang dirasakan lebih praktikal dalam menentukan siapa wakil yang patut di pilih. Apakah nilai adat dalam memilih YB berupa "yang berkhidmat" atau "yang berhormat" masih dilandaskan dengan harapan :

Pohon rendang di tengah padang ;
Batangnya untuk bersandar ;
Dahannya untuk bergantung ;
Buahnya untuk dimakan :
Daunnya untuk berlindung.

Satu kajian tentang kemerosotan nilai yang diambil alih oleh nilai maddi melalui ekonomi-politik pembangunan perlu dikaji. Penulisan tentang politik Kelantan sudah cukup banyak diberi perhatian tetapi bagi negeri sebelah selatan semenanjung terutama kedudukan orang Melayu dan Islam sangat berkurangan. Sentuhan ini dibuat adalah untuk pengkaji dan peminat politik kepartian menumpukan perhatian mereka pada berbagai segi persoalan secara ilmiah.

[ APA BOLEH BUAT HAMPIR SEMUA AKHBAR SUDAH MENINGGALKAN LANDASAN "ILMIAH" DALAM MEMBERIKAN PENDAPAT, PEMBERITAAN MALAHAN PENDAPAT BAGI "RENCANA PILIHAN" ]

Tambahan pula orang Melayu dalam negeri tersebut, nilai mereka telah berubah iaitu "sekali air bah sekali pantai berubah". Nilai politik-ekonomi yang bersaing telah merupakan kejutan kepada banyak nilai adat. Faktor penolakan di kampung kerana kekurangan pekerjaan, tanah yang jadi rebutan pemodal jenis baru ; dan faktor penarikan pembandaran dengan berbagai peluang kerja menjadi golongan muda bukan sahaja meninggalkan kampung, orang tua dan saudara mara mereka malahan "adat" dan nilainya pun dilupakan.

Justeru itu, pembangunan ekonomi untuk satu ketika yang agak panjang telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu. Jadi isu yang berkaitan dengan kecurangan, keadilan dan agama menjadi nombor dua atau tiga untuk ditimbangkan secara serius.

Sebaliknya dari segi pendidikan dan kesedaran politik selain daripada saluran UMNO (BN) boleh dikatakan tidak ada saluran lain yang berwibawa. Pihak pembangkang termasuk PAS, lama sebelum terbentuk Barisan Alternatif, tidak mempunyai bahan ilmiah yang lengkap dan tidak ada alat politik dan mengetahui "metodologi" yang bersifat "taktik dan strategi" perjuangan. Kapsul "Islam yang syumul", soal syurga dan negara dalam ceramah untuk di telan oleh rakyat sangat tidak mencukupi. Begitu juga kelemahan peranan sekolah agama rakyat dan sekali gus pendidikan politik-agama tidak seperti kegiatan yang terdapat di utara Malaysia. Negeri-negeri di selatan semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak tidak begitu subur.

KEKUATAN PENDIDIKAN DAN BUDAYA

Pendidikan dan budaya merupakan faktor utama membentuk sesuuut bangsa. Hal ini telah lama disedari oleh para ilmuwan. Penyata Razak dan Penyata Aminuddin Baqi mengatur pendidikan negara ini untuk memasuki masa hadapannya supaya semua kaum di Malaysia dapat bercakap dengan satu bahasa yang berwibawa ilmiah. Ramai pelajar dari berbagai kaum telah berhasil menjadi cendekiawan, dan penyumbang tenaga mahir dalam berbagai bidang kehidupan.

Proses ini berjalan dengan baik meskipun pihak orang bukan Melayu tidak begitu bersetuju dengan beberapa rancangan landasan teras budaya yang sekali gus "membantu" dan membentuk perimbangan antara kaum supaya Melayu tidak ketinggalan berbagai bidang kepandaian dan kemahiran.

Suasana tersebut, telah terdesak dengan unsur politik dan ekonomi sehingga sistem pendidikan yang dipersetujui (Penyata Razak) dan landasan yang lahir dari Kongres Budaya Melayu telah "tercemar" dengan fokus politik ekonomi yang memberikan "pertandingan" bebas. Sekolah, maktab malahan "taraf universiti" swasta telah tumbuh seperti cendawan tumbuh. Falsafah dan landasan pendidikan jadi kabur. Kebanyakan mereka mencari untung sebanyak mungkin. "Rating" (pengukuran taraf) semua universiti di Asia yang dibentangkan oleh majalah asing setiap tahun memperlihatkan semua universiti kian menurun.

Akibat daripada dasar pendidikan yang difokuskan pada keuntungan ekonomi maka minat pada bidang yang kurang nilai ekonomi sudah menurun. Mata pelajaran "agama, falsafah, bahasa dan sastera Melayu, budaya seni untuk seni atau pun untuk masyarakat" sudah bertukar jadi untuk "wang". Sebaliknya bahasa Mandrin yang mempunyai nilai ekonomi (berkomunikasi dengan orang China) sekarang begitu popular bukan sahaja ramai orang China memupuk anak mereka belajar bahasa Mandrin, tetapi juga orang Melayu menghantar anak mereka ke sekolah China yang didapati lebih baik daripada sekolah Melayu.

Banyak mata-pelajaran dan kursus sudah tidak diminati dan sukar mendapat guru dan pensyarah yang terkenal. Mata pelajaran dan kursus yang ada nilai "ekonomi" sahaja yang begitu popular, sehingga pensyarah sangat sibuk ; mereka berkejar dari satu kelas ke satu kelas atau ke maktab atau universiti yang lain. Mereka dikatakan sedang "kejar duit".

PENJAJAHAN DAN KESESATAN ILMU

Kesesatan dan penyelewengan ilmu tanpa disedari telah berlaku hampir di seluruh dunia apabila dalam tahun tujuh puluhan pendidikan falsafah dihapuskan oleh "pemikir" politik kotor yang mengusai berbagai universiti demi kepentingan kaum mereka....

Sebelum ini penulis pernah mempersoalkan tentang kedudukan ilmu yang tidak berlandaskan tauhid. Apakah ilmu untuk wang atau untuk tauhid. Peranan ilmu Islam disempitkan dan hanya berkuasa dalam jabatan atau fakulti. Pada umumnya ilmu Islam tertakluk kepada dasar yang disetujui oleh senat, majlis dan di atas sekali ialah arah dan arahan oleh "pemberi roti". INILAH KEBEBASAN ILMU SEKARANG DAN ITULAH JUGA "NASIB" ISLAM.

Perjnyebaran ilmu melalui dasar pendidikan ini di Malaysia boleh memberi keuntungan kepada mereka atau parti yang mempunyai nilai politik-ekonomi yang tertinggi daripada bidang lain. Kelakuan politik yang demikian akan mendapat sokongan semua peniaga dan mereka yang bergantung hidup pada syarikat. Manakala syarikat pula sangat bergantung kepada kekuasaan politik. WANG ATAU EKONOMI ADALAH SEKEMBAR DENGAN POLITIK. "Money (economics) is identical with politics". Justeru kerana itu hasilnya terdapat kelakuan sebahagian pemimpin masyarakat seolah-olah "retak dua" atau "split personality" : siang bercakap mengenai politik untuk faedah bangsa tetapi malam bersubahat dengan korporat.

KETUANAN MELAYU :

Satu isu yang boleh memancing ramai orang Melayu, terutama bagi mereka yang merasakan bahawa banyak hal yang orang Melayu sekarang ketinggalan. Seorang pemimpin MCA Johor dalam waktu hampir pilihan raya pernah menyebut tentang perlunya orang Melayu memberi sokongan kepada Barisan Nasional terutama UMNO jika mahu mempertahankan ketuanan Melayu. Ramai yang menyambut "pendapat" tersebut tersiar dalam akhbar aliran perdana.

Seperti kebanyakan orang politik pemimpin dan penyokong tidak memberikan definisi ketuanan Melayu dan unsur penting yang perlu dipertahankan. Penyata Razak memberikan satu pedoman yang elok melalui pendidinman. Kongres Bahasa dan Budaya Melayu telah memberikan dasar yang telah diterima oleh kerajaan untuk dijadikan dasar. HaL ini hampir semua orang apabila bercakap tentang Melayu tidak merujuk kepada penyata dan kongres.

Daripada apa yang dapat dirasakan dan di lihat di sekeliling diri (maaf penulis tidak dapat mencari statistik) ketuanan Melayu telah banyak melentur dirinya. "Identiti Melayu" kian merosot manakala idetiti China dan India menonjol dalam berbagai lapangan. Jaringan dalam bidang, pendidikan, dagangan, bahasa, malahan dalam bidang makanan pun iaitu 99% restoran Melayu hanya laku di warung "sementara" menjual pari bakar, rendang, gulai cili api dan asam pedas. Secara pertandingan orang Melayu telah kalah dan sangat bergantung pada kerajaan dan juga pada orang China terutama yang berkaitan dengan persediaan bahan keperluan bangunan, pakaian, makanan dan minuman. Insya Allah akan bersambung ke siri VIII .

dr_ahmadkamar@hotmail.com.
18 01 2000




Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com