Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Kenapa tidak habis-habis cuba fitnah saya?

Tulisan seorang pengguna internet yang menggelarkan dirinya "Afa" dalam laman-laman Tranung Kite, Minda Rakyat dan Detikdaily pada Sabtu lalu (15 Julai, 2000) sekali lagi mempunyai niat yang tidak baik. Sebelum ini, penulis berkenaan telah menyerang saya dengan cara membongkarkan apa yang beliau namakan keburukan sebuah pertubuhan Islam, JIM.

Isu ini sebenarnya tidak pernah berbangkit kecuali selepas beberapa siri tulisan saya yang mengkritik pembangkang, khususnya Parti KeADILan Nasional atau beberapa pendedahan saya tentang politiking dalam parti itu.

Saya telah menjelaskan bahawa saya tidak lagi mempunyai sebarang hubungan dengan pertubuhan JIM. Malah, saya juga memaklumkan bahawa saya juga menulis dalam rangka mengkritik JIM, ABIM, PKPIM dan Asasi sejak musim reformasi pada 1998 lagi.

Saya juga pernah mendesak perletakan jawatan Presiden JIM waktu itu (Sdr Hj Saari Sungib) dan ia tersebar dalam kumpulan diskusi pertubuhan itu, Islah-Net pada tempoh tersebut dan awal tahun lalu. Ada beberapa tulisan saya dalam kumpulan diskusi itu juga mengkritik dan menyindir beberapa langkah pertubuhan itu.

Itu semua tidaklah ganjil kepada ahli-ahli JIM kerana sememangnya mereka mengenali dan mengiktiraf peranan saya secara peribadi sebagai penulis.

Bagaimanapun, tidak semua pihak berasa senang dengan kritikan dan penulis yang kritis. Seseorang yang menggelarkan dirinya "Afa" itu nampaknya memang geram, marah dan kecewa dengan siri-siri tulisan saya tentang KeADILan.

Lalu, walaupun saya telah menjelaskan kedudukan perkara yang sebenar, beliau masih tidak mempercayainya. Beliau masih menyelitkan nama saya dengan JIM atau kerenah beberapa bekas aktivis pertubuhan itu dalam KeADILan.

Beliau sebenarnya tidak mempunyai sebarang maklumat (jauh sekali bukti) tentang diri saya sehingga sanggup membuat tohmahan berikut:

(dipetik) Fathi Aris dalam respon melentingnya mengaku beliau adalah orang besar dalam JIM Keghairahan beliau mengkritik Anuar Tahir sehingga sanggup menghina keluarga Dato’Seri Anwar dan memperlekehkan Dr Chandra adalah sama dengan kritikan tokoh-tokoh JIM dalam keADILan sekarang ini. (petikan tulisan "Afa", Sabtu 15 Julai)

Cara yang beliau (dan beberapa lagi penulis tanpa wajah seperti Afa) disebut propaganda - teknik itu ialah "ad hominem" (satu istilah Latin) atau maksudnya (secara literal) "serang orang itu". Ertinya, cara menolak hujah, melunturkan kepercayaan atau merendahkan nilai kekuatan hujah seseorang (termasuk penulis) ialah dengan cara menyerang kelemahan, keburukan dan hal-hal peribadi seseorang; tetapi meninggalkan isi-isi idea yang cuba dibangkitkan oleh seseorang itu.

Dalam bidang pemikiran, "ad hominem" dikelaskan sebagai salah satu kepalsuan minda ketika berfikir.

Dalam bidang propaganda, "ad hominem" bertujuan 'meng-discredit-kan' sumber maklumat, sumber berita atau sesuatu pihak dengan cara memburuk-burukkannya tetapi tidak memberikan keutamaan kepada isi atau kandungan tulisan yang sedang menjadi topik perbicaraan.

Tetapi Afa tidak mempunyai alasan yang cukup untuk meng-discredit-kan saya secara langsung, lalu beliau mengaitkan saya dengan JIM.

Seperti juga beberapa pemimpin kanan KeADILan menganggap pengkritik parti itu sebagai "agen Umno atau Barisan Nasional" atau "orang yang diperalatkan oleh Umno dan BN." Nada mereka tidak jauh bezanya dengan gelagat Dr Mahathir yang menuduh kumpulan reformasi sebagai "agen asing."

Niat tidak baik "Afa" (dan beberapa orang lagi) jelas ketara apabila mereka tidak menulis kepada organisasi media yang asal yang menerbitkan tulisan saya (kebetulan tempat saya bertugas, Malaysiakini.Com). Sebaliknya, mereka menabur rasa geram dan minda keliru mereka ke laman-laman web yang lain dan secara tidak langsung mengajak wujudnya pertentangan dengan laman-laman web tersebut.

"Afa" yang tidak mempunyai wajah dan identiti itu sekali lagi menyokong pandangan bahawa beliau tidak ikhlas dan cuba mencari jalan penyelesaian, sebaliknya hanya cuba memburuk-burukkan saya.

Saya cukup faham jenis permainan yang mereka cuba tunjukkan. Dan saya tidak menolak kemungkinan Afa itu seorang agen musuh yang ingin melihat kerosakan pihak-pihak terbabit. Jika beliau seorang yang bersimpati dengan KeADILan, tentunya beliau tidak termasuk di kalangan mereka yang sedar, arif dan berjiwa besar.

Saya sama sekali TIDAK AKAN menuduh atau mengkategorikan "Afa" sebagai orang KeADILan yang pro-Anuar Tahir atau pro-Dr Chandra. Kecualilah saya mendapat bukti yang kukuh atau mengetahui identiti "Afa" yang sebenarnya, saya menganggap beliau seorang yang mempunyai nilai agen musuh.

Sebagai seorang penulis dan aktivis, insya Allah saya cukup berpengalaman menangani penulis seperti itu.

Jika kritikan itu berniat untuk saya memberhentikan kritikan, analisis dan tulisan tentang KeADILan atau pembangkang (dan juga kerajaan), beliau (dan mereka) akan berasa kesal kerana saya tidak akan berhenti berbuat demikian. Usaha penulis seperti "Afa" akan gagal dan terbukti gagal.

Sebagai penulis yang wujud di alam nyata dan dikenali, saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tulisan-tulisan saya. Kalau saya berani mengkritik kerajaan dan menghadapi pelbagai risiko, kenapa pula saya harus takut mengkritik KeADILan atau pembangkang?

Jika "Afa" berminat menulis untuk disiarkan, tulislah dengan jelas, baik dan berdaya analitis kepada editor@malaysiakini.com.

Jika beliau hanya berminat melepaskan rasa geram kepada saya, silalah hubungi saya di alamat emel dan nombor telefon seperti di bawah:

Fathi Aris Omar
emel: fathi@malaysiakini.com
tel (pej): 03-431-17-64 (jam 9 pagi - 11 pagi)


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com