Petikan daripada :
Detik Daily
Oleh FATHI ARIS OMAR
Pengarang Berita, Malaysiakini.Com
Ketika Timbalan Perdana Menteri, Abdullah Badawi, memberikan reaksi tentang 'sandiwara' Sauk pada Sabtu lalu (15 Julai), beliau tidak menyedari musuhnya itu bersembunyi di belakang paparan komputer.
Memang, beliau dan media arus perdana mudah membuat kesimpulan bahawa operasi alam siber yang menyebarkan 'sandiwara' Sauk itu dikuasai pembangkang tetapi sukarlah baginya menuduh sesebuah organisasi atau kumpulan politik tertentu.
Dalam pengalaman politik nasional sejak tercetus gerakan reformasi September 1998, gejala ini tidaklah terlalu baru. Sejak itu Umno dan kerajaan berpulas-pulas hendak menangkis serangan web. Menjelang pilihan raya umum November lalu, Perdana Menteri sendiri terpaksa menjawab satu surat yang dikatakan dihantar olehnya kepada Perdana Menteri Israel.
Kali ini pertempuran muncul lagi. Ia mengalih medan biasa ke gelanggang baru yang dikenali cyberspace atau alam siber. Alam baru ini perlahan-lahan mencorakkan senario politik negara ini. Mula-mula memang Umno dan kerajaan menjadi sasarannya. Tetapi akhir-akhir ini sesiapa sahaja layak menjadi mangsa serangan musuh di sebalik tabir siber.
Timbalan Presiden keADILan, Dr Chandra Muzaffar dan Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Tahir, pernah menimbulkan kegemparan nasional apabila didesak melepaskan jawatan oleh lima laman web proreformasi. Tindakan "bertafakur seketika" itu berlangsung kira-kira seminggu.
Serangan kumpulan pro-Umno dan kerajaan malangnya tidaklah terlalu berjaya. Kejayaan pertama usaha siber kumpulan pro-Barisan Nasional ialah ketika pilihan raya negeri Sabah tahun lalu. Beberapa kumpulan diskusi maya milik beberapa pihak yang dianggap pro-Barisan Alternatif dipenuhi terjahan emel (spamming) yang mendesak mengundi BN.
Selepas itu, kejutan kedua muncul apabila 'Laman Reformasi' yang garang mengkritik kerajaan itu akhirnya berjaya diceroboh. Semuanya peperangan siber.
Pertempuran baru ini sekali-sekala ditujukan kepada sesama pembangkang. Pada April tahun lalu, ketika keADILan baru ditubuhkan, beberapa tulisan (posting) di laman 'Reformasi Nasional' (RN) juga menolak penubuhan itu -- ia dikatakan digerakkan oleh beberapa penyokong PAS atau Parti Rakyat Malaysia.
Selepas pilihan raya umum atau lebih tepat awal tahun ini, sebuah laman web yang dikenali 'Komentar' memulakan tradisi menyerang KeADILan secara terbuka. Laman proreformasi ini mendesak reformasi dan demokrasi dalam parti tersebut.
Beberapa bulan lalu, siri pertempuran politik itu berlanjutan antara pengkritik beberapa parti BA dengan simpatisannya pula. Nama-nama seperti Mohd Sayuti Omar, Tarmizi Mohd Jam dan saya sendiri terbabit dalam pertempuran terbuka dalam laman-laman web yang asalnya digunakan untuk menyerang Umno dan kerajaan.
Nama-nama baru seperti Amin Sapiro, Pena Suasa, Tok Ayah, Azhari S, HC, dan Marhain Tua (sekadar menyebut beberapa nama).
Oleh itu, pihak berkuasa tentunya berasa puas kerana sebenarnya bukan mereka sahaja mengalami serangan tetapi pembangkang dan aktivis pembangkang juga turut ditembak! Sebetulnya tembakan ini lebih bising kedengaran dalam forum maya (seperti Forum Gerak-Reformasi) dan kumpulan diskusi seperti sangkancil, alternatif-net dan juga turut merebak dalam beberapa kumpulan bilik sembang (chatting room).
Teknologi maklumat benar-benar berjaya dimanfaatkan untuk melanjutkan perbezaan politik dari alam nyata. Bagaimanapun, politik alam siber lebih sukar peraturannya. Sesiapa sahaja dengan identiti baru boleh menulis apa sahaja di beberapa saluran yang boleh ditembusinya. Jika 'Laman Reformasi' atau 'Mahafiraun 2020' menolaknya, mungkin 'Minda Rakyat,' 'Tranung Kite' dan 'Detikdaily' akan menyiarkannya.
Jika semua laman web tidak bersedia menerbitkannya, masih ada peluang menyuarakan dalam forum dan kumpulan diskusi maya. Pendek kata, suara individu boleh menjadi lebih kuat, meraung-raung dan melalak-lalak dengan bantuan teknologi baru maklumat dan komunikasi (ICT). Lebih menarik, bersembunyi di sebalik paparan komputer, seseorang dan hanya seseorang yang mempunyai idea, rajin menulis dan mempunyai niat tertentu (baik atau jahat) boleh memaksa pemimpin negara seperti Dr Mahathir dan Pak Lah untuk menjawabnya.
Sebenarnya pemimpin utama negara ini memberikan response kepada alam maya atau "hantu raya moden" yang dicipta daripada konsep nombor perduaan. Hantu itu mungkin seorang manusia sahaja.
Padahal musuh tradisi yang sering menghantui kerajaan dan Umno ialah PAS atau pembangkang. Organisasi ini besar dan berpengaruh. Tetapi ICT berjaya memperkuasakan (empower) seorang atau sekumpulan kecil manusia -- mereka ini jika dinilai dalam konteks organisasi dan pengaruh tidak mempunyai apa-apa nilai!
Begitulah kelebihan yang diberi oleh teknologi maklumat. Misalnya, akhbar web harian malaysiakini.com. Daripada sesuatu perkembangan yang penting, akhbar dalam talian ini mengambil masa yang cukup pantas untuk menyebarkan berita, antara 10 hingga 15 minit. Pada Sabtu 15 April lalu, akhbar web ini mengemaskini maklumat demonstrasi di Kuala Lumpur setiap 15-30 minit. Dengan kepantasan itu, malaysiakini berjaya mengalahkan siaran radio dan televisyen negara ini. Hingga kini, laman akhbar itu masih mendahulu sumber-sumber maklumat rasmi dan arus perdana yang selalunya didominasi kerajaan dan Umno.
Mujur ada ICT, kerajaan tidak lagi boleh sewenang-wenangnya menipu rakyat. Laman web juga boleh memperdayakan Mahathir, Pak Lah dan negara ini.
Jadi, kini siapa lebih berkuasa?