Oleh Fathi Aris Omar
[emel: faomar@yahoo.com]
Dua kali rentak dan taktik yang sama digunakan.
Pertama kali, sebaik sahaja tercetus peristiwa Memali,
kira-kira 15 tahun lalu dan kali ini, selepas babak
Sauk. 'Amanat Haji Hadi' begitulah namanya. Tujuannya,
kononnya dua kejadian itu disebabkan -- dan sebagai
bukti kukuh dan sahih -- daripada ajaran PAS tentang
jihad dan menolak politik Umno.
Ternyata tindakan Umno dan media massa suruhannya akan
gagal. Kegagalan itu sudah mula ketara apabila
kerajaan Barisan Nasional dan media mereka gagal
memanjangkan isu tersebut. Kini, pada awalnya
akhbar-akhbar Melayu cuba mengingatkan semula pada
'amanat' tersebut. Tetapi hari ini, dalam sebuah
akhbar Melayu, berita tentang itu diletakkan di
halaman belakang (Mingguan Malaysia, 23 Julai 2000,
lihat muka surat 15).
Sekeping poster yang mengandungi petikan ucapan
Tuanguru Abdul Hadi Awang dikenali 'Amanat Hadi'. Bagi
Umno dan kerajaan, ucapan itu bercanggah dengan
'Islam.' Bagi mereka, ucapan itu mengajar keganasan,
sebab itu tercetus insiden di Memali dan Sauk --
kononnya!
Dalam kutipan ucapan yang pendek sahaja, poster ini
meringkaskan falsafah perjuangan PAS. Ucapan itu
disampaikan oleh Abdul Hadi (kini Menteri Besar
Terengganu, dan juga Timbalan Presiden PAS), pada awal
1980-an.
Dalam ucapan itu, Hadi menjelaskan bahawa pertentangan
antara PAS dan Umno bukannya soal nama dan organisasi;
bukan soal menyertai pilihan raya seperti parti-parti
politik cuba memenangi kerusi dan memerintah.
Tetapi soal dasar yang amat asasi.
Kata Hadi dalam amanat itu, Umno dan BN mengekalkan
warisan undang-undang penjajah Inggeris, mengekalkan
sekuralisme dan mendukung kepercayaan bahawa 'politik
suku, agama suku.' Ungkapan 'politik suku, agama suku'
ini sebenarnya lazim disampaikan oleh ahli-ahli akar
umbi Umno dan pemimpin nasional mereka sejak beberapa
dekad lalu lagi. Ungkapan ini juga cara mudah untuk
menerangkan konsep sekularisme kepada rakyat terbanyak
dan akar umbi PAS. Lagipun, ungkapan itu relevan
dengan realiti semasa.
Ringkasnya, MB itu ingin menjelaskan bahawa perjuangan
PAS lawan Umno adalah perjuangan akidah, pegangan
seseorang Muslim yang yakin dan beriman (PAS) dengan
kumpulan orang Islam yang telah meninggalkan asas-asas
perjuangan agamanya (Umno).
Oleh itu, di hujung kutipan kata-katanya itu, tertulis
bahawa kematian dalam proses menentang Umno ialah
dikategorikan 'mati syahid' atau dalam bahasa yang
lain, berjuang menentang Umno merupakan satu jihad.
Umno dan media arus perdana yang menjadi kulinya
menyangka dengan menyebarkan dan mempolitikkan isu
'Amanat Haji Hadi' akan meletakkan PAS dalam keadaan
bertahan (defensive). Mereka menduga PAS akan
serba-salah. BN mengagak orang ramai akan terkeliru
dan meninggalkan PAS. Oleh itu, membangkitkan isu
berkenaan akan menguntungkan kerajaan Umno dan BN.
Tetapi mereka pernah silap dan kali ini, jika mereka
membangkitkan isu itu sekali lagi -- mereka akan
silap. PAS akan bangkit seperti raksaksa yang perkasa
dan gagah untuk menjawab huraian dan kekeliruan yang
cuba disebarkan tentang fitnah itu. Keperkasaan PAS
dalam hal ini akan mengasak Umno itu sendiri.
Parti nasionalis sempit dan pragmatis itu tidak mampu
menjawab hujah-hujah PAS. Keupayaan Umno dalam
hal-ehwal agama selalunya amat terbatas atau tidak
wibawa. Tokoh-tokoh agama Umno dan kerajaan (yang
mengampu) tidak dipandang kukuh. Sebaliknya, PAS
berjaya menjelaskan maksud jihad yang sebenarnya.
Mengutip hujah Al-Quran dan hadis, PAS dengan mudah
menyokong konsep jihad, mati syahid, kezaliman, dan
sekularisme Umno serta kerajaan dengan petah dan
lancar.
Bukan sahaja jentera PAS akan bergerak dengan pantas
untuk menjawab kekeliruan itu. Malah,
kumpulan-kumpulan Islam di luar PAS - seperti JIM atau
ABIM, pegawai agama kerajaan sendiri (yang jujur pada
Al-Quran dan hadis), pensyarah, ustaz di jabatan
agama, khatib yang menyampaikan khutbah dan penceramah
bebas (dalam bidang agama) -- secara automatis akan
bangun serentak menjawab fitnah kerajaan dan Umno
terhadap konsep-konsep Islam tersebut. Apabila
kumpulan-kumpulan bebas ini menjawab sama seperti PAS,
maka ramailah anggota masyarakat yakin bahawa PAS
berada atas landasan yang benar, sementara Umno cuba
memutar-belitkan ilmu Islam.
Sebenarnya isu agama dan Islam, bukan lagi isu Umno.
Parti itu akan keletihan jika cuba bersilat di
gelanggang tersebut. Hakikatnya pun, isu Melayu --
pada saat ini -- bukan lagi isu Umno. Lebih banyak dan
lebih mudah menentang Umno berdasarkan kegagalannya
dalam isu membela Islam dan Melayu daripada isu-isu
yang lain. Lagipun, isu-isu ini bersifat emotive dan
sangat dekat dengan jiwa Melayu. Dengan logik yang
mudah, jiwa Melayu-Islam akan dapat diyakinkan dengan
penerangan PAS.
Oleh itu, saya tidak yakin Umno, BN dan media arus
perdana akan membesar-besarkan isu 'Amanat Haji Hadi.'
Kalau berani, cubalah...