Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Suara rakyat nyawa-nyawa ikan

Fathi Aris Omar

Tabloid dwi-mingguan Harakah diusahakan oleh PAS. Malah permitnya dipohon oleh Jabatan Penerangan PAS atas nama Setiausaha Agung parti itu. Jadi, Harakah dilihat milik PAS sahaja tetapi hujah itu bersifat legalistic - Kementerian Dalam Negeri suka berhujah hal-hal remeh-temeh ini.

Bagaimanapun, dari segi perkembangan politik semasa dan implikasinya, Harakah bukan lagi milik PAS yang harus didakap dengan penuh rasa cemburu buta.

Dalam tempoh 13 tahun perkembangannya, dan khususnya sejak tercetus peristiwa politik yang digelar ‘re-for-ma-si,' Harakah telah terkeluar dari kepompong PAS. Ia dituntut menyuarakan isu-isu semasa yang lebih besar daripada kepentingan parti.

Tuntutan itu umumnya datang disebabkan dua faktor; pertama, perkembangan politik dan isu-isu politik yang lebih luas daripada perspektif biasa PAS, dan kedua, kemunculan kelompok baru pembaca Harakah sama ada penyokong tambahan parti itu atau anggota masyarakat yang inginkan pandangan kedua.

Ia kini dilihat mewakili semangat semua parti dalam Barisan Alternatif (satu lagi gejala baru akibat cetusan reformasi) dan 44 peratus jumlah pengundi yang memilih pakatan itu tiga bulan lalu, 29 November. Dalam keadaan media arus utama tidak sedia mewakili suara parti-parti ini, Harakah sahaja yang menerbitkannya.

Mengenakan kekangan ke atas Harakah bermakna cuba menutup mulut Barisan Alternatif dan hampir separuh jumlah pengundi di negara ini.

Selain itu, tindakan KDN ke atas satu-satunya tabloid pembangkang yang dilihat boleh dipercayai dan popular ini tidak wujud dalam lingkungan politik yang kosong. Sebelum ini sudah nampak trend untuk mengawal kebebasan bersuara.

Misalnya, Detik yang tidak diperbaharui permit dan siri-siri surat tunjuk sebab kepada Wasilah (baru keluaran pertama, muka depan foto anak Anwar, Nurul Izzah) dan surat amaran kepada Tamadun dan Eksklusif.

Tindakan KDN mengurangkan kekerapan penerbitan Harakah daripada lapan kali kepada dua kali sebulan bukan isu. Isu sebenarnya ialah falsafah tersirat di sebalik kongkongan ke atas media yang kritis.

Contohnya, bagaimana Detik yang diterbitkan oleh sebuah syarikat swasta, dikendalikan oleh beberapa wartawan dan menyiarkan pandangan kedua-dua belah pihak antara kerajaan dan pembangkang tidak diperbaharui permit? Apa dosa mingguan Eksklusif - sejak beroperasi April tahun lalu - sehingga sentiasa menerima gangguan dari KDN?

Niat tersirat inilah yang perlu diungkitkan di depan mata menteri berkenaan, bukannya soal-soal yang lain. Lagipun, sesebuah penerbitan mempunyai ‘roh' dan ‘zat'yang tersendiri. Ia ibarat identiti kekal yang dikenali oleh pembacanya tetapi boleh berubah apabila tempoh masa penerbitannya berubah. Dengan bahasa orang media, kita sebut "konsep penerbitan" -- bahagian yang lembut daripada sesuatu penerbitan. Maksudnya, sesebuah penerbitan bukan terletak pada namanya, jenis kertasnya atau reka bentuk luarannya. Konsep penerbitan yang utama - jiwa kepada media - ialah bahan-bahan bertulis dan idea-ideanya.

Ertinya, apabila Harakah tidak diterbitkan lagi dua kali seminggu, sebaliknya dua kali sebulan, konsep penerbitannya terpaksa berubah kerana tidak mampu lagi menyiarkan berita tetapi lebih banyak menerbitkan analisis, pendapat, rencana dan laporan yang ‘serius'. Oleh itu, Harakah (lama) dengan konsep sebelum ini sebenarnya sudah mati. Harakah (baru) dengan konsep baru adalah satu jasad penerbitan yang baru walaupun masthead-nya masih kekal dan jenis kertasnya masih sama macam dahulu.

Konsep penerbitan, cara yang paling mudah difahami, macam seorang "Aini" menjalani pembedahan pertukaran jantina kepada seorang "Azman" Walaupun kulit, jasad dan biologinya masih lagi "Aini" yang pernah anda kenali tetapi hakikatnya, peranan reproduksinya sudah bertukar. Apakah saya masih boleh menyimpan hasrat untuk berkahwin dengannya dan mempunyai anak-anak dan seterusnya keluarga bahagia?

Ringkasnya, tindakan KDN itu sebenarnya satu percubaan membunuh suara rakyat - sama seperti menyerang bahagian-bahagian badan yang strategik dan boleh menyebabkan kematian. Memang badan tidak akan calar-calar dan lebam-lebam. Tetapi apa guna jasad apabila rohnya hampir tercabut?

Melalui tindakan terbaru KDN terhadap Harakah, suara rakyat kini sudah sampai ke peringkat ‘nyawa-nyawa ikan'. Lebih menggemparkan, tindakan itu dilakukan dalam tempoh 90 hari Barisan Nasional berkuasa semula.

Apabila suara sudah tiada, jika rumah anda terbakar, mampukah anda menjerit meminta tolong lagi?



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com