Oleh Fathi Aris Omar
Saya masih ingat pertemuan pertama dengan seorang
tokoh pemikir yang lama saya kagumi, Sdr Rustam A
Sani. Dalam pertemuan pada Oktober 1998 lalu, saya
masih ingat beliau cuba menjelaskan apa ertinya
“menentang Dr Mahathir. Bagi dirinya laungan anti-Mahathir seperti
“undur-Mahathir-undur” bukan
ditujukan kepada jasad atau peribadi Perdana Menteri
itu sahaja. Malah, bukan bermakna menolak kepimpinan Dr Mahathir seorang
diri dengan menerima Umno atau sistem buruk yang sedia ada -- seperti
lazimnya difahami dan
cuba
dikempenkan oleh ahli-ahli Umno, “biar tak sokong PM,
asalkan undi
Umno. Dr
Mahathir melambangkan (ulang: melambangkan) satu
pemikiran, satu
kumpulan
dasar, satu tindakan politik dan satu kelas elit
tertentu. Sebagai mana
Anwar dijadikan simbol protes rakyat, begitulah juga
konsep protes yang
tersirat di sebalik Dr Mahathir, jelas beliau lagi.
Agak panjang juga,
walau
sedikit sahaja yang saya tuliskan.
Pemikiran ini dikupas dengan lebih mendalam lagi oleh
aktivis
masyarakat dan
juga kenalan saya Hishamuddin Rais -- tentunya anda
sering terbaca idea
seperti ini dalam ruangan tetapnya “Analog” dalam
sebuah akhbar
mingguan.
Sekali lagi, dalam satu wawancara dengan majalah
DETIK, Sdr Hassan
Karim,
cuba mengungkapkan apa pengaruhnya Mahathir ke atas
Umno. Idea yang
sama
cuba dilakarkan oleh rakan saya kartunis top masa
kini, Zunar, dalam
satu
karikaturnya (juga dalam DETIK), bagaimana simbol Umno
itu secara
evolusi
berubah menjadi wajah hodoh Dr Mahathir (itu penilaian
saya terhadap
kartun
PM, wajah PM yang sebenar handsome juga!). Dan apa
yang disebutkan oleh
tokoh dan aktivis ini ialah apa yang cuba disebut
dalam lingkungan Umno
itu
sendiri; umpamanya Umno ditakrifkan sebagai “Under
Mahathir, No
Opposition”
atau yang lebih baru, “Undur Mahathir, Negara OK”.
Jadi, sebenarnya, sudah terbentuk dalam pemikiran umum
-- walau mungkin
kurang disedari dan tidak pula dikonsepsikan secara
serius, barangkali
karya
The Paradox of Mahathirism terkecuali -- bahawa
sebutan “Dr Mahathir”
bukan
sekadar merujuk jasad dan peribadi Dr Mahathir.
Istilah “Dr Mahathir”
itu
sebenarnya jauh lebih luas pengertiannya dan
cakupannya dalam konteks
politik negara. Ia menggambarkan satu huraian atau
konsep yang luas.
Konsep
itu boleh dicantumkan dari semua maksud yang saya
nyatakan di atas,
bermula
huraian Rustam Sani, Hishamuddin Rais, Zunar hinggalah
kemeluatan orang
ramai apabila membicarakan “Dr Mahathir”.
Saya percaya apabila konsep atau maksud “Dr Mahathir”
itu cukup luas,
sudah
tentu ada beberapa dimensi daripada Dr Mahathir, satu
daripadanya ialah
pemikirannya yang cuba digambarkan melalui beberapa
aspek -- pertama,
dasar-dasar negara; kedua, binaan-binaan; dan ketiga,
melalui ucapan,
tulisan dan reaksi-reaksi spontannya khususnya ketika
berdepan dengan
wartawan. Istilah “Mahathirisme” misalnya -- antaranya
cuba
dipopularkan
oleh SN Shahnon Ahmad -- sudah tentu menganggap Dr
Mahathir sebagai
satu
kumpulan buah fikiran atau “isme” atau ideologi, walau
tarafnya
tidaklah
sama dengan ideologi-ideologi politik yang lain,
tetapi kesan
Mahathirisme
cukup terasa di negara kita.
Dan, saya sebenarnya suka menyarankan agar kempen
anti-Mahathir atau
laungan
“undur-Mahathir-undur” tidak dilihat secara jasmani
atau peribadi Dr
Mahathir sahaja. Malah, tanggapan itu sebenarnya
menyeleweng, malah
boleh
merosakkan. Misalnya, ada orang suka melaungkan
(secara bergurau
selalunya)
di depan rakan-rakannya “bunuh Mahathir” atau
menyebutkan keturunan
beliau
dengan gelaran-gelaran yang bersifat perkauman.
Perkembangan ini tidak
sihat, pejal, beremosi dan jauh sekali daripada budaya
politik yang
sihat.
Dan saya juga menyarankan agar dua aspek tersebut
dihentikan demi
mengangkat
martabat politik, khususnya di kalangan orang Melayu.
Perkembangan ini
nyata
sekali dikongkong oleh tanggapan bahawa istilah “Dr
Mahathir” itu
merujuk
pada jasmani dan peribadi Dr Mahathir.
Padahal jika konsep Dr Mahathir itu lebih luas, maka
secara automatis
tidak
timbul ungkapan “bunuh Mahathir” secara fizikal; dan
juga tidak
berbangkit
soal-soal keturunan. Sebab Mahathirisme sebagai satu
kumpulan dasar,
idea,
dan tindakan politik (malah, lebih jauh lagi, sebagai
satu kelas kecil
masyarakat teratas dan satu “sistem”) tidak boleh
dimatikan dengan cara
membunuh beliau, atau mendesaknya berundur, atau
menggantikan beliau
seseorang yang lain. Malah kelas itu tidak boleh
dihapuskan dengan
mengekalkan cara berfikir dan budaya “Dr Mahathir” itu
sendiri.
Ertinya, desakan “undur-Mahathir-undur” bukannya
desakan agar seseorang
bernama Dr Mahathir bin Mohamad meletakkan jawatan.
Yang penting,
rangkaian
pengaruhnya, dasar-dasarnya, cara berfikirnya,
amalan-amalan politik
pragmatisnya, budayanya dan idea-ideanya (yang boleh
dirangkumkan
secara
umum sebagai “sistem”) haruslah turut berundur,
haruslah digantikan
dengan
sejenis “sistem” yang lebih baik daripada “Dr
Mahathir”. Dengan itu,
saya
berharap agar penyokong dan aktivis reformasi tidak
lagi melihat Dr
Mahathir
secara peribadi, jasmani dan berseorang diri tetapi
hendaklah memahami
bahawa sebutan “Dr Mahathir” itu jauh lebih luas
maksud dan konsepnya.
Dengan kata lain, kita tidak mahu lagi melihat “Dr
Mahathir” yang baru
selepas perginya seorang Dr Mahathir yang ada kini.
Tidak ada istilah
Dr
Mahathir Junior, misalnya! Kita tidak mahu juga
parti-parti politik
alternatif mengambil tindakan-tindakan politik “ala
Mahathir” di dalam
parti-parti mereka sendiri, atau selepas berjaya
menguasai negara.
Dengan itu juga, usaha untuk mengundurkan Dr Mahathir
tentunya akan
dilihat
lebih rumit dan kompleks daripada menghilangkannya
atau menjatuhkannya
daripada jawatannya yang ada kini. Barulah semua orang
sedar sebenarnya
untuk menewaskan beliau -- katakan dalam pilihan raya
umum nanti --
bukanlah
sekadar di Parlimen Kubang Pasu atau mana-mana kawasan
yang
ditandinginya
tetapi lebih luas lagi. Dan, reformasi yang kita semua
harapkan
tentunya
bukan sekadar memasukkan semula Anwar ke dalam Umno
atau menabalkannya
sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Dr Mahathir.
“Dr Mahathir”
sebagai
satu sistem tidak memungkinkan reformasi seperti itu
berjaya.
Pada waktu yang sama juga, kempen politik yang cuba
diserapkan di
kalangan
ahli-ahli Umno (sebenarnya untuk memujuk mereka
menyokong parti
Mahathirisme
itu) seperti “tidak mengapa benci Mahathir, asalkan
kekalkan Umno atau
Mahathir tidak lama lagi, nanti naik pemimpin baru
yang lebih baik”
atau
“biarlah kita bergaduh dengan bapa (Mahathir) tetapi
jangan kita lari
dari
rumah (Umno) pula” semuanya tidak relevan. Malah,
sempit semata-mata.
Ia
hanya propaganda kosong ahli-ahli Umno semata-mata.
Dalam konteks yang sama, sebenarnya (walau tidak
pernah diungkapkan
orang)
kita boleh menjadikan istilah Mahathir (asalnya, kata
nama khusus)
sebagai
kata kerja kerja (verb) atau kata keterangan (adverb),
atau kata nama
(noun). Misalnya, kita boleh sebut: “Umno telah
dimahathirkan sejak
1981
lagi” atau “Ustaz XX dari parti YY cuba melumpuhkan
musuh politik dalam
partinya dengan gaya mahathir” atau “terdapat usaha
pemahathiran rakyat
Malaysia.
Dalam kamus politik, sebenarnya tidak pelik untuk
mewujudkan istilah
“mahathir”. Misalnya “gerrymander” (asalnya nama
seorang tokoh politik
Amerika), boleh menjadi satu kata kerja (verb) --
kalau kita kaji aspek
tata
bahasa. Apabila disebut tindakan “gerrymandering”,
maka terbayanglah
tindakannya yang asal -- mengubah sempadan-sempadan
kawasan pilihan
raya
untuk memastikan dirinya dan partinya menang. Beliau
sudah tiada,
tetapi
tindakan ala Gerry Mander akan disebut dengan istilah
itu.
Seperti yang saya selalu tegaskan, penciptaan istilah
atau perkataan
sebegini akan sentiasa berkembang apabila sesuatu
masyarakat mempunyai
konsep, makna atau paradigma tertentu untuk diluahkan
secara lisan. Di
kalangan remaja lepak, kita dengar ungkapan berikut:
“lu kencing wa
punya
port”. Istilah “kencing” di sini sama sekali berbeza
dengan istilah
kencing
atau buang air kecil.
Jadi, saya merumuskan, janganlah anda memahathirkan
diri anda
sendiri”!