Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Siswa: Sejauh Mana Bertahan?


(analisa ini ditulis beberapa bulan sebelum pilihan raya umum November, 1999 dan pernah diterbitkan dalam majalah "Detik," kini diharamkan)

Oleh Fathi Aris Omar

Bangkitnya siswa dalam krisis politik terkini tidaklah ganjil, khususnya sayap PKPIM kerana sememangnya Anwar mempunyai pengaruh dalam organisasi ini, begitu juga badan-badan siswa Islam yang lain, seperti di bawah pengaruh PAS, JIM atau ABIM. Kumpulan pelajar Islam ini dan sedikit siswa bukan Melayu memang sentiasa berkubu di kampus.

Tetapi sejauh mana "kebangkitan" ini dapat bertahan? Jika mereka mahu bertahan atau malah memperkembangkan pengaruhnya, apakah resipi yang sewajarnya?

Ketika Anwar mula menyertai Umno dan ketika kemuncak namanya dalam parti itu, gerakan pelajar Islam masih terus bernyawa, kecuali barangkali gerakan pelajar ala ABIM atau PKPIM, tetapi tidaklah begitu keras seperti pertembungan dengan kumpulan nasionalis atau GPMS.

Oleh itu, apabila Anwar dihadapkan dengan tekanan yang hebat itu, tenaga yang tersembunyi itu pun bangkit, dengan pengaruh yang lebih besar. Persoalannya, sepanjang Anwar di dalam Umno, tenaga pelajar Islam itu tidaklah melebar, malah boleh dikatakan "tersudut" dalam kepompong mereka sendiri.

Tetapi peristiwa reformasi ekoran pemecatan Anwar itu -tentunya dipengaruhi mood politik di luar kampus - menggamit hampir semua jenis kelompok pelajar dan gaya hidup untuk turut serta, setidak-tidaknya sebagai pemerhati aktif.

Senario politik kampus yang setinggi ini tidak wujud sepanjang pembabitan Anwar di dalam Umno. Memandangkan selepas peristiwa Anwar diikuti pula satu suasana kempen pilihan raya yang pendek, mood itu dapatlah dipertahankan, tetapi untuk tempoh yang berikutnya, katakan tiga hingga lima tahun akan datang, bagaimana jenis pergerakan ini dapat dipertahankan di kampus? Bagaimana pula perkembangan di luar kampus?

Keadaan di kampus selalunya lebih rumit untuk memantapkan gerakan kesedaran politik ini kerana beberapa faktor tetapi semuanya berkisar pada kepimpinan individu atau "batch".

Maksud saya, kesinambungan keberkesanan kepimpinan kampus sukar direalisasikan. Apabila seseorang tokoh atau batch itu pergi, kualitinya sukar dipertahankan. Apatah lagi, untuk menarik majoriti siswa agar turut serta secara aktif sebagaimana wujud dalam tempoh 5 hingga 11 bulan lalu.

Malah, pada masa kini pun, siswa sudah mulai "takut" untuk bergerak lebih ke depan - misalnya menyertai atau mengorganisasi protes aman (tidak mestinya demonstrasi). Dan jika dibiarkan berlarutan, maka mereka back to square one - bersikap separuh sedar dan malah tidak endah apa-apa!

Jerat itu sentiasa menunggu siswa kita. Pertama, halangan AUKU itu sendiri, apatah lagi dalam suasana akademia yang lebih buruk dari tahun-tahun sebelumnya. Malah, ketika siswa kita bangkit dalam tempoh lima hingga 11 bulan lalu, akademia kita berada di tahap paling daif dalam sejarah kampus di negara ini! Di sini, keberanian siswa kita sungguh mengkagumkan.

Kedua, senario pengkorporatan universiti yang juga tersirat di sebaliknya usaha melembikkan aktivisme sukarela kampus, khususnya dalam harapan mencari kerjaya yang selesa, pencapaian material di luar kampus, apatah lagi jika ekonomi negara terus melonjak semula selepas ini. Saya sempat berbincang panjang hal ini di awal-awal usaha pengkorporatan IPTA. Nyata sekali, kebimbangan pemimpin siswa itu berjejak di bumi nyata.

Ketiga, akibat dua faktor pendorong di atas, halangan yang datang dari ibu bapa sendiri. Ya, ibubapa yang menyokong parti-parti alternatif sendiri pun akan mengingatkan anak-anak mereka agar "berhati-hati di kampus" atau merangsang siswa menangguhkan semangat itu selepas tamat pengajian. Apatah lagi jika ibubapa itu beralasankan kemampuan rezekinya yang daif di celah-celah yuran korporat IPTA dan yuran IPTS yang menggila tingginya!

Dan inilah yang paling berkesan menarik anak-anak muda kita agar jangan campuri urusan politik di kampus. Ironisnya, siswa menentang AUKU tetapi "musuh perjuangannya" bukan datang dari Dewan Rakyat atau mahligai di Putrajaya tetapi dari rumahnya sendiri di kampung.

Ugutan sang menteri, malah Bukit Aman sekali pun, masih boleh disanggah, tetapi sepatah pesan ibubapa sungguh berkesan membekukan semula kampus kita. Trisakti yang menumbangkan Suharto ibarat jauh panggang dari api.

Tiga faktor ini diburukkan lagi oleh pemimpin-pemimpin siswa Islam yang gemar menyendiri dalam kepompong kelompok atau gagal menghangatkan idealisme majoriti kampus.

Ya, itulah yang saya sendiri saksikan seperti mana ketika Anwar di dalam Umno. Hanya ada satu faktor sahaja yang boleh mencerahkan harapan siswa - pergolakan politik yang meluas di luar kampus seperti tempoh 5 hingga 11 bulan lalu.

Itu pun, nampaknya tidak kesampaian kalau mereka yang ketagih politik suka berkongsi sembang politik sekadar dalam kelompok parti mereka. Ya, kecenderungan ke arah itu sudah pun terbentang….


Fathi Aris Omar merupakan bekas aktivis pelajar 1983-1991, mulai di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan kini bertugas sebagai Pengarang Berita, di akhbar web Malaysiakini.Com


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranungkite.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com