ISLAM TERPERANGKAP, MENGAPA ?
Merujuk kepada siri 2 (a) mohon maaf, penulisan ini mengulang
di bahagian Islam seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan
Persekutuan sebagai rujukan terkini :
ISLAM :
- Ugama Islam ialah ugama bagi Persekutuan ; tetapi ugama-ugama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
- Dalam tiap-tiap Negeri melainkan Negeri-negeri yang tidak mempunyai
Raja, kedudukan Raja sebagai ketua agama Islam dalam Negerinya secara
dan setakat mana yang diakui dan yang diisytiharkan oleh Perlembagaan Negeri
itu, dan juga, tertakluk kepada Perlembagaan Negeri itu, segala hak,
keistimewaan, hak kedaulatan dan kuasa yang dinikmati olehnya sebagai Ketua
agama Islam tidaklah tersentuh atau tercacat, tetapi dalam apa-apa perbuatan,
amalan atau upacara yang telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja
supaya meliputi seluruh Persekutuan, maka tiap-tiap orang Raja lain
hendaklah atas sifatnya sebagai Ketua agama Islam membenarkan Yang di-Pertuan
Agong mewakilinya.
- Perlembagaan-perlembagaan bagi Negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah
dan Sarawak hendaklah masing-masing membuat peruntukan bagi memberi kepada
Yang di-Pertuan Agong kedudukan sebagai Ketua ugama Islam dalam Negeri itu.
- Tiada apa-apa dalam hal ini mengurangkan kuasa mana-mana peruntukan lain
dalam Perlembagaan ini.
- Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah
menjadi Ketua ugama Islam dalam Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Labuan ; dan bagi maksud ini Parlimen boleh dengan undang-undang membuat
peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal ugama Islam
dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong
mengenai perkara-perkara berhubung dengan ugama Islam.
UGAMA dan
AGAMA
Penggunaan perkataan agama dieja sebagai ugama. Sebenarnya
terdapat tiga jenis ejaan iaitu agama, ugama dan
igama. Kamus bahasa Melayu sekarang tidak memaparkan perkataan "igama".
Agama dan ugama diberi erti yang sama padahal setiap satu itu jauh bezanya.
Dahulu, sebelum penyamaan ejaan bagi Malaysia dengan Indonesia, selain daripada
Johor orang mengeja atau memakai (u) iaitu "ugama", manakala Indonesia mengeja (a) iaitu "agama". Sekarang, semuanya orang memakai ejaan "agama". Majlis Agama Islam termasuk Johor pun sama
menggunakan ejaan "agama". Kebanyakan orang boleh dikatakan tidak mengetahui
sejarah asas perbezaan bagi tiga perkataan tersebut. Perkataan igama, ugama dan
agama ini telah dipakai sebagai terjemahan
daripada perkataan religion, dalam bahasa Inggeris. Sebabnya, berlaku
demikian kerana "latar" penyampaian atau induk bahasa Perlembagaan Persekutuan
termasuk Perlembagaan Negeri adalah bahasa Inggeris. Begitu juga terdapat dengan
meluas tentnag terjemahan bagi perkataan ad-din dalam bahasa Arab ( umpama dalam al-Quran :
innaddi-naindallahil-islam) di sebut sebagai agama, ugama dan dahulu di
Johor disebut igama. Lantas setiap satu dihubungkan dengan Islam, disebut "agama
Islam".. Di samping itu, ada juga secara sendirian, mereka
menggunakan ad-din apabila membincangkan hal
ehwal Islam dalam bahasa Melayu. Mereka hanya menggunakan perkataan agama bila
merujuk kepada agama lain. Hal ini bagi makna sebenar adalah lebih tepat.
Sebabnya, menurut rujukan al_Quran dan Hais bahawa ad-din itu sendiri mempunyai makna dan konseptual
yang luas dan terpelihara. Terdapat 38 ayat memakai ad-din dan sebanyak
42 ayat yang merupakan kaitan dengannya.
[Satu penulisan yang mendalam ilmiah mungkin sudah ada tetapi penulis
belum terbaca untuk dikutip bagi tajuk yang mencabar
ini.]. Bahasa :
Makna dan konsep.
Di bawah ini akan dibincangkan tentang keadaan yang mengelirukan. Menurut
penyelidikan penulis, bahawa tiga perkataan tersebut di atas memberi pengertian
yang berbeza. Igama dahulu pernah dipakai oleh Melayu Riau-Johor walaupun
mereka tidak meneliti tentang kedudukan makna asal Sebab bahasa Inggeris begitu
berpengaruh dan sebahagian anak-anak pembesar negeri dan mereka yang ada
pengaruh telah dilatih untuk jadi hakim, majistret dan peguam maka
igama,agama dan ugama itu sama sahaja dengan konsep religion.
Makna asal Igama bermaksud peraturan Tuhan iaitu
ujudnya hubungan dengan Tuhan, Yang Ghaib. Manakala perkataan "agama"
hanya merujuk kepada perihal peraturan negara seperti Perlembagaan dan akta yang
ditentukan oleh ‘Majlis Negara’ ; dan perkataan "ugama" pula dipakai bagi
peraturan masyarakat iaitu adat dan peraturan budaya kehidupan manusia..
Mengenai Islam dan yang berkaitan dengannya di Malaysia,antara lain sila lihat
Ahmad Kamar,The Leadership of Parti Islam
SeMalaysia (PAS), thesis Ph. (Hull 1977) dan versi lain (bahasa
Melayu,UM, K.Lumpu 1984).
Suruhanjaya Lord Reid menghasilkan Perlembagaan Persekutuan sebagai
undang-undang negara ini dengan memberi lapik kata pertimbangan atas kehendak
dan pendapat daripada berbagai pihak rakyat. Sebagai yang diketahui bahawa
bahasa yang dipakai ialah bahasa Inggeris. Begitu juga bagi perlembagaan
Negeri-negeri telah lama menggunakan bahasa Inggeris. Justeru itu bahasa
Inggeris dengan sendirinya menduduki di tempat tertinggi. Ia menjadi bahasa induk untuk diberikan
pengertian atau terjemahan. Kamus bahasa Inggeris, seperti Oxford
dictionary, undang-undang Inggeris dan negara Komanwel merupakan rujukan
undang-undang negara ini. Keadaan pengaruh yang tebal tentu sahaja makna
"religion" membendung makna daripada pengaruh lain seperti perkataan
Islam itu sendiri. Undang Islam pun dipakai oleh penulis Barat sebagai
"Mohammadan Laws". Ertinya, undang Islam yang terdapat dalam Al-Quran itu telah
dibuat atau direka oleh Nabi Muhammad s.a.w. sendiri.
Dari segi ilmu bahasa (linguistics), bahasa Inggeris mempunyai
kekuatan rujukan dalam berbagai cabang. Sejarah bangsa Eropah memisahkan
negara dari gereja merupakan satu titik tolak yang berani dan berat. Rujukan
makna bahasa dengan cepat jadi berubah. Hal ini kerana nilai dan norma dalam
sistem kehidupan mereka tidak lagi menumpukan pada pengajaran agama (terutama
katolik). Jadi tidak hairan mengapa perkataan religion memakai makna yang
terhad pada upacara yang dijalankan oleh kuasa yang diberikan kepada gereja
sahaja.
Dalam hubungan ini kedudukan bahasa Melayu turut tergugat kerana bukan sahaja
ramai yang kurang mendalam dengan dwi-bahasa, Melayu-Inggeris-Melayu, tetapi
juga kesedaran dan pengetahuan yang cukup mengenai Islam dan kemasyarakatan.
Pada umumnya golongan terpelajar undang-undang kurang kesedaran tentang unsur
"makna dan konsep" Islam apabila mereka menjadi pendakwa atau pembela atau
hakim. [Dosa dan pahala adalah tertakluk kepada apa yang tertulis...dan
seperti dalam siri 1 timbul pertanyaan : SIAPA YANG
MENGHAKIMKAN HAKIM ?]
sila ikuti sambungan siri 2 (c), CABARAN : APA ITU
ISLAM ? insya Allah.
dr_ahmadkamar@hotmail.com
|