Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Usaha sistematik menindas suara rakyat

Fathi Aris Omar

(Sumbangan peribadi penulis - bertugas sebagai Pengarang Berita di Malaysiakini.com - kepada laman-laman proreformasi)

Percubaan untuk menyekat suara kedua, suara pembangkang dan suara kritis milik rakyat sedang memasuki satu perkembangan baru. Cuba perhatikan perkembangan berikut:

Jumaat 9 Jun, sebuah laman web terkenal, Laman Reformasi, berjaya diceroboh (hacked) dan sehingga kini masih belum pulih atau digantikan dengan laman baru.

Sabtu 10 Jun, seorang penulis dan penerbit terkenal serta berani, Ahmad Lutfi Othman, didatangi pegawai polis Sentul -- tentunya untuk menyiasat kegiatannya meneruskan penerbitan politik yang proreformasi walaupun majalah Detik sudah diharamkan sejak Disember 1999 (secara rasmi diharamkan pada Mac tahun ini).

Khamis 8 Jun, sebuah laman web akhbar bebas yang sering membuat liputan proreformasi, Malaysiakini.com, dinafikan hak mendapatkan press tag (kad perakuan akhbar) daripada Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Sebelum itu, dua permohonannya telah ditolak oleh Kementerian Penerangan (di bawah menterinya Khalil Yaakob, yang juga Setiausaha Agung Umno).

Permohonan kami dibuat 4 April lalu lagi. Jabatan Penerangan berkata malaysiakini tidak mempunyai permit penerbitan tetapi pegawai di unit kawalan penerbitan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhujah kami tidak memerlukan permit.

Dalam tempoh enam bulan selepas kejayaan Barisan Nasional menguasai negara ini kembali, beberapa kejadian serius pencabulan terhadap media makin ganas terjadi.

Pertama, akhbar pembangkang popular, Harakah, disekat penerbitannya sebanyak dua kali sebulan. Akhbar ini hanya dibenarkan diterbitkan dua kali sahaja setiap bulan. Kata bekas banduan DAP, Lim Guan Eng, kerajaan Mahathir lebih suka rakyat negara ini berjudi (tikam empat nomboir ekor) daripada membaca! Tikam nombor dibenarkan tiga kali seminggu tetapi membaca Harakah dibenarkan 2 kali sebulan!!

Kedua, bulan Mei lalu, pegawai KDN menjalankan operasi merampas buku-buku terbitan Lutfi dan seorang pengarang wanita berbakat, Suria Janib.

Ketiga, pada Jumaat (2 Jun) dan Khamis (8 Jun) lalu, operasi rampasan oleh pegawai KDN dijalankan di dua tempat, di depan Masjid Kg Baru dan Masjid Jamek (dekat hentian LRT), Kuala Lumpur. Operasi terbaru ini bertujuan menyekat bahan-bahan terbitan Lutfi dan Suria. Operasi jahat ini dilakukan selepas pengharaman Detik dan sekatan terhadap Harakah.

Keempat, akhbar politik milik sebuah syarikat bebas, Eksklusif, masih belum diperbaharui permitnya sejak 15 April lalu. Akhbar bebas ini sering menyiarkan pandangan pembangkang walaupun lebih 50 peratus bahan-bahannya pro-Umno atau berita tentang kenyataan pemimpin Umno.

Kelima, majalah Tamadun dan Al-Wasilah diberikan amaran. Pengarang Wasilah, Ahmad Lutfi Othman, menjangkakan majalah ini yang tamat permitnya pada Ogos depan akan "menemui jalan sukar."

Jika semua suara kedua (second opinion) ini disekat, hanya tinggal beberapa saluran sahaja lagi. Pertama, Harakah (2 kali sebulan) dan akhbar milik DAP, Roket, (juga dua kali sebulan). Kedua, malaysiakini.com (terbit setiap 6 hari seminggu, hanya dalam internet).

Saya menjangkakan, selepas kejayaan penindasan ini, pihak berkuasa akan menjenguk pejabat Malaysiakini dan mengugut penulis-penulisnya pula.

Ketika saya bertugas sebagai Editor Detik pada awal 1999 lalu, saya juga diawasi oleh pihak SB (polis Cawangan Khas) selama sekurang-kurangnya sebulan (tiap-tiap hari).

Saya juga pernah disoal siasat (secara tidak rasmi) pada awal tahun ini apabila terlibat bersama Malaysiakini.com mulai Disember tahun lalu.

Semua yang berlaku ini adalah satu percubaan yang sistematik dan konsisten untuk mematikan suara rakyat.

Oleh itu, saya menyeru kepada rakan-rakan pemimpin pembangkang, penyokong Barisan Alternatif, aktivis reformasi jalanan dan penulis-penulis media alternatif agar BERGABUNG TENAGA membantah tindakan jahat dan mainan kasar kerajaan BN di bawah pimpinan Dr Mahathir.

Daripada tiada suara, lebih baik nyawa melayang! Apa guna jasad tanpa suara? Apa guna pena tanpa tulisan? Ingat... kesabaran penulis juga harus ada batasannya....

Di tepi jalan yang hingar-bingar, kita mestilah bersedia untuk MENJERIT!

Kita belum bersantai di syurgawi yang mengalir sungai-sungai. Di situ ada ketenangan, kita pastinya tidak perlu menjerit. Dalam hutan batu kezaliman dan di pinggir jalan, hanya SORAKAN & JERITAN dapat dimengertikan...


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com