Fathi Aris Omar
Politik tidak seharusnya hanya aktiviti berparti dan menyertai pilihan raya. Politik seharusnya kegiatan sah daripada tuntutan semula jadi untuk memenuhi kontrak sosial antara rakyat dengan pemerintah.
Politik seharusnya peluang menyertai proses membuat keputusan awam untuk menunaikan tanggungjawab kewarganegaraan dan juga sumber maklum balas untuk memberikan khidmat yang terbaik demi kepentingan ramai.
Tetapi tafsiran politik seperti ini tidak popular, malah sebenarnya tafsiran politik di negara kita lebih menyimpang dan mengelirukan.
Politik dijuruskan kepada kegiatan parti dan disempitkan lagi sebagai kegiatan mendapatkan kerusi dalam pilihan raya. Dalam pandangan serong ini, semua orang harus menyertai - atau mesti dilihat condong tanpa berbelah bahagi kepada - sesebuah parti. Pandangan ini khususnya sangat popular di kalangan penyokong fanatik dan jahil pembangkang.
Parti pemerintah menolong menyongsangkan lagi makna dan isi politik. Paling utama, tafsiran demokrasi yang diberikan oleh pemerintah melalui sampah propagandanya. Demokrasi ditafsirkan sebagai menyertai pilihan raya dan mempunyai suara di dewan-dewan rakyat.
Demokrasi diberikan tafsiran sebagai suara majoriti, undi terbesar dan bilangan kerusi.
Cek kosong
Oleh kerana parti pemerintah sentiasa sering mendapat jumlah kerusi yang lebih berbanding pembangkang, maka pihak mereka sahajalah yang layak menentukan apa sahaja pemikiran, dasar dan sudut pandangan semasa.
Seolah-olah pada pandangan parti kerajaan, kerusi yang diperolehi melalui pilihan raya itu sekeping cek kosong bertanda tangan pengundi, maka terpulanglah kepadanya untuk mengisi jumlah ringgitnya.
Lebih songsang lagi, mengundi parti-parti pembangkang atau bersuara kritis terhadap kerajaan dianggap "menentang kerajaan" atau lebih lembut, "tidak bersyukur." Kita boleh lihat secara nyata dan tersirat di sebalik kenyataan pemimpin negara, khususnya jenis Umno.
Bagimanapun, lebih songsang daripada kesongsangan ini, ialah kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, tentang erti demokrasi dan pilihan raya. Ikuti semula siri-siri ucapan dan kenyataannya sejak 1981.
Bagi beliau, media dan mahkamah tidak melalui proses undian, maka dua cabang institusi utama demokrasi itu tidak mencerminkan hak pengundi dan rakyat. Sebaliknya, media dan mahkamah harus tunduk kepada tafsiran kerajaan.
Ampu-bodek
Maka, mahkamah diwajibkan menjunjung "keluhuran undang-undang" atau rule of law walau Parlimen meluluskan undang-undang yang menindas dan sama sekali tidak adil. Tafsiran hanya ada pada kerajaan kerana jumlah undinya yang besar melalui Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Teorinya tidak semestinya begitu tetapi kenyataannya jelas begitu kerana budaya tunduk kepada parti dan pemimpin utama dalam parti menukar watak semua wakil rakyat kepada "wakil parti" dari sesuatu kawasan. Malah, dalam usaha mendaki tangga kepimpinan parti pula, bersama budaya ampu-bodek, wakil rakyat boleh bertukar sejenis makhluk asing "wakil Presiden."
Bagi Mahathir, hanya kerajaan atau kabinetnya yang dipilih oleh rakyat, maka kerajaanlah yang layak menguasai dan menentukan perjalanan negara ini sesuka hatinya. Pihak-pihak lain dianggap mempunyai peranan yang sangat terhad atau sekadar budak suruhan kepada kerajaan.
Daripada kesongsangan inilah, sejenis politik yang tajam mudah sahaja muncul antara Barisan Nasional dengan Barisan Alternatif. Gejala politik mutakhir menguatkan lagi hujah bahawa seseorang hanya wajar - malah, wajib - memilih hanya satu pihak di antara dua gabungan ini.
Bagi sesetengah aktivis pembangkang pula, tidak bersama BN atau BA, sebenarnya bermakna menyokong kerosakan, kepincangan dan kebusukan BN! Malah, berpunca daripada kesongsangan baru ini, mengkritik kelemahan BA juga bermakna memberikan kekuatan kepada BN.
Pintu belakang
Pandangan ini songsang, berbahaya dan karut tetapi jika tokoh-tokoh pemikir BA boleh berhujah begitu, siapakah lagi yang berani berfikir lain daripada itu? Jika Presiden bersuara, pemimpin Umno tidak berani melawan - begitulah sejenis budaya yang sedang membiak dalam BA.
Walaupun budaya politik BN dikecam oleh BA tetapi kebusukan dan kesongsangan baru ala BN ini menyerap juga ke dalam pakatan pembangkang itu, cuma kali ini melalui pintu belakang.
Berselindung di sebalik ungkapan "musuh bersama," "kebijaksanaan strategi," "perjuangan menegakkan keadilan" atau "padang permainan yang tidak rata," maka semua orang yang kritis dan sedar kononnya harus sentiasa menjadi pengikut setia BA. Sebetulnya bermaksud, jangan mengkritik pemimpin, gelagat parti dan membuka pekung pembangkang.
Hujahnya manis tetapi itulah tanah subur ke arah menumbuhkan semula semak-samun budaya kotor BN - penghapusan minda kritis, debat dan kewarasan. Yang ada nampaknya, oportunisme, gila kuasa dan propaganda tohor.
Rakyat tidak harus terperangkap dengan kedua-dua saudagar politik ini. Sama ada BA atau BN, rakyat harus menyemak mereka, sanggup mempertikaikan mereka, dan sentiasa menuntut apakah sumbangan nyata kegiatan politik mereka kepada rakyat.
Hasrat ini akan berjaya jika rakyat itu sendiri sedar dan menganut sikap politik yang betul: Politik seharusnya kegiatan sah daripada tuntutan semula jadi untuk memenuhi kontrak sosial antara rakyat dengan pemerintah.
Pelanduk tersepit
Politik seharusnya peluang menyertai proses membuat keputusan awam untuk menunaikan tanggungjawab kewarganegaraan dan juga sumber maklum balas untuk memberikan khidmat yang terbaik demi kepentingan ramai.
Rakyat harus sedar sikap ini dan berani berpegang dengan falsafah ini. Jika gagal, rakyat akan terus berlubuk antara pertarungan BA-BN, ibarat pelanduk tersepit di antara dua ekor gajah.
Lebih malang lagi, jika rakyat terlepas dari mulut harimau BN, masuk pula ke mulut buaya BA. Jangan lagi orang Melayu mewarisi celaka si "Lebai Malang."