Fathi Aris Omar
sumber http://www.malaysiakini.com/
11am, SAB: Sebuah syarikat perjudian Genting Bhd mengekalkan kedudukan tertinggi untuk tahun keenam berturut-turut dalam satu kajian ke atas lebih 500 buah syarikat. Kajian itu yang diterbitkan dalam keluaran terbaru sebuah majalah mingguan rantau ini, Far Eastern Economic Review, bertujuan menilai kepimpinan korporat di Asia.
Syarikat perjudian terkenal itu disifatkan oleh responden, menurut laporan FEER lagi, sebagai
"mempunyai sumber kewangan yang kukuh" yang "ingin dicontohi oleh syarikat-syarikat lain." Syarikat kasino itu tidak mempunyai banyak hutang tetapi sebaliknya memiliki RM2,000 juta rezab, sumber yang sama dipetik.
"Ia juga mempelbagaikan kegiatan perniagaannya dalam bidang perladangan, janakuasa dan pelancongan di Malaysia. Pelaburan di luar negara pula melibatkan bidang petroleum dan gas di Indonesia dan hiburan di Afrika Selatan."
Kajian yang diadakan setiap tahun oleh majalah itu bertajuk "Review 200: Asia's Leading Companies" menyenaraikan hanya 200 buah syarikat terbaik hasil tinjauannya ke atas 3,500 responden dari Asia. Kajian itu memasukkan 90 buah syarikat dari luar rantau ini yang menjalankan perniagaan di Asia, dan juga 10 buah syarikat utama dari 11 negara rantau ini.
Sementara itu, syarikat kewangan terbesar negara ini Maybank mengekalkan tempat kedua selepas melalui zaman kemelesetan ekonomi. Pendapatan sebelum cukai meningkat sebanyak 83 peratus kepada RM1,000 juta dan nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) syarikat itu hanyalah 5.3 peratus berbanding 8 peratus bagi industri berkenaan.
Kajian yang sama menunjukkan syarikat petroleum Petronas mengekalkan tempat ketiga, diikuti YTL Corp and Public Bank yang naik tangga dari kedudukannya tahun lalu.