Fathi Aris Omar
sumber http://www.malaysiakini.com/
Dec 25: Khamis 23 Disember, malaysiakini menghubungi seorang pegawai Unit Kawalan Penerbitan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk bertanya tentang desas-desus sebuah
majalah proreformasi, Detik, hendak ditarik balik permitnya. Tetapi kami gagal bercakap dengannya, sebaliknya malaysiakini diberitahu pegawai terbabit sedang sibuk dalam "operasi Harakah". "Operasi Harakah", kami tertanya-tanya.
Memang benar, operasi merampas Harakah sedang berlaku petang Khamis lalu di beberapa tempat di Kuala Lumpur. Pengarang Harakah sendiri memberitahu malaysiakini, "biasalah tu!" mengesahkan operasi itu sudah beberapa kali dijalankan oleh KDN, selain amaran-amaran dari
menteri dan timbalan menteri terbabit.
Hari Jumaat lalu operasi merampas Harakah berjalan lagi bagi hari kedua berturut-turut. Malaysiakini dimaklumkan beberapa lokasi di pinggir Kuala Lumpur pula menjadi sasaran serbuan KDN.
Selepas Barisan Nasional 'menang besar' dalam pilihan raya lalu, kerajaan baru pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih lagi tidak senang duduk. Walaupun ucapannya pada malam mengumumkan kemenangan majoriti dua per tiga BN kelihatan megah dan puas, tetapi sehingga sekarang [arti itu, Umno khususnya, sedang menghadapi krisis yang besar. Krisis utama
ialah sokongan Melayu terhadap parti itu jauh merosot. Umno hanya mendapat 30 hingga 40 peratus undi Melayu. Selebihnya jatuh ke tangan PAS dan KeADILan.
Mahathir dalam satu tulisannya di sebuah akhbar Jepun, Mainichi Shimbun, sebagai mengulas sebab-sebab kekalahan partinya menuduh kemenangan parti-parti pembangkang kerana "pembohongan, fitnah dan rasuah". Akhbar-akhbar harian tempatan secara besar-besaran menjadikan pandangan Mahathir itu sebagai berita utama. Malah, akhbar New Straits Times menerbitkan kembali sepenuhnya tulisan dalam Bahasa Inggeris itu dari akhbar Jepun beberapa hari selepas disiarkan di sana. Mingguan Malaysia pula pada 19 Disember lalu menterjemahkan teks itu sepenuhnya.
Siapakah yang dimaksudkan menyebarkan fitnah, pembohongan dan rasuah kepada orang Melayu? Anda tentu menduga tuduhan itu ditujukan kepada PAS, KeADILan, Anwar dan profesional Melayu. Tidak. Sasaran pertama selepas tuduhan Mahathir melalui tulisannya itu ditujukan kepada akhbar dan majalah yang berpengaruh yang dilihat "menyebarkan pandangan-pandangan tidak seimbang."
Sasaran pertama ialah Detik, sebuah majalah dengan slogan "Suara Reformasi Rakyat" yang diterbitkan dua kali sebulan. Ia mendapat permit mulai 1 Disember 1998 tetapi diterbitkan pada 1 Januari tahun ini. Walaupun mengikut permit asalnya majalah itu boleh diterbitkan tiga kali sebulan tetapi pihak penerbitnya, Penerbitan Pemuda yang dimiliki oleh Ahmad Lutfi Othman, hanya mampu menerbitkan setiap dua minggu. Dalam tempoh enam bulan pertama, Detik hanya mampu dicetak sebulan sekali.
Tarikh tamat permitnya 1 Disember tahun ini. Jadi, beberapa bulan sebelum tarikh ini luput, pemilik
majalah memohon semula permit dan KDN telah pun meluluskan pada 9 Disember lalu. Bagaimanapun, apabila proses penerbitan berjalan seperti biasa, KDN pada awal minggu ini, Selasa 21 Disember, memaklumkan secara lisan nombor permit tidak dapat dikeluarkan. Kelulusan tersebut, menurut sumber KDN, kini bergantung pada "penilaian dan kelulusan menteri"
bukan lagi di tangan pegawai KDN.
"Apabila dinilai dari sudut tarikh kelulusan permit yang awal dengan tarikh 'penilaian dan kelulusan
semula oleh menteri', nyatalah wujud campurtangan orang politik dalam proses memberikan permit," jelas Lutfi. Tetapi sebenarnya budibicara menteri dalam menilai dan meluluskan permit penerbitan adalah perkara biasa, malah tercatat dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan 1987).
Bagaimanapun, kewujudan akta ini sendiri memang kontroversi. Tidak ada parti politik, aktivis badan
bukan kerajaan (NGO) dan penulis yang kritis bersetuju dengan peruntukan tertentu di dalamnya. Kini, peruntukan itulah yang menjerat sebuah majalah politik yang paling berpengaruh ini, dipercayai 40 ribu hingga 50 ribu naskhah terjual mengikut kepanasan isu-isu politik negara.
Namun, bukan Detik sahaja menerima nasib buruk ini. Sebelumnya, tahun ini juga, majalah bulanan berbahasa Melayu Panji Masyarakat dan tabloid berbahasa Cina, Mr Weekly, turut ditekan oleh pihak berwajib. Panji Masyarakat sempat diterbitkan tiga kali sahaja!
Caranya bukan menarik balik permit atau mengharamkannya. Itu cara lapuk. Cara terbaru ialah mengenakan syarat-syarat yang ketat, pelik dan melengah-lengahkan proses membaharui permit. Akta tersebut mensyaratkan permit penerbitan mestilah diperbaharui setiap tahun.
Majalah berbahasa Inggeris terbitan sebuah pertubuhan Aliran Kesedaran Negara, Aliran Monthly, tahun ini berdepan masalah sukar mencari penerbit. Masalah ini berlegar di sekitar isu yang sama, akta penerbitan memperuntukkan kuasa kepada KDN untuk menarik balik permit mesin cetak jika hasil-hasil cetakannya dikenakan tindakan. Pelaburan ke atas mesin yang mahal
menjadikan pencetak berfikir banyak kali untuk meneruskan percetakan sesebuah bahan terbitan yang difikirkan "menyusahkan" vis-a-vis mengkritik kerajaan.
Sebuah syarikat percetakan yang beroperasi di Shah Alam dengan pelaburan mesin sebanyak sejuta ringgit ditarik balik permitnya apabila syarikat itu mencetak kertas kerja Dr Abdul Rahim Md Ghouse, pada waktu itu Pengerusi Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, yang dianggap mengkritik polisi ekonomi Dr Mahathir. Sekarang, Dr Rahim berada di luar negara
selepas berlakunya tangkapan besar-besaran ke atas pendukung awal gerakan reformasi pada September tahun lalu.
Kementerian kini menggunakan alasan-alasan tertentu untuk menyekat kebebasan menulis. Bagi Detik, KDN berhujah majalah itu tidak mengikut "skop penerbitannya yang asal" dalam kategori pendidikan.
"Sebenarnya, dalam borang permohonan tidak ditetapkan sesuatu kategori. Tetapi KDN sendiri dalam surat kelulusan mengkelaskan majalah ini sebagai majalah pendidikan," hujah Lutfi pula.
Bagi Harakah, alasan yang selalu digunakan KDN ialah kaedah penjualan yang terbuka - boleh didapati di mana-mana gerai akhbar dan dijual kepada bukan ahli PAS sedangkan permohonan Harakah "untuk ahli PAS sahaja".
Sebelum ini, hasil perundingan dua pihak itu, Harakah diwajibkan dijual di atas rak akhbar yang bertulis "untuk ahli PAS sahaja." Kemudian, KDN memaksa akhbar tabloid PAS sejak 1987 itu menulis perkataan yang sama besar-besar di muka depan. Jika tidak, Harakah akan diambil tindakan - begitulah amaran dari KDN.
Pada Khamis dan Jumaat lalu, tindakan yang dijanjikan oleh KDN ialah merampas akhbar tersebut di beberapa tempat di Lembah Kelang. Sebenarnya operasi merampas Harakah seperti ini bukanlah kali pertama. Tetapi lambat laun akhbar itu dicari semula peminat-peminat politik dan terpaksa dijual dengan meluas.
"Kami menjual bahan-bahan bacaan yang laku. Kalau Harakah dikehendaki pembaca, mengapa pula tidak boleh dijual?" soal seorang pekedai di Ulu Klang. Selepas peristiwa pemecatan dan pemenjaraan Anwar, Harakah meningkat ke angka 300,000 naskhah bagi setiap terbitan. Menjelang pilihan raya lalu, akhbar itu dicetak hampir 400,000 naskhah dan ada waktunya sold-out.
Inilah kebimbangan yang disimpan dalam fikiran pemimpin kerajaan dan Umno. Bukan setakat mengawal akhbar-akhbar harian dan stesyen TV, kerajaan mengongkong pula akhbar dan majalah yang tidak berpihak kepadanya.
"Apa susah-susah," ulas seorang aktivis gerakan reformasi jalanan, "kita masuk PAS ramai-ramai supaya dapat membaca Harakah."
"Kalau kerajaan tidak berikan permit, Detik pun boleh diterbitkan di Internet, macam Laman Reformasi dan Mahafiraun," cadang seorang pemberita akhbar harian arus rasmi.
Tetapi isu sebenar bukannya soal menyertai PAS untuk membaca Harakah atau menerbitkan majalah melalui Internet seperti buletin berita harian, malaysiakini.com. Isunya, melalui akta sedia ada (termasuk Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan Akta Keselamatan Dalam Negeri), kerajaan disifatkan menindas kebebasan akhbar dan setiap petugas media mesti menyatakan protes ke atas penindasan yang sudah memakan masa berpuluh-puluh tahun.