Oleh: Fathi Aris Omar
Gerakan pelajar Islam di IPT tempatan memang condong
kepada parti-parti pembangkang. Mereka turun berkempen
dalam pilihanraya umum. Mereka menyertai perhimpunan
aman reformasi di Kuala Lumpur. Mereka mengadakan
perbincangan mingguan untuk mendalami agama Islam dan
isu-isu semasa. Mereka menonjol di akhbar-akhbar.
Pemimpin kerajaan sering menganggap pelajar ini
pro-PAS atau berjaya dipengaruhi oleh PAS.
Tetapi sebenarnya, ahli dan aktivis pelajar Islam di
IPT tempatan, khususnya milik kerajaan, tidak melebihi
15 peratus jumlah keseluruhan pelajar. Angka 15
peratus ini adalah hasil gabungan tiga organisasi
utama yang mempengaruhi pelajar Islam – JIM, PAS dan
ABIM. JIM merupakan gerakan belia seperti ABIM tetapi
mempunyai pengaruh besar di luar negara. Ahli-ahlinya
juga di kalangan profesional dan pegawai tinggi
kerajaan.
Selain pelajar bukan Bumiputera yang masuk IPT melalui
sistem kuota, 85 peratus lagi pelajar Melayu-Islam
tidak menyertai aktiviti pelajar ini. Kenapa?
Pertama, pergaulan mereka tidak meluas. Mereka bergaul
di kalangan rakan-rakan gerakan mereka sendiri. Remaja
dan anak muda kampus ini "takut" pergaulan yang meluas
akan merosakkan peribadi baik mereka. Mereka bergaul
tetapi tidak erat dan mesra. Tidak pelik kalau mereka
ke dewan kuliah, ke perpustakaan, ke kedai makan dan
tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan dalam
gerakan ini – tidak melibatkan pelajar-pelajar Islam
yang lain.
Kedua, jenis-jenis aktiviti mereka bersifat serius,
memerlukan komitmen yang tinggi dan tidak berunsurkan
hiburan moden (misalnya lagu atau konsert pop).
Aktiviti seperti ini tidak menarik perhatian ramai
pelajar Islam kerana jiwa remaja selalunya gemarkan
hiburan dan keseronokan. Aktiviti serius mereka
termasuklah meningkatkan amalan agama (seperti membaca
Al-Quran, sembahyang di waktu tengah malam, berpuasa
tambahan selain bulan Ramadhan), perbincangan
mingguan, seminar dan latihan fizikal yang lasak.
Ketiga, mereka mengutamakan isu-isu serius di luar
kampus sedangkan pelajar IPT umumnya berminat belajar
sahaja. Anak muda kampus selalunya cetek pengetahuan
tentang isu-isu politik semasa kerana sibuk dengan
tugasan akademik. Tetapi ahli-ahli gerakan pelajar
Islam menambahkan pengetahuan – selain tugasan
akademik – melalui akhbar, kuliah, dan aktiviti di
luar kampus.
Walaupun bilangan aktivis pelajar Islam kecil tetapi
pengaruh mereka di kampus sangat besar. Pengaruh
mereka datang melalui jawatan-jawatan yang dipegang
dalam Persatuan Mahasiswa Universiti (PMU) – dipilih
melalui pilihanraya kampus setiap tahun – dan
Persatuan Mahasiswa Islam (PMI). Semua persatuan lain
berada di bawah PMU. Oleh itu, apabila mereka
menguasai PMU, maka mudahlah mereka menguasai
persatuan-persatuan lain, termasuklah jawatankuasa
kolej-kolej kediaman. Jika mereka kalah pilihanraya
kampus dan akibatnya gagal memimpin PMU, aktivis
pelajar Islam masih mempunyai PMI – hanya disertai
semua pelajar Islam secara automatik.
Melalui PMI dan PMU, gerakan pelajar Islam menguasai
program-program utama untuk pelajar IPT. Oleh itu,
idea dan saranan mereka tersebar dengan meluas. Mereka
akan menjemput penceramah dan pembentang kertas kerja
dari aliran mereka. Oleh kerana penceramah selalunya
terkenal (crowd-puller), maka ramai pelajar – walaupun
tidak menyertai gerakan ini – hadir untuk mendengar
ceramah, forum dan seminar.
Di sinilah bermulanya hubungan tidak rasmi antara
aktivis-aktivis pelajar Islam dengan pemimpin JIM,
ABIM dan PAS. Hubungan ini mendedahkan mereka kepada
gerakan politik di luar kampus dan mempercepatkan
kesedaran dan kematangan politik mereka. Oleh itu,
apabila suasana politik di luar kampus bergolak,
misalnya isu pemecatan Anwar Ibrahim pada 2 September
1998, aktivis-aktivis kampus segera tampil sebagai
kumpulan pendesak (pressure group) yang lantang dan
berani.
Bagaimanapun, kerajaan dan Umno menyedari kekuatan
gerakan pelajar Islam ini. Mereka mula mengadakan
sekatan-sekatan. Sejak hampir 15 tahun lalu, ramai
tokoh-tokoh pembangkang tidak dibenarkan menyampaikan
ceramah di dalam kampus. Pihak pentadbiran atau Hal
Ehwal Pelajar (HEP) akan menapis nama-nama penceramah
dan jenis-jenis program anjuran pelajar Islam. Malah,
kini sudah menjadi kebiasaan, HEP tidak lagi
memberikan
sebarang bantuan kewangan untuk menjayakan seminar,
kursus dan bahan penerbitan pelajar Islam.
Sikap HEP ini sebenarnya merugikan bakat-bakat muda
yang bakal memimpin negara kita di masa depan. Sikap
ini juga tidak sesuai dengan kebebasan akademik --
sepatutnya kampus dijadikan tempat berbincang
berbagai-bagai idea. Tetapi semua IPT awam berada di
bawah pengaruh langsung Menteri Pendidikan,
termasuklah Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Menteri Pendidikan selalunya pemimpin Umno dan untuk
menunjukkan kesetiannya kepada Umno, menteri sentiasa
menindas HEP agar mengawasi gerakan pelajar.
Namun begitu, pelajar Islam selalunya menjadi lebih
kreatif. Dalam ruang yang terhad itu, mereka
menggunakan pelbagai cara yang tidak dapat dikesan
oleh HEP. Misalnya, mereka beramai-ramai mengadakan
seminar di luar kampus. Di luar kampus, pengaruh HEP
sudah tidak ada. Jika program itu diadakan di kampus,
nama program dan penceramah ditukarkan dengan sesuatu
yang tidak mencurigakan HEP. Akhirnya program-program
pelajar Islam terus berjalan lancar. Malah, tekanan
HEP itu mendorong pelajar Islam menyokong pembangkang
dengan lebih kuat sebab mereka fikir mereka "ditindas"
oleh kerajaan.
Sebab itulah, walaupun lebih 20 tahun, Umno gagal
menguasai jiwa pelajar Melayu. Sebaliknya, pelajar
Melayu-Islam menyokong pembangkang dan menentang
kerajaan.
---------------------------------------------------
Fathi Aris Omar bertugas sepenuh masa di sebuah akhbar
harian dalam talian, malaysiakini.com, selain menulis
setiap minggu dalam sebuah akhbar berbahasa Cina,
Nanyang Siang Pau. Artikel ini diterbitkan dalam
akhbar Nanyang pada Februari lalu.