Fathi Aris Omar
Hari itu Ahad, tengah hari. Selepas makan, penulis dan seorang rakan
serumah mendapat tahu dari akhbar Harian Metro bahawa bekas Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengadakan majlis
penerangan di Dataran Merdeka.
Sehari sebelum itu, adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan
penulis ucapannya, Dr Munawar Anees baru sahaja "mengaku" diliwat.
Berita itu sungguh menggemparkan dan membingungkan seluruh negara,
termasuk kami.
Saya sudah mengenali Dr Munawar secara dekat melalui satu seminar sains
di Institut Kefahaman Islam Malaysia pada Disember 1995. Ketika itu saya
bertugas sebagai koresponden Utusan Sarawak.
Sebelum itu pula, beberapa bukunya tentang sains dan etika sering
menjadi rujukan ketika mengambil subjek falsafah sains Islam. Di IKIM,
beliau mengupas isu etika sains, atau bioetika, dalam perkembangan
projek genom yang sedang pesat kini.
Beberapa hari sebelum Ahad 20 September itu, ketika dalam perjalanan
dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, saya terbaca berita tentang
penangkapan Dr Munawar di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Berita ini ganjil dan membingungkan.
Saya pulang ke kampung dan singgah di beberapa daerah untuk meninjau
beberapa perkembangan di negeri kelahiran saya itu. Kebetulan ketika
itu, saya menulis secara tetap di majalah Tamadun dan sedang menulis
beberapa rencana tentang krisis politik mutakhir, kemudiannya dimasukkan
dalam buku Ahmad Lutfi Othman tentang konspirasi dan 50 Dalil.
Ke sidang akhbar Anwar
Sesampai sahaja di depan air terjun periuk kera, kami turun berjalan
kaki. Lebih kurang jam 4 petang. Ketika itu, Dataran Merdeka masih
kosong tetapi kelihatan kawalan ketat polis untuk menyambut Ratu
Elizabeth melawat sebuah gereja kecil di situ.
Beberapa orang yang berlegar-legar di kawasan itu kemudiannya kelihatan
bergerak ke Masjid Negara. Saya sendiri masih di sekitar gereja untuk
menunggu "penjelasan Anwar" di Dataran Merdeka, lagi pun melihat orang
ramai yang datang menyambut Ratu itu.
Saya membawa sebuah beg galas kecil berwarna hitam - di dalamnya alat
rakaman, pita rakaman yang masih kosong, beberapa batang pen dan buku
catatan, selain beberapa kertas tentang perkembangan kes pemecatan
Anwar.
Inilah kali keempat saya mendekati Anwar dan peristiwa politik yang
kacau, panas dan pantas itu. Kali pertama pada 3 September, sidang
akhbar pertama di kediamannya di Jalan Setiamurni, Bukit Damansara. Saya
pergi bersama rakan-rakan wartawan dari akhbar Harakah, termasuk
pengarangnya, Zulkifli Sulong. Wartawan Tamadun, Suria Janib dan Rosmida
Abd Rahman juga berada di sini.
Kali kedua dan ketiga, pada sebelah malam, termasuklah pada malam Dr
Chandra Muzaffar menyampaikan ucapan sulungnya dalam siri ceramah di
kediaman yang kecil itu. Hari-hari yang selebihnya, saya hanya mendapat
maklumat daripada rakan-rakan, khususnya daripada Gerakan Reformasi.
Penglibatan saya dalam gerakan itu bermula dalam satu pertemuan bersama
rakan-rakan aktivis Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), apabila
organisasi ini menyertai tiga lagi pertubuhan melancarkan reformasi
secara tersusun.
Beberapa ketika selepas azan Asar, seseorang memberitahu, Anwar akan
menyampaikan ucapan di masjid, bukannya dataran itu. Lalu, penulis dan
rakan bergerak ke sana.
Ibarat empangan pecah
Orang mula mencurah-curah ke satu sudut Masjid Negara, di depan Pusat
Islam. Namun, kawasan lapang masih banyak di sana-sini. Saya membuka
kasut dan naik ke tingkat atas. Orang ramai semakin sesak.
Anwar dan isterinya, Dr Wan Azizah Ismail, belum sampai. Kami sempat
berdiri tidak jauh daripada anjung tempat Anwar, beberapa minit selepas
itu, menyampaikan ceramah. Di tingkat atas masjid, orang ramai berdiri
dan duduk berasak-asak.
Saya memasang alat rakaman. Buku catatan dan pen dikeluarkan daripada
beg hitam. Saya berdiri tidak jauh daripada pagar di tingkat itu,
dapatlah saya melihat lautan manusia yang datang seolah-olah sepantas
limpahan air dari empangan yang pecah.
Lelaki, wanita, kanak-kanak, dewasa dan berbagai-bagai bangsa memenuhi
ruangan atas masjid, halaman bawah dan sehingga melimpah di tepi jalan
berhampiran bulatan dekat stesen keretapi. Sementara beberapa penunggang
motosikal dan lelaki berdiri di pinggir jalan di atas bulatan tersebut.
Pada ketika itu, semangat dan bingung masih bercampur. Tidak terlintas
bahawa peristiwa hari ini, dua tahun lalu, merupakan detik-detik
bersejarah dalam politik negara kita.
Selepas menyampaikan ucapan, membela diri daripada fitnah meliwat,
mengecam Perdana Menteri dan konspirasi politik, serta melaungkan slogan
"Mahathir undur segera," "re-for-ma-si," "selamatkan Malaysia" dan
"resign now," Anwar mengajak lautan manusia itu berarak ke Dataran
Merdeka.
Kami bergegas turun. Tidak sukar saya mencari kasut kerana awal-awal
lagi ia dimasukkan di dalam beg galas hitam. Saya membiarkan orang ramai
bergerak ke depan.
Saya bertemu rakan-rakan aktivis reformasi daripada JIM, mereka sibuk
menyebarkan risalah. Berkotak-kotak dan berpuluh-puluh ribu.
Masing-masing bersemangat. Kami berbual-bual, sambil berjalan dan
mengedar risalah.
Petang mulai redup. Beberapa lelaki yang berdiri di tepi Jalan Kinabalu
kelihatan seperti mata-mata. Ya, merekalah tu, siapa lagi?
FRU menyorok di dalam trak
Apabila sampai di bekalang pentas, di bawah tiang bendera besar di situ,
saya lihat semua anggota FRU duduk "tenang" menyorok di dalam trak
mereka - tidak berani keluar, jauh sekali cuba mengusik lautan manusia
yang sedang diamuk amarah itu.
Jalan di depan mahkamah, dari masjid lagi, sudah pun ditutup. Orang
ramai bergerak beralun-alun ibarat meraikan buat julung-julung kali
pesta demokrasi dan kemerdekaan.
Malam itu, pentas itu akan digunakan untuk satu konsert sempena Sukan
Komanwel. Sementara patung binatang "Orang Utan" masih berdiri tegak,
bergerak-gerak secara mekanik.
Lautan manusia di padang itu menenggelamkan suara Anwar, kebetulan
loudhailer kecil sahaja. Kami tidak boleh bergerak lebih jauh ke depan
dihimpit puluhan ribu manusia. Bermacam-macam ragam manusia kelihatan di
tanah lapang itu.
Sesekali terpancar kilauan dari bangunan tinggi di Bukit Aman. Polis
sedang merakamkan lautan "manusia sasau yang mengiringi seorang pemimpin
yang tidak bermoral"!
Saat-saat itu masih jelas di ingatan sampai kini. Setelah bergelumang
dengan gerakan reformasi sejak hari itu, dua tahun lalu, tahulah saya 20
September itu rupa-rupanya tarikh keramat.
Tetapi kekeramatannya tidak mempunyai apa-apa nilai untuk
diulang-ulangkan selalu kecualilah, pada hari-hari yang lain pula,
lautan manusia sasau yang diamuk amarah itu bertemu lagi, meraikan
sekali lagi pesta demokrasi, mengumpul semula kekuatan rakyat, sehingga
tumbang si diktator tua itu.
Bilakah petang 20 September seumpama itu mahu berulang lagi?