Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Saya dan JIM satu FITNAH nyata

Saya, Fathi Aris Omar, merujuk beberapa sambungan (links) tentang satu tulisan yang sama mengenai sebuah pertubuhan Islam, JIM (Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia), yang dituduh "merosakkan reformasi" (diterbitkan dalam Laman Reformasi 1) dan "merosakkan KeADILan' (diterbitkan dalam laman Detikdaily).

Sebagai pejuang kebebasan media, saya mempertahankan hak media ini untuk menerbitkan tulisan itu seperti di URL di bawah:

http://detik.daily.tripod.com/Jun/b23jun.htm (Detik daily)

Bagaimanapun, oleh kerana nama saya tertera dalam tulisan itu (single-out) dan disifatkan sebagai seorang ahli JIM yang "super-kritikal," saya kira wajarlah saya menulis. Dilihat cara memasukkan nama saya dalam tulisan itu, TERNYATA penulisnya berniat tidak baik.

Ia tidak akan dihasilkan oleh mereka yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan reformasi dan KeADILan.

Penjelasan saya seperti di bawah:

Pertama, saya mengakui saya seorang ahli JIM mulai 1992

Kedua, saya juga editor majalah JIM -- Perspektif -- mulai Jun 1992 hingga pertengahan 1993

Ketiga, saya tidak aktif dan malah langsung tidak menghadiri apa2 program JIM mulai 1995 hingga sekarang.

Keempat, ketika saya mengetuai majalah JIM itu, semua ahli JIM dan pembaca Perspektif tahu saya seorang yang kritis (ada kalanya tidak disenangi oleh beberapa pihak dalam organisasi ini). Tidak pernah ada pengarang majalah sesebuah organisasi "menentang" organisasi itu sendiri kecuali sifat yang saya tunjukkan. Semuanya boleh dirujuk kerana tulisan merupakan rekod yang kekal.

Kelima, sepanjang bersama reformasi, saya tidak bersama JIM. Malah saya juga mengkritik pertubuhan ini termasuk dua Presidennya, Saari Sungib (mantan) dan Mohd Hatta Shaharom (sekarang).

Keenam, saya juga tidak berhubung dengan aktivis dan pemimpin JIM untuk tujuan-tujuan politik, agama atau sosial -- kecuali tidak sengaja terserempak -- sepanjang tempoh reformasi.

Ketujuh, saya mula mengkritik JIM, ABIM, dan beberapa kelemahan pembangkang sejak Disember 1998 lagi di samping memberikan sokongan idea, tulisan, tenaga dan segala yang termampu.

Kelapan, tulisan saya yang tersiar dalam malaysiakini.com (akhbar tempat saya bertugas sekarang) yang kritis terhadap KeADILan dan BA merupakan siri ke-4 bermula tulisan pada Disember 1998 itu. Dua lagi tulisan tersiar awal tahun 1999 dalam Tamadun dan Detik.

Kesembilan, saya tidak memerlukan JIM untuk terlibat dengan reformasi atau penulisan atau gerakan politik. Bahkan, pada hemat saya, JIM tidaklah membantu saya untuk terus maju. Dan JIM tidaklah berasa perlu memanfaatkan tenaga saya.

Kesepuluh, walaupun kritikan saya lantang, tetapi rakan-rakan dalam reformasi, PAS, KeADILan, pelajar PAS, PKPIM, ABIM dan NGO bukan Melayu-Islam tahu bahawa saya turut menghulurkan sumbangan ikhlas di tempat-tempat yang wajar. Dan mereka mengenali aktivisme saya sejak 1985 lagi dan tulisan saya sejak 1988 di Harakah. Dan saya mengekalkan hubungan baik dengan hampir semua kenalan aktivis daripada pihak-pihak itu.

Kesebelas, tokoh-tokoh utama BA sedar saya bukanlah boleh dikategorikan begitu (seperti dalam tulisan tersebut).

Akhir sekali, hanya perbuatan yang akan menutup mulut mereka yang berniat serong. "Action speaks louder than words."

Oleh itu, saya merumuskan penulis surat itu terlalu gelojoh, tidak bersifat ilmiah, mempunyai niat yang tidak baik terhadap JIM, KeADILan dan pakatan pembangkang.

Saya tidak yakin penulis itu mengenali saya. Sahabat saya tidak pernah berbuat "jahat" seperti itu.

Sekian, semoga penjelasan ini memuaskan dan saya sungguh-sungguh memohon kerjasama sepenuhnya agar pihak penerbit atau pengendali laman-laman web menerbitkannya.

Terima kasih

Teruskan re-for-ma-si!

Fathi Aris Omar
(fathi@malaysiakini.com)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com