Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Mahathir menggelupur saat-saat terakhir (1)

Oleh : Fathi Aris Omar [emel: faomar@yahoo.com]

Ikan, jika dibiarkan beberapa ketika di atas daratan, akan melompat-lompat. Pertama, kerana tidak tahan berada di luar alam air. Kedua, lompatannya itu bertujuan mendekatkannya ke arah sumber air.

Memang tabiat ikan di daratan -- ia akan terus melompat-lompat walaupun ada waktunya sia-sia. Malah, lagi banyak dan lama melompat, semakin hilang tenaganya dan kian dekatlah saat-saat nazak.

Perdana Menteri, Mahathir Mohamad, kini seperti ikan itu.

Umno dan kerajaan yang diwakilinya itu kini menunjukkan ciri-ciri ikan yang berada di luar air -- melompat-lompat, insangnya tercungap-cungap, berlendir dengan harapan akan terselamat.

Maaf, kali ini air sudah kering untuk Mahathir!

Mahathir memang diburu kegusaran yang luar biasa sejak dosanya memecat timbalannya tidak bertebus. Dia harus berbohong 10 kali untuk menutup satu lubang pembohongannya.

Tetapi malangnya, Mahathir tidak berbohong sekali sahaja. Maka banyaklah lubang-lubang pembohongan yang harus digali untuk menutup lubang pembohongan yang asal. Kesian...

Siakap senohong, gelama ikan duri; bercakap bohong, lama-lama hilang kerusi Perdana Menteri! (he, he, he)

Jentera Umno dan kerajaan tidak mampu lagi menolong Mahathir. Malah, ahli Umno sendiri pun meluat pada seorang presiden seperti Mahathir.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, Perdana Menteri itu "sungguh bimbang" apabila diberikan taklimat awal tentang rampasan senjata di dua kem pada awal pagi 2 Julai lalu.

Mahathir sendiri mengaku bahawa pada mulanya beliau menduga kumpulan itu bertujuan "memberontak" tetapi mujurlah rupa-rupanya pertubuhan silat Al-Ma'unah tidak bertujuan begitu.

Pada minggu pertama memecat Anwar dan menuduhnya meliwat (September, 1998), Mahathir mengetatkan kawalan keselamatan ke atas dirinya. Beliau tidak lagi tinggal di kediaman rasminya di Seri Perdana. Sebaliknya tinggal jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur.

Wartawan-wartawan media arus perdana diperhatikan. Kawalan dan tapisan mereka yang layak membuat liputan sidang akhbar PM diperketatkan. Pemberita lelaki yang berjanggut "disyaki" penyokong bekas timbalannya.

Pernah suatu hari, ketika Mahathir begitu asyik dan khayal berbicara dalam sidang medianya, sebuah alat perakam suara "meletup." Terperanjat besar Mahathir dan beliau kelihatan sangat terkejut dan berpeluh di dahi. Rupa-rupanya bukan bom; bukan juga peluru.

Kumpulan wartawan media arus perdana itu turut terkejut besar. Bukan kerana bunyi "letupan" itu tetapi kerana melihat gelagat Mahathir yang panik dan kaget tidak berhujung pangkal.

Rupa-rupanya, alat perakam itu "meletup" kerana pita kasetnya sudah habis, maka butang rekodnya pun tertendang secara automatis! Hai, pemimpin berdosa... di mana-mana pun dibayangi rasa bersalah yang amat sangat.

(bersambung ke bahagian 2 esok.... )


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com