Oleh: Fathi Aris Omar [e-mel: wanparis@yahoo.com]
Majoriti peserta perhimpunan reformasi di Kuala Lumpur
terdiri anak-anak muda Melayu. Di institusi-institusi
pendidikan tinggi (IPT), siswa-siswa Melayu
rata-ratanya menolak Umno sehingga parti itu menuduh
pihak pembangkang memperalatkan siswa. Ada juga
cadangan agar Pergerakan Pemuda Umno menemui siswa dan
memberikan penjelasan berhubung isu-isu semasa agar
tidak diperalatkan oleh PAS. Bagaimana golongan muda
Melayu bersikap tidak menyokong Umno dan sejak bila
perkembangan ini wujud?
Generasi muda Melayu -- seperti sikap umum anak muda
-- mudah bersifat anti-establishment. Bukan hari ini,
atau sejak peristiwa pemecatan Timbalan Perdana
Menteri Datuk Anwar Ibrahim pada September 1998,
mereka menolak Umno. Sebenarnya sudah hampir 20 tahun
generasi muda Melayu bersikap kritis (critical) atau
menolak politik Umno dan gaya politik pemimpinnya.
Sejarah penolakan terhadap Umno secara besar-besaran
bermula di kampus-kampus tempatan dan luar negara
sejak awal 1980-an lagi. Ia dizahirkan melalui
pertandingan-pertandingan pilihanraya kampus antara
dua kumpulan siswa Melayu yang digelar "kumpulan siswa
nasionalis" dengan "kumpulan pelajar Islam." Misalnya
di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
kumpulan-kumpulan yang bersimpati dengan Umno diwakili
oleh Tindakan Siswa Bersatu (TSB) yang dikalahkan di
tangan kumpulan pelajar pro-PAS yang dinamakan "Islam
Penyelamat Ummah" (IPU). Fenomena yang sama --
kekalahan siswa Melayu pro-Umno di tangan siswa
pro-PAS -- berlaku secara meluas di kampus-kampus IPT
yang lain juga.
Separuh dekad 1980-an, IPT tempatan masih bebas --
pemimpin parti pembangkang dan ahli akademik yang
kritis pada kerajaan dibenarkan memasuki kampus dan
menyampaikan idea-idea mereka. Akibatnya, pengaruh
kumpulan Islam meningkat mendadak. Sebahagian siswa
menyertai kumpulan Islam sebagai aktivis pelajar
tetapi umumnya siswa Melayu mula melihat kepincangan
politik Umno. Pada dekad itu, pendedahan skandal demi
skandal semakin meluas. Tetapi sejak Operasi Lalang
1987, untuk membendung pengaruh pembangkang, kampus
ditutup daripada menerima tokoh politik pembangkang
atau pensyarah yang kritis terhadap kerajaan.
Namun, siswa-siswa Melayu masih berhubung dengan
pertubuhan-pertubuhan Islam -- PAS, JIM dan ABIM --
melalui program-program latihan di luar kampus pula.
Di luar negara, akibat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
menggalakkan pelajar-pelajar Melayu ke IPT luar negara
sejak 1971 lagi, anak-anak muda Melayu menikmati
kebebasan dan idea-idea politik di Amerika Syarikat,
Eropah dan Australia. Kebebasan baru ini dimanfaatkan
oleh kumpulan-kumpulan Islam untuk melatih siswa-siswa
Melayu agar menerima idea-idea Islam.
Kumpulan-kumpulan pelajar Islam yang terkenal ialah
Kumpulan Kajian Islam Malaysia (MISG) di Amerika Utara
dan Majilis Syura Muslimin (IRC) di United Kingdom.
Pemimpin-pemimpin pertubuhan Islam, seperti dari PAS,
ABIM dan Al-Arqam, sering dijemput untuk menyampaikan
syarahan dalam kem-kem latihan siswa Melayu ini.
Sementara itu, siswa-siswa aliran pendidikan Islam
yang dihantar ke negara-negara Arab dan Indo-Pakistan
terpengaruh dengan kegiatan Islam di tempat mereka
belajar. Aliran agama lebih mudah menerima idea Islam
dan menilai kepimpinan Melayu dalam Umno dari
perspektif mereka itu.
Kelab-kelab Umno di luar negeri disertai oleh
segelintir sahaja siswa Melayu, puratanya tidak sampai
50 orang satu cawangan. Itu pun mereka mendapat
bantuan kewangan dari Umno Malaysia untuk bergerak.
Sedangkan beribu-ribu siswa Melayu pro-Islam bergerak
cergas mengunakan wang sendiri.
Jadi, sebenarnya sejak awal 1980-an lagi, siswa-siswa
Melayu perlahan-lahan meninggalkan Umno dan Barisan
Nasional. Sebahagian besarnya membentuk golongan
profesional dan kelas menengah Melayu yang baru.
Mereka tinggal di bandar-bandar besar, berfikiran
moden, mempunyai kesedaran Islam, dan bersikap kritis
terhadap Umno. Golongan inilah yang bergerak cergas
dalam gerakan politik menentang Umno sepanjang setahun
lalu selepas peristiwa pemecatan Anwar. Mereka yang
pernah aktif bersama kumpulan Islam di IPT tempatan
atau luar negara itu menyertai PAS, sementara mereka
yang lebih dipengaruhi idea-idea demokrasi Barat
menyertai Parti Keadilan Nasional.
Dalam tempoh yang sama, kekuatan ideologi nasionalisme
Melayu yang dibawa Umno sudah lemah.
Pergerakan-pergerakan belia dan pelajar yang pro-Umno
seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)
atau Belia 4B tidak lagi popular di kalangan
graduan-graduan IPT. Pertubuhan belia rata-ratanya
disertai oleh golongan muda dari luar bandar dan
rendah tahap pendidikannya.
Sejak pengaruh Umno merosot di kalangan siswa Melayu
lebih kurang 20 tahun lalu, Umno tidak pernah berusaha
atas kekuatannya sendiri untuk memenangi hati golongan
muda ini. Umno, seperti lazimnya, menggunakan beberapa
jentera kerajaan, misalnya Biro Tata Negara (BTN),
unit Hal Ehwal Pelajar di universiti dan Kementerian
Pendidikan, untuk mengindoktrinasi (indoctrinate)
siswa Melayu, termasuklah di peringkat sekolah
menengah.
Pada dekad 1980-an, kem-kem bina semangat banyak
didirikan di seluruh negara untuk tujuan ini --
sebahagiannya untuk menyekat pengaruh PAS dan
sebahagian niatnya untuk membina pengikut-pengikut
baru Umno. Namun, golongan muda Melayu tidak tertarik
dengan idea BTN dan bahan-bahan yang disampaikannya.
Malah, program BTN dilihat sebagai satu paksaan.
Pada dekad itu, media-media arus perdana (mainstream
media) menyerang kegiatan siswa-siswa Melayu yang
pro-pembangkang ini, misalnya isu "ajaran sesat", dan
"pelajar yang melampau" tetapi pemuda-pemudi Melayu
tidak berjaya dipengaruhi. Hanya ibubapa mereka yang
berasa bimbang tetapi oleh kerana generasi muda Melayu
ini berjaya dalam akademik, mendapat kerjaya yang
baik dan berwatak mulia, ibubapa pun tidak lagi
mempedulikan kecenderungan politik anak-anak mereka.
Rupa-rupanya kecenderungan anak muda Melayu ini
menjadi "bom jangka" (time-bomb) kepada Umno. Ketika
krisis dalam Umno pada 1987, antara Team A pimpinan Dr
Mahathir dengan Team B pimpinan Tengku Razaleigh, anak
muda ini semakin meragui Umno walaupun mereka tidak
menyertai Parti Melayu Semangat 46 (PMS46).
Namun, apabila timbul sekali lagi krisis dalam Umno,
generasi muda ini menyertai panggilan "reformasi" yang
dilaungkan oleh Umno. Golongan profesional, siswa dan
anak-anak mereka di sekolah menengah menolak Umno
secara en bloc (beramai-ramai). Akibatnya, Umno
kehilangan jumlah undi yang besar di tangan orang
Melayu pada pilihanraya ke-10 yang lalu. Parti itu
berjaya meraih 30 hingga 40 peratus undi Melayu
sahaja.
Bagaimanapun, setahun sebelum Anwar dipecat, sikap
generasi muda Melayu sudah semakin kritis terhadap
Umno. Sebaik sahaja berlaku krisis ekonomi pada 1997,
jualan majalah yang pro-pembangkang seperti Tamadun
meningkat berpuluh-puluh ribu naskhah (dari 10,000
kepada 50,000 unit). Sebulan selepas Anwar dipecat,
jualan majalah itu meningkat ke angka 140,000 naskhah!
Jualan akhbar tabloid PAS, Harakah, pula meningkat
dari 60,000 naskhah kepada 300,000 naskah dalam tempoh
dua bulan selepas Anwar dipecat.
Separuh daripada jualan Tamadun, Harakah dan majalah
politik Detik (diterbitkan mulai Januari, 1999; jualan
40,000 naskhah) habis di Lembah Klang sahaja -- angka
ini membuktikan golongan kelas menengah Melayu membaca
bahan-bahan politik tersebut untuk mengetahui
perkembangan semasa. Akhbar harian yang sering dibaca
oleh golongan Melayu seperti Utusan Malaysia, Berita
Harian dan New Straits Times jatuh mendadak antara
tujuh hingga 12 peratus antara tempoh Januari hingga
Jun tahun lalu.
Sebenarnya sudah terlewat jika sekarang Umno hendak
mendekati dan mempengaruhi generasi muda Melayu. Parti
itu sendiri nampaknya gagal mengetengahkan tokoh-tokoh
pemimpin pemuda yang berkaliber (calibre). Tempoh 20
tahun terlalu lama -- kenapa parti itu membiarkannya?
Inilah kegagalan politik Umno yang boleh memusnahkan
masa depannya sendiri.
-------------------------------------------------------------------
Artikel ini asalnya diterbitkan dalam akhbar berbahasa
Cina, "Nanyang Siang Pau" setiap hari Rabu dalam kolum
'Bila Kompang Berbunyi' pada Januari-Feb secara
bersiri. Fathi Aris Omar bertugas sepenuh masa sebagai
Pengarang Berita (Bahasa Melayu) di akhbar harian
dalam talian, malaysiakini.com