Fathi Aris Omar
Apabila kaum bukan Islam tidak memahami negara Islam,
sebenarnya itu perkara biasa. Malah, orang Islam
sendiri juga tidak memahaminya. Jangan terkejut mereka
yang aktif dalam pertubuhan-pertubuhan Islam sendiri
tidak dapat menjelaskannya dengan baik! Isu negara
Islam menjadi isu nasional bukan kerana ia merupakan
asakan satu kepercayaan sesuatu pihak ke atas rakyat
negara ini tetapi kerana ia sama-sama tidak difahami
oleh kita semua!
Oleh itu, PAS, atau pertubuhan Islam seperti Angkatan
Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah
Islah Malaysia (JIM), yang sering dilihat
memperjuangkan konsep negara Islam sepatutnya
menjangkakan sikap menolak dan kebingungan dari kita
semua. Tetapi pihak yang tidak peka selalunya tidak
berasa perlu menjelaskan dan tidak pula berasa perlu
mendapatkan maklum balas dari orang ramai.
Paradoks kejahilan ini sungguh ketara di kalangan
orang Islam, tidak mengira generasi tua atau muda.
Mereka sebenarnya diwajibkan untuk mempelajari,
mempercayai dan memperjuangkannya tetapi merekalah
yang sama-sama dihanyutkan kebingungan setiap kali
timbul isu Negara Islam.
Negara Islam muncul daripada kepercayaan bahawa Islam
adalah satu cara hidup yang lengkap. Ayat Al-Quran
dalam surah al-Baqarah: 208 menyebutkan hal ini.
Sebagai satu cara hidup yang lengkap, politik dan
ekonomi tidak terpisah daripada kepercayaan agama.
Islam bukan sekadar amalan ibadat, menyembah Tuhan
dalam acara sembahyang sahaja. Islam bukan sekadar
berbuat baik kepada orang ramai dan haiwan sahaja.
Semua aspek kehidupan, bermula dari bangun pagi hingga
ke saat masuk tidur, mesti diatur menurut cara Islam.
Pakaian, kenderaan, makanan, kerjaya dan pergaulan
mestilah ditentukan mengikut prinsip Islam. Itu
tanggungjawab di peringkat individu.
Islam juga menetapkan tanggungjawab di peringkat
keluarga, masyarakat dan negara. Salah satu
tanggungjawab di peringkat masyarakat dan negara ialah
memastikan negara ini diperintah menurut undang-undang
yang adil, ekonominya diagihkan dengan adil,
politiknya dikendalikan dengan jujur dan perhubungan
kaum dikendalikan dengan saksama. Tanggungjawab ini
tidak dapat dilaksanakan kecuali wujudnya Negara
Islam.
Semua aspek ini sudah digariskan dalam Islam -- selain
prinsip-prinsip asasnya dalam Al-Quran, Nabi Muhammad
dan sahabat-sahabatnya menjelaskan bagaimana Negara
Islam didirikan. Oleh itu, tidak timbul soal
melaksanakan Islam secara membuta-tuli atau
meraba-raba.
Dari segi sejarah, Islam pernah membangunkan negara
yang luas, pelbagai kaum, kaya-raya, mempunyai tamadun
ilmu yang tinggi dan mempunyai kekuataan tentera yang
besar.
Tetapi di kalangan orang Melayu, sama ada tua atau
muda, pengetahuan tentang sejarah Islam,
prinsip-prinsip Al-Quran dan kejayaan politik Islam
tidak wujud. Mereka sama sekali jahil.
Tidak ganjil sebenarnya ramai orang Melayu yang Islam
hanya kerana keturunan, bukan berdasarkan ilmu. Ramai
juga yang bersembahyang, berpuasa dan naik haji (pergi
ke Mekah) tidak mengikut ajaran-ajaran Islam yang
sebenarnya. Apatah lagi ilmu-ilmu politik, ekonomi,
dan sejarah tamadun Islam -- tentunya mereka tidak
mengetahui apa-apa pun!
Bagaimanapun, golongan muda yang terpelajar dan
terlibat dalam pertubuhan-pertubuhan Islam, seperti
PAS, ABIM dan JIM, mengetahui ilmu ini. Malah, mereka
yakin bahawa membangunkan negara Islam merupakan satu
tanggungjawab ke atas semua orang Islam. Tanggungjawab
ini samalah tanggungjawab bersembahyang dan berpuasa
-- dua amalan asas yang dilakukan oleh semua orang
Islam, lelaki atau perempuan, tua atau muda.
Banyak sebab mengapa majoriti orang Islam tidak
memahami konsep negara Islam. Pertama, pendidikan yang
mereka terima di sekolah dan universiti sama ada di
negara ini atau luar negeri tidak lagi mengajar mereka
tentang ilmu-ilmu itu. Malah, mereka terpengaruh
dengan kejayaan-kejayaan Barat dan ideologi-ideologi
Barat.
Oleh itu, mereka lebih yakin pada sekularisme dan
lebih memahami demokrasi daripada konsep negara Islam
atau cabangnya, seperti hudud. Mereka mempelajari
ekonomi Barat tetapi jahil tentang ekonomi Islam.
Mereka mempelajari sistem politik Barat tetapi tidak
kenal apa itu politik Islam.
Kedua, apabila mereka memegang jawatan-jawatan penting
dalam negara dan masyarakat, orang Islam inilah yang
awal-awal lagi mencurigai konsep negara Islam.
Merekalah yang lebih kuat menolak idea negara Islam
jika dibandingkan dengan orang bukan Islam sendiri.
Sebab itu kita lihat di negara ini, isu negara Islam
menjadi topik hangat antara Umno dengan PAS, bukannya
antara PAS dengan MCA, MIC atau DAP. Perkara itu
sungguh lucu dan ironic!
Ketiga, organisasi-organisasi Islam yang
memperjuangkan konsep negara Islam selalunya berada di
pihak pembangkang. PAS misalnya sebuah parti
pembangkang utama di kalangan orang Melayu. Begitu
juga JIM dan ABIM. Jika JIM dan ABIM berbeza pandangan
dengan PAS dalam isu-isu tertentu tetapi dalam isu
negara Islam, mereka tidak akan bertentangan. ABIM dan
JIM, walaupun bukan parti politik, memahami konsep
negara Islam tetapi Umno tidak memahaminya.
Sebab itu, ABIM dan JIM dilihat "membangkang dan
pro-PAS" di mata orang Umno. Inilah sebabnya ulama
(Islamic scholar) yang bekerja dengan kerajaan sebagai
ahli akademik di universiti atau sebagai imam (ketua
sembahyang) di masjid kerajaan "dianggap" pro-PAS
walaupun mereka bukannya ahli atau penyokong PAS!
Persamaan itu semata-mata kerana orang Islam ini
memahami dan mempercayai negara Islam, sedangkan parti
pemerintah tidak dapat menerima konsep negara Islam.
Perbezaan ini bukannya antara dua parti Umno dan PAS
tetapi dua idelogi atau cara berfikir, antara Negara
Islam dengan sekularisme.
Anak-anak muda Melayu-Islam, sama seperti mereka yang
dewasa, majoritinya tidak memahami apa-apa pun tentang
Negara Islam. Cuma bezanya, anak muda Melayu lebih
kritis terhadap kerajaan atau gaya politik Umno. Sebab
itu, idea negara Islam yang disebarkan oleh PAS lebih
mudah diterima oleh anak-anak muda Melayu ini. Bukan
kerana mereka faham, menghayati dan memperjuangkannya
tetapi kerana arus popular politik semasa menuju ke
arah itu.
Satu hal lagi yang jelas di kalangan orang Melayu,
khususnya anak muda, ialah tiada lagi persaingan
ideologi politik. Tinggal satu sahaja ideologi
politik, "negara Islam." Generasi muda Melayu tidak
kenal komunisme, sosialisme, nasionalisme, fasisme,
demokrasi tulen (seperti di Barat) atau aliran-aliran
berfikir yang lain, misalnya kapitalisme, feminisme,
atau pasca-modenisme.
Sebelum 1970-an, orang Melayu berpecah kepada beberapa
aliran, ada yang dianggap kiri (sosialisme dan
komunisme) atau kanan (demokrasi liberal atau
nasionalisme) tetapi sejak muncul Kebangkitan Islam
pada lewat 1970-an, hanya Islam hidup sebagai ideologi
politik di kalangan orang Melayu, khususnya di
kalangan pelajar universiti dan profesional. Jika
berminat terlibat dengan politik, anak muda ini akan
menyertai PAS; jika tidak berminat, mereka akan
menyertai ABIM dan JIM. Kumpulan-kumpulan anak muda
Melayu yang lain tidak tersusun dalam organisasi,
mereka masing-masing tiada ideologi politik atau minat
yang mendalam terhadap politik. Mereka hanya mengikut
arus politik semasa yang popular. Kini arus yang
popular ialah arus Islam PAS dan arus anti-kerajaan
seperti KeADILan.
Walaupun tiga organisasi Islam ini sama-sama yakin dan
berpegang pada konsep Negara Islam, tetapi PAS, JIM
dan ABIM selalu juga berbeza pandangan. Selalunya
perbezaan pandangan mereka terletak pada cara-cara
menegakkan negara Islam. ABIM dan JIM percaya pada
persiapan ilmu yang rapi -- mereka mengutamakan
penerangan, dialog, kajian, persediaan pakar dan
proses yang perlahan-lahan (evolusi).
Tetapi PAS percaya pada jalan perubahan politik
melalui pilihan raya. ABIM dan JIM tidak menolak
pilihanraya sebagai satu cara perubahan politik tetapi
dua pertubuhan ini tidak suka pada pendekatan PAS yang
tidak mengutamakan penerangan, kajian dan persediaan
pakar. Dalam parti Islam itu, kurang profesional dan
kurang pakar; malah kurang kajian dan perbahasan
tentang cara-cara melaksanakan Negara Islam. Itulah
yang sebabnya ABIM dan JIM menyokong Umno (ketika
Anwar Ibrahim bersama parti itu) kerana mereka percaya
dialog, kajian dan kepakaran ada dalam kerajaan.
Kini, PAS, JIM dan ABIM sudah berubah. Mereka bersama.
Anak-anak muda Melayu yang sudah menolak Umno akan
bersimpati dan menyokong mereka. Tetapi isu negara
Islam tidak akan selesai -- akan ada debat yang hangat
tentang cara-cara menegakkan Negara Islam. Cuma, kali
ini PAS lebih banyak pakar dan kajian hasil
penggabungan dengan ABIM dan JIM.
Namun, gabungan tiga pertubuhan Islam mesti bertembung
dengan Umno dahulu. Isunya bukan soal cara-cara
pelaksanaan sebab hal itu akan dapat diselesaikan
bersama PAS, JIM dan ABIM. Pertembungan Umno dengan
tiga organisasi ini, walaupun semuanya orang Melayu
dan orang Islam, kerana satu pihak yakin pada
idealisme itu; sementara satu pihak lagi tidak yakin
padanya -- tetapi parti itulah yang paling berkuasa
dan memerintah Malaysia.
Isu Negara Islam masih panjang. Masih banyak debat,
kajian, dialog dan kepakaran diperlukan. Tetapi anak
muda Melayu tidak akan bersama Umno dalam hal ini.
Walaupun mereka tidak memahaminya dengan mendalam,
Negara Islam akan disokong oleh generasi muda Melayu
yang menolak politik Umno. Itulah senario masa depan
kami, orang Melayu.
--------------------------------------------------------
Artikel ini pernah disiarkan dalam akhbar Nanyang
Siang Pau selama beberapa minggu mulai 5 Januari 2000.
Fathi Aris bertugas sepenuh masa sebagai Pengarang
Berita di akhbar harian dalam talian, malaysiakini.com