Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


'Tok Ampoo' teater reformasi

Fathi Aris Omar

Jumaat lalu, buat julung kali, pusat perhimpunan pembangkang yang terbesar di Lembah Kelang menyaksikan satu persembahan baru politik. Barangkali sudah bosan dengan ceramah-ceramah, sekumpulan pelajar universiti mempersembahkan teater orang politik.

Teater 'Tok Ampoo,' arahan penulis tamu malaysiakini Hishamuddin Rais dan terbitan karikaturis Zunar tentunya ada mesej dan wawasan apabila memutuskan untuk mengadakan persembahan di Markaz Tabiyah PAS, Taman Melewar.

Tentunya tidak mudah untuk mencemarkan kesucian pusat parti Islam itu dengan nyanyian, gadis comel tidak bertudung, sedikit lenggang-lenggok dan tepukan para penonton lelaki-wanita yang duduk dalam gelap tanpa garis pemisah itu.

Bagaimanapun, majlis ringkas separuh budaya, separuh politik itu dirasmikan oleh orang kuat Presiden PAS, Dr Mohd Hatta Ramli sendiri. Dalam ucapannya, setiausaha politik Ketua Pembangkang itu berkata, "Istana Budaya sedang menanti kita."

Istana Budaya ialah binaan mewah untuk persembahan golongan seni, berhampiran Tasik Titiwangsa dan Perpustakaan Negara di Jalan Tun Razak.

Dr Hatta berkata pakatan pembangkang BA menggalakkan budaya seperti itu diketengahkan. Baginya, pendekatan untuk meluaskan mesej perjuangan boleh disalurkan melalui kegiatan kebudayaan, termasuk teater.

Tetapi teater ini bukan inisiatif BA, malah pakatan pembangkang masih meneruskan kegiatan politik secara tradisi dan tidak pernah nampak serius untuk meluaskan kegiatan seni atau berpolitik melalui seni.

Seni bukan maksiat

Ia diusahakan oleh kelompok aktivis reformasi yang yakin "seni bukanlah maksiat" - begitu ucapan Hishamuddin sendiri dengan topi dan jaket jeans di atas pentas yang selalunya digunakan tokguru-tokguru PAS, yang selalunya juga dikatakan "antiseni".

Teater itu berkisar tentang budaya politik mengipas dan membodek pemegang kuasa - wataknya ‘Tok Ampu' yang mendakwa sebagai maharaja. Pemimpin itu bertakhta di puncak tinggi (di atas sebuah tangga), sambil memegang tongkat kuasa (dibuat daripada batang penyapu lantai).

Bagaimanapun, krisis muncul apabila rakyat marhain mula menyedari kepincangan Tok Ampu dan memprotes untuk merebut tangga tersebut. Aksi protes rakyat bermula apabila mereka enggan hadir mendengar ceramah politik Tok Ampu tentang ajaran sesat.

Malah, rakyat juga menuntut tangga itu diserahkan kepada mereka (bukan dibolot seorang diri oleh Tok Ampu) untuk pelbagai tujuan, antaranya menoreh pokok getah, membaiki atap rumah yang bocor dan memanjat kelapa.

Protes itu bagaimanapun berjaya dilemahkan apabila sekumpulan anggota polis FRU dan aktivis rakyat ditangkap dan dibicarakan di mahkamah Tok Ampu.

Hakim (yang memakai rambut palsu daripada kain penyapu pengelap lantai) sambil berkonspirasi dengan Tok Ampu menghakimi tertuduh menggunakan beberapa bahan bukti, antaranya seeokor arnab, sebiji kelapa dan pengelap bulu ayam yang didakwa telah "menggangu keselamatan awam."

Agit-prop

Tidak lupa, bahan buktinya sebuah tilam yang kotor dan berbau busuk! Tentunya penonton ketawa dan bertepuk tangan.

Selain dialog lucu dan menyindir, teater ini diselang-seli dengan nyanyian ringkas - ala Broadway, barangkali - sebagai sebahagian jalan cerita.

Krisis Tok Ampu dengan rakyat berakhir apabila rakyat berjaya menggulingkan pemerintah kejam itu dan tangga akhirnya dikongsikan bersama-sama secara adil dan rakyat bergembira.

Teater politik dan seni satira itu menggunakan konsep "agit-prop," agitation dan propaganda, seperti dipersembahkan untuk protes jalanan, sebahagian daripada demonstrasi atau kegiatan politik.

Teater agit-prop merupakan satu cabang seni lakonan pentas yang dipersembahkan di luar pentas biasa teater dan selalunya dilakonkan di tempat tumpuan awam secara tidak dirancang (sebab itu, dikenali juga sebagai "teater gerila"), untuk menzahirkan satu luahan rasa politik, khususnya yang kritis terhadap aliran arus perdana, dan menarik reaksi protes dan debat dengan penonton.

Walaupun tidak meluas, teater berkonsepkan agit-prop bukanlah kali pertama dipersembahkan di negara ini. Teater seumpama itu dengan tema-tema yang lain pernah dipersembahkan dalam ceramah politik dan mendapat reaksi marah dan kecaman penonton di Johor Baru menjelang pilihan raya umum lalu.

Ia juga pernah digunakan oleh penyokong reformasi, dengan bantuan dua patung (effigy), dalam satu demonstrasi di Masjid Negara bagi membantah tindakan kerajaan mengehadkan penerbitan Harakah pada Mac lalu. Dan, sekali lagi teater sebagai sebahagian aksi demonstran dalam perhimpunan aman pada hari keputusan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, 8 Ogos lalu.

Sajak Anwar

Sebelum persembahan itu, dua penyajak mendeklamasikan hasil seni mereka, seorang penyajak veteran dan dikenali ramai Dinsman, dan seorang lagi artis-pelukis Hasmi Hashim. Tanpa diduga, Anwar dengan nama pena "Al-Islah" juga menyumbangkan sajaknya (di bawah) untuk acara ini.

Pesan betara guruku,
"Sisih dari angkara Bendahara,
Bertapalah di dalam gua
kelana dan kedana,
hingga batin waja
dan jasad satria"

Kurenung menembusi gua
matakaci aye rinseng...
Kudengar riuh tempikan
mamak Bendahara:
"Aku pewaris takhta
dan khazanah negara
dihimpit hulubalang perkasa,
jika cuba menderhaka
akan disula."

Kusingkap batasan
terlihat gerombolan keluh kesah
tunduk mengampu dan mengamin
drama rekaan jadi nyata
walhasil rasuah, kezaliman
kisah bobrok tersorok
lantaran mata rabun
fikiran nanar

Kupacu kereta kencana
sambil meneropong
menembusi awan

Terlihat keresahan membara
kendati dibelasah
muak dengan telatah
Bergerak riak bagaikan ombak
Derap dan deru bagaikan halilintar
Mulanya sayup
kian terang
kini gegak gempita -
ya, kalimah keramat:

Reformasi!

Al Islah
Penjara Sg Buloh

Kira-kira 500 peminat teater, khususnya penyokong reformasi dan politik pembangkang, hadir menyaksikan program tersebut. Beberapa pemimpin politik yang diundang termasuklah, Presiden Parti KeADILan Nasional, Dr Wan Azizah Ismail dan keluarga (kecuali Anwar, tentunya), Presiden PRM Dr Syed Husin Ali, ahli jawatankuasa pusat PAS dan penulis Subky Latif, aktivis reformasi Abd Malek Hussin dan Seniman Negara Syed Ahmad Jamal.

Tidak pasti sama ada teater ini satu bentuk kegiatan politik atau kebudayaan; yang pasti, kita terhibur sambil mengecam tindakan politik tertentu.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com